New Zealand 7: Tasik Tekapo berkata; Biruku bukan menipu :|


↑ Kalau anda suka artikel ini, berikanlah saya bintang-bintang 😉

“Lake Tekapo!” Nott mengejutkan kami.

Aku separuh mamai. Nak kata tidur, tak macam tidur. Nak kata sedar, macam tak siuman. Tidur-tidur ayam. Aku menegakkan duduk lalu memusingkan badan ke kanan sekali ke kiri sekali. Kononnya untuk meregang segala otot dan melonggar segala urat. Mengucap hamdalah di dalam hati. Jam sudah menjejak pukul enam petang. Dalam gelap kami nampak Tasik Tekapo berbalam-balam. Dalam hatiku rasa tak sabar menunggu siang. Tasik Tekapo adalah cinta pandang pertama. Kali pertama melihat gambarnya, aku terus jatuh cinta. Tasik Tekapo umpama superstar antarabangsa. Sekian lama aku hanya melihat gambar-gambar dan menonton video-video. Tetapi kali ini aku akan menemuinya – in person. Pernahkah engkau melihat orang terharu ketika menonton konsert penyanyi kegilaan mereka? Akulah orang itu dan penyanyi itu adalah Tasik Tekapo yang biru. Tinggal beberapa jam saja lagi sebelum dapat kutunaikan angan-angan hendak bersapaan dengan tasik ini.

“Malam ni kita tidur mana kak Awa?” Pertanyaan Yatt membubar imaginasiku.

“Emm…. ada banyak tempat perkhemahan di sini, yang paling mudah nak cari Holiday Park. Cuba kita pergi ke kawasan sana tu” Aku menunjuk kawasan yang meriah dengan lampu-lampu. Abid segera mencari Lake Tekapo Holiday Park pada GPS. Walaupon hari sudah gelap, ramai orang bersiar-siar di pinggir tasik. “Di antara beberapa tempat yang aku jumpa di internet, Holiday Park ni paling mahal. Tapi  sekarang hari pon dah gelap. Mana-mana yang kita jumpa, kita bermalam saja di situ”. Aku memberi kata putus.

Nott membelok ke kiri. Nampaknya kami memasuki kawasan perumahan. Amboi, bukan main cantik lagi rumah-rumah di sini. Boleh katakan semuanya berdinding kaca. Pemandangan telus hingga ke dalam rumah. Susun atur dalam rumah pon tak kurang hebat. Serba moden dan mewah.

“Kaya sungguh orang di sini” aku kekaguman.

Nott terus memandu menyusur jalan. Sesungguhnya, Allah maha penolong.  Dia telah melorongkan kami hingga kami bertemu papan tanda “Simpang ke Lake Tekapo Holiday Park”. Cahaya dari satu bangunan kayu setingkat berpintu gelongsor kaca menarik perhatian. Bila kami mendekati, dari dalam van kami dapat melihat dengan jelas isi ruang dalamnya. Sebuah meja kaunter dan dinding yang dipenuhi poster-poster pelancongan. Terang benderang tetapi tak berorang. Rasa lega bila mendapati ia adalah pejabat Lake Tekapo Holiday Park. Di halamannya yang luas cuma ada satu lampu, kawasan sekitar gelap gelita.

Angin sejuk menerpa masuk ke dalam van sebaik saja Yatt menarik pintu gelongsor. Yatt dan Abid turun dari van menuju ke pejabat Lake Tekapo Holiday Park. Seorang perempuan gempal muncul sebaik saja mereka melangkah masuk ke dalam pejabat tersebut.

“Awa, aku nak turun juga” Nott terus berlalu tanpa aku sempat berkata apa-apa.

Mereka kembali dengan sehelai kertas bersaiz A4. Cetakan pelan tapak perkhemahan. Berpandukan tanda-tanda yang di bulatkan oleh penjaga Holiday Park, kami menyusuri jalan gelap mencari petak kami. Turut ditanda di pelan itu ialah kedudukan bilik basuh, bilik internet dan beberapa fasiliti lain. Satu hal yang agak lucu dan pelik, petak-petak perkhemahan ditandakan dengan nombor heksadesimal. 1,2,3,4,5,6,7,8,A,B,C,D,E,F,9,10,11,12 dan seterusnya. Seimbas mengingatkan aku pada rutin kerja yang aku tinggalkan di tanah air.

Tapak kami bernombor 1

Kami meminta tapak yang paling dekat dengan bilik air. Bilik air dikongsi pengguna lelaki dan perempuan. Namun, ia mempunyai bilangan bilik tandas dan bilik mandi yang banyak. Menariknya, bahagian dalam bilik mandi terbahagi kepada dua bahagian iaitu bahagian kering dan bahagian basah. Di belakang pintu ialah bahagian kering. Ada dua pangkin kayu di situ. Satu tinggi dan satu rendah separas kerusi. Aku longgokkan barang-barangku di situ. Tabir plastik membatasi percikan air di bahagian basah sahaja. Aku suka ciri ini. Mudah meletak barang, baju salin tak basah malah mudah menyalin baju tanpa perlu bimbang lantai yang basah. Pangkin rendah juga berfungsi sebagai bangku. Bertentangan dengan pangkin tinggi,  terdapat kotak besi dengan lubang syiling dan beberapa punat pada mukanya. Ia adalah tong syiling untuk kemudahan air panas. NZD 2 diperlukan untuk sepuluh minit aliran air panas. Selepas masa tamat sesuai dengan nilai yang telah dimasukkan ke dalam tong tersebut, air terus mengalir tetapi sejuk. Jadi, beringat-ingatlah bila mandi. Menyanyi semasa mandi tidak digalakkan kerana dibimbangi air panas habis sebelum lagu tamat.

Oleh kerana aku adalah orang yang paling lama tidak mandi ~ 60 jam, aku mendapat keistimewaan untuk menyelesaikan urusan peribadiku terlebih dulu. Abid dan Nott menawarkan diri mengambil tanggungjawab mencuci baju. Bilik basuh berapitan dengan satu lagi bilik air, agak jauh dari tempat kami. Mungkin dalam 100 meter jaraknya. Setelah aku dan Yatt selesai membersihkan diri dan menunaikan solat jamak takhir, kami berpecah. Yatt kebilik basuh menggantikan Abid dan Nott. Aku mempersiapkan barang-barang untuk ke dapur yang terletak bersebelahan dengan bilik air. Roti, kacang panggang, telur, kopi, susu, gula…. Hmm.. macam menu sarapan pula ya? Beginilah kalau berkembara. Bagi kami makan bukan masalah besar. Lebih tepat kami tidak membesar-besarkan soal makan.

Ketika aku melangkah turun dari van, Abid yang kebetulan baru tiba dari tempat membasuh baju menyapaku. “Awa, jaket kau, aku rasa tak boleh masukkan dalam mesin pengering la. Cuba kau keringkan guna pengering tangan”.

“Jaket aku, kenapa tak boleh masuk mesin?”

“Aku tengok label di baju tu, tak boleh masuk mesin pengering. Kau pernah buat ke?”

“Ooo.. tak pernah lagi aku basuh baju tu. Tak mengapalah kalau macam tu. Nanti aku buat sendiri”

“Kasut kau pon masih kat sana, Nott tengah keringkan kasut dia guna pengering tangan.Baju-baju lain dah pusing tapi masih basah. Mesin pengering tu tak power lah. Sia-sia saja dua dollar. Sekarang ni, semua kita orang cuba pusing satu round lagi.” Nada Abid berbunyi kesal dan bengang. Aku rasa bersalah kerana telah menyusahkan mereka. Ah, apa-apa pon, biar aku sediakan makan malam dulu. Lepas makan nanti barulah selesaikan hal baju dan kasut tu. Kalau perut dah kenyang, hati pon senang. Fikirku.

Selain sewa tapak perkhemahan yang mahal – NZD 20 sekepala. Kami perlu bayar berasingan untuk air mandi panas, mesin basuh dan pengering.  Semuanya menggunakan syiling untuk berfungsi. Syiling kami tukar  di pejabat ketika daftar masuk. Malam itu, kami banyak menghabiskan duit untuk mencuci dan mengeringkan baju yang basah gara-gara berhujan di Mt Sunday.

Oleh kerana keletihan, malam itu kami tidur awal selepas makan malam yang ringkas dan menyelesaikan baju-baju dan kasut yang basah. Nott enggan tidur di tingkat atas. Nott tinggi. Kalau kakinya dilurus akan kesejukan kerana haba dari pemanas tidak sampai ke celahan dalam tempat tidur. Yatt bertimbangrasa dan mengambil tempat tidur di atas bersamaku.

“Esok kita sarapan di tepi tasik ya!” aku menyuarakan hasrat hati sambil memanjat katil.

………………………………………………………………………

Pagi itu kami bangun awal. Bergantian solat subuh disisi van, beralaskan tikar anyaman straw. Kedinginan menyebabkan aku memendekkan doa. Tapak perkhemahan lembab kerana daun-daun kuning yang gugur bersepah menutupi tanah dibasahi embun. Van-van lain masih gelap dan sunyi. Selepas subuh kami bermalas-malasan dan berborak-borak di dalam van sambil menunggu hari cerah. Aku sekali lagi mengujakan cadangan bersarapan di tepi tasik.

Tasik tidak kelihatan dari tapak kami bermalam. Tak seperti yang aku bayangkan. Lebih tepat tak seperti yang digambarkan dalam halaman web Lake Tekapoo Holiday Park. Ini kerana kami berada di baris kedua. Dalam angananku kami akan berkhemah betul-betul di bibir tasik Tekapo yang terkenal dengan kebiruannya. Aku sudah berangan-angan masak dan bersarapan di pinggir tasik sambil menyaksikan matahari terbit menancarkan sinar pada permukaan air. Warna biru susu tasik yang memukau berkilau-kilau dan seolah-olah bergelombang, padahal ia adalah bayang-bayang sang mentari pagi yang sesekali menyorok di balik awan nipis. Ah.. romantisnya angan-anganku.

Aku membantu Nott membawa barang-barang ke dapur. Walaupon sewa tapak mahal, dapur tidak mempunyai apa-apa peralatan selain dapur eletrik dan sinki. Jadi kami mengangkut cerek, periuk dan segala yang diperlukan. Mujurlah ada besen kecil di van, kami gunakannya sebagai carrier. Seorang perempuan separuh umur berada di dapur ketika aku tiba. Kami saling berbalas ucapan selamat pagi.

“Berapa orang semuanya rakan-rakan yang bersama kamu?” dia memulakan perbualan.

“Empat orang” Jawabku sambil mengisi air dalam cerek.

“Oh!.. empat orang, dalam van hijau itu?” Tepat jangkaanku, dia telah memerhatikan kami dari awal. Tentu dia rasa pelik bagaimana kami sumbat empat orang dalam van yang kecil itu.

“Ya… he he he”

“Dan…. semuanya perempuan?”

“Ya, semuanya perempuan”

“Kamu semua sungguh hebat! perempuan …. muda …. ”

Aku hanya ketawa.

“Saya fikir semua soket tak berfungsi. Saya sudah mencuba kesemuanya malam tadi” Ujarku bila melihat dia mencuba beberapa soket yang berderetan di dinding untuk memasak air menggunakan cerek eletrik.

Dapur Lake Tekapo Holiday park bukan saja tak ada periuk kuali apatah lagi pinggan mangkuk, soket elektrik pon tak boleh di gunakan. Pemanas hawa juga tak ada dan tingkap-tingkapnya sudah buruk dan tak boleh ditutup rapat. Sebab itulah malam tadi kami tak berlama-lama di situ. Apa yang di masak sejuk serta merta. Kami makan sekadar melepaskan rasa lapar. Aku yang mengangkut talifon dan netbook dengan harapan dapat mengecas bateri di dapur, berasa sangat kecewa. Aku tak puas hati dengan yuran NZD20.

Campervan kami cuma ada dua soket dan lebih menyukarkan kedudukannya tersorok di celahan antara kerusi penumpang dan dinding. Satu soket digunakan untuk alat pemanas dan satu lagi kami sambungkan dengan soket universal berbilang muka. Jadi ada tiga poin untuk  untuk kami berganti-ganti mengecas bateri. Kerana ruang yang sempit, sambungan soket kerap kali terlonggar, pantang terusik sedikit. Seharusnya kami bawa soket sambungan berwayar. Setiap kami mempunyai lebih dari satu bateri  yang perlu dicas. Aku ada dua bateri talifon (yang juga satu-satunya kamera yang aku ada) dan netbook. Yatt ada dua bateri kamera dan iPhone. Lagipon malam pertama di Rakia Gorge, memang tiada belakan elektrik. Jadi malam itu kami kehabisan semua sumber bateri. Ketika merancang perjalanan ini, kami fikir bolehlah kami mengecas bateri menggunakan pengecas bateri kereta. Malangnya, cuma satu alat boleh di cas dalam satu masa (walaupon kami gunakan pengecas dengan dua port USB). Oleh kerana kami menggunakan talifon Abid sebagai alat GPS, ia perlu dicas hampir sepanjang masa. Cuma sesekali dapatlah yang lain mencelah, itupon tak lama.

Perempuan tadi telah kembali ke campervannya dan datang semula membawa cerek biasa. Cerek kami bertenggek sebelah menyebelah di atas dapur eletrik. Malam tadi adalah pengalaman pertama aku menggunakan dapur elektrik. Bukan seperti dapur elektik yang biasa aku nampak di iklan-iklan. Penununya adalah besi yang melingkar seperti ubat nyamuk. Bila ia panas, warnanya bertukar kemerahan. Picu suhu mempunyai lapan tahap kepanasan. Oleh kerana sangat terbiasa menilai kepanasan dengan melihat api (besar atau kecil), aku telah menghangitkan kuali ketika memanaskan kacang panggang.

Aku mahu melanjutkan perbualan dengan perempuan tadi tetapi Nott yang sebenarnya bertugas memasak sarapan pagi itu telah tiba. Jadi aku minta diri.

Aku perlu mengeluarkan beberapa pakaian dari backpack. Kami telah membuat sistem penyimpanan supaya keadaan van sempit itu lebih teratur. Baju-baju yang mahu di pakai dalam masa dua hari mesti diletakkan di dalam kabinet kanan di bawah sinki. Barang-barang yang kerap diguna juga dikeluarkan dari beg. Beg-beg kami simpan dalam kotak rahsia di bawah sofa yang juga katil lipat. Semua baju kotor kami kumpulkan dalam satu beg plastik dan disimpan di kabinet kiri di bawah sinki. Aku membuat dia dua ampaian (dengan tali yang aku bawa) pada dinding van. Kami gunakan untuk menyidai tudung dan baju-baju yang masih lembab (gara-gara mesin pengering yang tak berfungsi dengan baik).  Poket-poket jaring yang melekat di dinding camervan kami berikan fungsi khusus. Satu poket untuk meletak makanan kering. Satu poket untuk meletak segala tisu, sabun, losyen, berus gigi, ubat gigi dan sebagainya.

Nott tiba-tiba muncul di pintu belakang van yang ternganga.

“Dah siap masak ke?”

“Dah. Meggi dengan telur hancur je. Bukan lama sangat”

“Jom!” Aku melompat turun dari van.

“Betulke nak makan kat tasik?” Abid mencelah

“Ha lah!” aku masih tak mahu berputus harap dengan angan-angan romantis yang aku rahsiakan dari mereka.

“Ada ke tempat nak duduk? Lepas makan kita naik sini balik kan?” Yatt pula menimbulkan persoalan.

Kawan-kawan ku ini memang terbaik. Aku sedia maklum kelecehan berjalan dan membawa makanan dan barang-barang. Tapi oleh kerana aku berkeras hendak bersarapan di tepi tasik, mereka ikutkan kemahuanku. Kedudukan tapak perkhemahan ini terletak di atas bukit. Kami menuruni bukit menyusuri jalan bertar dan bergerak ke tepi tasik mencari tempat yang sesuai untuk duduk. Aku harap ada meja dan kerusi. Pokok-pokok rhu meneduhi kawasan berpasir di persisiran tasik. Pasirnya hitam dan kasar. Air tasik tenang, berkilau-kilau seperti cecair raksa.  Di garis horizon, gunung-ganang gagah dan megah. Terlindung puncaknya dilitupi awan. Awan tebal bergumpal-gumpal menutupi langit. Matahari masih malu-malu. Ketika aku menghadap tasik, pemandangan kiriku adalah bukit yang dipenuhi pepohon pain  sekaligus mewarnakannya dengan tona musim luruh; hijau-kuning. Suasana tenang dan teduh, seperti pagi selepas malam al-Qadr. Aduhai, indahnya alam ciptaan Tuhan. Keasyikanku menghayati alam pagi di Tasik Tekapo dipatahkan oleh satu soalan yang tiba-tiba menerpa mindaku. Kenapa airnya tak biru?

Tasik Tekapo berhadapan dengan Lake Tekapo Holiday Park

Tidak ramai pengungjung di kawasan itu. Beberapa orang tua berjogging. Sebuah keluarga lain bersiar-siar dengan anjing mereka. Yatt menarik perhatian kami ke sebuah rumah kelab luncur air. Bangunan kayu dua tingkat dengan beranda. Mukanya menghadap jalan raya dan membelakangkan tasik. Nampaknya ia tak berpenghuni. Mungkin cuma digunakan ketika musim panas. Ada meja dan bangku panjang di bahagian belakang rumah kelab tersebut. Sangat sesuai. Sampailah kiranya hajatku bersarapan menghadap Tasik Tekapo. Namun sekali lagi soalan menerpa, mengapa airnya tak biru?

Menu kami pagi itu – Mee segera sejuk perisa kari kembang semangkuk. Habis kuah diresap mee. Kami tak ada jag atau teko, jadi kami bawa cerek, gelas, teh, gula dan susu segar. Bancuh teh ikut citarasa masing-masing. Aku dan Nott memilih teh susu. Nott menyeringai selepas menghirup air teh susunya. Pecah ketawa kami melihat riak muka nott.  Air panas dari cerek serta merta menjadi suam-suam kuku bila dituang ke dalam gelas. Dicampur pula dengan susu segar dari peti sejuk. Serba tak kena rasanya.

“Sebelum makan, ambil gambar dulu” ujar Yatt. Masing-masing pon mencapai kamera. Ambil gambar sebelum makan sekarang macam menjadi sama wajib dengan membaca doa makan. Namun, bergambar adalah cara mengambil nota paling efektif. Bukankah orang kata satu gambar mempunyai sejuta cerita?

“Ala…. aku lupa nak bawa tripod!” Nott kekesalan.

Ibarat kata pepatah lama, tak ada rotan, akar pon berguna.  Aku menyeret tong drum yang kelihatan terbiar dari penjuru bangunan. Tak cukup tinggi. Besen yang kami guna sebagai carrier aku terlungkupkan di atas tong tersebut. Buat pertama kali, pada hari ketiga kembara kami akhirnya kami dapat bergambar berempat. Disaksikan Tasik Tekapo yang tenang. Tetapi, kenapa airnya tak biru?

“Hai.. nasib baik la pemandangan cantik.. mee kembang dengan teh sejuk pon rasa sedap”

“Tu la pasal…” Nott bersetuju dengan ku.

“Apa rancangan hari ni?” Tanya Yatt tak sabar.

Aku pon melaporkan rancangan hari itu. “Lepas ni kita check-out, lepas tu jalan-jalan di tepi tasik, tempat yang ada patung anjing tu. Lepas tu kita ke Mt Cook. Tapi singgah dulu ke ladang penternakan ikan salmon. Tak jauh dari sini dalam 30km je”

“Tak sabar aku nak makan ikan salmon. Lepas tu kita cari beras. Dah tiga hari tak makan nasi” ujar Abid.

“Itulah, dah naik kembang makan megi dengan telur” tokok Nott.

Rancangan asal kami, sebaik saja mendapat campervan kami mahu membeli-belah barangan runcit dan bekalan makanan di Christchurch. Namun oleh kerana kesuntukan masa kami membatalkan rancangan tersebut. Harga barang di Christchurch terutama di pasaraya besar lazimnya lebih murah berbanding tempat-tempat pedalaman apatah lagi kawasan pelancongan seperti Tasik Tekapo. Lagipun, aku cuma tahu satu tempat yang menjual daging halal di Christchurch. Semua maklumat ini kami dapat dari internet.

“Akak.. ” Yatt meminta perhatianku. “Tempat ikan salmon tu dah dekat la dengan Mt Cook kan? kan namanya Alpine Mt Cook Salmon” Sambungnya kemudian.

“Agaknya di kaki Mt Cook. Jauh tau dari tempat ikan salmon nak ke Mt Cook Village. Hampir lapan puluh km. Kita akan menyusur Tasik Pukaki”

“Jauhnya… hmm hari ni berakhir di mana?”

“Begini….” Aku mengitari wajah kawan-kawanku seorang demi seorang. Mereka dengan sabar menanti ucapanku. “Dari sini ke ikan salmon katakanlah dua puluh minit. Kemudian perjalanan seterusnya kira-kira sejam untuk sampai ke Mt Cook. Katakan kita habiskan masa tiga puluh minit di ikan salmon dan sejam Mt Cook. Campur tolak kita perlu tiga jam dari sini sampailah kita hendak turun semula dari Mt Cook. Selepas Mt Cook, jauh sikit perjalanan kita. Dalam tiga jam ke arah pantai timur. Kita singgah Maoeraki Builders sekejap, lepas tu kita patah balik ke Oamaru. Malam nanti kita tidur sana” Aku meneguk baki teh susu yang semakin pelik rasanya. “Tapi aku pon tak pasti kita akan sempat sampai atau tidak nak ke Maoeraki Builders tu. Tengoklah nanti macam mana. Kita kena bergerak dari Mt Cook paling lewat sekitar pukul satu.”

“Sekali dengar macam tak realistik je rancangan kita ni”

“Memang pon” aku mengaku. South Island sangat besar rupanya. Puas aku cuba sesuaikan masa dan tempat.

“Kalau macam tu, cepat-cepatlah kita balik dan berkemas.” Yatt bersuara optimis.

Walaupun kami tahu kami kesuntukan masa. Peluang untuk memenuhi hari ini seperti yang dirancangkan agak tipis. Namun itu tak menghalang kami menikmati pagi di Tasik Tekapo. Dalam perjalanan pulang ke tapak perkehemahan, kami bergambar dan menikmati pemandangan sepuasnya. Dalam kembara kebolehan menyisihkan tekanan amat penting. Lebih-lebih lagi berkembara dalam kumpulan. Mood kita dengan mudah akan mempengaruhi orang lain. Kami berpegang pada prinsip – nikmati sebolehnya apa saja yang ada di hadapan kita sekarang. Jangan sampai yang dikejar tak dapat yang dikendong keciciran.

———————————————————————————————————————

“Jika syurga itu wujud, saya mahukan syurga yang seperti ini” itulah antara kata-kata yang menggambarkan indahnya Tasik Tekapo. Kata-kata itu dinukilkan seorang blogger asal Kuala Lumpur yang singgah di Lake Tekapo lewat pengembaraannya di South Island New Zealand. Dalam coretannya, sang blogger menyisipkan gambar Lake Tekapo yang biru. Biru muda seperti kain anak sekolah menengah. Kadang-kala dikenal  orang juga sebagai warna turquoise atau azure. Bungaan lupin berwarna biru kundang dan merah jambu tumbuh liar memenuhi pinggir tasik ketika musim panas. Menambah nuansa romantik pada pinggiran tasik.

Syurga…. sebenarnya tak dapat kita bayangkan ia. Iya, memang benar sebagai orang yang beriman kepada Al-Quran, aku tahu syurga itu adalah taman yang di penuhi sungai-sungai. Tetapi keindahan syurga itu memang tak dapat kita bayangkan dengan keterbatasan akal kita. Takkan terjangkau oleh imaginasi kita. Analoginya seperti ini. Sekiranya ada orang zaman ini dapat merentas masa ke zaman Alexander Graham Bell dan menceritakan kepada beliau tentang iPhone, Samsung Galaxy atau Blackberry, beliau tidak akan dapat membayangkannya. Mungkin beliau dapat memahami bentuknya tetapi tidak fungsinya. Begitulah juga kita tak dapat membayangkan keindahan syurga. Tempat yang paling indah di dunia ini pon, tak dapat mewakili keindahan syurga.

Kami kini berdiri menghadap Tasik Tekapo, membelakangkan belakang Church of the Good Shepherd, yand dibina pada tahun 1935. Gereja ini dikatakan gereja tertua di South Island. Kecil saja gerejanya. Kedudukannya betul-betul di selekoh jalan. Tempat letak kereta percuma terletak di sebelah gereja. Tebing tasik tekapo di penuhi dengan pecahan batu konkrit bercampur batu semulajadi. Ada yang besar dan ada yang kecil. Kami berdiri sebaris merenung Tasik Tekapo. Bingung. Kenapa airnya tak biru?

“Memang tempat inilah yang dia orang ambil gambar tu, batu-batu ni!” Sejak berjaya mengenalpasti batu-batu di puncak Rohan, Nott telah menjadi pakar batu-batu.

Ada sesuatu tersekat di dalam dadaku. Bolehkah engkau bayangkan perasaan seorang pemuja yang telah menunggu sekian lama dan akhirnya mendapat peluang keemasan menyaksikan konsert penyanyi pujaaannya. Namun sang penyanyi tidak menyanyikan lagunya yang paling popular. Lagu paling digemari sang pemuja. Aku memujuk diri sendiri. Tekapo masih cantik walaupon tak biru. Beberapa kuntum bunga lupin berdiri menunjang langit.

Abid memanjat pecahan konkrit terbesar lalu meminta aku mengambil gambarnya.

“Waktu dan tempat macam ni sesuai kalau digunakan untuk memikir hal-hal kehidupan dan masa depan” Ujar Abid tenang.

Aku mengangkat kening. Abid melontarkan senyum, dia tak turun sebaliknya duduk menjuntaikan kaki di batu konkrit. Aku memanjat batu konkrit dan melabuhkan punggung disisinya. Damai Tasik Tekapo menyerapi hati kami. Jiwaku sedikit terpujuk.

“Setiap kali kita pergi kembara mesti kita bawak satu persoalan, dengan harapan bila kita balik nanti kita dapat jawapannya… kan?” Giliran aku pula senyum penuh makna pada Abid. Hal ini antara aku dan dia sahaja. “Hidup memang begitu. Semua persoalan cuma akan terjawab bila kita mati” Sambungku lagi. Khali beberapa saat. “Aku rasa hidup aku macam berputar setiap lima tahun”

“Macam mana tu?” Abid menyoal tanpa menoleh kepadaku.

“Masa umur dua puluh, aku yakin aku dah kenali diri aku. Kononnya aku tahu apa yang aku mahu dalam hidup ni. Umur dua puluh lima, aku mempersoalkannya semula. Begitulah berulang-ulang”

“Mungkin kerana tak selari dengan tujuan hidup yang sebenar?” Melihat aku hanya diam, Abid menyambung kembali. “Engkau faham benar apa tujuan hidup kita di dunia ni tapi mungkin apa yang engkau buat dalam hidup engkau tak selari dengan tujuan tu. Sebab itu engkau asyik kembali pada titik yang sama. Macam orang sesat dalam hutan. Sangkanya dia berjalan tegak tapi sebenarnya dia berpusing”

Allah berfirman, tidakklah aku jadikan manusia dan jin kecuali untuk beribadah kepadaku. Menurut Abdurrahim Green, keseluruhan kehidupan yang kita jalani dua puluh empat jam sehari, tujuh dari seminggu adalah ibadah. Pesan emak, betulkan niat mengembara kerana Allah. Ketiga-tiga kata hikmat ini melantun-lantun dalam kepalaku. Umpama pernyataan-pernyataan matematik yang perlu di simpulkan dengan satu hubungan mantik. Namun bagaikan ada sesuatu yang tidak lengkap, maka aku tak dapat menyusunnya. Perlu kuselami lebih dalam.

Abid menepuk pehaku, mengajak aku menyertai Nott dan Yatt yang juga sedang menikmati Tasik Tekapo. Mereka sudah bergerak agak jauh dari kami. Rupa-rupanya sudah beberapa kali Nott memanggil dan melambai-lambai kearah kami.

Suasana teduh perlahan-lahan berubah bila awan tebal beredar. Cahaya matahati mula menyilaukan mata.

“Awa… ada biru-biru sikitlah, cuba kau tengok” Nott menunjukkan skrin kamera pada aku. Ada bayang-bayang biru pada imej Tasik Tekapo. Bayang yang tak kelihatan dengan mata kasar.

“Tak biru sangat, biru lagi Sungai Rakaia” masih ada rajuk dihatiku.

“Aku rasa sebab matahari” Nott berteori.

Matahari? Ya, ada logiknya. Aku mahu berkata sesuatu bila Yatt bertanya “Sebenarnya, macammana warna air tasik ni boleh jadi biru?”

Aku menerangkan pada Yatt dari sedikit fakta yang aku baca di internet. Aktiviti geologi di glacier yang berada di hulu sungai menghasilkan rock flour. Rock flour sangat halus,  mengalir bersama air sungai masuk ke dalam tasik lalu terperangkap. Rock flour itulah yang menyebabkan airnya berwarna. Peneranganku sebenarnya tidak lengkap. Ketika itu aku tak tahu sebenarnya warna yang memukau itu bukan kerana rock flour semata-mata tetapi biasan cahaya matahari pada rock flour yang terapung dipermukaan tasik lalu menampilkan warna biru susu. Air tasik sebenarnya tidak biru. Biru Tasik Tekapo tidak berbeza dengan warna pelangi. Kedua-duanya adalah ilusi.

Banyak rumah peranginan di bina menghadap Tasik Tekapo. Rumah jenis sebuah dengan halaman. Bertingkap kaca besar dan lebar. Jelas kelihatan dari luar penghuni rumah bersarapan sambil menikmati pemandangan tasik. Ah.. mewahnya mereka. Lebih kurang jam 10.30 pagi kami bergerak meninggalkan Tasik Tekapo.

This slideshow requires JavaScript.

Advertisements

8 thoughts on “New Zealand 7: Tasik Tekapo berkata; Biruku bukan menipu :|

  1. Harap kawan-kawan dapat baca dengan sabar, rasanya ini kisah paling panjang setakat ni. Gambar pon banyak 🙂
    Ada banyak tips di celah-celah. Semoga bermanfaat.

    Sila rate dan Kalau anda fikir kisah ini menarik sila like dan share ^______^

  2. sangat best!!jelesnye akak dpt g nz before Airasia ttp route..

    btw, nk tny, cik sengal pny blog mmg di private kan ke? sy dh xdpt nk bce entry cik sengal..uhuk2..nasib baik akak update cerite new zealand ni.klu x kempunan sye..hehe

    • Itulah, bila AAX umum nak berhenti terbang ke NZ, cuak gak kot tak dapat pergi. kalau harga tiket biasa mmg tak mampulah.

      Cik sengal skrg dalam “pemerhatian” haha. Sementara je tu.

      • pemerhatian? misteri nusantara ni..huhu..

        sy xtau bila nk jejas nz, doanye, semoga AAX.kembali terbang ke nz,

        yr entry is very2 good.cuba la hntr ke mn2 majalah travel.

  3. meh cikgu fizik nk tlg jawab knp air tasik tu tak biru.. haha.. sebenarnya bukan sbb matahari.. tp sbb awan tu bnyk sgt.. awan tu menghalang cahaya matahari jatuh terus atas air.. cuba ko tgk gambar2 tasik tu, kat kawasan yg nmpk biru, mesti atasnya tak de awan sgt kan.. cahaya matahari kan ada 7 warna.. so bila direct kena pd air, rock flour tu akan bias dan reflect cahaya tu smpi pecah kpd 7 warna.. biru yg terpantul keluar dr air.. thats why kita nmpk biru.. same explanation knp kita nmpk langit warna biru.. sedangkan x de pun langit tu kan.. langit yg sebetulnya adh slps angkasa lepas.. which is mmg tak terjangkau dek mata kita ni..

    • memang awan tebal la hari tu. Lagipon kiteorg pagi-pagi dah tercangak kat situ, matahari pon tak nampak 😛

      Lain kali kena luang lebih masa dan panjat Mt John, dapat tengok Tekapo dari atas.

      Kat China ada satu tasik 7 warna tau, ko nak pergi? hehe

  4. Awa, next time boleh pegi lagi untuk buktikan birunya Tasik Tekapo bukan menipu ye (bawak aku sekali boleh??).
    “menyanyi sambil mandi tak digalakkan, takut air panas abis sebelum lagu tamat!” – hahaha….satu2nya tips yang aku paling ingat!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s