Keajaiban-keajaiban kecil dalam hidup edisi Train to Bursa


Jpeg

Merve memelukku erat dan kekal begitu lebih seminit. Tak tahu kenapa aku hampir-hampir mengalirkan air mata. Sangat aku rasakan keikhlasan Merve dan keluarganya menerima aku, orang asing yang muncul tiba-tiba entah dari mana sebagai tetamu. Tak sampai 24 jam lalu, Merve menjemput aku di sini dan sekarang kami di sini lagi. Aku akan meninggalkan Ankara menuju Bursa.

Aku menulis status di Facebook, “Istanbul mengagumkan, memenatkan dan agak sunyi(aku). Konya tenteram dan ramah. Ankara pula singkat tetapi manis seperti baklava”. Kawan, pernah kau merasai baklava? pastri Turki yang pendek-pendek comel tetapi manisnya menyentap pertama kali kau menggigitnya. Sekarang, segenap hatiku dipenuhi kemanisan itu. Tepu.

Aku memanjat tangga keretapi dengan wajah bahagia. Hatiku berdetik, “Tuhan, adakah lagi hambamu yang lebih manis dari keluarga Merve di bumi Turki ini? Temukanlah aku dengan orang-orang seperti mereka”.

Beg sudah aku letakkan di rak pada hujung koc. Berpasangan denganku di tempat duduk, seorang perempuan sebaya emakku, kira-kira berumur awal 70an. Aku senyum dan memberi salam lalu duduk di sebelahnya. Untuk memudahkan aku bercerita, aku namakan dia mak cik Maryam.

Aku meletakkan bantal melengkung empuk kepunyaanku di atas meja lipat. Mak cik Maryam tertarik dengannya. Jelas dia tidak pernah melihat bantal sebegitu.

“Oh, ini bantal leher” jawabku.

Walaupon aku tak memahami bahasa Turki, dapat meneka maksud soalannya. Aku tahu dia tidak faham jawapanku. Aku dengan bersahaja terus meletakkan bantal itu di bahunya. Dia sangat teruja selepas merasakan keselesaan mengenakan bantal tersebut. Dia cuba bersandar, melentokkan kepalanya ke sisi dan beberapa posisi semahunya. Setelah berpuas hati, dia mahu memulangkan bantal itu semula tetapi aku menghalangnya. Bagaimana aku boleh membiarkan seorang ibu hanya melihat aku tidur selesa sedangkan dia lebih terhormat untuk dimuliakan? Jadi aku biarkan dia terus menggunakan bantal tersebut. Tidak jauh perjalanan bermula, Mak Cik Maryam sudah tertidur.

Ada rangkaian wifi di dalam koc. Selepas menghantar pesanan penuh cinta kepada Merve, melaporkan keberadaanku pada Gulistan dan juga Ayse, aku menghabiskan waktu melayari facebook dan whatsapp. Ayse adalah tuan rumahku di Bursa nanti. Waktu bergerak pantas. Kira-kira separuh perjalanan mak cik Maryam terjaga. Dia menepuk lenganku dan bertanyakan adakah aku tidak tidur kerana tiada bantal? Ah, jangan kau tanya bagaimana aku boleh faham ucapannya. Cubalah kau kembara selalu, nanti kau akan tahu rahsianya. Aku memberitahunya yang aku memang tidak berhajat untuk tidur.

Akhirnya setelah hampir dua jam setengah, kereta api menghampiri Eskisehir. Aku perlu turun di situ dan meneruskan perjalanan lebih kurang satu jam empat puluh minit lagi ke Bursa dengan bas. Mak cik Maryam juga sudah bangun dan memulangkan bantal kepadaku. Kereta api ini akan meneruskan pejalanan ke Istanbul. Jika Makcik Maryam masih tidur, aku sudah memutuskan untuk meninggalkan saja bantal itu dengannya.

Dia bertanya lagi dan aku cuma dapat menangkap satu perkataan iaitu “Bursa?”. Aku menjawab, “Ya, Bursa” sambil mengangguk. Tak semena-mena dia membuka cincin yang dipakainya dan menyuruh aku memakainya. Aku amat terkejut. Walaupon cincin itu bukanlah cincin emas permata, tapi membuka sesuatu yang dipakai – mungkin sudah beberapa lama dan mungkin juga ada kenangan sentimental lalu memberi terus kepada orang asing hanya kerana budi yang tak seberapa adalah perbuatan yang tak pernah sampai difikiranku. Aku cuba menolak tetapi dia bersungguh-sungguh memberinya. Dia berterima kasih kerana dapat tidur dengan nyenyak sekali, begitulah yang aku fahami.

Kata orang, rezeki jagan ditolak, musuh jangan dicari. Aku menyarung cincin pemberian Mak cik Maryam. Elok saja, memang cincin itu saiz jariku. Mak cik Maryam memuji-muji cantiknya aku memakai cincin pemberiannya. Dia kelihatan sangat gembira. Inilah cenderahati yang paling berharga yang aku peroleh dari kembara kali ini.

Aku peluk Mak cik Maryam, seperti mana Merve memelukku. Aku cium kedua belah pipinya kerana waktu itu aku juga rindukan emak yang jauh di tanah air. Sekali lagi air mata hampir minitis. Sebelum aku berdoa dan memohon Tuhan menemukan aku dengan orang yang manis, Dia telah lebih dulu mengatur duduk kami bersebelahan. Bukankah dia maha mengetahui? Allah hu Akbar!

Kawan, pernahkah kau merasakan kemanisan Baklava? Sekarang, kemanisan dalam hatiku melimpah ruah, lebih manis dari baklava!

cincin_wm_wm

Siapa yang PEKAK?


pekak_mini

Menurut Syarifah Amani, “Rugi dan kasihanilah Brunei kerana mengharamkan Pekak”. Selepas menonton saya kira 2/3 filem tersebut, saya setuju, malah saya salute tindakan Brunei dan saya kecewa mengapa Malaysia tidak bertindak sedemikian. Saya mula tidak sedap duduk selepas tiga puluh minit pertama. Semakin lama semakin gelisah. Akhirnya saya keluar dalam keadaan menggigil tangan kerana menahan marah. Kesan dari filem ini, saya sudah “dengar” di dalam panggung ketika menontonnya. Kesan seterusnya? Saya tak sanggup bayangkan.

Sebelum itu, saya harus beri kredit pada pembukaan cerita yang segar, sudut kamera yang kreatif dan lakonan Zahiril Adzim dalam menunjukkan kesunyian orang pekak. Sayangnya filem ini bukan cerita tentang dia.

Berikut adalah 11 sebab mengapa saya keluar panggung sebelum filem Pekak berakhir.

1. Babak Dara dan Melur mencuri di kedai runcit.
Dara disuruh Melur mengalihkan perhatian pekedai runcit sementara dia mencuri rokok. “Bang, mana satu bagus?” tanya Dara kepada pekedai runcit, mereka berdiri di rak tuala wanita. “Entah, saya tak pernah pakai” jawab pekedai tersebut. Penonton remaja yang duduk di barisan belakang dalam panggung ketawa. Bila Melur sudah berjaya mencuri sekotak rokok, Dara pon berkata, “Tak apalah bang, cancel”. Pekedai OK saja, tak tahu apa-apa. Budak-budak remaja di belakang sekali lagi ketawa. Kemudian kedua-dua Dara dan Melur cepat-cepat berlalu dari situ. Mereka berjaya mencuri. Adakah mencuri itu lucu? Anak sekolah dalam pakaian seragam sekolah mencuri rokok itu lucu? mempermainkan orang lain dan mengambil haknya itu lucu?

2. Babak Dara dan Melur melepak dan merokok di halaman flat mereka.
Persoalan filem ini bermula di babak ini. “Wei, kau dan on belum dengan Kamil” tanya Melur. Kalau bukan kerana ada terjemahan bahasa Inggeris, saya tak tahu apa maksud “on”. “On” bermaksud “sleep”. Ya, Melur bertanya pada Dara, kau dah tidur dengan Kamil ke belum? Remaja-remaja lelaki di barisan belakang ketawa. Dara menafikan. Alasannya, baru kenal sebulan dengan Kamil. “Aku baru je berapa jam kenal Azman dan “on” dah!” cabar Melur. Setiap kali menyebut “ON”, Melur menjungkit bahu. Perkataan “ON” tu, ditekankan. Setiap kali itulah, remaja-remaja lelaki di barisan belakang ketawa berdekah-dekah. Apa yang lucunya tentang seks bebas bawah umur?

3. Masih babak yang sama
Melur memujuk Dara untuk mengikutnya keluar malam itu. Dara menolak dengan alasan takut dimarahi bapanya. “Eleleh… strict sangat bapak kau tu, biar aku “servis” dia sikit!”. Sekali lagi Melur menjungkit bahu dan remaja-remaja lelaki di barisan belakang ketawa berdekah- dekah.

4. Babak Azman menghisap dadah dengan alat semacam rod kaca
Saya tak tahu apa benda yang dia hisap dan apa dia guna, tapi babak tu memang mirip video demo youtube. Maksud saya begitu ‘upclose’ dan ‘detail’. Anda rasa, kalau budak-budak remaja yang belum cukup akal tengok ada tak rasa nak cuba tak?

5. Babak Melur dan Dara berpura-pura mengaji untuk memperdaya bapa Dara.
Melurnya kononnya datang untuk mengajar Dara mengaji, tetapi sebenarnya mahu memujuk Dara mengikutnya keluar ke parti malam itu selepas ayah Dara keluar bekerja. Melur datang berbaju kurung dan berselendang. Muka polos tanpa mekap. Ayah Dara menyangka, Melur anak yang baik. Dia memuji Melur dan menyuruh Melur menemankan Dara di rumah malam itu. Ketika ayah Dara tiba-tiba membuka pitu bilik anaknya, mereka sebenarnya sedang bersolek lantas pura-pura mengaji dan Dara menyorokkan baju seksi yang dibawa Melur utuknya. Ketika babak ini, anak-anak remaja dibelakang ketawa berdekah-dekah. Lucu kah bila anak-anak hilang hormat pada bapanya? Lucukah bila anak-anak menipu orang tuanya?

6. Babak Kamil jumpa Uda pertama kali.
Kamil mengadakan parti. Uda datang menghantar dadah. Bila Kamil tahu yang Uda seorang pekak, dia merenung Uda dekat-dekat dan menanggilnya bodoh beberapa kali. Dia mahu memprovok dan mengejek Uda. Bodoh! bodoh! bodoh! …………… tiba-tiba dari belakang ada suara kanak-kanak berteriak bodoh!bodoh! Saya pon menyumpah dalam hati. Bodoh! mak bapak bodoh mana yang bawa anak kecil tengok cerita macam ni? Ini filem klasifikasi P13, kenapa ada anak kecil? Dan penjaga pintu pawagam? apa kerjanya?

7. Masaalah yang diangkat dalam filem ini ialah “Apa yang Kamil perlu buat supaya dapat tidur dengan Dara?” Ya, dari awal, ini saja dialog mereka. Kau dan on dengan Dara? Bila kau nak on dengan Dara. Azman dan Melur adalah penasihat Kamil. Kamil yang dipaparkan sebagai orang berada mengadakan pesta demi pesta semata-mata untuk meniduri Dara. Ketika filem Hantu Kak Limah pecah panggung, frasa “Kita bakar!” menjadi sebutan dimana-mana. Tak mustahil dialog “dah on” ni akan jadi buah bibir anak-anak remaja di belakang tu selepas menonton filem ini.

8. Uda? Uda sebenarnya cuma watak sampingan. Adakah filem ini membincangkan masalah Uda yang pekak? Tidak sama sekali. Bagaimana Uda boleh pekak? Tak tahu. Cuma diceritakan Uda ditinggal orang tuanya dalam hujan di kaki lima kedai ketika berusia lebih kurang lima tahun. Uda kemudian di bela oleh bossnya sekarang. Apakah jenis kepekakan Uda? Tak di ceritakan. Semulajadi atau kemalangan? Entah. Cuma ada satu babak berjumpa doktor dan klinik doktor tu macam tak bertauliah saja. Doktor cuma menerangkan peratus kejayaan implan ialah 90% dan
suruh Uda datang semula bila dah ada duit. Saya tak pasti itu doktor atau tukang telinga.Berapa kos yang perlu Uda sediakan? Tak tahu. Uda menjual dadah dalam keadaan tenang dan senang. Hanya tunggu orang datang, beri barang dapat duit. Beberapa kali dipaparkan nilai simpanan Uda meningkat puluhan ribu dalam masa pendek. Amboi! Apa mesejnya? Nak beritahu pada remaja-remaja di belakang tu yang jual dadah ialah cara mudah dapat duit. Dan asalkan kau ada niat mulia, kau berada dalam keadaan ‘darurat’, kau tetap naif. Kau orang baik. Kau tak berdosa.

9. Saya harapkan cerita ini akan menyuntik kesedaran dan keperihatinan masyarakat pada golongan OKU secara umum dan golongan pekak secara khusus. Tapi sayangnya cerita ini cuma memaparkan seks dan dadah. Konflik cerita ini bermula bila Kamil masih gagal meniduri dara walaupon beberapa kali memasang perangkap dan klimaxnya bila Azman pula yang menikmati Dara. Pengarah sekarang dah berani buat babak bercumbuan dari sisi pandangan belakang pasangan bercumbuan. Aku tahu mereka bukan buat betul-betul. Tapi remaja-remaja yang di belakang tu naik syok juga! Satu lagi adengan bercumbuan Melur dan Azman di kolam mandi kering. Sangat melampau! Saya masih ingat pada akhir tahun 90-an. TV Singapura mula menayangkan adengan bercumbuan dari sisi belakang. Masa itu gegar jugalah masyarakat Singapura. Mereka berbahas baik-buruknya hal tersebut. 10 tahun kemudian? Hmmm… perkara biasa. Adakah kita juga bergerak ke arah itu?

10. Babak pemerkosaan Dara oleh Azman.
Inilah babak terakhir sebelum aku keluar dengan tangan menggigil menahan marah. Dara mabuk, tak sedarkan diri, terbaring atas katil. Azman melutut di atas Dara. Bila kamera fokus pada Azman dari depan dan dia mula buka seluar, saya terus bangun. Adakah penulis tidak belajar seni “tell but not show?”. Remaja-remaja di belakang diam. Sama ada mereka simpati pada Dara atau menikmati Dara seperti Azman. Saya tak tahu. Tak sanggup nak fikir.

11. Dalam filem ini tiada orang “baik” yang menyantuni anak-anak yang sesat. Watak paling “baik” adalah bapa Dara. Tetapi bapa dara adalah watak “ulama penghukum”. Itu berdosa! Kau nak masuk neraka? Nak jadi macam mak kau? Bapa dara menghukum anaknya secara fizikal. Dara tertekan. Dara kurang kasih sayang. Stereotaip? Heh.

Kenapa saya marah?

Kata Syarifah Amani, “Kita jangan menipu atau jangan cuba sorok [realiti] … Itu cara kita berdakwah. Insya Allah, orang dapat kebaikan daripadanya” Saya anggap Amani tersasul menyebut “dakwah”. Siapakah sasaran penonton cerita ini? Pemimpin negara? Supaya mereka mahu buka mata pemimpin negara akan keseriusan masalah sosial di negara ini? Atau adakah mereka sasarkan ibu bapa yang mempunyai anak remaja? Supaya ibu bapa berjaga-jaga akan tingkah laku anak mereka? Jangan sorok fakta, sasaran penonton filem ini adalah remaja. Seperti
remaja-remaja yang duduk di barisan belakang ketika saya menonton. Adakah filem ini mampu beri pengajaran baik? Anda nilaikan sendiri dari cerita saya di atas. Sebelum keluar panggung saya sudah mendengar kesannya. Saya tidak pekak.

Bergiat secara aktif dalam NGO, membuka telinga saya dari kepekakan terhadap isu-isu sosial. Saya mengenali Puan Vimmi Yasmin Razak secara peribadi walaupon saya baru pernah berjumpanya sekali. NGO kami telah bekerja sama beberapa kali. Ketika beliau mula menubuhkan Rumah Kita (rumah perlindungan untuk ibu remaja dan anak tidak sah taraf), Our Touch menyokong dengan dana sewa selama setahun. Saya membaca luahan rasa Kak Vimmi setiap hari di facebook beliau. Tentang anak-anaknya, tentang cucu- cucunya. Kerisauannya tentang gejala sosial yang melanda generasi muda negara ini dan jerit perih mencari dana untuk membela mereka. Anak-anak yang tersasar ini, beliau peluk dan pelihara. Tapi siapa akan merawat puncanya? Kejahatan tak perlu di ajar, syaitan ada di mana-mana. Kenapa kita mahu membantu syaitan? Bukan ada satu saja rumah perlindungan seperti ini di negara kita, banyak! Bukalah telinga anda, dan dengarkan rintihan mereka.

Kenapa saya marah? Menurut Ustaz Pahrol Mohd Joi, jika anda tak merasa
marah melihat kemungkaran, tepuk dada tanya iman. Marah bukan sesuatu yang sentiasa negatif. Saya marah bila remaja-remaja di belakang saya menikmati cerita ini dengan gelak tawa. Seolah-olah kesemua yang kerja salah yang dilakonkan adalah “normal”. Saya bukan marah kepada mereka. Saya marah dan kesal kerana mereka tidak mampu melindungi diri sendiri dan tidak dilindungi masyarakat dari anasir-anasir seperti ini. Perbuatan songsang diringankan dengan komedi. Penjual dadah adalah “hero”. Ringan-ringan tak apa.
Kau tidak adil kau tidak menontonnya sampai habis

Durasi filem ini 1 jam 36 minit. Filem bermula kira-kira jam 8.05 malam dan saya keluar kira-kira 9.25 malam. Selama satu jam dua puluh minit filem tu penuh dengan adengan-adengan rendah moral dan ia belum berakhir. Adakah anda fikir beberapa minit terakhir filem tu mampu
memurnikan minda anak-anak remaja yang tercemar dengan segala kebejatan yang diajar selama sejam lebih sebelumnya? Dapatkah mereka memadam imej-imej rendah moral dan dialog-dialog rendah akhlak dari minda mereka?

Tindakan Brunei tepat

Media-media Malaysia melaporkan antara alasan mengapa Brunei mengharamkan filem Pekak kerana ada adengan seperti perempuan menghisap rokok. Sebenarnya adengan perempuan menghisap rokok tu yang paling sopan. Adengan lain lebih teruk lagi. Lelaki perempuan sama
saja. Adengan hisap dadah. Adengan panjat tembok sekolah. Adengan bercumbu. Adengan curi keluar malam dengan lelaki.

Tapi mereka kan menang anugerah di luar negara?

Adakah kiblat kita di Cannes? Asal mereka mengiktiraf filem kita maka kita ‘terpaksa’ mengiktirafnya sama? Apakah pembaris akhlak mereka sama dengan kita? Tanpa mengguna penilaian agama pon, adakah nilai budi bahasa kita sama seperti mereka? Ironi, Perancis tak pernah menjajah kita tapi kita pula terhegeh-hegeh mahu menyanjung mereka. Saya menerangkan analogi ini kepada kawan saya. Pelancong barat sangat suka ke Phuket. Phuket adalah syurga dunia. Pelbagai pesta sepanjang tahun. Full moon? Half moon? Arak murah, perempuan bersepah.  Tetapi apakah Phuket tempat pelancongan terbaik untuk kita?

Filem ini memang PEKAK

Bukan filem ini saja tajuknya Pekak. Penulis, pengarah, penerbit sampai kepada pihak yang meluluskan tayanyan filem ini. Semuanya Pekak. Pekak pada masalah sosial negara. Pekak pada tata susila. Pekak pada keresahan masyarakat. Pekak pada rintihan pihak-pihak yang saban
hari berjuang membawa pulang anak-anak yang tersesat di jalan gelap. Jika anda tak mampu membantu mereka, janganlah menambah masaalah yang ada!

Sinopsis cerita boleh baca disini


Ketika melangkah keluar panggung, ada dua stroller di ruang tepi. Saya secara bersahaja bersuara perlahan “Siapa yang bawa anak ni? Baliklah! Cerita ni tak elok bagi anak-anak tengok. Saya pon tak sanggup tengok lagi” Saya rasa hendak menangis lihat si kain putih bermain-main sendiri di tepi tangga sedangkan ibubapanya sedang menonton adengan rogol. Sedih dan marah. Tangan saya menggigil.

 

Mumbai, bagaimanalah harus aku luahkan?


SAM_0115 (Large)

Setelah berhari-hari di sini, aku mula belajar untuk melepaskan keresahan hati setiap kali melewati
gelandangan di kota Mumbai ini. Mana taknya, mereka di mana-mana. Di mana-mana saja. Kaki lima
kedai, bahu jalan, bawah flyover, bawah pokok, kaki lima stesyen keretapi malah di dalam pagar pokok
besar di tepi jalan. Paling meruntun hati ibu dan anak tidur berpelukan – kaku tak bergerak, lalat
menghurung. Adakah mereka hidup atau mati? Manusia lalu lalang seolah-olah anak-beranak itu ghaib.

Ada satu perasaan menyesak dada yang tak dapat aku luahkan. Jika aku di tanya, seronokkah Mumbai? Ya,aku gembira kerana masih sempat mengembara bersama Yatt – semacam ritual tahunan kami. Aku suka kerana dapat melihat sisi dunia yang baru bagi aku. Aku gembira dapat bertemu semula dengan Mariyam. Aku seronok kerana lima jam aku habiskan di tiga museum, aku mempelajari sejarah India, budayanya, agamanya dan wiranya. Tapi perasaan yang satu itu, yang tak terluahkan itu, tetap berada di situ. Kadang-kala membengkak, kadang-kala surut. Aku cuba untuk tidak ambil peduli, malah langsung tidak memandang. Selain berkeluh-kesah, apalah yang aku mampu?

Pagi ini, seperti pagi-pagi sebelumnya, kami menaiki kereta api. Tujuan kami mengintai para
dabbawala. Oleh kerana sudah melepasi waktu puncak, gerabak tidak penuh, masih ada kerusi kosong.
Pon, kami lebih selesa berdiri di antara dua pintu. Seperti biasa ada orang berjaja di dalam
gerabak. Biasanya wanita separuh usia. Kali ini seorang budak lelaki, awal remaja. Aku teka umurnya
mungkin 15 tahun. Dan yang paling menarik perhatian aku, dia menjual buku. Dia menampung tumpukan buku dengan kedua tangannya yang kecil dan dagunya sebagai penahan. Bersusah payah melawan hayunan kereta api. Namun, nampaknya dia sudah cekap. Bermacam jenis buku yang di bawa, entah baru atau terpakai, entah asli atau ciplakan. Dari buku karya Khaled Hossaini hinggalah buku karya penerima hadiah nobel yang menggegar dunia, Malala.

Alangkah ironinya, si penjual buku sendiri tidak bersekolah. Melihat dia menjaja bukunya, dari satu
barian ke satu barisan. Fikiran aku kacau, perasaan aku galau. Bagaimana kalau aku adalah dia dan
dia adalah aku? Entah kenapa, mataku tak mahu melepaskan pandangan dari remaja malang ini. Dan, bila dia mengangkat mukanya dia tahu seorang perempuan asing sedang memerhatikan dirinya. Habis sudah semua kerusi disinggahi. Ada yang melihat tetapi tidak membeli. Wajahku agak tegang ketika dia
datang menghampiri. Dia berdiri betul-betul di hadapan aku. Baju T yang asalnya putih jelas
lusuhnya, tetapi tak kumuh. Seluar separas lutut. Selipar jepun seada-adanya. Dagunya bekerja keras
menahan timbunan buku yang di tampung dengaan kedua tapak tangan.

Tentulah aku tak memahami apa yang dia katakan. Tapi dia terus bercakap, memujuk tentunya. Aku
terpegun beberapa saat. Aku lihat matanya yang bundar, wajahnya yang naif. Rambutnya kemas, pendek tersisir. Setiap kali dia menghabiskan ayat dan berhenti untuk bernafas, aku memberi respon dengan gelengan. Tapi dia tak mahu mengalah. Dia terus memujuk. Aku lihat lagi matanya, wajahnya – ada riak cerdik dalam masa yang sama ada seribu cerita – yang tentulah aku tak tahu. Adik, di manakah rumahmu? Di kaki lima mana? di flyover mana? di jambatan mana? Apakah kau punya keluarga? Adakah kau punca rezeki mereka? Bagaimana kalau aku adalah kau dan kau adalah aku? Mukaku mula berkerut menahan sesuatu. Dia terus memujuk dan aku terus menggeleng. Untuk beberapa minit ia berlangsung dan membuat aku serba tak keruan.

“Berhenti pandang muka dia” ujar Yatt tanpa memandangku. Entah kenapa aku rasa bersalah dan biadap bila melarikan pandangan dari wajahnya yang masih memujuk penuh harap. Akhirnya dia berlalu. Adakah dia hampa? Dan segala yang aku tahan sedari tadi tumpah tanpa berbasa-basi. Buru-buru aku menanggal cermin mata lalu mengelap mata dengan hujung lengan baju. Aku terus pandang keluar, tak berani menoleh kebelakang kerana bimbang bertemu-mata dengannya lagi. Selain sedikit doa, apalah yang aku mampu?

Mui Ne, 2 Hari 1 malam. (Bahagian 1)


1486844_761523703879628_5261008269806178477_n

Bertolak ke Mui Ne

Aku sudah tidak mempercayai jadual perjalanan bas di Vietnam atau Cambodia. Kalau mereka kata perjalanan enam jam, silap-silap gaya boleh jadi sepuluh jam. Aku bertolak dari Saigon dengan bas pada jam tujuh setengah pagi. Bas datang dan bergerak tepat waktu. Menurut jadual, perjalanan adalah empat jam. Tetapi akhirnya kami sampai di Mui Ne lebih kurang jam satu setengah tengah hari.

Jalan raya di Vietnam jauh lebih baik dari Cambodia. Aku menguping perbualan orang di hadapanku, laluan bas kali ini melalui lebuh raya baru – ya, mungkin, aku tak dapat memastikannya. Bas tak begitu berhayun jadi aku boleh membaca sikit-sikit untuk menghilangkan kebosanan. Kami agak bertuah kerana bas tersebut tidak penuh. Aku dan Ayu duduk berpisah kerana masing-masing mahukan kerusi berdekatan tingkap, mudah mengambil gambar – dan berangan melayan perasaan. Kerusi di hadapanku ditempati pasangan dari US. Suatu saat ketika mataku hampir terpejam kerana mengantuk, aku terkejut dengan suara si isteri yang sangat teruja bila ternampak buah nangka bergayutan di pokok. Sama jakunnya bila orang Malaysia melihat pokok epal di negeri antah berantah. Selepas itu, mataku enggan terpejam lagi. Jadi aku merekodkan siri imej ke dalam stor ingatan.

Sepanjang perjalanan itu, aku nampak sebuah masjid besar. Aku tak sempat melihat namanya atau mengambil gambar. Aku juga tidak tahu lokasi masjid tersebut – tidak sempat membaca papan tanda. Namun, itu cukup membuat aku teruja. Aku juga memerhatikan rumah-rumah di pinggir jalan. Hampir tiada rumah kayu tradisional, kalau ada pon sudah buruk seperti tidak didiami. Rumah – rumah Vietnam, kurus seperti orang-orang Vietnam. Aku perasan ciri ini sejak di Saigon lagi. Lot-lot kedai mereka juga kecil bukaannya. Lebar kebanyakan rumah yang aku lihat rasanya tak sampai dua puluh kaki – satu pintu gelongsor utama dan satu tingkap dua bukaan di muka rumah, namun rumah-rumah tersebut memanjang lurus kebelakang – tidak ada anak-anak rumah seperti lazim rumah kampung Melayu. Banyak rumah berbumbung rata. Ini mungkin pengaruh senibina penjahah Perancis. Sederhana dan ringkas. Penat memerhatikan rumah, mataku kuyu semula. Pasangan di hadapanku rancak berbual-bual dengan penumpang yang duduk berseberangan dengan mereka – di hadapan Ayu – seorang perempuan Eropah berumur dua puluhan. Perempuan itu berada di Malaysia sebelum ke Vietnam – lebih spesifik lagi dia telah menjelajah Sabah beberapa minggu. Banyaklah yang dia cerita dan kongsikan membuatkan pasangan di hadapanku begitu teruja untuk ke Sabah. Kalau aku tak tahu malu tentu aku sudah mencelah – Helllooooooo orang Malaysia di belakang ni! Tapi aku bimbang perempuan Eropah tadi lebih mengenali Sabah dari aku. Dari aku malu dan memalukan negara sendiri, lebih baik diam. Akhirnya aku terlelap. Aku terjaga ketika bas memasuki sebuah bandar dan akhirnya memasuki kawasan Mui Ne.

Mui Ne terletak di pantai timur Vietnam. Vietnam mempunyai perairan yang sangat panjang kerana geografinya yang memanjang di bahagian pantai timur tanah besar Asia Tenggara. Vietnam menganjur dari lembah Mekong di selatan hingga ke sempadan China di utara. Mui Ne ( Ne disebut seperti me-NE-bas )  adalah salah satu daerah pelancongan yang terkenal di Vietnam. Untuk ke Mui Ne dari Saigon sangat mudah. Terdapat banyak syarikat pelancongan yang menyediakan perkhidmatan bas ekspress ke sana. Tiket boleh di dapati dengan mudah di sekitar Jalan De Tham, kira-kira sepuluh minit berjalan kaki dari Pasar Ben Than. Di sini juga adalah kawasan backpacker di Saigon.

Sebaik saja bas memasuki kawasan Mui Ne, jalan raya menyusur selari dengan pantai. Dari celahan resort-resot mewah yang berderetan di sepanjang pantai, kelihatan  pantai landai yang berpasir kekuning-kuningan. Mata kami terpanah oleh silauan matahari di air Laut China Selatan. Bas berhenti beberapa kali untuk menurunkan penumpang. Jika kamu sudah menempah hotel, sila maklumkan kepada pemandu bas. Jika tidak, tunggulah hingga ke perhentian terakhir.

Akhirnya bas berhenti di hadapan pejabat syarikat. Beginilah sistem pengangkutan di Vietnam dan Cambodia. Bas bertolak dan berhenti di pejabat syarikat, bukan di terminal bas ekspress seperti di Malaysia. Berbanding dengan resort-resort mewah yang kami lihat tadi, di sini (tempat kami berhenti) adalah kawasan penginapan sederhana dan murah. Ya, tetapi masih mahal bagi seorang pengembara berpoket nipis. Pantai di sini sempit. Daratannya pula tinggi. Tebing curam didindingi batu  bagi mengelakkan hakisan. Inilah sebabnya mengapa hanya resort-resort sederhana yang terdapat di sini – pantai boleh di lihat tetapi tidak boleh di jejak. Oh ya, lupa hendak aku ceritakan, sepanjang perjalanan tadi, bas berhenti rehat sekali di sebuah RnR persendirian. Aku dan Ayu tetap di dalam bas. Kami hanya makan biskut yang kami bawa.

Rumah Tumpangan

Sebaik saja kami turun dari bas, seorang lelaki empat puluhan mendekati kami. Dengan bahasa Inggeris yang sekadarnya, dia menawarkan bilik dengan harga sepuluh dolar US. Kami bersetuju untuk melihat dulu biliknya. Sebelumnya, aku memang tidak menempah bilik. Setelah banyak pengalaman mengembara, membuat aku sedikit yakin untuk pergi dengan tangan kosong. Melalui carian di internet, aku tidak temui iklan bilik murah di Mui Ne. Aku hanya melihat harga untuk persediaan tunai. Memang tidak ku sangka ada juga bilik sepuluh dolar. Dari Trip Advisor, Agoda, Hostelbooking dan sebagainya, harga bilik paling murah yang di senaraikan ialah sekitar lima puluh dolar. Sebab itu aku cuma merancang dua hari satu malam saja di Mui Ne. Sekadar memenuhi rasa ingin tahu. Lagi pula dari bahan-bahan yang aku baca, Mui Ne adalah tempat yang sarat pelancong. Sebelum datang aku telah membuat kesimpulan yang Mui Ne bukan tempat yang aku gemari. Tak sangka aku sedikit menyesali hal ini ketika bertolak meninggalkan Mui Ne.

Lelaki tadi membawa kami menyusur celahan antara dua kedai. Rumah tumpangan beliau terletak di belakang deretan kedai tersebut. Dua baris tiga pintu bilik sewaan menghadap satu sama lain. Koridornya berbumbung plastik polimer dan berlantai mozek. Lantai bilik juga berkemasan mozek. Tiada tikar atau permaidani. Keluasan bilik lebih kurang 20×20 kaki, terdapat sebuah katil kelamin dan sebuah katil bujang jadi bilik ini boleh dihuni tiga orang. Bilik air bersih dan ada pemanas air. Ada pangkin dapur dan sinki tapi tiada dapur gas atau alatan memasak. Begitulah keadaan bilik kami, bersih, sederhana, kemas, selesa, wifi percuma dan paling menarik hanya sepuluh dolar US semalam. Wow! Berbaloi-baloi. Kami segera bersetuju. Perkara pertama yang kami lakukan sebelum memulakan aktiviti merayau adalah mencuci pakaian kotor bekalan dari Phnom Penh. Cuaca di Mui Ne sangat panas tetapi berangin kuat, lazim bagi kawasan tepi pantai. Kami bergiliran mencuci pakaian, solat dan makan bekalan roti yang di bawa dari Saigon.

Antara deretan bilik kami dan deretan bilik di hadapan kami, terlintang pagar dawai. Jiran hadapan kami menjemur pakaian mereka di situ. Kami pon meniru. Kebetulan tuan rumah berada di halaman. Dia datang memberitahu yang ampaian dan penyangkut baju di halaman disediakan untuk penghuni. Aku segera memindahkan jemuran. Jiran hadapan kami sekeluarga orang Rusia. Dari nenek hinggalah ke cucu yang baru pandai berjalan. Mereka menyewa ketiga-tiga bilik sederet. Hanya anak perempuan mereka menyapa kami, yang lain tidak pandai berbahasa Inggeris.

Pelabuhan Mui Ne yang memukau

Terdahulu kami telah bertanyakan kepada tuan rumah tentang motorsikal sewa. Ketika aku sedang menjemur pakaian, seorang pak cik berumur lingkungan 50-an datang dengan sebuah motorsikal. Sebetulnya, jika kami mengambil motorsikal hari ini dan memulangkannya esok, itu di kira dua hari sewaan. Oleh kerana waktu itu sudah melepasi jam dua petang dan kami akan pulang esok tengah hari, aku cuba tawar menawar supaya kami mendapat harga sewaan sehari. Puas juga memujuk sebelum dia bersetuju dengan tambahan sedikit bayaran. Sebenarnya ada banyak kedai-kedai menawarkan perkhidmatan sewaan motor di sepanjang jalan.

Destinasi utama kami adalah gumuk pasir merah yang tidak jauh dari tempat kami menginap, sekitar dua belas kilometer. Gumuk pasir inilah yang menyebabkan aku ingin ke Mui Ne. Dengan berbekalkan peta ringkas Mui Ne yang tuan rumah berikan, kami memulakan perjalanan. Agak kekok menunggang motor di Vietnam kerana sistem pemandu sebelah kiri. Setiap kali tiba di simpang, Ayu harus menunjukkan arah supaya aku tidak tersasar. Tabiat pemanduan mereka juga agak menyeramkan. Walaupon tidak memandu laju, mereka tidak biasa berhenti di simpang sedangkan lampu isyarat merah menyala. Terjadi sekali kepada kami, situasi yang membingungkan sekaligus memalukan. Bayangkan kamu menunggang motorsikal dan terhenti di tengah-tengah simpang tiga kerana kenderaan lain datang dan berpapasan dari semua arah – bingung. Ia memalukan kerana hampir semua kenderaan membunyikan hon supaya kamu bergerak. Pon begitu, Mui Ne hanyalah pekan kecil jadi trafiknya tidak gila seperti Saigon.

Mendekati pekan Mui Ne, jalan raya betul-betul menyusur tebing pantai. Tiada lagi resort dan rumah tumpangan yang menghalang pemandangan ke laut. Namun tebing sangat tinggi dan curam. Sayup-sayup kami nampak bot-bot nelayan seolah-olah melambai kami supaya segera mendekati. Semakin dekat, semakin cantik pemandangan. Hinggalah pelabuhan nelayan Mui Ne betul-betul berada di depan mata kami. Beratus-ratus bot terapung-apung menghadap daratan. Imej ini mengingatkan aku kepada lakaran pelabuhan Melaka pada zaman kegemilangannya. Sangat mengujakan. Bot-bot nelayan berlabuh agak jauh dari persisiran pantai. Mendekati gigi air, berserakan sampan-sampan kecil dan sampan-sampan bulat teroleng-oleng oleh gelombang kecil. Sampan bulat bentuknya seperti mangkuk. Warna hijau terang dan biru terang mendoninasi bot-bot modern dan tradisi. Air laut ketika itu berkilauan dan kelihatan seperti logam mercury kerana biasan matahari petang. Warna-warni pelabuhan Mui Ne berharmoni dalam kontras, kelihatan begitu menarik sekaligus mendamaikan. Perkampungan Nelayan Mui Ne adalah sebuah tanjung, secara semulajadi menjadi pelindung kepada pelabuhan Mui Ne dari angin kencang dan ombak besar.

Motor yang kami tunggangi bergerak sangat perlahan, tiga puluh kilometer sejam. Sememangnya motorsikal ini tidak boleh bergerak lebih laju lagi. Kami terus bergerak menuju pekan. Tangki minyak perlu diisi terlebih dahulu. Pekan Mui Ne lebih kecil dari pekan Senggarang tempat aku membesar. Jalan raya dua lorong di apit oleh kedai-kedai papan setingkat. Tiada bahu jalan, koridor kedai betul-betul mencecah jalan raya. Hujung pekan berakhir dengan bulatan trafik.

Kami membuat pusingan di bulatan trafik, berpatah balik dan berhenti di pelabuhan nelayan. Berdiri beberapa ketika di atas koridor di kaki jalan, melepaskan pandangan ke arah laut. Bahagian tebing menuju pantai dibina tangga. Nun di bawah sana, beberapa orang nelayan sedang bekerja. Ibu-ibu penjual ikan menyapa kami, aku hanya senyum dan menggelang. Padahal perut dan hati merayu-rayu. Kalaulah, kalaulah ada dapur tentu aku sudah membeli ikan. Lagi pula hari ini kami belum menjamah nasi, dan entah berapa hari lagi baru dapat menjamah nasi. Beberapa orang kanak-kanak tempatan berkeliaran menjual cenderahati kepada pengunjung yang singgah. Mereka menatang talam kecil. Kaychain dan frigde magnet bersusun di dalamnya. Tetapi kami tidak menarik perhatian mereka kerana mereka sedang mengerumuni seorang pelancong lelaki Eropah yang juga baru tiba. Dia tidak membeli apa-apa dari penjaja kanak-kanak itu sebaliknya bergurau senda dengan mereka. Kanak-kanak itu tidak kelihatan tersinggung dan tidak mendesak sebaliknya ketawa kegembiraan. Kagum seketika melihat bagaimana dia meladeni penjaja kanak-kanak itu. Aku tertanya-tanya sendiri, adakah lelaki Eropah itu pandai berbahasa tempatan? Apa yang dia katakan kepada kanak-kanak itu? Mungkin juga dia sudah beberapa hari di sini dan datang duduk mengenali kanak-kanak itu setiap hari. Jika aku berada di situasinya, aku akan berasa tidak selesa. Aku sangat khuatir dikerumuni seperti itu dan aku bimbang tak sampai hati untuk menolak. Belajar dari pengalaman di tempat lain dalam situasi yang serupa. Jika kau beli dari seorang, yang lain akan datang mengerumun. Dan mereka tidak akan pergi selagi tidak mendapat hasil.


Pelancong Malaysia yang sombong

“Eh, ada orang Malaysia lah!” Ayu mematahkan pemerhatian ku kepada lelaki Eropah dan anak-anak penjaja.

Seorang lelaki muda Melayu berpapasan dengan kami, dia sekadar tersenyum nipis, tidak menyapa. Mui Ne memang masih asing bagi pelancong Malaysia yang rata-ratanya lebih suka berkampung di Pasar Benth Than. Jadi, berjumpa orang senegara di sini agak mengujakan. Melihat dua orang perempuan melayu berjalan ke arah kami, kami bersedia dengan senyuman yang paling manis – mata kami tak lepas mengikuti langkah mereka. Aku yakin mereka juga telah nampak kami atau sekurang-kurangnya tudung yang menutupi aurat kami. Malangnya mereka hanya melewati kami tanpa senyuman apa lagi sapaan, malah mereka menoleh ke arah lain, pura-pura tidak nampak dua orang kakak yang tercegat seperti patung di situ. Aku telan semula ucapan salam yang telah berada dihujung lidah. Aku rasa malu dan tersiggung. Kami hanya melirik mereka menaiki sebuah jip yang sedang menunggu.

“Amboiiiiiiiii!!!!!” Aku berbisik kepada Ayu sambil menarik lengannya. “Pedulikan lah mereka Kak Ngah!” bisikku lagi bila Ayu tak mahu melepaskan pandangannya. Ayu mengikut langkahku, kami bergerak ke arah tangga. Dia menoleh sekali lagi ke arah jip dan melihat mereka pergi dari situ.

“Sombongnya! Mentang-mentang dia naik jip, maklumlah kita ni mampu tunggang motor saja” Ayu meluahkan rasa tidak puas hati.

“Mereka enggang, kita pipit. Mereka datang dengan business class MAS, kita datang dengan tiket promo free seat Air Asia, tak setaraf kita dengan dia” Aku masih rasa tersinggung.

Ayu ketawa mendengar perumpamaanku. Kami turun ke pantai melihat orang menarik jaring. Seorang lelaki berada di atas sampan dan seorang lagi berada di pantai. Lelaki yang berada di pantai mengenakan topi keledar sedangkan lelaki yang berkenderaan (sampan) tidak memakai apa-apa pakaian keselamatan. Lucu bukan? Lelaki di atas sampan mengangkat-angkat tali jaring yang merentang entah dari mana pangkalnya. Manakala lelaki bertopi keledar yang berada di pantai bersedia menarik jaring ke darat. Hujung tali jaring terikat di darat. Bahagian tali yang merintang pantai dibenamkan ke pasir. Terdahulu mereka menggali tali yang terbenam di dalam pasir sebelum lelaki yang tidak bertopi keledar melompat ke dalam sampan. Barulah aku perasan deretan pancang kayu terpasak kukuh di kaki tebing yang setiapnya terikat tali yang tegang merintang ke laut. Aku tak nampak kayu pancang di laut, jauh benar nampaknya. Di setiap tali tertambat sampan kecil atau sampan bulat. Aku meneka itu sengaja mereka lakukan sebagai tanda hak milik jaring. Ah, barulah aku faham apa yang dilakukan oleh lelaki bersampan itu. Dia melepaskan tali jaring yang terikat di pancang laut. Beberapa orang lelaki tempatan yang kebetulan melewati, mereka berhenti melihat hasil tangkapan. Kami pon turut menyibuk. Geram rasa hati melihat ikan-ikan  melentik-lentik tersangkut di jaring. Oh! Alangkah sedapnya nasi panas, ikan goreng, kicap dan patahan cili burung. Liur yang tiba-tiba merembes ku telan. Bersabarlah wahai pengembara!

Ayu mengajak ke gumuk pasir merah sementalah hari pon semakin petang. Kami meninggalkan pelabuhan dengan harapan dapat singgah semula ke pelabuhan menjelang senja nanti.

Gumuk Pasir Merah

Akhirnya kami tiba di gumuk pasir merah. Tidak sukar mencari tempat ini kerana ia betul-betul berada di pinggir jalan utama, hanya beberapa kilometer dari pekan Mui Ne. Terdapat sederet kedai menjual makanan di seberang jalan. Motorsikal dan topi keledar kami tinggalkan di situ dengan sedikit bayaran. Ini sudah menjadi sebahagian perniagaan mereka. Beberapa orang kanak-kanak berlari mendekati kami dan menawarkan sewaan kepingan plastik untuk aktiviti luncur pasir. Kami menolak dan segera berlari menyeberangi jalan.

Angin bertiup agak kencang petang itu. Aku dan Ayu mula memanjat gumuk pasir yang paling tinggi. Dari kejauhan kami lihat ramai pelancong berada di puncaknya. Suara jeritan dan ketawa bersahut-sahutan, aku kira mereka sedang meluncur pasir. Sungguh cantik pemandangan gumuk pasir merah ini. Pasirnya berwarna merah berbeza dengan pasir di pantai, teksturnya juga sangat halus. Pelik juga bagaimana gumuk pasir tiba-tiba boleh wujud di sini. Kalau hanya mengambil imej gumuk pasir yang tidaklah seluas saujana mata memandang – potong imej jalan raya dan pokok-pokok rhu yang tumbuh di pinggiran, benar-benar pemandangannya seperti di tengah gurun pasir. Permukaan gumuk bercorak gelombang kesan tiupan angin. Ahli sains mengkaji jenis-jenis corak gelombang pada permukaan gumuk pasir. Corak-corak ini memberi maklumat tentang keadaan angin dan kelembapan. Itulah, manalah sama orang yang berilmu dan tidak. Kalau di mata aku, aku suka lihatnya sebab ia cantik. Dari bawah sampai ke nun jauh ke atas, jalur-jalur gelombang terlukis dengan frekuansi yang sama. Seolah-olah di lorek oleh gergasi berjari seribu. Tetapi… tiada gergasi, yang ada cuma makhluk Tuhan bernama angin. Sesungguhnya Al-Jamil itu maha indah dan sukakan keindahan.

Baru kira-kira sepuluh meter gumuk pasir dipanjat, kami sudah kelelahan. Setiap kali angin bertiup kami berpaling mengelak dari pasir-pasir halus yang menerpa muka tanpa kasihan. Tetapi walau bagaimana cara kami cuba menyorokkan wajah, pasir terlalu halus dapat juga mendarat di wajah kami. Aku mengalah dan berhenti. Ayu telah meninggalkan aku beberapa meter. Pasir-pasir halus yang melekat di cermin mata aku bersihkan. Aku menarik hujung tudung lalu menutup muka hingga hanya kelihatan mata. Kemudian aku cuba berlari mengejar Ayu yang juga berhenti bila melihat aku berhenti. Kami mengetawakan sesama sendiri kerana herot-merotnya tudung masing-masing tidak terkawal. Sang angin masih lagi mengacah-acah dan bergurau senda benar-benar membuat kami huru-hara. Kami duduk membelakangkan arah angin. Memerhatikan gelagat orang-orang yang datang dan pergi, sambil berbual entah apa. Aku memang suka begini, duduk tanpa berbuat apa-apa. Mengagumi sepicing kehebatan Ilahi, melepaskan fikiran dari tautan rutin dan kerja yang tak pernah selesai dan membuka fikiran kepada hal-hal lain seputar kehidupan. Penat duduk, kami melangkah lagi memanjat gumuk pasir. Kaki terbenam setiap kali melangkah dan angin semakin galak mengacah.

Ramai pelancong berdiri di sepanjang puncak. Bahagian belakang gumuk pasir ini lebih curam dari bahagian yang kami naiki tadi. Beberapa pelancong Eropah bergiliran meluncur. Sorak-sorai bergema setiap kali seorang menyahut cabaran. Kanak-kanak tempatan berusahaa menancing penonton supaya meluncur dan menggunakan papan luncur sewaan mereka.

“Kak Ngah tak teringin?” tanyaku.

“Nampak seronok. Tapiii…. nak panjat ke atas ni semula bila sudah di bawah tu la  yang tak sanggup” ujarnya dalam ketawa.

Sangking teruja melihat orang meluncur, aku melepaskan hujung tudung dari pegangan. Angin datang tiba-tiba dan tudungku lepas dari dagu. Kelam-kabut aku menangkapnya dengan menekup kedua telinga. Aku segera berlari ke rimbunan pohon rhu berdekatan. Aduhaiii… mujur sempat kutangkap tudung kepala nan bertuah. Berkira-kira aku berada di tempat yang tersorok, barulah aku mengenakan semula tudung.

Kak Ngah ketawa melihat aku muncul dari celah batang pokok-pokok rhu dengan muka merah padam. Aku hanya tersengih-sengih. Setelah puas berman pasir dan angin kami bergerak kembali semula ke pekan dengan satu misi. Mencari cili!

Sila klik sini untuk lihat gambar di album FB

Jiwa apa yang mereka punya? 1987 – 2009 – 2012 – 2014


——————————————————-1987———————————————————

Aku tak ingat dengan jelas bila peristiwa ini berlaku. Mungkin ketika panasnya isu Intifadah Palestine 1987.
Waktu itu aku berusia 8 tahun. Suatu malam di musim raya, ketika zaman sekolah rendah. Aku mengikut emak berziarah ke rumah jiran. Ketika orang-orang tua berborak, oleh kerana aku kanak-kanak yang terpinggir, aku tiada pilihan lain selain menonton berita di TV. Bagi kanak-kanak mentah seperti aku, siaran berita bukan kegemaran. Aku ada duniaku sendiri. Duniaku adalah sekolah-main; rumah-main; hari raya-main. Tetapi malam itu, oleh kerana aku kanak-kanak yang terpinggir, aku telah terpaksa menumpukan deria mata dan telingaku pada siaran berita. Berita malam itu adalah memori pertamaku tentang Palastine. Aku bingung dan tak dapat memahami konflik yang berlaku. Yang aku masih ingati sehingga kini adalah perasaan bingung, takut dan sedih. Aku sedih lihat anak kecil berdarah dan menangis. Waktu itu aku juga anak kecil, seperti mereka yang tak faham apa-apa. Kenapa siaran berita ini begitu menakutkan? Mengapa ketika aku menonton Ultraman, aku lihat bangunan tumbang dan manusia lari dengan cemas tetapi aku rasa seronok? Bila Berita Dunia Jam 10 yang dikelolakan oleh pembaca berita Farith Ismeth berakhir barulah emak meminta diri. Ini adalah antara hirisan-hirisan ingatan semasa kecil yang enggan pergi dari memoriku.

——————————————————-2009———————————————————

Aku menonton Butelin Utama dan masih terkesan dengan kanak-kanak Palestine, kali ini aku tak memandang mereka dari mata seorang kanak-kanak, kerana aku sendiri sudah dewasa.

[ Kisah di bawah di terbitkan pertama kali di blog limatahun.blogspot.com pada 28 Januari 2009 ]

Kalau kau tonton Buletin Utama malam tadi, kau tentu perasan budak Palestine yang ditemuramah wartawan TV3. Hidungnya berparut, dan dahi masih bertampal. Parut seumur hidup tentunya. Tapi mukanya berseri-seri dan tersenyum bila disapa wartawan.

Aduh.. jiwa apa yang dia punya?

Dan bila si wartawan bertanya, takut atau tidak dia dengan serangan Israel?

Dengan senyuman juga dia menjawab.. Tidak, tidak, tidak.

Aduh.. jiwa apa yang dia punya?

Mungkin si wartawan pun seperti aku, terkejut dan kagum dengan reaksi anak lelaki 10 tahun itu, lalu bertanya lagi. Dia menjawab, Saya tidak takut dengan Israel. Cukuplah Allah sebagai pelindung saya.

Aduh.. jiwa apa yang dia punya?

Menusuk-nusuk ke hati. Sebak, terharu dan juga malu. Sesungguhnya, budak yang belum baligh ini, mempunyai iman lebih kuat dari aku.

Lebih ramai lagi kanak-kanak seperti Anas di Palestine, tidakkah kita malu?

—————————————– 2012 Operation Pillar of Defence —————————————–

Berapakah umur Anas sekarang? Masihkan Anas bernyawa atau sudah menemui Tuhannya?

—————————————– 2014 Operation Protective Edge —————————————–

Berapakah umur Anas sekarang? Masihkan Anas bernyawa atau sudah menemui Tuhannya?

Yang pasti semangat Anas masih hidup dan terus menular dalam jiwa anak-anak Palestine.

 gaza2014

Nidal Mohammad Badran, Kanak-kanak dari Gaza kehilangan matanya apabila serpihan bom terkena matanya selepas Israel mengebom keluarganya yang mengakibatkan ayahnya terkorban.

Sumber: Eye on Palestine via Aqsa Sharif

Pendekar pohon susu [ Kembara Phnom Penh, Kemboja ]


geng kampung pisang

Aku berdiri di samping pohon susu yang tinggi dan rimbun itu. Suasana di situ nyaman kerana teduhan pokok yang rimbun, dan angin yang bertiup dari arah sawah di belakang masjid sungguh menyegarkan. Kanak-kanak yang mengerumuni aku tadi telah bertempiaran lari setelah mendapat habuan coklat choki-choki. Tinggal mereka, adik-adik awal remaja itu, memenuhi bangku di sebelahku.

“Adik, kamu panjat, kakak ambil gambar. Mahu?” Aku menepuk-nepuk batang pohon susu, menunjuk ke atas, ke arah rimbunan yang meneduhi bangku tempat mereka duduk. Ku gayakan kameraku, seolah-olah sedang mengambil gambar orang di atas pohon. Sememangnya mereka tidak memahami kata-kataku. Namun, dari sengihan mereka, aku tahu mereka faham lakonanku tetapi mereka masih ragu-ragu kerana mak cik gempal asyik memarahi mereka kerana asyik memanjat dari tadi. Si baju belang menepuk bahu rakan di sebelahnya si baju oren, dia menghayunkan kepalanya, isyarat ajakan. Si baju oren menoleh ke arah si baju merah. Mata mereka bertemu. Tanpa berkata apa-apa mereka saling memahami, menunjukkan rapatnya jiwa mereka. Mereka memandang ke satu arah, kearah mak cik gempal.

“Kamu panjat, akak nambil gambar! Cepatlaaahh… ” aku memujuk. Aku tak peduli sama ada mereka faham atau tidak. Aku juga tidak peduli mak cik gempal yang asyik menengking mereka.

Si baju merah dengan penuh karisma seorang ketua bangun lalu diikuti oleh yang lain. Sepantas kilat mereka memanjat dan mencapai dahan yang terendah. Mak cik gempal ingin memarahi mereka lagi, tetapi bila dia melihat mereka seronok bergaya bila aku halakan kamera, dia hanya tersenyum. Aku tahu mak cik gempal bukanlah garang, dia cuma bimbang keselamatan budak-budak itu. Dari dahan terendah, mereka berlabuh di bumbung stor yang berada cuma setengah meter dari batang pohon. Keseluruhan bangunan stor kecil itu diteduhi dahan-dahan dan rimbun daun pohon susu yang besar batangnya seperti pokok durian kampung yang sudah berbuah sembilan belas kali. Kemudian tubuh-tubuh kurus itu memanjat lagi ke dahan-dahan yang lebih tinggi. Keinginanku membuak-buak mahu menyertai mereka, tetapi aku bimbang bumbung stor yang kelihatan uzur itu tidak dapat menampung jisimku. Beberapa budak lain mula datang dan ikut memanjat. Mak cik gempal terjerit-jerit lagi melihat olah mereka yang galak bergurau di dahan pokok. Mereka langsung tidak mengendahkannya. Aku seolah-olah melihat diriku dua puluh lima tahun yang lalu.

Ada beberapa masjid kelihatan sepanjang jalan dari bandar Phnom Penh ke Gunung Audong. Dalam perjalanan pulang, kami menyinggahi salah satu daripadanya. Dari jauh masjid ini sungguh terserlah kerana keseluruhan bangunan berwarna putih – seperti Taj Mahal saja lagaknya. Ia kelihatan mewah jika dibandingkan dengan rumah-rumah penduduk kampung di sekitarnya. Di halaman sisi kiri masjid – bertentangan dengan tempat aku berada sekarang, berdiri beberapa pohon kayu. Dan di bawah teduhan pokok-pokok itu terdapat sebuah warong. Dari atas tuk-tuk yang bergerak tiga puluh kilometer sejam, ketika perjalan pergi ke Gunung Audong, gerai makan tersebut kelihatan meriah dipenuhi pengunjung. Suasana redup dan kehijauan kawasan sekitarnya – pemandangan latarnya adalah sawah, menggamit hati kami untuk singgah. Lalu kami bersetuju untuk makan tengah hari di sana sekalian solat zuhur di masjid. Punah imaginasi kami, Gunung Audong tidak seperti yang kami bayangkan dan kami bergerak pulang ketika waktu duha masih panjang. Perut pun belum lapar kerana telah bersarapan nasi berlauk ayam kampung goreng madu yang sungguh sedap. Tetapi kerana hati sudah terpaut, kami tetap singgah juga di masjid putih ini.

Kakak berbaju kurung biru turun dari masjid dan mendekatiku. Oh ya, pohon susu berbatang besar yang tinggi dan rimbun ini tumbuh di perkarangan masjid – halaman sisi kanan. Kakak berbaju kurung biru yang sentiasa tersenyum, di tangannya berkibar sehelai beg plastik merah. Dia memasukkan beberapa biji buah susu yang dikumpul budak-budak tadi ke dalam beg plastik merah itu lalu menghulurkannya kepadaku. Aku menoleh kepada Farid, pemandu tuk-tuk kami, meminta dia menanyakan harganya. Kakak berbaju kurung biru memahami maksudku. Dia menghayunkan tangannya, tanda isyarat tidak perlu bayar. Aku tetap membayar, bayar dengan senyuman dan ucapan terima kasih – opkun, dalam bahasa Champa. Aku rasa mahu memeluknya tetapi masih ada rasa janggal antara kami. Kakak berbaju kurung biru senang aku menerima pemberiannya. Walaupon kami tidak memahami antara satu sama lain, dia sangat baik hati dan murah senyuman.

Ketika tuk-tuk sewaan kami membelok ke halaman masjid tadi, mereka – dia, makcik garang dan sekumpulan budak sedang menikmati buah susu di bawah pohon yang teduh itu. Padahal kami ini orang asing yang mereka tidak kenali, sebaik saja dia menjawab salamku, kakak berbaju kurung biru membuka sebiji buah susu yang masak ranum dan menghulurkannya kepadaku. Aku cam buah ini ada banyak dijual di pinggir-pinggir jalan dan juga di pasar Phnom Penh. Farid menerangkan kepada kami perihal buah ini. Ini kali pertama aku mengenal buah susu. Bentuknya hampir bulat sempurna. Rata-rata buah dari pohon itu sebesar genggaman tangan lelaki dewasa. Kulitnya licin dan berwarna ungu. Sekali pandang seperti terung bulat. Selain itu, sifatnya banyak persamaan dengan buah manggis. Cara membukanya ialah dengan memecahkannya kepada dua, seperti kita membuka manggis. Isinya berulas seperti manggis tetapi bijinya kesep atau tiada biji langsung. Tekstur dan rasanya pon seperti manggis tetapi lebih manis, langsung tidak kelat. Mungkin kerana buah yang aku makan sudah sangat ranum. Tebal kulitnya kira-kira satu sentimeter. Ia tak keras seperti kulit manggis. Dinding kulit sebelah dalam berurat seperti manggis tetapi lebih lembut dan berjus. Jusnya berwarna putih. Sebab itu ia mendapat nama buah susu. Menurut Farid ada dua jenis buah susu, buah susu ungu dan buah susu hijau. Buah susu hijau kekal hijau bila ranum. Walaupon warnanya tidak begitu menarik berbanding buah susu ungu, buah susu hijau lebih lemak dan manis. Lazimnya begitu, setiap kejadian ada kelebihan masing-masing.

Budak-budak kurus tadi melaung-laung dari atas pokok, rupanya mereka memanggil kakak berbaju kurung biru. Kakak berbaju biru berdiri menjauh sedikit dari pohon dan mendongak ke atas. Mereka bercakap-cakap entah apa.

Zzzaaapp!! kakak berbaju biru menyambut balingan buah susu empat puluh lima darjah dari atas pokok. Seorang budak berlari anak menghulurkan besen kecil kepada kakak berbaju kurung biru. Zzzaaapp!! Zzzaaapp!! Zzzaaapp!! Sebiji demi sebiji buah datang deras seperti bola lisut. Satu pon tidak terlepas. Kakak berbaju kurung biru ketawa kecil melihatku yang terkedu. Dia melambai aku mendekatinya. Dia menunjuk ke arah pucuk pohon susu dan mengisyaratkan aku menambil gambar. Nun di pucuk, di balik daun-daun yang rimbun itu aku lihat seorang berbaju biru santai berdiri di situ. Aku gayat melihatnya. Tinggi pohon susu itu melebihi paras bumbung masjid.

Setelah kakak berbaju kurung biru beredar, aku bergerak ke arah belakang stor. Rupa-rupanya tanah lapang di belakang masjid itu adalah kawasan perkuburan. Aku meneka ia kuburan lama kerana tidak kelihatan kubur baru. Nisan-nisan sudah hampir tenggelam keseluruhannya dan tanah kubur hampir rata. Budak-budak tadi berkumpul di kuburan menikmati buah susu sambil bergurau senda.

Aku bergerak ke hujung kawasan perkuburan dan berhenti di tebing. Seluruh kawasan perkuburan – termasuk benjolan kubur, tebing yang cuma setinggi beberapa kaki itu hingga tanah landai di bawahnya berumput pandak. Jaring badminton bertiang dahan pokok sebesar lengan budak terpacak di tanah landai. Gelanggang mereka tidak bergaris seolah-olah mengibaratkan hidup mereka yang tidak terkongkong oleh kebiasaan. Aku melabuhkan punggung di tebing, membelakangkan perkuburan. Kakiku terlunjur ke bawah. Matahari panas, tetapi angin nyaman dan segar. Denai kecil dari kawasan perkuburan menuruni tebing dan bersambung dengan jalan tambak yang memisahkan paya dan sawah. Paya berair jernih di pagari belukar nipis.  Sebuah sampan yang sedikit uzur tertambat di tebing. Tumbuhan air menguasai sebahagian besar permukaan paya. Aku mengagak, sawah di sebelah kiri itu juga asalnya paya yang di tebus guna.

Gelak ketawa budak-budak kurus tadi di bawa angin lalu singgah di telingaku. Mereka kelihatan gembira. Entah-entah mereka sedang melupakan kelaparan kerana tiada nasi di rumah. Mungkin juga menghiburkan hati kerana keluarga tidak mampu menghantar mereka kesekolah. Eh, mengapa pula aku fikir mereka miskin? Bukannya aku kenal keluarga mereka. Ah, kita memang selalu berfikir dengan persepsi. Dan tak semestinya persepsi kita secocok dengan kenyataan sebenar. Contohnya seorang kawanku menyangka Singapura hanya ada satu masjid. Ramai orang yang tidak pernah ke Bangkok mengira sukar untuk mendapatkan makanan halal di sana. Persepsi kepada negara sendiri adalah menyangka Malaysia benar-benar negara yang paling maju di Asia Tenggara. Tutup mata saja kepada kemajuan Singapura, mereka kecil tentulah mudah menjadi maju. Benarkah?

Ketika menilai kemiskinan dan kekayaan seseorang, mengapa kita hanya melihatnya dari sisi material? Jika pon budak-budak kurus tadi datang dari keluarga yang miskin, dari satu segi aku melihat mereka lebih kaya dari ramai anak-anak sebaya mereka di Malaysia. Terutamanya anak-anak bandar. Mereka ada pokok untuk di panjat, mereka ada padang untuk berlari dan mereka ada sampan untuk berdayung dan ikan-ikan yang sedia dipancing. Udara yang mereka hirup bersih dan segar. Semuanya mereka nikmati tanpa rasa risau dan takut diculik dan sebagainya. Dan yang paling penting semuanya percuma kerana semua itu hak mereka yang mereka kongsi bersama. Mungkin mereka tidak pernah kenal apa itu android, tablet, playstation, intendo dan xbox. Namun, permainan yang mereka mainkan setiap hari  adalah latihan kepada keupayaan survival sebenar. Kalaulah mereka diletakkan bersama anak-anak bandar di sebuah pulau sunyi, tentu mereka dapat bertahan lebih lama dari anak-anak bandar. Mereka bebas berlari, melompat memanjat – memanfaatkan keseluruhan anggota mereka yang muda dan bertenanga. Berbanding anak-anak bandar yang duduk seharian menggerakkan hanya beberapa jari. Pada diri mereka juga, aku melihat sesuatu yang jarang dinikmati oleh anak-anak sekarang. Setiakawan kawan sepermainan. Kawan zaman nakal – partner in crime.

Sedang aku melayan perasaan dan pemikiran, Ayu dan Oshin muncul.

“Lamanya solat?” tanyaku ringkas.

“Dah lama siap, cari kau di warong tadi, ingat kau ke sana” jawab Oshin. Aku memohon maaf kerana menghilangkan diri begitu saja. Oshin turun dan meninjau-ninjau denai menuju sawah. Kemudian aku dengar suaranya melaung kepada budak-budak tadi dan mengajak mereka bergambar bersama. Kami pon mengabadikan kenangan bersama. Bahang matahari semakin panas namun angin bertiup deras dan dingin mencetuskan ceria dihati kami. Bahasa Melayu dan Champa berbalas-balas mungkin bukan soalan dan jawapan yang sepadan tapi siapa peduli? Cukuplah hanya ketawa kami yang senada bunyinya.

This slideshow requires JavaScript.

Al-kisah si penjual kelapa muda [versi scam city]


20140118_125511

Kami kepenatan. Penat melarikan diri dari penarik beca yang tak jemu mengekori. Untuk melarikan diri, kami melintas jalan dan pergi ke arah bertentangan. Akibatnya, kami terpaksa melalui jalan yang jauh. Kami berhenti di simpang empat berlampu isyarat. Kenderaan sibuk datang dari keempat-empat arah. Ayu membuka peta bandaraya Saigon yang kami dapatkan dari kaunter tumah tumpangan.

“Museum? Go to left!” Seorang lelaki penjual kelapa muda kelapa tiba-tiba menyergah kami dari arah belakang.

Di Saigon, penjual kelapa muda, mengandar jualan mereka dan berjalan ke serata ceruk bandar. Aku agak terperanjat kerana dia muncul tanpa diduga. Lampu melintas memang sedia hijau waktu itu, dia buru-buru melintas jalan. Buluh panjang yang merintang di bahunya melentur-lentur dan membuai beban dia kedua hujungnya turun dan naik. Menyedari kami masih tercegat di tepi tiang lampu isyarat, dia menghentikan langkah. Kandarnya sedikit terhuyung.

“Faster! Come now!” Dia melambai-lambaikan tangannya kepada kami. Kami tersentak dan segera berlari anak kerana lampu hijau sudah berkelip-kelip. Ada naluri untuk tidak mengikuti lelaki tadi tetapi tidak cukup kuat untuk memberhentikan kaki.

“See that junction? I go straight, you turn left” arahnya. Dia kelihatan terburu-buru, mungkin mengejar masa ke satu destinasi.

“Ok, thank you” ujarku memberikan senyum sewajarnya. Wajah Ohsin melintas di mindaku sesaat.

“This is heavy!” ujarnya tersengih-sengih. Dia beberapa langkah di hadapan kami, asyik menoleh memastikan kami masih berada di situ. Peliknya, dia tidak menawarkan kepada kami kelapa jualannya. Mungkin dia cuma mahu beramah mesra.

Aku berbisik kepada Ayu. “Jalan cepat, kita lintas dia”, arahku. Bukan arahanku sebenarnya, tetapi arahan bayangan Oshin yang muncul dalam mindaku. Ada satu nota, yang diletakkan Oshin dalam lipatan otakku, tetapi aku masih tak dapat mengingat keseluruhannya. Nota itu seolah-olah ada kaitannya dengan situasi ini. Sewaktu kami memotong si penjual kelapa, dia mencuit lenganku.

“You want take picture?” tanyanya bersungguh-sungguh.

Aku tak suka berlaku tidak sopan lebih-lebih lagi dia bercakap dengan ramah. Lalu aku pon bersetuju. Dia menganggukkan kepala lalu berhenti. Aku menjauhi dia beberapa langkah dan bersedia untuk mengambil gambarnya. Boleh jadi ini akan menjadi gambar yang menarik. Maklumlah, bukan semua orang suka di gambar pelancong. Sebelumnya aku di marahi makcik penjual buah kerana mengambil gambarnya berjaja. Aku setuju kita mesti menghormati privasi mereka.

Belum sempat aku mengambil gambarnya, dia tiba-tiba bergerak ke arah Ayu yang tercegat memerhatikan kami. Tanpa basa-basi dia meletakkan kandarnya di bahu Ayu. Aku dan Ayu terperanjat dengan kespontanannya.

“No, not yet!” aku sedikit kesal kerana belum sempat mengambil gambar si penjual kelapa.

“Ok, ok. I don’t want. Take her picture”

Selesai aku mengambil gambar ayu, si penjual kelapa segera mendekatinya lalu membantunya menurunkan kandar yang panjang dan berat itu. Bayangan Oshin muncul lagi, kali ini wajahnya sedikit tegang.

“Can I see?” Dia meminta melihat gambar tadi dengan sopan. Niat kami untuk segera beredar terbatal. Aku tak suka menjadi bidap, lalu aku tunjukkan padanya gambar-gambar yang aku ambil. Dia kelihatan dalam salah satu gambar tersebut. Dia tersenyum puas hati.

“Good! Now you!”

Entah bagaimana dia melakukannya. Kandar yang berat itu tiba-tiba mengimbang di bahuku. Spontan aku menahannya. Kalau bertabur kelapa-kelapa ini, jadi cerita lain pula. Dalam kebingunan itu, sempat lagi aku membayangkan gambar ini diupload ke FB dengan catatan; “Pengembara berpoket nipis cari makan di Saigon”. Aku ketawa dalam hati. Patah ketawaku oleh bayangan wajah Oshin yang muncul lagi. Wajahnya semakin serius.

Selepas mempotret aku, Ayu membantu aku menurunkan kandar dari bahu. Ya, memang beratnya jauh dari jangkaanku. Si penjual kelapa muda yang menepi tadi tersengih-sengih mendekati kami untuk mengambil semula hak miliknya. Seolah-olah dia bangga dapat menjadi duta kecil negaranya. Wira tanpa nama.

Kami mengucapkan terima kasih kepadanya. Tanpa disangka-sangka, sepantas kilat dia menghulurkan sebiji kelapa muda kepada Ayu. Ah, pergerakan si penjual kelapa memang pantas, beberapa kali dia telah mengejutkan kami dengan tindakannya. Kelapa yang dihulurnya sangat hampir dengan badan Ayu, malah mencecah hujung tudung Ayu. Dan secara spontan juga, Ayu menyambutnya. Pertama kerana terkejut. Kedua kerana kehampiran yang tidak menyelesakan. Ketiga kerana si penjual seperti akan melepaskan kelapa dalam pegangannya.

“Two people just take one, Ok..” ujarnya lagi lalu menghulurkan dua batang straw kepada Ayu. Ayu masih terpinga-pinga.

“Cheap.. cheap.. one dong only” pujuk si penjual kelapa.

One dong. One dong. One dong. One dong!!!! ONE DONG!!!!!

Neuron-neorun otakku bergemerlapan, saraf-sarafnya berhubung. Lalu, nota yang diselit Oshin dicelah lipatan otakku berjaya kubuka. Perkataan “one dong” itulah kuncinya.

“Kak Ngah! Letak balik” aku bersuara tegas. Segera aku pasung lengan Ayu dan menariknya pergi.

“Please take one” Si penjual mula menunjukkan muka kasihan. Dia berharap kami membayar budinya membenarkan kami bergambar dengan kandarnya dengan  membeli hanya sebiji buah kelapa muda. Hanya sebiji, apalah sangat kan?

“No but thank you. We already have this.” Aku menangkat sedikit botol air teh yang kupegang.

Aku kerling ke arah si penjual kelapa kerana aku tak berani memandang mukanya. Muka yang ramah tadi bertukar kelat dan jengkel. Hilang aura kebanggaan menjadi duta kecil. Ah.. hebat! Memang hebat lakonannya. Aku menarik tangan Ayu dan berjalan laju tanpa menoleh lagi.

………………………………………………………………………..

“Ingat ni, berhati-hati dengan penjual kelapa muda. Ramai pelancong ditipu mereka. Mulanya mereka di tawarkan harga satu dong. Tapi selepas minum, penjual minta satu ratus ribu dong! Janji ada “satu” di situ. Kadang-kadang tu sampai bergaduh. Tetapi oleh sebab dah minum terpaksalah bayar juga akhirnya.  RM15 untuk sebiji kelapa muda”.

………………………………………………………………………..

Nota Oshin kupilat kemas dan kusimpan semula elok-elok di dalam lipatan otak. Alhamdulillah kami selamat hari ini.