New Zealand 10: Perjalanan yang panjang I


Janganlah engkau berjalan di muka bumi dengan sombong, sesungguhnya engkau tidak dapat menembusi bumi dan tak akan engkau dapat menyamai ketinggian gunung1

Aoraki sudah kami tinggalkan. Di sepanjang jalan Mount Cook, acapkali kami bertembung dengan kenderaan-kenderaan lain. Setiap kali bertembung dengan campervan terutamanya campervan Jucy, masing-masing seronok melambaikan tangan. Ada juga yang memberi isyarat lampu. Seperti saudara saja, padahal saling tidak mengenal. Begitulah, manusia sebenarnya cuma perlu satu persamaan kecil untuk saling berhubung. Tetapi dalam kebanyakan situasi manusia lebih suka mencari perbezaan

Dari bahagian tengah South Island, pergunungan Mckenzie, kami meneruskan perjalanan ke bahagian pantai timur. Keluar dari Centebury Memasuki Otago (Centerbury dan Otago ibarat negeri seperti Johor,Pahang dan sebagainya). Aku kira kami menyeberangi banjaran Southern Alps  yang menulang belakang South Island.

Kami telah singgah dipekan Twizel untuk mengisi minyak. Harga minyak di Twizel adalah NZD2.23 seliter, berbanding dengan NZD2.19 ketika kami mengisi kali pertama. Aku sedia maklum akan hal ini. Harga petrol di pekan-pekan kecil mungkin lebih mahal. Tangki diisi, NZD 60 bertukar tangan. Petrol banyak dapat dijimatkan kerana kami tak memerlukan penghawa dingin dan bertahan dari menggunakan penghawa panas. Pekan Twizel sedikit berbeza dengan pekan-pekan lain yang kami jumpa sepanjang perjalanan ini. Ia berpusat kepada pada pusat perniagaan yang menempatkan pelbagai kedai jualan dan perkhidmatan, stesyen minyak, cafe, restoren, taman permainan kanak-kanak dan kawasan rekreasi. Berkonsepkan pusat membeli-belah terbuka. Bangunan kedai setingkat mengeliling kawasan rehat – pokok-pokok rendah dikelilingi bangku kayu. Kami sengaja menyesatkan diri ke dalam kawasan perumahan. Aku sangat suka dengan suasananya. Lebih-lebih lagi dengan pokok-pokok maple berdaun merah dijumpai hampir di setiap simpang.

Dari jalan Twizel-Omarama, sebelum sampai ke Pekan Omarama ada satu jalan pintas ke Jalan Omarama-Otematata. Nama jalan pintas itu ialah Jalan Prohibition. Hmm… ‘Jalan Larangan’? Sebab itu pada mulanya aku sangkakan, kami perlu terus ke Omarama sebelum masuk ke jalan Omarama-Otematata. Keluar dari Jalan Mount Cook, awal-awal lagi aku beritahu Yatt yang kami ada dua pilihan sama ada hendak mengisi minyak di Twizel atau Omarama (seperti yang ditunjukkan di GPS). Tetapi tiba-tiba saja kami berjumpa dengan simpang jalan larangan yang tak terlarang itu dan papan tanda beranak panah bertulis “Oamaru”.

“Nasib baik kita dah isi minyak tadi” kata Yatt.

Arah ke Omarama dan seterusnya akan menuju ke bandar Queenstown. Khabarnya merupakan pusat pelancongan paling tersohor di New Zealand. Dari forum-forum di internet, aku dapati kebanyakan pelancong dari Christchurch akan singgah di Tasik Tekapo dan terus ke Queesntown. Kemudian ke bahagian pantai barat pula melihat glacier. Bahagian pantai timur tidak sepopular pantai barat, terutamanya pekan tujuan kami hari ini, Oamaru. Ada satu komen yang aku baca mengatakan – tak ada apa-apa yang menarik di pantai timur, kecuali anda teringin benar hendak melihat penguin. Ya, pekan Oamaru memang terkenal dengan penguin. Oleh kerana kami tak pernah melihat penguin, teringin jugalah kami hendak melihat burung yang tak boleh terbang itu.  Kebetulan rakan sepejabatku juga bercuti ke New Zealand awal seminggu dari penerbanganku. Dia memulakan perjalanan dari Christchurch ke pantai barat. Dia juga mempersoalkan kenapa aku mahu ke pantai timur kerana menurutnya tiada apa-apa yang menarik di sana. Dia bersungguh-sungguh meyakinkan aku yang laluan yang dia rancang adalah paling menarik dan paling popular. Aku agak tersinggung. Macamlah aku ini membuat perancangan tanpa membaca. Macamlah dia pernah pergi ke New Zealand sebelum ini. Lagipun kami memang akan ke sebelah pantai barat juga. Kalau boleh kami memang ingin singgah keseberapa banyak tempat yang sempat. Aku telah banyak belajar dari pengalaman-pengalaman lepas. Tak usah terlalu terpengaruh dengan komen popular, kita harus tahu apa yang kita suka dan apa yang kita cari. Begitulah fikiranku.

Matahari masih bersinar dan udara nyaman. Waupun tak banyak kereta yang kami temui, sempat kami kejar mengejar dengan sebuah kereta kerana ia sangat mirip dengan model Kancil di Malaysia. Teringat pula kenangan aku dan Yatt merentasi Banjaran Crocker dari Kota Kinabalu ke Keningau dengan kereta kancil. Itu cerita tujuh tahun dahulu, ketika kami baru belajar mengembara. Yatt yang memandu dan aku di sebelahnya. Hari ini kami masih mengembara bersama-sama, Yatt memandu dan aku di sebelahnya, melintasi banjaran juga tetapi di negeri antah-berantah. Suasananya berbeza. Perasaan hampir sama. Bila berada di tanah tinggi, langit luas bak lautan, bumi tak habis mata memandang. Jalan yang kami lalui turun naik melintasi tanah tinggi dan lembah, tanah tinggi dan lembah, tanah tinggi dan lembah. Diikuti dengan gunung dan tasik, gunung dan tasik, gunung dan tasik. Tasik bersambung pula dengan jaluran sungai.

Maka apakah mereka tidak memerhatikan kepada unta,  bagaimana ia diciptakan?
Kepada langit , bagaimana ia ditinggikan?
Kepada gunung ganang, bagaimana ia ditegakkan?
Kepada bumi, bagaimana ia dihamparkan?2

Tasik dan gunung sentiasa berada di pemandangan kiri jalan. Seronoklah aku menikmatinya. Pemanduan di New Zealand serupa dengan Malaysia, stering pemandu di sebelah kanan. Tiga buah tasik ditemui sepanjang perjalanan, Tasik Benmore, Tasik Aviemore dan Tasik Waitaki. Airnya biru, tetapi bukan biru kerana debu batu (stone dust) seperti Tasik Pukaki, airnya biru menunjukkan dasarnya yang dalam. Seperti kata orang putih, deep blue water. Sangat memeranjatkan bila aku mengetahui, ketiga-tiga tasik ini adalah tasik buatan. Sekitar 1960, tasik-tasik dibina sebagai sebahagian projek hidroelektrik. Walaubagaimanapun, kesemua tasik kelihatan sangat semulajadi. Perjalanan kali ini lebih bernyawa. Lebih banyak pokok. Berwarna-warni pula. Rumput pun masih banyak yang hijau. Di satu tempat yang aku tak pasti di mana, ada dua aliran air mengalir selari. Satu sungai selebar beberapa meter dan satu lagi parit selebar setengah meter. Di antara keduanya tanaman hijau yang tak kukenali jenisnya. Parit tohor dan air jernihnya mengalir laju. Rumput-rampai yang tumbuh dibibir parit, sebahagaian daunnya menjulur ke dalam air, turut menari-nari mengikut deruan air. Sungai pula kelihatan dalam tetapi airnya lebih tenang. Berdekatan kawasan itu juga, aku sempat melihat orang memancing di sungai dengan menggelamkan separuh badannya. Ia dikenali sebagai teknik flying fish. Memancing di New Zealand memerlukan lesen. Sekiranya ikan yang ditangkap tidak cukup besar, ia perlu dilepaskan semula. Seterusnya kami saksikan tanaman anggur yang sudah kering. Juga ladang sayur yang tak dapat dipastikan sayurnya. Seperti bayam tetapi berdaun lebar. Kami juga melalui kawasan Rock Art. Di mana tebing-tebing batu di pinggir jalan penuh dengan dengan lukisan-lukisan Maori kuno. Aku tak pasti sama ada kawasan Rock Art tersebut di buka kepada orang awam.

Kami bergerak seratus kilometer sejam. Aku dan Yatt berbual-bual tentang banyak hal yang menyenangkan sambil aku mengambil gambar dan video secara rawak. Tak sangka aku dapat merakamkan pemandangan yang sangat cantik. Aku kira, perjalanan petang itu merupakan perjalanan yang paling seronok dan  pemandangan musim luruh paling indah aku nikmati sepanjang kembara kali ini.

Kami melalui banyak pekan kecil antaranya Otematata, Kurow, Duntroom. Atas permintaan Yatt, aku merekodkan video setiap kali kali bertemu pekan oleh itu aku lebih fokus dengan keadaan sekeliling. Kegiatan ekomoni dan sosial pekan-pekan ini tertumpu di pinggir jalan. Kalau engkau pernah melalui jalan Batu Pahat – Pontian, kau akan faham maksudku. Pekan-pekan ini mirip pekan Senggarang, Rengit, Benut, Ayer Baloi dan seterusnya yang dapat ditemui sepanjang jalan.  Yang mirip cuma coraknya, tapi suasananya tidaklah sama. Kedai runcit, kafe, stesyen minyak, garaj, gereja, sekolah didirikan di pinggir jalan utama. Semua kedai berpintu kecil. Sama ada sepenuhnya kaca atau sebahagiannya kaca. Pintu pula sentiasa tertutup. Berbeza dengan kedai-kedai di Malaysia yang pintunya sentiasa terbuka luas. Malah, keseluruhan dinding hadapan adalah pintu. Di pekan-pekan yang kami lalui, tiada penjaja makanan atau minuman di tepi jalan. Tiada juga kanak-kanak mahupun orang dewasa berkeliaran. Di setiap sempadan masuk pekan, akan ada papan tanda hijau dengan nama pekan dalam huruf putih dan peringatan had laju dalam bulatan merah. Pada bahagian belakang papan tanda yang sama juga ada peringatan had laju. Ringkas, minimal dan sungguh berhemat. Hmmm… aku tertanya-tanya, adakah konsep berhemat ini diaplikasikan dalam semua urusan wang negara?

Papan tanda Kurow

Lebih kurang jam tiga setengah petang, kami memasuki pekan Dutroon. Aku merakam video sambil  menyebutkan hal-hal yang aku lihat di kiri dan kanan jalan. Bangunan paling tinggi yang kelihatan ialah menara gereja, terletak di sebelah kanan. Aku nampak sebuah bangunan kecil di kiri jalan. Sebuah kereta berhenti di hadapannya. Bangunan itu dibina dengan batu blok dan tidak bercat sebalinya dindingnya dipenuhi lukisan. Aku nampak lambang figura lelaki dan perempuan. Segera aku mengenalnya sebagai tanda “TANDAS”.

“Tandas! Tandas!” Jeritku sambil menunjukkan arah tandas kepada Yatt.

Yatt agak terkejut, tetapi berjaya berhenti serta-merta. Kereta yang asalnya berada di hadapan tandas itu, bergerak dan terus meluncur laju sebaik saja kami berhenti. Kami belum lagi menunaikan solat zuhur dan sekarang telah masuk waktu asar. Tandas yang disediakan oleh komuniti setempat itu ringkas dan bersih. Satu bilik tandas dan satu sinki. Tersedia tisu tandas dan bakul sampah. Tiada tisu dilantai dan tak berbau hancing. Tahniah kepada penjaga dan pengguna. Ini satu lagi contoh tandas negara berkebajikan. Negara berkebajikan mengikut definasi aku sendiri di mana kerajaan dan rakyat sama-sama membuat kebajikan, sama-sama menjadikan negara tempat yang baik untuk didiami. Sikap ini sebenarnya telah wujud lama dulu, tetapi semakin lama semakin pudar. Aku tak pasti di mana silapnya. Contohnya, ketika zaman aku masih kanak-kanak, orang kampung selalu buat gotong royong. Mungkin sekali atau dua kali setahun bergotong royong bersihkan parit dan bahu jalan. Air parit bersih dan alirannya lancar. Aku ingat budak-budak selalu main rumput jarum yang tumbuh dalam parit. Ikan pon banyak. Zaman sekarang berubah. Nak korek parit pon tunggu kerajaan. Padahal, saban hari mereka melintasi parit tersebut. Malah parit tersebut menghilir di hadapan rumah mereka. Parit berlumut hijau tebal dan lekit. Kalau tempurung jatuh pon tidak tenggelam. Rumput panjang sampai ke tebing. Ikan ada, tapi bila ikan makan umpan kail, kita pon tak selera nak makan ikan tu sebab terbayang-bayang air hijau parit. Kemuncak masalah, banjir. Akhirnya kerajaan juga yang salah sebab tidak prihatin kepada parit. Kerajaan pon buat tender. Para kapitalis dan pegawai korup sentiasa pandai mengambil peluang ambil peluang. Projek = duit ( untung +  rasuah). Rakyat rugi, negara rugi. Oh, Malaysia yang kucintai.

Yatt membetulkan kedudukan van supaya selari dengan arah kiblat. Jadi, dua orang boleh solat serentak, seorang di dalam van dan seorang lagi menggunakan tikar di luar. Ketika aku selesai mengambil wuduk, Nott baru selesai solat.

“Awa, kau tengok di seberang jalan sana. Orang-orang tu dari tadi perhatikan kita”

Aku menoleh ke arah yang dimaksudkan Nott. Diseberang jalan, beberapa buah rumah banglo saling berjiran. Tanah di bahagian tersebut agak tinggi, jadi kedudukan rumah lebih tinggi dari jalan raya. Di kaki jalan berhadapan rumah-rumah tersebut, pohon-pohon kayu rendang dan merimbun redup. Sekaligus melindungi pandangan terus ke rumah mereka. Sebaliknya, mereka dengan mudah dapat melihat kedudukan kami dari rumah mereka. Di bawah pohon-pohon itulah, beberapa orang berbual-bual sambil memerhatikan kami.

“Dah lama ke dia orang berdiri di situ?” Tanyaku semula

“Masa aku nak mula sembahyang tadila” Nott menghulurkan telekung kepadaku. “Ha.. tengok tu seorang lagi datang”.

“Cuba kau lambai” saranku. Nott mengangkat tangan ke arah mereka. Kami sama-sama tersengih. Mereka membalas, mengankat tangan dengan sengihan juga. “Ha.. okey lah tu, rasanya dia orang tak apa-apa. Agaknya pelik tengok kau pakai telekung. Dah la angin kuat ni, berkibar-kibar macam bendera” Ujarku. Sememangnya telekung yang aku pakai sedang berkibar ditiup angin.

Aku pon menghadap kiblat dan bersolat.

Allah yang maha besar, dan segala kebesarannya …

Disaksikan gunung dari kejauhan dan hamparan padang hijau.

Sebanyak-banyaknya puji bagi Allah

Matahari petang bersinar lembut, tak menyilaukan mataku.

Maha suci Allah sepanjang hari dan petang

Angin sejuk datang mengelus wajahku.

Aku hadapkan wajahku kepada Tuhan yang mencipta langit dan bumi, dalam keadaan suci dan berserah diri 3

.

.

Sejahtera ke atas semua makhluk dan rahmat Allah bagimu 4

Ya Allah, kau berilah taufiq dan hidayahMu kepada aku, rakan-rakanku dan orang-orang yang sedang memerhatikan kami dari seberang jalan sana. Ya Allah, Engkau telah kurniakan kepada mereka negeri yang amat indah ini. Setiap hari mereka melihat tanda-tanda kebesaranMu. Ya Allah, atas jasa mereka kami dapat bersuci dan menunaikan tanggungjawab kami kepadaMu. Aku memohon dengan sifatMu yang maha kaya, pandulah mereka Ya Allah, supaya mereka dapat mengenali Engkau, Sang Maha Pencipta. Ya Allah, berkatilah perjalananku dan rakan-rakanku. Ajarkan kami ilmuMu dalam perjalanan ini sebagaimana engkau ajarkan Musa dalam perlajanannya. Lindungilah kami. Ampuni dosa kami. Jadikan kami ahli syurga dan jauhkanlah kami dari api neraka.

Ketika kami bergerak meninggalkan tempat tersebut, kumpulan pak cik dan mak cik tadi telah pon bersurai. Mudah-mudahan, selepas ini mereka siasat tentang orang apa yang memakai baju putih seperti bendera. Kenapa mereka bangun dan tunduk kemudian letakkan dahi di atas tanah. Siapa tahu dari perasaan ingin tahu dapat membawa mereka kepada mengenal Allah. Jika ia benar-benar berlaku, mudah-mudahan kami layak mendapat sedikit saham di yaumul mahsyar kelak.

Jika ada kesempatan, aku mahu berterima-kasih dengan penduduk Duntroon yang menyediakan kemudahan tandas awam di pekan mereka. Tandas awam terletak di pinggir jalan. Maka ia mudah dilihat dan disingahi oleh para pengembara yang melewati pekan mereka. Maklumlah di New Zealand, tiada kawasan rehat dan rawat sementalah tiada jalan bertol. Walaupon tiada tol, keadaan jalan rayanya sangat baik. Lagipula semua pekan, walaupun kecil sekurang-kurangnya mempunyai kedai runcit, kafe, stesyen minyak dan bengkel kereta yang mereka panggil garaj.

Nott mengambil alih stereng, Yatt mengambil tempatku dan aku berpindah ke tempat duduk belakang. Kami menjangkakan akan sempat sampai ke Maeoraki Builders sebelum matahari terbenam. Seterusnya bermalam di Teluk Campbell yang terletak diantara Moeraki Boulders dan Bandar Oamaru. Boulders adalah struktur batu bulat yang wujud di Pantai Moeoraki. Batu-batu ini terbentuk oleh aktiviti geologi beribu-ribu tahun dahulu. Kalau masa mengizinkan, kami mahu mendaki ke rumah api. Dan kalau bernasib baik dapat melihat penguin mata kuning.

Oleh kerana kami menuju ke Moeraki Boulders tanpa melalui Oamaru, kami mengambil jalan kampung. Berbanding jalan utama yang lurus, jalan kampung kurang lebar, bersimpang siur, turun naik bukit, melalui ladang-ladang sayur dan ladang-ladang ternakan kambing, lembu dan sesekali kuda. Keadaan jalan walaubagaimanapon baik. Tidak ada yang berlubang. Beberapa kali juga tersilap belok. Suatu ketika, jarak yang dipaparkan GPS semakin jauh bukannya semakin kurang. Oleh kerana pemandangan kiri kanan hampir sama, kami terkeliru beberapa kali. Akhirnya kerisauan ditamatkan oleh kelegaan. Jam lima petang kami selamat tiba di destinasi. Kami membelok dan menyusuri jalan berturap dan berhenti di halaman sebuah pusat pelancong. Namun, keadaan sekeliling senyap-sunyi. Perlahan-lahan kelegaan yang baru kami rasai terhapus. Pekerja-pekerja restoren yang sedang berkemas hanya melihat kami dari jauh. Kami kebingungan seketika.

“Aku rasa bukan tempat ni la. Ini macam restoren je. Tu pon macam dah nak tutup. Sepatutnya ada papan tanda DOC” ujarku.

Kami bergerak semula ke jalan utama. Rupa-rupanya kami silap mengambil lorong. Memang ada papan tanda yang menunjukkan kawasan letak kereta yang diselenggara DOC. Sekali lagi kami menyusur jalan menuju ke arah pantai. Kali ini jalannya tak berturap. Kawasan letak kereta DOC cumalah kawasan berpasir. Denai dalam semak-samun hampir setinggi manusia menuju ke tepi tebing tak bertangga. Berhati-hati kami bergiliran menuruni tebing. Walaupon sudah sangat mendekati waktu senja masih ada pengunjung di pantai ketika itu. Mungkin mereka sengaja datang pada waktu itu untuk menyaksikan matahari terbenam. Jauh di arah kanan, kelihatan rumah-rumah berserakan di tanah berbukit. Lampu-lampu mula menerangi rumah-rumah tersebut. Cantik dipandang dari tempat kami berdiri.

Yatt dan Nott sudah berada jauh di hadapan menghampiri batu-batu ajaib Moeraki Boulders. Aku pula melayan Abid yang melankolik setiap kali berjumpa pantai. Abid adalah pemuja pantai. Dia dan pantai ada hubungan magis. Walau seberat mana masalah yang sedang dihadapinya, saat dia berhadapan dengan pantai, segala bebanan jiwanya menjadi seringan kapas. Seperti kanak-kanak bila mendapat kebenaran menahan penjual ais krim, dia berlari-lari anak dengan gembira menuju gigi air tetapi bila saja ombak melanggar kakinya, dia terlompat ke depan.

“Sejuk!!!” Jeritnya. Selipar yang dipakainya terlucut dan dilarikan ombak yang bergerak malas. Aku hanya ketawa dari jauh. Kami bergilir-gilir bergambar di gigi air. Sekumpulan pengunjung orang putih melintasi kami.

“Bid, kau tengok tu. Orang yang lahir dalam salji pon tak berani nak pakai selipar macam kita, apa lagi rendam kaki dalam air”

“Bukan sebab dia orang tak jakun?” Abid ketawa nipis. Aku senyum kalah.

Kami berjalan lagi. Pantai ini tidaklah lebih istimewa dari pantai-pantai di Malaysia. Biasa saja. Lebih kurang macam pantai Teluk Kemang Port Dickson. Maksud aku, pasirnya kasar dan airnya tidaklah hijau. Cuma airnya sejuk seperti ais. Hal yang tak biasa ialah, aku tak jumpa walau satu sampah kecuali sampah semulajadi. Maksud aku, sampah dari lautan. Aku tak tahu apa sebenarnya, mungkin tumbuhan dari dasar laut. Banyak bersepah di pantai. Sekali lihat rupanya seperti tiup-tiup getah yang berselirat. Kelihatan lembik dan menggelikan. Aku mengajak Abid mempercepatkan langkah kerana hari semakin suram. Bulan sebenarnya telah terbit.

Sampai di kawasan batu-batu bulat, seorang lelaki sedang mendirikan tripod kameranya menghadap matahari terbenam. Kami pula menyibuk nak bergambar di batu-batu itu. Memang ajaib, batu-batu di sini benar-benar bulat. Bukan satu tapi banyak. Ada yang masih utuh, ada yang sudah merekah. Salah satu batu terpokah di bahagian atas dan kita boleh masuk ke dalamnya. Di kalangan pengungjung ia dikenali sebagai telur dinasour.

Puas bergambar, kami pon berjalan lagi. Aku tidak berpuas hati kerana rumah api langsung tidak kelihatan dari situ. Agak kecewa juga kerana tak sempat kami hendak mencarinya. Pantai Moeraki mengunjur berkilometer panjangnya.Tetapi jarak antara gigi air (waktu itu air mula pasang) ke daratan iaitu tebing setinggi sepuluh kaki hanya selebar kira-kira dua puluh kaki. Aku mengajak kawan-kawanku ke atas tebing. Aku pon tak tahu kenapa aku mahu sangat ke sana semata-mata kerana aku nampak papan tanda DOC terlekat di tangga kayu tak jauh dari kawasan batu-batu bulat tadi. Yatt keberatan tapi aku terus mendesak. Seperti biasa, aku menang. Akhirnya kami semua kami memanjat tangga kayu tadi. Tebing ditumbuhi pokok renek berbunga kuning. Rupa-rupanya ada lorong pejalan kaki dan platfom peninjau. Maklumat tentang sejarah dan geografi Moeraki Boulders dipersembahkan di situ. Selain itu ada juga maklumat tentang spesis burung dan pokok yang berhabitat di kawasan itu.

Lorong itu dinaungi oleh rimbunan pokok di kiri dan kanan. Kalau kita melaluinya pada waktu tengah hari, tentulah ia sangat menyenangkan. Dengan tiupan angin laut, mungkin akan menambah suasana romantis. Tetapi melaluinya pada waktu maghrib, bukanlah idea yang bijak. Ketika kami masih menyusurinya, matahari telah tenggelam dan suasana serta-meta menjadi gelap dan menyeramkan. Aku mengutuk diriku sendiri kerana kedegilan aku telah membawa kawan-kawanku ke situ. Masing-masing diam dan berjalan laju. Ah, kawan-kawan, maafkan aku.

Sangat-sangat melegakan bila lorong berakhir di pusat pelancong yang kami tersilap masuk ketika mula-mula sampai tadi. Tertulis di iklan rentang bahawa kasawan itu adalah kawasan komersil. Untuk turun kepantai menggunakan akses mereka perlu membayar yuran. Tetapi semua kedai dan restoren telah tutup. Kami rasa, tidak mengapalah kalau kami menggunakan laluan mereka. Lagipon kami tiada pilihan, untuk keluar ke tempat meletak kereta melalui jalan luar, kami perlu berjalan satu kilometer. Sedang kami teragak-agak, sebuah bas pelancong berhenti di halaman hadapan. Beberapa orang lelaki berbangsa Cina keluar terburu-buru. Mereka kemudiannya berbaris di tepi halaman dan membuang air kecil! Uh… manusia akan membawa diri dan tabiat mereka kemana-mana saja. Seluruh isi bas juga keluar kemudian berebut-rebutan menuruni tangga ke pantai. Rombongan mak cik kiah rupanya. Suasana sangat kecoh, mereka terjerit-jerit bila bercakap. Kami hanya melihat gelagat mereka. Semua ahli rombogan terdiri dari golongan separuh umur. Perempuan lebih ramai dari lelaki. Berbangsa Cina tetapi tak tahulah dari negara mana asal mereka. Kami adalah halimunan walaupon mereka lalu lalang di hadapan kami. Selepas kekecohan selesai, kami perlahan-lahan turun ke pantai dan berjalan semula ke van.

Van bergerak ke arah Oamaru. Hari sudah gelap.

“Ikut saja jalan pantai” Pesanku pada Nott. GPS Abid belum dapat mengenalpasti destinasi kami.

Nott terus memandu sampailah di satu kawasan, aku tersilap membuat pilihan (jalan yang perlu diambil). Aduh, kami bergerak menjauhi pantai. Sungguh aku rasa tak sedap hati. Itulah akan terjadi jika kita memilih tanpa mengetahui apa sebenarnya pilihan kita. Ini baru saja contoh memilih jalan. Dalam hidup kita ada banyak lagi pilihan penting yang mesti di lakukan. Memilih pasangan hidup, memilih kerjaya, memilih pemimpin dan paling penting memilih agama. Ya, benar. Kita perlu memilih agama yang kita mahu anuti. Aku suka benar dengan pesanan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil lewat blognya; walaupon kita lahir sebagai muslim, pastikan kita muslim kerana kita memilih untuk jadi muslim. Pesanan ini telah menamparku dan memaksa aku membuat kajian dan pilihan dari pilihan-pilihan yang ada.

Dalam kesesatan, tetap ada hikmah yang Allah mahu berikan. Jalan tadi membawa kami ke kawasan yang berpenduduk.

“Ha.. depan tu ada kedai, tak nak singgah dulu beli apa-apa?” Tanya Yatt.

“Singgah je la, bekalan kita cuma ….. err… cuma mee segera” Aku memberi kata putus.

“Awa, kalau kau kata tak nak singgah pon, aku tetap nak singgah. Aku tak nak makan mee segera lagi malam ni” Aku hanya ketawa kecil mendengar kata-kata Nott. Aku pon rasanya sudah tidak dapat menelan mee segera lagi. Sementalah, aku memang tidak menggemarinya.

Kedai atau lebih tepat pasaraya kecil itu terletak di tepi jalan tetapi mukanya menghadap ke kanan. Halamannya luas dan berturap tetapi tak berlampu. Kedai-kedai di sana, walaupun kecil dan terletak di kampung, tetap kelihatan moden kerana biasanya separuh dindingnya adalah kaca dan pintunya juga jenis pintu kaca berbingkai. Berbeza dengan kedai-kedai dan pasaraya di Malaysia yang pintunya terbuka luas. Ini kerana negara mereka mempunyai empat musim. Dengan ruang tertutup lebih mudah mengawal suhu di dalam premis. Dalam suhu sejuk seperti sekarang (sekarang pon belum masuk musim sejuk), berada di luar adalah satu penyeksaan kepada tubuh.

“Mana tempat parking ni? Aku berhenti depan pintu kedai boleh tak? Ada sesiapa ke nak tunggu dalam van?” tanya Nott.

Ah, Nott kau memang orang Malaysia sejati. Aku menawarkan diri tinggal di dalam van. Aku tak berkasut, leceh betul nak menyarung kasut. Hendak berstokin dan berselipar, selipar pula berpasir. Tak pasal-pasal stokin kotor pula. Abid juga enggan turun. Dia masih berusaha mencari lokasi kami bermalam, Teluk Campbell. Sementara menunggu mereka, aku berkemas apa yang patut. Namun, walau apa cara pon barang disusun, kondo kami tetap sempit. Tetap ada barang merata-rata. Aduhai!

“Beli apa?” tanyaku sebaik saja mereka masuk ke dalam van.

“Roti, susu, keju dan kentang. Jem tak beli mahal sangat” Jawab Yatt.

“Itulah, aku pon terperanjat. Jem semua lima dolar ke atas. Keju keping ni baru tiga dolar lebih. Kentang segera pon tiga dolar lebih sekilo” Ulas Nott pula.

“Beras tak ada ke?” Tanyaku sedikit kecewa.

“Tak ada. Jadi orang putih la kita malam ni, roti dengan kentang. Tak apa, janji bukan mee segera” Yatt seolah-olah memujuk.

Ah, nasi betapa aku merinduimu. Bayangkanlah betapa laparnya kami waktu itu. Cuma mee segera  kari kembang semangkuk, sashimi salmon dan beberapa keping cheesy short bread yang masuk ke perut sedari pagi. Waktu sejuk-sejuk begitu, alangkah sedapnya kalau dapat makan nasi dan sup tulang panas berasap dengan sambal kicap pedas berapi. Perghhhh..!!

“Awa, aku tak jumpala Campbell Bay” Abid mematikan angan-anganku.

“Akak dapat maklumat tempat ni dari mana?” Yatt pula bertanya.

“Dari website rankers tu la. Ada dua tiga komen kata pernah duduk situ. Tempat tu bukan tempat komersil, macam projek komuniti. Free site. Agaknya sebab tu tak ada kat GPS tapi kalau cari dalam Google map ada” Aku sangat menyesal tidak membawa cetakan peta dari Google map. Inilah padahnya kalau terlalu percaya kepada gajet berteknologi canggih. Aku sangkakan, dengan GPS sudah memadai. Atau pon, sepatutnya, aku beritahu Abid supaya menandakan di GPS destinasi-destinasi kami semasa di Malaysia lagi.

“Tapi nama Campbell Bay tu pon tak jumpa” Abid masih tak berputus asa dengan GPSnya.

“Apa kata pergi Oamaru? Boleh tanya dekat i-Site” Aku teringat salah satu komen yang menceritakan mereka mendapat tahu tentang Campbell Bay dari i-Site di Oamaru.

Kami pon terus bergerak ke Oamaru. Jalan berbelok-belok, gelap tanpa lampu. Van kami memotong seorang lelaki yang sedang berbasikal. Walaupon hari sudah gelap, masih ada lagi orang berbasikal. Lelaki itu memakai baju sukan, mengayuh dengan kelajuan sederhana sambil memegang tali anjing dan anjingnya berlari di belakang basikalnya. Nott melahirkan rasa kasihannya kepada anjing itu. Aku melihatnya sebagai satu cara yang kreatif untuk membawa anjing berjalan-jalan. Kami juga melalui rumah ladang yang menyediakan kabin untuk disewa. Farm stay juga aktiviti yang menarik yang boleh di lakukan di New Zealand. Konsepnya seperti Home stay di Malaysia. Pengunjung boleh merasai kehidupan peladang. Mungkin juga berpeluang melakukan kerja di ladang. Mengejar kambing atau memerah susu lembu. Aku dan Abid ada juga berangan hendak tinggal semalam di rumah ladang. Tetapi tak banyak rumah ladang yang menyediakan tapak untuk campervan. Sewa kabin pula sangat mahal. Sekitar lima puluh hingga seratus dolar untuk seorang.

Sebaik saja kami mendekati kawasan Oamaru, kami cuba berpusing-pusing mencari kalau-kalau ada papan tanda bertulis Campbell Bay. Dalam kesesatan itu, aku dapat maklumat baru. Ada beberapa pantai yang di tertakluk di bawah kuasa DOC di mana pengunjung boleh melihat penguin pulang dari laut setiap hari. Kalau ditanda dengan DOC, maksudnya ia adalah percuma. Di pekan Oamaru, ada sebuah pusat konservasi penguin. Pengunjung boleh melihat penguin di situ. Bayaran yang dikenakan ialah NZD12 atau NZD18 untuk lawatan siang dan NZD25 untuk lawatan malam sekaligus melihat penguin naik ke darat. Penguin biru hanya naik ke pantai ketika matahari terbenam. Kami tidak merancang pergi ke pusat tersebut kerana ia sangat mahal bagi kami. Sebaliknya aku telah merancang untuk melihat penguin di Portabello lusa.  Lagi pula, aku lebih suka jika dapat melihat penguin di kawasan semulajadi.

Setelah puas berpusing-pusing dan sesat, kami terus masuk ke pekan dan mencari pejabat i-Site. Pejabat i-Site terletak di lot penjuru, sayangnya ia telah gelap. Keseluruhan pekan telah tidur sedangkan malam baru berlabuh. Baru melepasi jam tujuh. Mungkin dalam cuaca sejuk begitu, penduduk lebih suka berkurung di rumah. Beberapa orang muda, aku rasakan mereka adalah pelancong, berjalan berkumpulan menuju pekan. Mungkin mencari tempat hiburan dan minum-minum. Melihat keadaan sekeliling aku rasa aku perlu berputus asa. Menelan ego dan membatalkan rancanganku sendiri. Aku tak mahu sekali lagi memangsakan kawan-kawanku kerana kedegilanku, atau kerana hendak berjimat beberapa puluh ringgit. Baru aku hendak membuka mulut, Yatt mencadangkan supaya kami mencari orang untuk ditanya. Nott pon menghidupkan semula enjin van dan bergerak mencari stesyen minyak. Satu-satunya premis yang kami yakin masih beroperasi di waktu itu.

Aku dan Yatt beriringan menuju ke dalam kedai di stesyen minyak tersebut. Seorang lelaki tua berdiri di belakang kaunter. Fizikalnya tinggi dan kesemua rambutnya telah putih. Dia memakai topi besball. Bila kami tanyakan tentang Teluk Campbell, dia mengerutkan dahi. Menurutnya, dia telah tinggal di Oamaru selama tiga puluh lima tahun tetapi ini pertama kali dia mendengar nama Teluk Cambell. Dia mencadangkan supaya kami bermalam saja di Oamaru Holiday Park.

Hampir jam lapan malam. Tiada pilihan lain, kami pun bergerak ke Oamaru Holiday Park. Kalau kami terlambat, bimbang tidak dibenarkan masuk. Kami tak yakin boleh bertemu Cambell bay dalam keadaan gelap di tempat yang sangat asing pula. Kami umpama orang buta. Nott memberhentikan van betul-betul di hadapan pintu pejabat Oamaru Holiday Park. Aku turun dan mendapati tiada sesiapa di dalam pejabat tersebut. Sudah tutup kah? Risaunya aku. Bagaimana akhirnya nasib kami malam ini? Sedang aku meninjau-ninjau, seorang perempuan muda berbadan gempal menegur dari belakang. Aku terkejut sekaligus lega. Sempat aku lirik pada skirtnya yang hanya separas lutut. Aii… aku ini berbungkus pon masih kesejukan. Hebat sungguh kulit orang Oamaru. Dia segera membuka pintu pejabat yang sebenarnya tidak berkunci dan mengajakku masuk.

Walaupon beza sewa tapak berelektrik dan tidak berelektrik cuma tiga dolar (NZD 19pp untuk powered site dan NZD16pp untuk non-powered site), kami sepakat menyewa tapak tidak berlektrik. Kerana malam itu adalah ‘malam sejuk’ bagi kami. Banyak campevan dan caravan yang bermalam di situ, tapak perkemahan hampir penuh.  Kebanyakannya menyewa tapak berelektrik. Namun, semua orang berkurung di dalam kenderaan masing-masing. Di hujung barisan kami, penyewa tapak berkhemah. Tak dapat aku bayangkan betapa sejuknya tidur di dalam khemah. Bersebelahan kami pula kacukan MPV dan khemah. Lucu tetapi benar. Di badannya tertulis “SPACESHIP”. Ia sebenarnya Toyota model Estima yang di ubah suai menjadi campervan berkapasiti dua orang. Ciri yang menjadikannya seperti kapal angkasa ialah sarung dari material khemah yang dipasang di bahagian belakangnya dengan pintu bonet belakang terbuka. Ini akan menambahkan sedikit ruang dan memberi rasa dan ilusi “lapang” ketika tidur. Sesetengah orang tidak boleh tidur di tempat yang sempit.

Tapak tidak berelektrik adalah barisan paling belakang dari bangunan fasiliti yang menempatkan dapur dan bilik air. Petak kami berada di bawah pokok kayu tinggi dan belakang kami belukar. Kedudukan kami jauh dari lampu.  Walaupon kenderaan-kenderaan lain masih bercahaya, tetapi tiada suara kedengaran. Sudahlah gelap, sunyi dan sejuk pula. Seperti biasa, kami bentang tikar dan solat di luar van. Arah kiblat menghadap belukar. Sepanjang lima rekaat yang wajib dilunaskan, aku rasa seram sejuk dan berdebar-debar. Sungguh berbeza dengan situasi solatku siang tadi.  Walaupon bersolat di tepi van, pintu van sentiasa tertutup kerana angin sangat sejuk. Jadi perasannya seolah-olah bersendirian di luar. Lebih malang bagi aku, ketika aku solat, semua kawan-kawanku tiada di van. Ada yang ke tandas, ada yang ke dapur. Aku takut hendak memandang belukar yang gelap pekat. Bila angin bertiup, dahan-dahan kayu dan daunan bergeser dan berdesir. Bunyi ranting jatuh menimpa bumbung van pon bisa membuatkan aku terperanjat dan kedengaran sangat menakutkan.

Selepas membersihkan diri dan bersolat, kami menghabiskan malam di dapur. Panas, luas, selesa dan ada telivisyen. Selain itu ada banyak buku-buku panduan pelancong yang boleh diambil percuma. Kami bukannya hiraukan sangat siaran TV. Kami berbual-bual saja tentang macam-macam hal. Maklumlah, setahun sekali bertemu begini. Aku berbisik pada Abid, meminta maaf kerana tak dapat menunaikan janjiku untuk kami bermalam di tepi pantai. Abid sebenarnya tidak kisah, dia lebih dari faham, dalam kembara perlu sentiasa menjangkakan hal yang tak terjangka. Walau sebaik mana pon rancangan kita. Yatt membeli kupon internet. Lima dolar sejam, lapan dolar untuk dua jam. Aku menumpang kasih Yatt. Aku hantar pesanan lewat Fabebook pada abang dan kakakku, berkirim salam pada bonda dan beritahu yang aku sihat sejahtera di negeri orang. Tanah air telah bergegar hari itu. Peti mesej Facebook ku juga disinggahi pesanan. Seorang kenalan memberi sedikit peringatan tentang gerakan Bersih. Aku tak baca pesanannya, terlalu panjang dan aku boleh agak apa isinya. Nanti saja, bila pulang baru aku balas, begitu fikirku.

Akhirnya hari yang sangat panjang kami harungi dengan selamat. Hari ini aku rasakan lebih panjang dari semalam. Dari Tasik Tekapo, Tasik Pukaki, Gunung Cook, Twizel, Merentasi banjaran Southern Alps, Otematata, Tasik Benmore, Tasik Aviemore, Tasik Waitaki, Kurow, Duntroon, Moeraki Builders dan berakhir di Oamaru. Kira-kira tiga ratus tujuh puluh tiga kilometer (373KM). Malam semakin sejuk. Stokin ku pakai dua lapis. Aku dan Yatt tidur mengerekot. Belakang kami saling bertemu.

This slideshow requires JavaScript.

Advertisements

36 thoughts on “New Zealand 10: Perjalanan yang panjang I

  1. haaaaa…paling puas…panjang sungguh..mcm ni la…
    berbaloi tunggu lama…
    tapi itu la, bila dah abis baca, rasa geram plak nak tunggu lama lagi untuk next entry..
    x sabar rasa nak menulis trip ke india nanti…byk pulak blogger blogger travel yg penulisan semua mcm novel..
    rendah diri rasa

  2. Oleh kerana entry panjang kali nie…aku cuci mata dulu…bagi feel sikit sebelum baca….Credit to photographer …gambar yang sangat2 cantik :)).
    Err….”parit tohor”? Antara kesilapan2 ejaan …nie je yang aku tak dapat teka apa sebenarnye!
    Semoga doa Awa masa kat pekan Dutroon dimakbulkan olehNya…insyallah…

  3. cerita pasal moeraki boulders rasa macam overated..sampai sana frustrated jugak..ingatkan banyak..tapi skit je
    tapi view sunset kat situ memang cantik!

    • Aku pon rasa kalau x pegi rasanya tak ralat sangat. Tapi kalau tak pegi, macammana nak tau kan? Oamaru pulak underated. Teruja betul kita kan? Aku rasa kalau sehari kat oamaru pon best, nak masuk semua kedai. Petang2 tunggu penguin balik

  4. Wow! Sungguh panjang,agak letih juga membaca.

  5. kak.. yang rege minyak tu NZD2.19.. kalau NZD1.19 maunye kita isi bertong2 buat stok.. ekkekekeke..

  6. citer novel best, gambar 1st class, video pun not bad. apa lagi nak cakap? btw, timakacih la pasal share kat public. dapat gak nengok tapi dengkinya tak leh gi bulan ni, nak tunggu bulan 5 tahun depan lambatnya, buatnya mati esok ke lusa ke, tak pejam la mata kita. iskh. iskh. anyway, congratulation pasal berani sahut cabaran, 4 anak muda bawak campervan round NZ memang mengagumkan. be proud ladies. nak tanya, tohor tu bukan slang teganu ke? thanks again for sharing with us.

    • terima kasih. terima kasih. terima kasih 🙂

      tohor tu bahasa melayu standard. tapi biasa jumpa dalam ayat sastera saja. klau slang terengganu, apa maksud tohor? maksud kat sini cetek

  7. kalu slang teganung, tohor tu = cetek. ingatkan orang sana tadi. btw, bila nak sambung blog citer NZ ni? tak sabar nak tumpang happy ni. makasih bebanyak la share kat sini.

  8. makasih sekali lagi. tuhan aje la balas budi baik kamu.

  9. insyaallah ……………..

  10. cik nurul, cuti deepavali & awal muharam tak abis lagi ke? hehehe

  11. iskh iskh kesian dia, kesian dia. takpe takpe sabar sabar. ada masa update la blog tu. makasih.

  12. MasyaAllah..! Love the way you relate your story to sang Pencipta, keep it up. Terima kasih, really enjoy it!

  13. I was wondering if you ever considered changing the page layout of your website?
    Its very well written; I love what youve got to say. But maybe you could a
    little more in the way of content so people could connect with it better.

    Youve got an awful lot of text for only having 1
    or 2 pictures. Maybe you could space it out better?

    • Hey, thank you for your comment. I’m a writer not a photographer, so I don’t have many stunning photos 😀

      Anyway, I’ll try to put more picture in the future and video too. My goal is to publish this story as a book. That’s why there’s a lot of text. hehe

  14. slang tranung tohor tu cetek gok..”tohor je air boh kali ni”..

  15. ye betul..panda doh kak awa cakak trg

  16. Satu penulisan yang asyik dan santai.
    Tahniah… atas segalanya..perjalanan, penceritaan dan pengalaman

  17. Sungguh indah dan mengasyikkan.
    Terleka dalam khusyuk untuk menghabiskan ayat demi ayat, baris demi baris hingga ke nokhtah terakhir
    Semoga menjadi panduan untuk saya dan semua
    Jazakallah

  18. Semestinya NZ menjadi our next destination… sangat cantik….

  19. nice write up. Thank you. I’m using your blog as a reference for my trips. Thank you. Thank you. May Allah bless you.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s