Bumi Manusia : Pramoedya Ananta Toer


Entry ini diterbitkan pertama kali pada 31 Julai 2010 di limatahun.blogspot.com

Suka aku kongsikan satu karya besar yang merobek-robek banyak hati manusia-manusia yang besar dan kecil. Yang berhati besar bimbang hati kecil menjadi besar lalu menggugat. Yang berhati kecil sesal kerana tak mampu berbuat apa-apa untuk menghalang yang besar menjadi gergasi. Karya ini telah diterbitkan dalam 33 bahasa.

Bumi Manusia

Rangka cerita biasa. Heronya adalah seorang penuntut. Kerabat raja Jawa dan berbapakan seorang pembesar. Herowatinya seorang perempuan cantik tak terbanding, anak kacukan dan berharta. Kedua-duanya mempunyai konflik dengan keluarga masing-masing. Dan si hero yang bernama Minke adalah pelajar cemerlang di sekolahnya juga menghadapi masalah disekolah kerana kecemburuan hubungan cinta Minke dan Annelies. Dan seterunya semua konflik berkait atau tercetus kerana hubungan cinta mereka. Nah! betulkan mirip novel-novel yang suka memprovokasi air mata itu?

Latar masa dalam Bumi Manusia – ketika perkataan ‘Moden’ belum lagi memasuki mana-mana kamus. Baru disebut-sebut, masih sebagai istilah baru. Di situlah Minke membesar sebagai orang Jawa yang tak Jawa kerana terdidik dalam sistem pendidikan Belanda. Walaupun Minke berketurunan darah diraja, tetapi dia tetap berstatus pribumi. Maksudnya mempunya kasta paling rendah berbanding totok(eropah tulen) dan indo(kacukan). Pribumi waktu itu lahir dengan dosa – hanya kerana mereka pribumi. Tidak mempunyai nama keluarga adalah satu kehinaan. Di tanah air sendiri mereka tak dapat berbuat apa selain diperlekeh. Dan totok-totok yang datang langsung tak memandang mereka sebagai manusia yang lahir dari satu keturunan – Adam, walaupun totok-totok itu semua rajin ke gereja setiap ahad. Totok-totok datang, bergaul dengan pribumi lalu melahirkan indo. Walaupun ramai indo lahir dari perkahwinan yang tidak sah, mereka tetap lebih mulia dari pribumi.

Minke menjauhkan diri dari kedudukan keluarganya, memilih berdikari membiaya diri kecuali persekolahan elitnya yang dibiaya dari warisan yang mulia sang nenda. Minke mengutuk cara Jawa memyembah penguasa seperti Tuhan, walaupon aku ragu-ragu apakah Minke kenal Tuhannya? Annelies adalah anak dari seorang perempuan simpanan. Hidup dalam rumah serba mewah tapi tak mengenal siapa-siapa selain yang ada di rumah dan ladang.

Watak yang tak kurang penting untuk diperhati dan dipelajari ialah ibu Annelies. Bagaimana dia menelan kegilaan ayahnya yang tidak dapat dia maafi seumur hidup – menukarkan dia dari seorang pinggit jawa bernama Sanikem kepada seorang nyai, Nyai Ontosoroh kepada Tuan Millema. Memilih untuk tidak terus-terusan menangisi nasibnya, Sanikem menukar tragedi kepada peluang. Selain menjadi nyai, dia menjadi murid, pengurus perusahaan Millema seterusnya rakan kongsi. Pon, apa yang mengharukan aku walau dalam keadaan paling sadis, Sanikem gagal mencari Tuhannya kembali. Malah dia lupa terus. Nyai Ontosoroh tidak mahu Annelies menjadi dia – dia terus hidup untuk satu impian – melihat puterinya menjadi isteri dalam rumahtangga yang sah – sebagai menebus nasibnya. Ironinya – di mana nilai menjadi isteri yang sah jika perhubungan tidak sah bermula sebelum nikah?

Minke, yang beruntung dapat menjalani sekolah Belanda tertinggi di Surabaya selalu bangga dengan pendidikan Belandanya. Anak terpandai dalam keluarga. Rupa-rupanya mendapati pelajaran ada yang tak kurang berharga dia dapati dari ‘sekolah seorang nyai’. Kewibawaan Nyai Ontosoroh, dan kecantikan puterinya – Annelies, menarik hati Minke lalu menjerumuskan dirinya dalam konflik demi konflik.

Betapa bangsa Asia – disebut Hindia dalam novel ini, dipandang rendah oleh bangsa eropah. Orang eropah suka mengungkit kemodenan yang mereka bawa – seolah-olah seluruh dunia berhutang pada mereka. Mereka itu memang bodoh atau sengaja menafikan, timur telah lama cerah ketika mereka gelap. Betapa ndapleknya(bodoh sombong) orang-orang Eropah ini, mereka sukar menerima sesiapa yang berdarah pribumi walaupun seorang indo untuk dibabtiskan. Bodoh! padahal kristian tidak lahir di barat. Tidak ada satupun agama lahir di barat. Apa lagi agama samawi. Ketiga-tiganya lahir di timur. Dan semua rasul baik Musa , Isa dan Muhammad lahir di timur.

Mereka menganggap pribumi berkeperibadian rendah. Tak dapat di ajar. Tak akan mungkin boleh sepandai dan memahami bagaimana menjadi orang Eropah. Seolah-olah mereka bangsa terpilih. Cuma pribumi terpilih seperti minke, yang langka wujud boleh diharapkan untuk memajukan pribumi – kerana totok begitu sedih melihat pribumi yang sudah diajar beratus tahun oleh totok tapi masih tak mampu semaju eropah. Ini dapat dilihat dalam watak Tuan Assisten Residen Croix dan puteri-puterinya.

Pun, aku tak hairan mereka melihat Minke lebih tinggi dari peribumi lain yang mereka kenal. Selain kecemerlangan Minke disekolah, Minke mirip dengan mereka dari segi nilai. Ini jelas dalam keterbukaan perhubungan Minke dan Annelies di rumah ladang Millema. Watak Minke masih banyak berkeliaran disekeliling kita hari ini. Mereka-mereka yang menyangka diri masih timur padahal mereka sangat mengiurkan barat. Minke sangat selesa dengan kehadiran eropah di negerinya malah sedikit sebayak Minke telah menjadi eropah walau bermuka jawa tulen. Dan totok seperti Tuan Assisten Residen menyukai Minke kerana itu. Mereka malah tidak senang dengan totok seperti Juffrouw Magda Peters yang liberal dan memandang idea penjajahan dari sudut berbeza. Lebih mereka risaukan, Minke sangat menyanjung Juffrouw Magda Peters, guru kesayangannya.

Dan akhirnya, Minke berdepan dengan warna sebenar Belanda.(Seperti mana Mavi Marmara menyerlahkan warna sebenar Obama). Pelajaran yang paling pahit – Totok tetap totok dan pribumi tetap pribumi. Indo? Totok boleh memilih untuk menjadikan seorang indo menjadi totok atau pribumi. Ketika Annelies mahu dibabtiskan oleh bapanya, mereka mahu dia menjadi pribumi (tak layak dibabtis). Tetapi ketika Annelies sudah bahagia bersama Minke, mereka menukar pula dia menjadi totok (menafikan hak Minke kepadanya). Akhirnya Minke bersetuju dengan Bondanya tentang totok – lebih keji dari Raja feudal Jawa.

…………………………………………………….

Pramoedya Ananta Toer tak perlu di perkenalkan lagi pada mengekor sastera. Antara terhebat pernah hidup di Nusantara. Dan karya terhebatnya pula dihasilkan ketika jasadnya terkurung dalam penjara – tetapi jiwanya sungguh bebas. Menariknya kisah ini, ia bermula dengan sastera lisan sebagai medium. Ia adalah cerita-cerita yang dia sampaikan pada rakan2 sepenjara. Genius! itu saja perkataan yang sesuai. Lalu setelah mendapat kebenaran menulis, dia pon menulis semula cerita ini. Keluar dari tahanan, Pram dan dua  rakannya menubuhkan Hasta Mitra dan menerbitkan Bumi Manusia sebagai buku pertama.

Aku punya sedikit kekesalan pada Minke dan kesemua orang dalam cerita ini kerana mereka tidak pernah meminta campur tangan Tuhan menyelesaikan permasalahan (kesal pada pram? entah). Selain itu, membaca buku ini sangat memuaskan – berbaloi walaupun harganya 80ribu (sangat murahla sebenarnya haha). Berbaloi sakit bahu menggotong buku ini (dan buku-buku lainnya) melintasi parking kapal terbang ke dewan terminal LCCT. Malah aku terpaksa membeli beg baru hanya untuk itu.

Bumi manusia ditulis dalam bahasa melayu. Tetapi watak-watak di dalamnya bertutur dalam banyak bahasa, Melayu, Jawa, Madura, Belanda dan Perancis. Aduhh hebat betul orang zaman itu. Buku ini juga muncul dalam Filem Seperempuan berkalung serban.

Advertisements

2 thoughts on “Bumi Manusia : Pramoedya Ananta Toer

  1. Aihhh… jadi ingin ikut membacanya juga…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s