New Zealand 6: Mt Sunday berkata: Manisnya gadis Melayu berkain batik ^__^


Yang Maha Pemurah.
Yang mengajarkan Al-Quran.
Yang menciptakan manusia.
Yang mengajarnya bertutur.
Matahari dan bulan beredar mengikut aturannya.
Dan bintang-bintang dan pokok-pokok bersujud.  
Dan langit, Dia (Allah) meninggikannya, dan Dia (Allah) meletakkan neraca(undang-undang  dan keadilan).
Supaya kamu jangan melampaui batas tentang neraca itu.  
Dan tegakkanlah timbangan dengan adil, dan janganlah kamu mengurangi neraca itu.
Dan bumi, Dia (Allah) hamparkan untuk makhluk.
 

Tubuhku terdampar di atas tanah. Kepalaku beralas batu pipih, terlindung dari angin yang menggila oleh batu-batu yang seolah-olah tumbuh dari perut bumi. Uniknya batu-batu ini ia kelihatan seperti corak geometri, berpetak-petak dan berpermukaan rata tapi ketinggiannya tak sama. Batu-batu ini adalah identiti unik Edoras. Tanganku terbuka. Perlahan-lahan aku buka mata. Cahaya berebutan masuk, kornea menolak lalu mengecil. Namun, perlahan-lahan ia menerima cahaya. Bila aku dan langit saling bertatapan, kami bertukar senyuman. Hanya aku, langit dan gunung-ganang.

Maka, nikmat Tuhanmu yang manakah yang engkau dustakan?

Langit luas, cerah, membiru. Tiada pepohon, bangunan tinggi atau tiang lampu menghalangi pandanganku. Aku teringat sahabatku, langit Selat Tebrau yang selalu menemanku di waktu-waktu aku bingung, sedih, tertekan dan bahagia. Apa khabarnya hari ini?

Kolam Kecil di balik Mt Sunday

Awan datang melampiaskan bayangnya. Redup. Gelak ketawa rakanku bertiga singgah ditelinga. Aku gembira kerana mereka gembira. Kami gembira kerana berada di tempat ini. Aku ingin bangkit menyertai mereka.

“Kak Awa! jom turun sekarang” laung Yatt.

Aku sedikit kecewa. Kenapa harus turun sekarang?

“Hujan!” laung Yatt lagi melawan bunyi angin. Seolah-olah dia mendengar bebelan hatiku.

Oh, aku memandang langit. Rupanya sang awan bukan hanya datang membawa redup, tapi mendung. Aku menadah tangan mencari bukti. Kecewa sungguh bila alam tak menyebelahiku.

“Tapi kita belum bergambar berempat lagi!” bantahku.

Yatt mendekati aku. “Tripod tak boleh berdiri. Angin kuat sangat. Baik kita turun cepat sebelum hujan lebat”

Tak semena-mena aku rasa sedih. Keberatan untuk pulang. Tak sampai lima belas minit pon kami berada di puncak Mt Sunday. Nott sudah membungkus kembali tripodnya. “Aku fikir tadi nak turun ikut jalan lain. Tapi dah hujan pulak”

Rintik hujan semakin lebat. Yatt mendahului dan aku dibelakang sekali. Kaki melangkah berat. Hati tertinggal dibelakang. Sekarang, kami berlumba dengan angin dan hujan. Denai basah dan licin. Rerambut rumput Tucson juga menjadi licin. Silap-silap pijak boleh mengundang bencana. Tumpukan najis lembu basah berserak ditimpa hujan. Walaupun hujan mengkhinati kami, aku sebenarnya suka hujan. Bau hujan. Biasa aku lakukan, duduk dijendela bila hari hujan. Aku temui nikmat pada bau, angin dan tempias hujan.

Hati-hati,…. jangan sampai terpijak tahi lembu

Kami berjumpa semula dengan parit kecil. Susunan batu telah rebah, jambatan terlalu jauh dan hujan semakin lebat membasahi kami tanpa belas kasihan. Yatt meranduk air parit. Aku yang berada beberapa meter di belakang, dapat mendengar jeritannya. Tentulah kerana sejuknya air. Hmm… mungkin kerana terpaksa membasahkan kasut. Nott, Abid dan aku turut pasrah. Meranduk air parit sesejuk ais. Kasutku yang sedikit longgar dan kini basah melambatkan langkah. Aku berlari mengejar Abid.

Sampai di jambatan gantung, terpana beberapa saat. Jambatan berayun seperti buaian.  Air sungai menderu-deru sangat laju. Sangking derasnya warna sungai menjadi kehitam-hitaman. Kerana bimbang hal yang tak diingini terjadi, kami tetap mengambil giliran. Aku dibelakang sekali, logiknya, aku yang paling banyak ditimpa hujan. Yatt dan Nott berjalan laju kerana jaket mereka bukan jenis kalis air. Aku mengejar Abid semula tetapi bila sampai dijambatan kayu, aku biarkan saja Abid menginggalkan aku. Tak tahu apa kuasa yang menarik aku ke tebing sungai. Sungai ini agak landai tebingnya, tapi air tetap deras di aliran tengah. Dengan penuh hati-hati aku melutut. Aku kaup air sungai dengan sebelah tangan. Air berjejeran dari telapak tanganku yang kecil. Aku menghirup bakinya. Manis dan segar. Seolah-olah ada suatu tenaga melingkar keseluruh urat sarafku. Sukar hendak aku perjelaskan perasaanku ketika itu. Biarkan hujan, biarkan kawan-kawan yang jauh meninggalkanku. Aku teringat emak. Emak selalu bercerita kisah zaman kanak-kanaknya. Minum air mentah dari langit dan dari parit. Emak kata air tempayan hujan malam, rasanya manis. Tak perlu dimasak, tiada siapa yang akan sakit perut kerana minum air mentah. Aku terbayang wajah nyai. Mungkin begini rasanya nikmat air yang nyai rasai dulu – dan kini telah ditarik oleh Yang Mahakuasa akan nikmat itu untuk cucu cicitnya. Aku kaup dan kaup lagi. Manis! Manis! Manissss sekali!

Maka, nikmat Tuhanmu yang manakah yang engkau dustakan?

Aku berlari sekuat hati. “Abiiiiiiiiiiiiiiid!” Jeritku.

Yatt dan Nott sudah sangat jauh. Mungkin Abid memperlahankan langkah bila menyedari aku hilang dari pandangannya. Hujan tak lagi selebat tadi.

“Abiiiiiiiiiiiiiiiiid!”. Abid menoleh. Pelik dia melihat aku berlari seperti orang dikejar anjing tetapi tersengih-sengih seperti kerang busuk. “Bid, aku minum air sungai tu! Manisssssssssss sangat!” Abid tak berkata apa-apa malah memandangku pelik. “Betul! aku minum air sungai tu. Di depan sana ada macam anak sungai kecilkan? Jom! kau mesti rasa. Manissssssssssssss sangat!”

Kami sampai di tempat yang aku maksudkan. Bukan anak sungai, cuma aliran air yang merintangi jalan. Mengalir dari kawasan tinggi ke kawasan rendah.

“Ala, macammana nak minum? minumkan aku” Abid enggan mengeluarkan tangannya dari poket. Pertahanan terakhir melawan sejuk.

Aku kaup air dan suapkan kemulut Abid. “Maniskan? maniskan?”

“Haah la… peliknya, macammana boleh rasa manis?” Aku ketawa senang melihat Abid yang kekaguman. “Tapi air sungai tadi lebih manis. Cuba kau rasa air hujan ni masin tau! Kenapa air hujan masin tapi air sungai manis?”

“Wa…. kan banyak tahi lembu sepanjang perjalanan tadi. Kau rasa…. kenapa air sungai dia manis?” Abid tersenyum sumbing.

“Koooooo…….” Aku jegilkan mata, kami ketawa. Aku rangkul Abid. Kami berkepit menuju kereta. Hujan menurunkan air yang mengandung bahagia.

Cuaca benar-benar mengkhianati kami. Hujan berhenti sebaik kami tiba di tempat meletak kenderaan. Ketika aku dan Abid tiba di van, sebuah pemuda mat saleh yang memandu sebuah kereta sedang bersedia untuk bergerak ke Mt sunday. Dia tidak menyapa kami. Kami juga tidak menyapanya. Segan kerana keadaan kami yang basah kuyup. Yatt dan Nott sedang sibuk memerah jaket mereka. Stokin, kasut juga basah lencun. Baju dan long john ku tak basah, cuma jaket saja menjadi sangat lembab. Bingung kami bagaimana hendak menukar pakaian di situ. Takkanlah nak tukar pakaian di tengah halaman? Walaupon tiada sesiapa di situ. Dibuatnya tiba2 ada orang datang, tak ke haru? Nott dengan kelebihan fizikalnya yang “panjang” mencapai cadar yang tidak kami gunakan. Di balutnya cadar separuh badan menjadi kain. Melihat Nott aku teringat sesuatu. Satu benda yang aku bawa tanpa aku tahu adakah aku akan memerlukannya. Biasanya aku tak bawa pon dan tak pernah masuk di dalam senarai hikmat barang-barang yang perlu dibawa. Entah kenapa kali ini, Allah gerakkan hati aku membawanya. Apa dia? Jeng jeng jeng…. kain batik!

Rupa-rupanya Yatt dan Abid juga membawa kain batik. Nott yang sudah separuh kering membantu kami mengambil kain batik dari dalam beg. Maka, berkain batiklah tiga dara di kaki Mount Sunday. Aku, Yatt dan Abid mentertawakan sesama sendiri melihat masing-masing berkain batik. Di rumah pon jarang-jarang berkain batik, tiba-tiba berkain batik di tempat jin bertendang.

“Kita kena ambil gambar ni. Berkain batik di Mt Sunday. Mana ada orang lain buat. Ha ha ha”

“Pakai kain batik, lepas tu sandang bagpack. Ha ha ha”

Hujan tiba-tiba turun semula. Kami bertempiaran. Tergesa-gesa masuk ke dalam van. Aku berlari kehadapan dan segera menempati kerusi pemandu. Berkain batik, aku memandu pulang ke Pekan Mt Sommers. Hingga kini aku rasa ralat tak sempat bergambar berkain batik di Mt Sunday.

Kami meninggalkan Mt Sunday dengan seratus kenangan. Walaupun pendek tapi bermakna. Hujan masih renyai-renyai. Jauh di hadapan, pelangi melengkung sempurna dihadapan lapisan gunung laksana pintu gerbang ke negeri fantasi, memanggil-manggil hati kami untuk lalu di bawahnya. Sayangnya, pelangi adalah ilusi, kerana itu pujangga lama mengibaratkan pelangi petang sebagai kebahagiaan atau kasih yang tak abadi. Walaupun, kami bergerak laju dan pelangi seperti diam, namun tak pernah dapat mendekatinya. Ia sentiasa jauh tak tergapai. Bila mentari kembali terang, pelangi pon akan hilang.

Maka, nikmat Tuhanmu yang manakah yang engkau dustakan?

Pelangi telah sirna bersama rintik hujan. Pemandangan musim luruh di kuasai rumput coklat. Walaupon tak banyak, tetapi masih ada pepohon berdaun hijau segar di celahan pohon renek beranting kering lantaran musim sejuk yang semakin hampir, memberi sedikit nyawa pada pemandangan. Abid memesanku supaya berhati-hati. Seperti ada sesuatu melintas di hadapan katanya. Aku akur walaupon aku tidak nampak apa-apa yang mencurigakan. Tiba-tiba aku merasakan kelibat sesuatu bergerak di luar van kami di sebelah kiri. Sesuatu atau seseorang?

“Eh … eh… Abid…. eh apa tu? Eh ….. ??” Aku terpaku. Mendadak pemanduanku terhenti. Aku terkejut dan terpukau oleh tiga ekor rusa yang tiba-tiba muncul dari sebelah kiri. Tanpa ragu-ragu mereka berlari gemalai melintasi jalan di hadapan kami. Aku menggerakkan van perlahan mengekori mereka. Seperti penari balet, seekor demi seekor melompat lentik melepasi pagar dawai kawat.

Anak rusa nani.. baru kembang ekor

“Abid.. kamera bid, kamera….” Tanganku menepuk Abid tapi mataku tak mahu lepas dari para penari balet yang gemalai.  Abid juga terpukau. Malah Yatt dan Nott juga terpukau hingga tak ingat pada kamera. Padahal ini adalah momen yang sangat langka. Keberuntungan yang sangat menyenangkan dapat melihat haiwan hutan di habitat semulajadi mereka. Bila rusa terakhir yang bertanduk dan lebih besar dari yang lain melompat masuk ke dalam kawasan berpagar, rusa pertama melompat keluar ke jalanan semula. Diikuti yang lain. Sang rusa pertama melintas jalan, yang lain pon mengejarnya. Tiga sekawan melompat masuk ke kawasan lembah, susup sasap di celahan pohon rendang dan jeram kecil yang jernih dan menghilang. Ah, berbahagialah sang rusa sekalian! Beruntunglah kau hidup di bahagian bumi Tuhan antara yang paling damai, cantik dan bersih. Di mana manusianya mencintai alam sekitar dan engkau hidup lepas bebas. Tak semena-mena soalan pelik singgah di fikiranku. Apakah ada rusa disyurga? Perjalanan diteruskan. Kusangkakan pengalaman seperti ini cuma boleh di dapati di Afrika sana. Aku rasa sangat beruntung dengan apa yang aku alami hari ini. Benarlah kata bijak pandai, mendekati alam membuat kita rasa dekat dengan Tuhan.

Maka, nikmat Tuhanmu yang manakah yang engkau dustakan?

Juara olympic acara lompat pagar

Perjalanan pulang di rasakan lebih cepat dari perjalanan pergi. Kami bergerak memasuki semula pekan Mt Sommers. Berpusing-pusing mencari tandas awam tapi gagal. Akhirnya aku membelok ke Mt Sommers Holiday Park. Van aku letakkan di bawah pokok rendang berdekatan dengan bilik air. Kami menumpang salin baju dan solat di situ. Aku rasa tak sedap hati. Adakah sebenarnya kami boleh menggunakan fasiliti di situ atau tidak. Kerana ia adalah kawasan perkhemahan berbayar. Tetapi papan tanda “Tandas” yang kami ikuti dari pekan tadi asyik menuju ke arah kawasan ini. Tiada penjaga datang walaupon kami berada di situ agak lama, lebih kurang setengah jam. Ketika kami bergilir solat di bawah pokok, seorang lelaki tua melihat kami dari jauh dan tidak datang menegur. Ya Allah, maafkan kami sekiranya kami tersalah.

Maaf, kami tumpang bilik air dan solat

Ini macam rumah penjaga holiday park, tapi sunyi je. Macam tak ada orang. Tidur barangkali

Aku letih dan mengantuk. Nott mengambil giliran memandu. Kami keluar dari pekan Mt Somers kira-kira jam 4.00 petang. Destinasi seterusnya, Tasik Tekapo. Anggaran perjalanan lebih kurang 140KM dan mengambil masa sejam setengah. Diam-diam aku berterima kasih pada hujan yang memaksa kami pulang.

kopi panas di hari hujan …. cuma NZD5.. erkk

Beberapa kilometer keluar dari pekan Mt Somers, barulah teringat yang kami terlupa mengisi semula tangki petrol van. Kami berpatah semua untuk mengisi minyak di stesen Caltex yang terdekat (bukan di Pekan Mt Somers). Cara mengisi petrol disana sedikit berlainan. Petrol diisi terlebih dahulu barulah bayaran dibuat. Tuan kedai yang peramah dan baik hati, seorang perempuan lingkungan 40-an membantu mengisi petrol. Harga pertol ketika itu ialah NZD2.19 seliter. Kami mengisi lebih separuh tangki dan membayar NZD73.90. Abid turut membeli snek kentang dan kopi panas untuk kami. Kelaziman kami bila kembara, kami jarang makan siang kecuali snek. Jimat duit dan jimat masa. Kalau kami makan siang, kami akan makan lewat sedikit jadi kami tak perlu makan malam. Secawan kopi panas berharga NZD5. Hmm… macam minum kopi Starbucks saja harganya. Kalau berkembara ke negara yang kadar matawangnya lebih tinggi sari ringgit Malaysia, memang kena tutup sebelah mata. anggap saja NZD5 tu sama dengan RM5. Kalau tak, tak sampai hati nak telan air kopi tu.

Belok kanan ke Lake Tekapo

Menuju Tasik Tekapo kami melalui beberapa pekan. Pekan-pekan mereka tidaklah besar. Hanya ada beberapa deretan kedai. Di sepanjang jalan utama, rumah-rumah kayu sederhana bergaya Inggeris. Halaman rumah mereka berumput hijau dan berpagar rendah. Pokok-pokok jalanan dengan pelbagai warna musim luruh melahirkan suasana dramatik. Had halaju di lebuhraya adalah 100kmh tetapi had halaju di dalam pekan adalah 50kmh. Aku lihat semua orang mematuhi peraturan ini. Keadaan yang agak mengagumkan bagi pemandu Malaysia. Kami agak kekesalan kerana tidak dapat berhenti sementalah kami mengejar masa. Bimbang malam datang sebelum kami tiba di destinasi.

Kalau pada hari pertama kami meyaksikan kambing biri-biri dataran, kali ini kami kagum dengan kambing biri-biri pergunungan. Memang logik bila orang kata populasi kambing di New Zealand melebihi populasi manusia. Bayangkan sebesar-besar gunung. Tiada pokok, tiada batu, cuma rumput hijau dan biri-biri putih. Bayangkan gunung paling belakang dan paling tinggi (dalam lapisan gunung ganang) yang dapat dicapai oleh penglihatan mata kasar, yang kelihatan hanya hijau dan tompokan putih. Macam bunga kapas di padang lepas.

kambing atau bunga kapas?

Lagi 43KM tapi hari dah mula gelap

Hari yang panjang hampir berakhir, tetapi pengembaraan kami sebenarnya baru bermula. Dua belas hari berbaki. Aku terlelap keletihan.

—————————————————————————————————————————————————————-

Akan datang: Tasik Tekapo berkata: Biruku bukan menipu 😐

Advertisements

28 thoughts on “New Zealand 6: Mt Sunday berkata: Manisnya gadis Melayu berkain batik ^__^

  1. klasik la gambar turun bertiga..bila la boleh copy semua gambar ko

  2. rindunya dgn permandangan di nz.. iskkk…

  3. hai la awa… titipan mu membuatkan jiwa aku meronta2 beli tiket pegi NZ… ^^,

  4. memang x mengecewakan.. walaupun dh dgr live dr mulut awa sendiri.. tp tulisannya lebih mengesankan.. best.. byk gmbr.. tp.. mana gmbr berkain batik tu?

  5. ohhh hujan…timing tidak tepat..masih ada lagi hari-hari lain yang pelik2?

  6. berbagai cara kita menikmati ciptaan Tuhan.. mengagungi kekuasaan nya..

  7. Da baca 3x tp masih nak baca lg! Kalau ada gambar gadis2 melayu yg berkain batik sure aku baca 40x ! Can’t wait for yr next story!

  8. wah.. bravo awa!!! artikel ni yg plg best setakat ni yg aku baca dlm bnyk2 artikel ko.. cara ko mengadaptasi sesuatu perasaan sgt terkesan pd aku.. kalau dah siap semua siri cerita ko ni, blh terbit dlm majalah ni wa.. boleh claim semula duit minyak pusing2 NZ.. hehehe…

  9. Nurul, bestnya….. x sabar rasanya nk berada di bawah biru langit NZ…. Hehe

  10. Membaca catatan ini seolah olah saya membaca sebuah novel….
    Mata x bole berarah ke arah lain..teruja sngat2 dgn cerita tntang Nz…
    TERASA seolah olah saya trut berada kat sana …walaupun hanya tumpang membaca….
    Tak sabar saya nk kesana…
    In sha allah….

  11. 4 bulan lagi, insyaAllah

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s