New Zealand 9: Gunung Cook berkata, aku gagah tapi aku bukan khalifah :)


↑ Jika anda suka kisah ini, berikan saya bintang-bintang

Masuk hari ketiga kami di New Zealand, kami sudah biasa dengan pemandangan gunung. Di sesetengah tempat, ke mana saja kau menoleh – tiga ratus enam puluh darjah, pemandangan berakhir dengan gunung. Adakalanya dekat, adakalanya jauh. Jalan Tekapo-Twizel membelah dataran yang luas. Baik tanah, rumput, pokok renek, belukar semuanya berwarna perang atau kehitam-hitaman. Seluruh dataran kelihatan kering dan tandus. Sesekali muncul bukit kecil. Bentuknya seperti tempurung. Gondol tanpa pokok. Ada banyak bukit tetapi bukit-bukit berdiri sendiri-sendiri, berjauhan antara satu sama lain dan saiznya pelbagai. Namun seperti bumi tempat ia bertapak, kesemuanya perang. Ada satu atau dua kolam air yang aku nampak. Kecil dan kelihatannya tohor. Entahlah, tak dapat aku pastikan sebenarnya kerana hanya melihat dari jauh dan kami bergerak dengan kelajuan hampir seratus kilometer sejam.

Campervan kami terus bergerak. Sepanjang tiga hari berkenderaan di bumi kiwi, jarang benar berpapasan dengan kenderaan lain. Jauh sekali kesesakan jalan raya. Memandu menjadi sangat menyenangkan, lebih-lebih lagi dengan udara segar dan pemandangan indah. Tetapi awas, pemandangan sekeliling juga boleh melalaikan. Malang tidak berbau. Beberapa kejadian dilaporkan berpunca dari pemandu yang tidak biasa dengan keadaan jalan yang kadang-kala curam dan berbukit-bukau. Lebih-lebih lagi ketika waktu musim sejuk, jalan licin kerana salji. Apatah lagi dengan keadaan jalan yang sangat baik, lengang pula, mudah saja kaki menekan pedal minyak.

Kami mendekati kawasan yang di beri nama Simon’s Pass. Suasana bertukar. Muncul pokok-pokok musim luruh yang belum luruh keseluruhannya dan muncul pokok-pokok pain yang masih hijau. Aku kira kami sudah semakin mendekati kawasan tanah tinggi. Cuaca hari itu sangat indah. Langit biru dan matahari ceria. Nun jauh dihadapan, ketak-ketak banjaran gunung semakin jelas kelihatan. Selapis awanan nipis terapung-apung rendah sedikit dari dipuncaknya. Bila kami semakin dekat, aku rasakan satu perasaan yang tak biasa bila melihat awanan itu. Seolah-olah ia setara dengan kedudukan kami. Seolah-olah kami dapat melihat awan dari arah sisi. Melihatnya terapung-apung dari sisi yang kami tak pernah alami sebelum ini. Hebatnya ilusi optik. Menakjubkan!

Bila jalan raya menurun bukit, di kaki banjaran gunung tersebut, dari celahan pucuk pokok- pokok pain. Kelihatan jalur biru muda yang berkilauan. Semakin kami mendekat, jalur biru kian membesar dan melebar, bersinar-sinar dek panahan matahari tengahhari. Oh, Tasik Pukaki! Lebih biru dari langit. Kalaulah bukan kerana banjaran gunung yang memisahkan langit dan tasik, tentulah kami rasa seperti berada di atas langit.

Menyusuri Tasik Pukaki benar-benar menceriakan kami. Kami lupa segala kekecewaan di Tasik Tekapo pagi tadi. Walaupun matahari agak terik, namun hawa persekitaran tetap dingin. Tebing Tasik Pukaki ditambak dengan batu-batu besar. Air tasik bertentang wajah dengan sang matahari berkilau menghasilkan silau.  Keterujaan kami tak terbendung lagi. Kami seolah-olah mahu melompat keluar dari van, berlari dan terbang melayang-layang di tengah tasik, kemudian duduk berehat di atas awan. Menyaksikan keindahan ini dari tempat yang paling nyaman… iye ke?

Pucuk dicita ulam mendatang. Orang mengantuk disorongkan bantal. Kawasan rehat Tasik Pukaki rupanya di depan mata. Kawasan rehat ini terletak di bahagian terselatan  Tasik Pukaki. Tempat letak keretanya luas. Selain itu, ada kemudahan tandas dan i-Site. Tandas negara berkebajikan. Begitulah aku menggelarnya. Ada tabung derma bertulis “Kutipan dilakukan setiap hari”. iSite pula bukan seperti yang kami sangka. Bukan pejabat atau kaunter seperti iSite di lapangan terbang tempoh hari. Ia cuma ruangan kecil dengan papan maklumat tentang Tasik Pukaki, Gunung Cook dan kawasan sekitarnya. Selain kami, ada beberapa buah kereta dan sebuah bas pelancong berhenti di situ. Kami tidak berhenti lama kerana perjalanan masih jauh. Oh ya, ketika menuruni bukit tadi, kami berjumpa dengan simpang jalan yang bersambung dengan Canal Road. Ada papan tanda “Mount Cook Alpine Salmon 16KM”. Barulah kami tahu ada jalan yang lebih dekat untuk ke Gunung Cook.

Bergerak keluar dari kawasan rehat, jalan raya menjauhi tasik. Aku tahu nanti kami akan bertemu lagi dengan Tasik Pukaki. Kami terus bergerak sehingga tiba di simpang Jalan Mount Cook. Sekali lalu aku membaca papan-papan tanda yang terpacak di simpang jalan. “Mount Cook Village 55KM”, “Alpine Highland Forest” dan “Road to Mountain Cook – OPEN”.

Suasana sangat hijau sekarang, banyak pokok pain di kiri dan kanan jalan. Pokok-pokok pain kelihatan agak muda, tidak begitu tinggi. Tumbuhnya agak rapat dan tersusun. Tumbuh atau ditaman? Perjalanan lima puluh lima kilometer sehala bermakna seratus sepuluh kilometer pergi dan balik. Huh, lebih kurang seperti jarak antara Johor Bahru ke kampungku di Senggarang. Aku berharap Gunung Cook berbaloi untuk dinikmati.

Tasik Pukaki bercak-cak dengan kami. Sekejap nampak, sekejap hilang. Jalan menuju ke Mount Cook Village yang terletak dalam Taman Negara Gunung Cook di bina di kaki  gunung menyusur Tasik Pukaki hingga ke hulunya. Puncak Gunung Cook sudah kelihatan dari situ. Mount Cook yang juga disebut Aoraki dalam bahasa Maori bermaksud penusuk awan. Nama Cook diberi sempena nama seorang pengembara British, James Cook. Aku lebih suka nama Aoraki, lebih bermakna.

“Teka-teki!” aku menoleh ke belakang, memohon perhatian dari Nott dan Abid. “Banyak-banyak tempat di New Zeland ni, di mana yang kita tak akan bangun lewat kalau kita bermalam di tempat tu”

“Mount Cook!” Yatt pula yang menjawab. Tak mahu ketinggalan walaupon sedang memandu.

“Hmmm…. boleh Cik Yatt tolong terangkan?”

“Teka je sebab kita nak ke sana ni, mestilah teka-teki pasal Mount Cook. Ha ha”

“Sengal! Ha ha”

“Habis apa jawapannya?”

“Mount Cook…” Jawabku perlahan. Mereka bertiga mentertawakanku. Yatt lebih-lebih lagi.

“Sebabnya?” Tanya Abid bila ketawa reda. Aku tersengih-sengih. Setiap kali aku buka mulut, aku akan ketawa. Mereka menggesa, tak sabar melihat tingkahku.

“Sebab……..  Mount Cook saja yang pandai berkokok. Kuk kuk kuuukk! Ha ha ha”

“Dua kali lima sengal! Ha ha” Yatt memulangkan paku buah keras.

“Shawn!” Jeritan Nott mematikan ketawa kami. Sekumpulan kambing biri-biri meragut rumput di celahan batu di lereng gunung yang curam. Shawn adalah watak utama dalam kartun Shawn the sheep.

“Ah kagumnya aku… Shawn pandai panjat gunung?”

“Tak bertuan ke kambing-kambing ni?”

“Tempat ni, manusia pon tak ada. Tiba-tiba ada kambing”

“Kambing jadi-jadian kot!” ketawa pecah lagi.

Perjalanan diteruskan. Memasuki kawasan Taman Negara Aoraki Mount Cook, kami disambut tanah datar yang terkepung dengan gunung-ganang batuan. Terasa dekat benar dengan puncak gunung. Bermacam-macam bentuk gunung. Ada yang melebar bawahnya tetapi pipih dipuncaknya, ada yang berbentuk piramid, ada yang membulat, ada yang berlapis-lapis, ada yang tidak dapat diterangkan bentuknya. Banyak yang tumbuhan tumbuh dibadannya, dari jauh kelihatan seperti batu berlumut. Tak kurang yang yang batuan semata. Pada alur-alur yang terukir di permukaan gunung jelas kesan aliran semacam debu dan mungkin juga pasir berwarna kelabu. Awan berkepul-kepul mengisi ruang antara puncak-puncak gunung. Oleh kerana aku merakam video, sekaligus aku memerhatikan dengan tekun lekak-lekuk gunung-ganang yang kami lalui. Semakin lama aku renung semakin gerun aku rasa. Aku perhatikan permukaannya. Sesetengahnya hitam gelap, memberi impresi yang ia sangat padat dan kuat. Bahagian yang rata berkilau seperti besi. “Gunung-gunung ni……….. gagah-gagahlah” gumam ku sendiri. Bila aku melihat sekeliling, semua gunung memberi impresi yang sama. Kuat tak terkalahkan. Tak pernah aku melihat gunung dengan pandangan seperti ini. Aku rasa sungguh kerdil. Sungguh-sungguh kerdil berbanding gunung-ganang ini. Kalaulah puncak salah salu gunung ini merekah dan jatuh meninpa kami, alamat mautlah yang menunggu. Boleh jadi hancur tubuh kami di hempapnya. Gerum membayangkannya. Sang gunung, engkau sungguh besar dan gagah. Tiada daya makhluk lain yang mampu mengalihmu. Seolah-olah aku dapat mendengar suara sang gunung berkata, aku gagah tapi aku bukan khalifah. Lalu aku bertanya, benarkah engkau tak mampu memegang amanah sebagai khalifah? Benarkah engkau akan hancur berkecai sekiranya Quran di turunkan kepadamu sangking takutnya engkau kepada Allah? Benarkah sang gunung? Sebegitu sekali engkau takutkan Sang Pencipta alam? Tak semena-mena jantungku bergedup laju. Entah kenapa aku berdebar-debar. Terngiang-ngiang suara kebapaan Ustaz Zahazan Mohammad bercerita tentang kisah gunung dalam kuliah tafsirnya. Memang pelik bila kita fikirkan, hal yang kita dengar sekali lalu, kadang-kala boleh menerjah diri kita dalam keadaan tertentu.

“Akak, tengok tu ” Yatt mematikan lamunanku. Aku menoleh ke arahnya dan nampak papan tanda “Mount Cook Village”.

Kami memasuki kawasan Mount Cook Village. Aku sangkakan ia kampung orang asli. Jauh meleset sangkaanku. Rupanya ia adalah kawasan resort dan percutian, juga sebagai basecamp bagi pengembara yang ingin menerokai Taman Negara Aoraki Gunung Cook di mana puncak tertinggi di New Zealand berada. Terlalu banyak rumah penginapan di situ. Sebelah menyebelah, bersesak-sesak di kawasan yang sangat terhad. Dari jenis bajet untuk backpakers, tumah tamu, motel dan resort bertaraf antarabangsa. Jalan sempit dan kalau salah masuk, berpeluh dibuatnya. Lebih-lebih lagi bila memandu campervan. Waktu ini banyak skil Malaysian Style yang berguna antaranya jalan saja janji lepas dan belok saja di sini nanti keluar di sana. Bila bertembung dengan kenderaan lain, barulah menggelabah. Percayalah, sesungguhnya kami tak punya pilihan, bukan sengaja nak tunjuk hebat. Kami bergerak mencari tandas awam. Rancangan kami hendak bersolat di situ. Namun tandas gagal kami jumpai. Akhirnya kami berhenti dan meletakkan van dipinggir jalan. Petak meletak kenderaan juga berbeza saiz. Ada petak khas untuk campervan. Tak boleh masuk ikut suka hati.

Kami segera turun, puncak tertinggi di New Zealand yang Cuma dua belas kilometer dari situ tapi tertutup oleh awan. Puncak Aoraki, macam pengantin perempuan dikelilingi perawan-perawan. Puncak tunggal yang disaluti salji. Putih bersinar-sinar dipanah mentari. Kami berjalan di sekitar mengikut lorong pejalan kaki. Aku berjalan bersama Nott. Abid dan Yatt tertinggal di belakang.

“Awa, aku nak pergi sebelah sana lah. Nak ambil gambar puncak tu” ujar Nott. Dia terus bergerak ke arah yang dimaksudkan.

“Eh.. eh.. kau nak lalu mana tu? Ada jalan ke” laungku bila melihat Nott menuju ke arah semak samun.

“Ala.. boleh je. Jauh nak pusing balik”

Aku berdiri di situ berseorangan, terpegun melihat puncak-puncak gunung di depanku. Dadaku kembali berdebar. Seketika kemudian Abid dan Yatt menyapaku.

“Nott mana?” tanya Yatt

“Sana!” aku menunjuk ke arah laluan Nott tadi. Yatt dan Abid berkerut dahi. “Dia redah semak ni” ujarku menjawab tanda tanya di wajah mereka.

Yatt menggelengkan kepala. Kami terus berjalan. Aku baru menyedari bateri kamera ku sudah lemah. Aku meminta kunci van dari Yatt dan berlari kembali ke van. Jantungku belum aman. Sesak rasa di dada. Seperti ada sesuatu yang sukar untuk kuluahkan. Entah kenapa perasaan aku sangat meruntun-runtun dan sangat mengganggu. Kakiku rasa lemah dan tak berdaya untuk berjalan. Keghairahan terpadam. Akhirnya, aku hanya duduk di sisi van menunggu kawan-kawanku kembali. Aku merenung gunung-ganang yang mengeliling.

Begitu takutkah engkau pada Tuhanmu? Engkau pecah berderai kerana engkau takut? Batu-batu yang pejal dan berkilat seperti besi itu pecah berderai? Dan manusia? Manusia ialah khalifah. Manusia menerima amanah setelah di tolak oleh langit, bumi dan gunung-ganang. Manusia kini melakukan sekehendak mereka di bumi ini. Tahukah engkau sang gunung, bagaimana manusia bersikap sekarang? Ramai manusia tak mengenal Tuhannya sendiri apa lagi takut.  Aku sendiri… sehari-hari aku engkar perintah Tuhan kita, setiap hari aku berbuat silap, setiap hari aku lalai. Aku mohom ampun dan mengulang kesilapan yang sama. Aku adalah manusia, keturunan Adam yang menerima tanggungjawab khalifah. Aku adalah manusia, umat Muhammad yang di berikan al-Quran.

“Engkau tahu benar tujuan hidup” Terngiang-ngiang kata-kata Abid pagi tadi. Ah.. aku.. aku malu denganmu sang gunung. Engkau yang kelihatan mati itu, punya rasa takut.

This slideshow requires JavaScript.

Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanah kepada langit, bumi dan gunung-gunung, maka semuanya enggan untuk memikul amanah itu dan mereka khawatir akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanah itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat bodoh, sehingga Allah mengazab orang-orang munafik laki-laki dan perempuan dan orang-orang musyrikin laki-laki dan perempuan; dan sehingga Allah menerima tobat orang-orang mukmin laki-laki dan perempuan. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang (Quran: al-Ahzab [33]: 72-73).

Sekiranya Kami turunkan Al-Qur’an ini ke atas sebuah gunung, nescaya engkau lihat gunung itu tunduk serta pecah belah kerana takut kepada Allah Dan contoh perbandingan ini Kami kemukakan kepada umat manusia, supaya mereka memikirkannya. (Quran: Hasyir [59]: 21). 

____________________________________________________________
↓ Jika anda rasa kisah ini menarik dan bermanfaat, kongsikan. Jika suka Like

Advertisements

2 thoughts on “New Zealand 9: Gunung Cook berkata, aku gagah tapi aku bukan khalifah :)

  1. oh my god.. i really wanted to read your blog to find out more about new zealand but the story is like a novel… no substance.. nak buat contoh itinerary pun payah. sorry. to say that.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s