New Zealand 5: Mt Sunday bertanya, adakah kamu hobbit?


Kalau pasal ambil gambar, Nott juara nombor satu. Dia melompat dulu dari van, meluru meninggalkan kami. Aku menyarung baju hujan dan Yatt berpayung. Nott dan Abid menyerah diri begitu saja pada alam. Memandang kembali perbukitan yang kami turuni sebentar tadi, aku terpegun. Indahnya ciptaan Tuhan. Jika aku pelukis, tentu aku lukiskan. Gunung-ganang berlapis-lapis. Pepohon, renek dan rumput berharmoni dengan batuan menghasilkan tumpukan hijau, kuning, jingga dan coklat. Pemandangan ke arah tujuan kami juga dikuasai gunung-ganang yang melatari lembah. Sungai yang mengalir di bawah jambatan ini, bukanlah sungai seperti yang biasa kita lihat di tahah air, bukan sebatang sungai tetapi jaringan alur-alur sungai. Pecahan kerikil dan granit hitam menguasai dasar, namun air sungai tetap mengalir laju meski pon tohor. Seperi jejak anak-anak yang berlarian bebas gembira, berpapasan dan terus berlari sambil menyanyi. Begitulah aliran-aliran sungai bersimpang-siur merentasi satu sama lain. Aku membayangkan, jika datang air bah, aliran-aliran sungai yang damai ini bersatu lalu bertukar menjadi gergasi yang menakutkan.

Pergunungan misteri menunggu kami 🙂

Sebuah RV datang dari arah bertentangan. Ah, mungkinkah mereka baru pulang dari Mt Sunday? Kurasakan kabus ragu-ragu semakin hilang serentak hati semakin girang. Sepasang pengembara orang putih melambai ketika melintasi kami. Kami balas lambaian mereka seolah-olah saling mengenali. Hujan semakin lebat, perjalanan pula belum diketahui hujungnya. Puas bergambar, kami meneruskan perjalanan.

Tertanya-tanyakah kau, apa sebenarnya yang ada di Mt Sunday? Kenapa aku begitu beria-ia mencarinya? Begini ceritanya.

Sejak kami berjaya mendapat tiket kapal terbang dengan kos RM617 seorang untuk perjalanan pergi dan balik, Nott sudah berangan hendak menjejakkan kaki ke Middle Earth. Ya, Middle Earth yang menjadi latar filem Lord of The Ring. Khabarnya, ketika Professor J.R.R Tolkien menulis novel Lord of The Ring, dia mendapat inspirasi dari pengalaman zaman kanak-kanaknya di New Zealand. Dari situ dia membangun imaginasi suatu tempat yang sangat gah, indah dan unik. Diberi nama Middle Earth. Imaginasi J.R.R Tolkien di terjemahkan dalam filem dengan cemerlang oleh pengarah Peter Jackson. Edoras iaitu kota bagi Negara Rohan merupakan salah satu latar terpenting dalam filem tersebut. Di Mt Sunday lah Peter Jackson ‘membina’ Edoras.

Jika kami ini bukan pengembara berpoket nipis, tentulah kami tidak keberatan membayar NZD 250 setiap orang untuk wisata ke Edoras. Tetapi awal-awal lagi aku sudah memberitahu Nott, aku tiada bajet sebanyak itu. Namun, dalam rancangan perjalanan kami, aku meluangkan sehari khusus supaya Nott dapat menunaikan impiannya. Nott keberatan. Kegembiraan tanpa kawan untuk berkongi tidak bermakna, katanya.

Beberapa minggu sebelum bertolak, Nott sekali lagi cuba memujuk. Kebetulan ada diskaun untuk pakej wisata sehari ke Edoras, kini berharga NZD 98. Aku masih keberatan. Sengaja aku melambatkan keputusanku. Yatt dan Abid tidak pernah  menonton Lord Of The Ring, jadi mereka langsung tidak teruja. Sekaligus meletakkan aku dalam keadaan serba-salah. Akhirnya waktu promosi tamat. Aku rasa Nott tentu kecewa. Peluang sekali seumur hidup, katanya ketika memujuk aku. Tak tahu bila lagi kita akan berpeluang kembali ke New Zealand, katanya lagi. Aku rasa bersalah kerana tak dapat menunaikan impian sahabat kembaraku. Kenapalah poket aku ni nipis sangat?

Di dorong rasa bersalah, aku bersungguh-sungguh menjejak Mt Sunday. Aku jelajahi alam maya. Tidak banyak maklumat tentang pengembara bebas. Khabarnya laluan ke Mt Sunday melalui tanah persendirian. Sebab itulah ia hanya boleh dilawati dengan pakej wisata. Apabila harapan semakin menipis, rasa bersalah semakin menebal.  Aku melompat dari blog ke blog, dari forum ke forum. Akhirnya aku temui catatan pengalaman beberapa orang anak muda menjejak Mt Sunday. Aku baca berkali-kali, maklumat terlalu sedikit dan tanda-tanya semakin banyak. Google map pula gagal menunjuk arah ke Mt Sunday. Ah, tak mengapa. Yang paling penting, aku yakin Mt Sunday boleh dijejaki. Aku berdoa meminta Allah jangan kecewakan Nott.

Pemandangan kiri kanan depan belakang sangat mengasyikkan.  Sayangnya tempat ini tidak sepopular tempat-tempat pelancongan yang lain seperti Tasik Tekapo atau Milford Sound melainkan di kalangan peminat siri Lord of The Ring. Sememangnya kami ini suka mencari kelainan dalam setiap pengembaraan kami. Asalnya kami merancang untuk mencuba salah satu trek pendek di Mt Sommers. Tak sangka pula Mt Sunday terletak di kawasan yang sama.

Sekawan lembu menghalang perjalanan kami. Aku berhenti sebab tak tahu apa yang patut kulakukan. Kugerakkan van perlahan-lahan mendekati kumpulan lembu. Beberapa ekor lembu menoleh dua saat kemudian kembali meragut rumput. Langsung tak mempedulikan kehadiran kami. Lembu-lembu ini besar dan hitam legam berkilat. Ada kegerunan bila melihat mereka. Perbandingan saiz lembu New Zealand dan lembu Malaysia seperti fizikal ahli pasukan ragbi All Black dan fizikal ahli pasukan bola sepak Harimau Malaya. Cubalah engkau bayangkan. Melihat mereka tidak mempedulikan kami yang semakin menghampiri, aku berhenti lagi. Tanganku sudah bersedia menekan hon, tapi aku ragu-ragu. Ah, khuatir sungguh aku. Manalah tahu apa respon mereka pada hon kenderaan. Kalau dibuatnya mereka datang kepada kami, apa yang akan terjadi? Di kanan gunung, di kiri cenuram. Sedar yang aku tiada pilihan lagi, aku menekan hon lembut. Tak begitu kuat bunyinya. Lembu-lembu bergerak malas, memberi kami laluan. Saat kami melintas, mereka mengekor dengan pandangan. Melihat mata kawanan lembu sungguh mendebarkan dadaku. Mereka seolah-olah penjaga kawasan tak bermanusia ini. Besar, hitam berkilat, gagah perkasa. Mata mereka seolah-olah memberi amaran supaya jangan sampai kerosakan terjadi di kawasan ini. Ah, adakah aku terlalu banyak berimaginasi?

Atas: Gunung Potts
Bawah: Lembu dan jeram

Hujan sekejap reda sekejap lebat. Mungkin kerana kami berada di celah gunung-ganang, maka kami merasakan taburan hujan tak sama. Jalan semakin sukar dan sempit, pecahan batuan di jalanan semakin besar.

“Awa, berhenti!” Abid tiba-tiba menjerit.

“Kenapa? kenapa? ada apa?” Aku cemas.

“Pelangi, pelangi!” Aduhai Abid. Sangkaku ada binatang melintas. Rupa-rupanya pelangi. Tapi ini bukan pelangi sebarangan, pelangi muncul dari gunung. Benar-benar seperti lukisan di zaman kanak-kanak. Kami tidak turun. Bahu jalan sempit dan hujan pula. Aku berusaha mengubah  kedudukan van supaya kami  dapat sisi pandang terbaik. Seram juga memandu di tepi tebing tinggi begini.

“Awa, depan sikit” Nott pula memberi arahan. “Sikit lagi………. lagi…. sikit lagi… ok!”

Setelah semua orang berpuas hati, perjalanan di teruskan.

“Wa, wa, kejap!” Sekali lagi Abid menahanku. “Pelangi penuh”

Wahhh…. benar-benar pelangi penuh dari hujung ke hujung. Pertama kali aku saksikan dalam hidupku. Aku rasakan seolah-olah aku sedang terapung-apung lantaran seronok dan kagum melihat pelangi. Pelangi adalah simbol keseronokan alam fantasi kanak-kanak.

“Masa kecil-kecil dulu semua orang percaya ada harta karun di hujung pelangi” ujar ku.

“Kalau kita tunjuk pelangi tangan jadi kodong” sambung Nott pula. Kami bertukar-tukar cerita dan dongeng tentang pelangi. Aku selalu tertanya-tanya, siapa yang mencipta cerita dongeng? Bagaimana ia tersebar? Bagaimana tempat- tempat yang secara geografi, budaya dan sejarahnya jauh terpisah boleh mempunyai cerita yang hampir sama?

Bila Nott membaca papan tanda DOC yang menandakan kawasan “Mt Poots”, aku teringat pesanan mak cik di kedai runcit Mt Somers supaya mengikut arah ke Mt Potts. Aku rasa ada sedikit harapan.

Jalan semakin payah. Bukan lagi batu kerikil putih menurapi  jalan, tetapi batu granit hitam berkilat. Pecahannya besar-besar.  Terumbang-ambing van kami, seolah-olah naik sampan saja rasanya. Bunyi pinggan mangkuk berlaga bukan main. Mujurlah pinggan kaca berjenama. Semakin lama semakin perlahan kami bergerak. Ada air mengalir  memotong  jalan di hadapan. Aku mendongak mencari sumbernya. Dari puncak gunung, air mengalir bersama batu-batu hitam. Dengan perbandingan air terjun, ia adalah batu terjun. Batu jenis yang sama di gunakan membina jalan yang sedang kami lalui. Aku bertanya sendiri. Batu-batu ni semua jatuh dari atas sana? Menakjubkan sekaligus menakutkan. Air mengalir terus ke bawah tebing menjadi air terjun kecil yang damai. Bahagian jalan cuma ada batu-batu kecil. Yatt teruja. “Nasib baiklah sejuk, kalau tak nak saja turun main air ” katanya. Dan secara ilusinya, van kami bertukar menjadi kenderaan pacuan empat roda. Selamat kami melintasi jeram kecil.

“Erewhon Station” aku membaca papan tanda yang terpacak di tepi jalan. Nampaknya seperti sebuah ladang. Pergunungan tiba-tiba berakhir, diganti oleh padang hijau di kiri dan kanan. Aku memandu terus sejauh dua kilometer sehingga bertemu jalan mati. Ada sebuah rumah di situ. Rupa-rupanya kami berada di halaman rumah tuan ladang tersebut. Cuak juga aku. Bimbang sekiranya dituduh menceroboh kawasan persendirian. Sebelum ada sesiapa perasan keterlanjuran kami, lebih baik kami segera beredar. Tetapi mengapa kami masih belum berjumpa Mt Sunday? Kami semua sangat kecewa dan keletihan.

Erewhon Station – cuba kau bayangkan, ini adalah halaman rumah kau 🙂

Keluar dari Stesyen Erewhon, jeram kecil kami lintasi sekali lagi.

“Kali ni kita tengok betul-betul, tempat letak kereta dia sebelah kanan. Mesti ada papan tanda” aku tak mahu mengalah.

“Tapi kita tak nampak apa-apa papan tanda pon dari tadi” Abid membalas lemah. Tetapi orang yang paling kecewa tentulah Nott. Kami bergerak perlahan-lahan.

“Eh! Bukan itu ke Mt Sunday?” Nott menarik perhatian kami ke gunung yang terkecil antara gunung-ganang yang megah dan gagah. Gunung tunggal di tengah dataran lembah berumput coklat.  “Batu tu, yang atas gunung tu. Itulah Rohan!” Nott bertambah yakin bila kami semakin mendekati bukit yang dimaksudkan itu. Tapi sebenarnya bukan dekat, masih jauh lagi. “Memang inilah dia, aku kenal benar”. Ah Nott memanglah kau peminat sejati, detik hatiku.

“Masalahnya, macam mana kita nak pergi sana? Macam tak ada jalan je…” Yatt melantunkan soalan. Semua orang senyap tidak menjawab.

“Kita berhenti sini dululah. Apa-apa pon ambil gambar dulu Nott”. Aku membuat keputusan

“Tak apalah kalau tak dapat ke sana, dapat ambil gambar pon dah cukup” Ujar Nott kecewa. Aku diam tetapi hatiku masih tak mahu mengalah. Aku percaya apa yang aku baca. Ya Allah, tolonglah kami. Rintihku dalam hati.

“Macam mana nak pergi sana ek, ada sungai di depan dia tu.” Tambah Yatt lagi.

“Kejap, ada jambatan! Aku nampak  jambatan!” hatiku kembali berbunga-bunga

“Mana? Mana?” mereka bertiga tiba-tiba tidak sabar.

“Tu, kau nampak sungai tu… ikuti sungai tu …. ada jambatan kan? Kalau ada jambatan mestilah ada jalan.Betul tak?”  ujarku lagi. Kukecilkan mata dan fokus pada jambatan yang masih samar-samar. “Nanti, bukan satu jambatan ada dua jambatan. Biar aku kedepan sikit.” Van kugerakkan perlahan-lahan dan hati-hati. “Tu dia, aku dah nampak denainya” Semua orang tambah teruja. Van kugerakkan lagi kehadapan.

“Itu! Papan tanda DOC!” Ah sangat ku kenal papan tanda berwarna hijau dan kuning itu. Kami membelok dan memberhentikan van. Masing-masing terkedu seketika, seolah-olah tak percaya Gunung Sunday sudah dapat dijejaki. Tak sampai lima minit sebelumnya, kami sangka perjalanan hari itu akan sia-sia.

“Peliklah, macammana kita boleh tak perasan tadi?” Abid akhirnya bersuara. “Padahal, tak adalah tersorok sangat tempat ni”.

Kawasan itu berpagar. Ada jalan menuju ke Mt Sunday tetapi dihalang oleh palang besi. Ia membuatkan kami tertanya – tanya. Adakah orang awam dibenarkan memasuki kawasan ini?

Sedang kami bersiap sedia memulakan perjalanan, sebuah land rover berhenti bersebelahan kami. Pemandunya seorang lelaki separuh umur menyapa kami. Nott bertanya sesuatu pada lelaki itu. Dengan senang hati dia memberi tunjuk arah dan beberapa pesanan. Dia membawa seorang penumpang sahaja. Seorang perempuan muda berwajah asia timur.  Lelaki itu membuka kunci manga pada rantai besi yang mengikat palang besi, memandu memasuki kasawan, berhenti sejurus melepasi sempadan, turun dan mengunci semula rantai besi dan meneruskan perjalannya. Ah, Tuhan selalu datangkan penolong ketika kami memerlukan. Bukankah doa orang yang sedang bermusafir itu mustajab?

Rohan dari kejauhan dan Papan tanda Mt Sunday

Di hujung palang besi tersebut, terdapat sebuah pintu kecil. Khusus untuk pejalan kaki. Papan tanda DOC separas peha bertulis:

Trek Mt Sunday -> 2.5km / 45 minit
Sebahagian dari trek ini adalah tanah persendirian
Sila ikut petunjuk 
 

Tanah persedirian? Biar benar? Mataku mengitari sekeliling. Adakah gunung-ganang dan lembah yang amat indah ini adalah tanah persedirian? Siapalah tuan tanah yang sangat bertuah itu kan? Bagaimana rasanya mempunyai tempat sehebat ini? Kami bergilir-gilir mengambil gambar di papan tanda tersebut sebelum memulakan perjalanan. Segala keresahan dan kekecewaan telah hilang, diganti dengan keterujaan dan semangat. Angin sangat kuat dan sejuk namun hujan sudah berhenti. Perlu lebih tenaga untuk berjalan melawan arah angin. Aku cuba berjalan mengikut arah angin, amboi seperti ditolak-tolak rasanya.

“Lajulah kita bila jalan balik nanti” ujarku. Kali pertama aku alami kuasa angin sekuat ini.

Yatt terlompat-lompat kecil melawan kesejukan. Dia tidak membawa jaket tebal. “Sejukkkkkkk gilaaaaa!”  Yatt menjerit.

Dataran lembah menuju Mt Sunday di penuhi rumput tussock. Rumput tussock ini, kalau dilihat dekat-dekat, rupanya seperti rambut gondoruo. Coklat, kering dan mengerbang. Di sini, ia tumbuh sangat banyak dan rapat-rapat. Daunnya meninggi setinggi lutut. Angin yang sentiasa bertiup kencang memperlihatkan aliran gelombang memberi ilusi lautan rumput yang empuk dan lembut.

Land rover tadi langsung hilang dari pandangan. Kami tidak nampak ke mana ia menghala. Denai ke puncak Mt Sunday ditanda dengan pancang kayu setinggi semester yang bercat jingga dihujungnya. Najis lembu bertaburan di sana-sini. Mungkin ini laluan lembu-lembu gagah perkasa tadi. Ada sesuatu yang menarik perhatianku di tanah. Rupanya, najis lembu yang kering ditumbuhi lumut berwarna-warni. Ia seperti hablur-hablur berbentuk heksagon.

“Hey, Rohan! aku di siniiiiii! Aku sekarang berada di Rohan!” Nott tiba-tiba menjerit macam orang gila. Sememangnya waktu itu Nott adalah orang yang paling gembira, dan aku adalah orang yang paling lega. “Mt Sunday lihatlah hobbit-hobbit datang!” Jeritnya lagi.

“Tak dapatlah kita update FB status Nott” kataku. Nott hanya ketawa. “Kami dah rancang ayat untuk status sejak dalam kapal terbang lagi” ujarku bila Yatt memandangku. Tempat duduk Yatt terpisah ketika dalam penerbangan.

“Sengal! haha” komennya.

Dataran menuju kaki gunung Sunday

Aku dan Yatt mendahului Nott dan Abid yang sedikit lambat kerana terlalu asyik berhenti untuk mengambil gambar. Kami sudahpun tiba di jambatan kedua. Walaupon sungai tidaklah selebar mana, tetapi airnya sangat deras. Kalau jambatan pertama tadi dibina sepenuhnya dengan kayu, jambatan kedua pula ialah sebuah jambatan gantung. Lantai jambatan yang diikat dengan kabel besi sedikit terbuai oleh tiupan angin kencang. Had muatan jambatan – satu orang sahaja. Yatt mengambil giliran terlebih dulu. Ketika Yatt tiba dihujung jambatan, Nott dan Abid mendekati aku yang sedang menunggu.

Sungai deras dan jambatan gantung serta model ayu 😉

Tidak jauh dari jambatan tadi, sebuah parit kecil menghalang perjalanan kami. Beberapa ketul batu tersusun merentanginya. Mungkin ia sengaja disusun untuk membolehkan pengunjung melepasi parit cetek selebar tak sampai lima kaki. Yatt Berjaya melepasinya. Aku agak ragu-ragu kerana kedudukan batu yang kelihatan tidak tetap. Nott turut mencuba, pijakan pertama berjaya tetapi pijakan kedua mengenggelamkan sebahagian kasutnya kedalam air parit yang mengalir laju. Namun dia juga berjaya melepasi. Aku dan Abid akhirnya mengalah, kami tak mahu kasut kami basah. Maka kami membuat lencongan kira-kira sepuluh meter ke arah kanan. Terdapat sebuah titi kecil dibina merentangi parit. Sekarang, kami sudah berada betul-betul di kaki gunung Sunday yang sebenarnya hanya bersaiz bukit.

Nott kini mendahului. Kami berjuang melawan angin sejuk dan graviti. Tiada tumbuhan lain hidup di situ melainkan rumput tussock dan beberapa pokok renek yang telah kering sementalah musim sejuk menghampiri. Trek ini secara kasarnya sangat mudah untuk dilalui. Trek landai, tiada akar melingkar atau batu licin dan curam. Tetapi tantangan paling besar adalah angin. Sudahla kuat sejuk pula. Aku cuba-cuba berdiri santai ternyata angin mampu menumbangkanku. Adakah keadaannya begini sepanjang masa? Mungkinkah kerana sekarang ini musim hujan? Kami berhenti beberapa kali. Tak puas rasanya mengambil gambar kawasan lembah dah pergunungan ini.

Ketika setengah perjalanan menuju ke puncak aku mulai rasa tidak selesa. Hawa sejuk yang kusedut menyakitkan pangkal hidungku. Nyeri. Kesejukan ini membuatkan otak serasa membeku. Seolah-olah aku baru menelan sebaldi ais kisar. Semakin mendekati puncak semakin aku terseksa. Ternyata aku tak boleh lagi menarik nafas dengan hidung lalu aku bernafas dengan mulut. Akibatnya aku kemengahan. Kupaksa-paksa diriku mengekori mereka. Nott telah sampai di puncak. Aku kira keterujaan menjadikan mimpi suatu realiti mengatasi segalanya. Wajahnya berseri-seri sejak tadi. Aku ketinggalan beberapa langkah di belakang Abid, adalah orang terakhir yang menjejakkan kaki di puncak gunung Sunday.

Atas: Melawan angin dan graviti | Bawah: Sang juara!

Seterusnya…

Mt Sunday berkata, manisnya gadis Melayu berkain batik 😉

Advertisements

2 thoughts on “New Zealand 5: Mt Sunday bertanya, adakah kamu hobbit?

  1. cuba bayangkan, berapa peratus kebarangkalian ko nak terserempak dgn lelaki yg bukakan pagar tu? masyaAllah.. benarlah doa org yg bermusafir itu mustajab.. kita merancang, tp akhirnya perancangan Allah jualah yg terbaik.. kalau ko tak sesat awal2 cerita, mesti ko smpi awal kat tempat ni dan tak terserempak dgn lelaki tu kan? ke ada jln masuk lain wa?

    • sebenarnya pintu pagar kecil tu tak kunci pon, tapi sebab ini pertama kali ke tempat mcm ni, jadi tak tau cara-caranya. dah jumpa pak cik tu barulah yakin nak masuk dalam. dah la tempat pedalaman macam tu, orang pon tak de. tu yg cuak sangat.

      doa dimakbulkan on the spot, waktu mengembara. memang pengalaman manis 🙂

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s