Menanti Sang Ratu mentari dan mencari Bromo yang misteri


Bumi masih gelap namun fajar sudah muncul di ufuk timur. Jelas pancarannya kerana aku kini berada di tanah tinggi. Aku memaksa kaki terus melangkah. Melawan graviti, membawa badanku yang berlebihan berat. Adoi… waktu ini menyumpah-nyumpah diri sendiri kerana rajin makan tapi malas bersenam. Tetapi bukan kaki ku saja yang tersiksa. Hidungku juga berprotes, enggan menyedut nafas. Lalu aku tercungap-cungap kelelahan. Jantung bekerja lebih laju dari biasa. Sungguh , ini semua di luar jangkaan. Suasana subuh di pergunungan sepatutnya sejuk, nyaman, menyegarkan dan aman tetapi suasana di sini kacau-bilau. Waktu ini, beratus-ratus orang sedang berpusu-pusu memanjat puncak Penajakan Satu untuk melihat panorama Bromo ketika matahari terbit. Berbaloikah seluruh perjalanan ini?

……………………………………………..

Aku cuma dapat tidur tiga jam sahaja. Setelah lebih empat jam perjalanan dari Surabaya  kami sampai di rumah tumpangan di Desa Cemoro Lawang menjelang tengah malam. Jam tiga pagi, pintu bilik diketuk orang. Tilam hangat seakan magnet yang membuatkan tubuhku berat untuk bangkit.  Bilik tanpa penghawa dingin elektrik tetapi sejuknya bukan main. Bila kami keluar ke halaman. Berpuluh-puluh jib sedang memuatkan penumpang.

“Bunyikan hon” arahku kepada Rudi, pemandu jip kami.

Dia membatu, pura-pura tidak mendengar padahal dia enggan mengikut arahanku. Kami berenam telah memenuhi jip tetapi tak dapat bergerak kerana laluan terhalang oleh jip lain. Nampaknya tiada pilihan kecuali bersabar. Akhirnya jip kami pon bergerak perlahan-lahan. Kami ketawa gembira dan teruja. Rudi sangat peramah dan tak berhenti bercakap. Tak lama kemudian, keadaan jalan menjadi sukar. Teroleng-oleng ke kiri dan ke kanan seperti orang mabuk.

“Tempat ini benar-benar tumpuan pelancong. Kenapa tak di bina saja jalan tar hingga ke puncak seperti di Tangkuban Perahu?” soalan tiba-tiba termuntah dari mulutku.

“Rasanya orang datang ke sini hendak mencari adventure. Sebab itu dibiarkan semulajadi” Zati menjawab pertanyaanku.

Tak semena-mena aku rasa tersindir. Itulah padahnya bertanya tanpa berfikir. Sudah setahun tak mengembara, aku jadi mengada-ngada. Sikit-sikit nak komplen. Zati benar, kami sebenarnya tidak berjalan di atas jalan tapi di atas dataran pasir bersimen lumpur yang berlekuk-lekuk kesan dari aliran semulajadi air. Hal ini hanya aku ketahui ketika kami pulang pada siang harinya. Lekuk yang paling besar lebarnya hampir semeter dan beberapa kaki dalam. Aku mengagak dari kesan gerakan jip, kerana hari masih gelap dan kami tak nampak apa-apa. Patutlah mesti berjip atau bermotorsikal di sini. Kalau kereta biasa tentu terbenam. Fikirku sendiri. Beberapa minit kemudian jalan mula membukit. Bunyi jip menderam-deram seperti memarahi bukit kerana terlalu curam. Mungkin juga memarahi kami kerana kuat makan. Semakin curam laluan semakin kuat bunyinya tetapi ia bergerak semakin perlahan.

“Tengok sana tu!” Yatt menunjuk ke bawah, jalan datar yang kami tempuh tadi.

Dalam gelap pekat awal pagi kelihatan berpuluh-puluh, mungkin juga mencapai ratus, objek bergerak dalam barisan berkelok-kelok seperti lipan gergasi di mana setiap kaki lipan memancarkan cahaya. Itulah lampu-lampu jip yang berarak menuju destinasi yang sama dengan kami. Melongo-longo kami kekaguman. Tak sanggka Bromo begitu popular.

“Setiap hari begini?” Tanyaku pada Rudi.

“Iya, kalau hari biasa sekitar lima puluh hingga eman puluh buah jip. Jika hari minggu atau libur boleh jadi mencecah dua ratus jib”.

Terlopong kami mendengar jawapan Rudi. Dua ratus darap enam orang setiap jip, seribu dua ratus orang. Hebat sangatkah Bromo? Jip-jip yang tiba lebih awal mendapatkan tempat parking terbaik, beratur di kiri kanan jalan berturap. Kami berenam diturunkan hanya kira-kira lima ratus meter dari puncak. Semakin lambat jip tiba, semakin jauhlah pengunjung perlu berjalan. Puluhan motorsikal bersimpang-siur menurun naik jalan berbukit itu mencari pelanggan untuk dibonceng. Suluhan cahaya dari lampu-lampu motorsikal sesekali menyilaukan mata. Jika sekadar silau mata tidak mengapa. Yang paling menyiksakan ialah bau asap motorsikal luar biasa busuknya. Asap yang tak kelihatan menguasai ruang udara yang telah sedia sesak dengan gerombolan manusia.

“Ojek! Ojek! Ojek! Ojek!” Para pemandu motorsikal mencari pelanggan.

“Ojek! Ojek! Dua puluh ribu!”

Para pemandu motorsikal bijak membaca riak muka. Mereka menyasarkan wajah-wajah yang jelas kelelahaan dan kelihatan terseksa melawan graviti disamping membawa berat badan berlebihan. Ya, orang-orang yang seperti aku. Walaupon dalam suram-suram cahaya mereka dapat mengesannya, seolah-olah mereka punya sensor ajaib. Satu demi satu motorsikal menuju ke arahku, berhenti betul-betul di depan aku. Aku terpaksa mengelak ke kiri atau ke kanan. Olah mereka membuat aku jengkel. Sudahlah penat, bau asap motor busuk, tak boleh bernafas, jalan terhalang lagi. Memang idea untuk membonceng datang berkali-kali difikiranku, tapi aku ada sedikit ego lagi yang berbaki membuat aku terus gagahkan kaki.

“Ojek! Ojek! Ojek! Ojek!” Para pemandu motorsikal tak mudah berputus asa.

Ah, Awa, tak perlu marah. Merekakan cuma berusaha mencari rezeki.  Belas kasihan  menasihati ego.

“Ojek! Ojek! Sepuluh ribu!” Semakin ke atas, harga semakin murah dah motorsikal pon semakin kurang.Lampu-lampu dari kedai dan warung mula kelihatan. Aku memujuk diri. Sedikitttt lagi Wa!

Akhirnya sampai juga kami di kawasan wisata. Jalan tak curam lagi. Perlahan-lahan aku mengatur nafas semula. Degup jantung pon mula memperlahan. Tapi suasana masih riuh dan huru-hara. Kini di serbu pula oleh penjual baju sejuk dan sarung tangan. Aku merendahkan pandangan dan berjalan laju-laju, cara paling mudah dan sopan mengelakkan mereka. Deretan warung sibuk dengan pengunjung-pengunjung yang bersarapan atau sekadar minum kopi. Penjaja jagung bakar duduk sebaris di sebelah kiri. Seleraku terbuka. Tapi oleh kerana terlalu ramai manusia yang berpusu-pusu aku tak dapat mendekati.

“Turun nanti nak beli jagung!” ujarku kepada Yatt yang berjalan di hadapanku. Tak pasti sama ada dia mendengar atau tidak.

Fajar di ufuk timur

Fajar di ufuk timur

Aku suka memerhatikan manusia jadi agak terganggu dengan suasana sekitar. Hilang sedikit tumpuan pada perjalanan. Namun, kaki terus bergerak mengikut arus manusia yang semakin ramai. Tanpa aku sedari aku kehilangan Yatt. Sedang aku terpinga-pinga, sejurus sebelum aku sampai di anak tangga pertama pelantar peninjau, aku dengar namaku dipanggil. Rupa-rupanya kesemua lima orang kawan-kawanku sudah menunggu.

“Solat! Solat!” Kak Rin menunjukan sebuah astaka kecil.

Aku dapat lihat  figura manusia rukuk dan sujud. Ramai yang sedang menunggu giliran. Tak ada sempadan lelaki dan perempuan. Ah, dalam keadaan begini, tak perlu banyak bicara. Aku mengesan sedepa tanah lapang yang agak strategik di sebeleh kanan berdekatan tebing. Ia terlindung dengan tembok batu. Sebenarnya kawasan itu kawasan larangan. Ada pagar dawai separas lutut tetapi sudah terpokah sedikit. Kawan-kawan ku sedang mengambil giliran di belakang astaka.

Aku mengajak Ayu bersolat bersamaku. Kami menyusup pagar yang terpokah. Lantas aku membentang kanvas dan kami tak bertangguh mengangkat takbir. Beg sandang tidak kulucutkan dari badan tertapi aku terbalikkan muka beg melekap ke badan. Keadaan ini sudah dijangka, kami telah siap-siap berwuduk sebelum memulakan perjalanan. Hari itu baru aku tahu, menjaga wuduk ketika berjalan mendaki bukit bukannya mudah.

Nongkrong dalam gelap

Nongkrong dalam gelap

Baru selesai solat subuh, menunggu Sang Ratu

Bertahan dalam sejuk. Baru selesai solat subuh, menunggu Sang Ratu

Selesai solat, kami bergerak mendekati tebing terus mengadap ke ufuk timur. Di belakang kami tembok batu setinggi dua meter dibina menebing pelantar peninjau. Di atasnya telah penuh dengan manusia. Seorang pemuda malahan bertenggek di atas tiang batu yang meniang palang-palang besi yang memagari pengunjung supaya tidak melepasi kawasan aman. Ya, kawasan tidak aman itu adalah di tempat kami berdiri sekarang,  sangat berdekatan tebing. Ramai juga yang turut menyusup masuk ke situ termasuklah sepasang pelancong Eropah. Si lelaki telah siap-siap mendirikan tripod kamera. Kami pon tak mahu kalah. Masing-masing mengeluarkan kamera kompak. Lebih sadis, aku hanya mampu berkamera talifon.

Bulan kesunyian

Bulan kesunyian

Bulan masih bulat. Jauh menyepi dalam kegelapan tak dipedulikan orang. Urat-urat jingga mula muncul di ufuk timur. Serakan warna biru pekat muncul di atas jaluran jingga yang semakin menebal. Warna biru pekat mencair bila terserak lebih luas, memakan langit hitam. Seperti inci yang dititis di permukaan air. Bayang-bayang awan nipis seperti carikan gula kapas mula kelihatan. Perlahan-lahan langit berubah warna. Dari hitam gelap kepada kelam kelabu akhirnya menjadi luas dan membiru. Biru lembut seperti kasih sayang ibu.  Sayangnya Gunung Bromo dan Semeru berada di sebelah tenggara. Kami tidak dapat ke kawasan tersebut kerana terlalu ramai manusia. Sebelum ini aku bayangkan matahari akan muncul di celah-celah Bromo dan Semeru, sangkaanku meleset sama sekali.

Tak tahu nak tulis apa. Kau rasakan sendiri :)

Tak tahu nak tulis apa. Kau rasakan sendiri 🙂

Biru langit semakin mencair sedangkan sinar jingga semakin memekat dan berkilat. Cahaya jingga bergerak lurus menyentuh awan putih, menembus di lubang-lubang awan. Suasana semakin meriah dengan sorak-sorai anak-anak muda sewaktu Sang Ratu mula menampakkan diri. Dengan perlahan-lahan Sang Ratu muncul. Silaunya mula memanah mata. Dan tatkala Sang Ratu Mentari menampakkan keseluruhan dirinya, anak-anak muda bersorak dan bertepuk tangan. Bumi pun cerah hingga ke tanah. Alangkah indahnya jika aku berada di tempat yang terasing dan menyaksikan keindahan ini dalam ketenangan dan jauh dari hiruk pikuk manusia.

Anggunnya Sang Ratu :)

Anggunnya Sang Ratu 🙂

Para primadona

Para primadona

 

Gazebo tempat solat

Gazebo tempat solat

 

Para pengunjung yang tadinya tertumpu kepada Sang Mentari mula bertebaran. Aku, Yatt dan Ayu naik ke atas pelantar peninjau. Tak sedar kami terpisah dengan Kak Rin, Zati dan Razat. Kami terus bergerak ke bahagian paling tenggara. Dari situlah dapat disaksikan pemandangan Gunung Batok, Gunung Bromo dan Gunung Semeru yang terkenal. Sayangnya suasana terlalu meriah kerana pengunjung terlalu ramai. Bermacam-macam ragam, rupa, saiz, umur, warna dan bahasa. Satu hal yang menyenangkan, baik orang Amerika, Eropah, Afrika atau Asia mempunyai bahasa kegembiraan yang sama. Ketawa dan senyuman berpindah dari wajah ke wajah, menular seperti wabak. Dari wabak itu turut menular bahagia, cinta dan kasih di antara rakan dan keluarga yang sedang membina kenangan manis bersama. Sedangkan orang lain yang memerhatikan mereka tak semena-mena turut merasa bahagia. Begitulah ajaibnya hal yang di beri nama “perasaan”. Tuhan menjadikan ia ghaib, tetapi dapat di rasai oleh hati manusia. Ia mampu membuat manusia berubah sikap malahan manusia boleh jatuh sakit atau pulih sihat. Sesungguhnya, manusia yang suka mempersoal dimana Tuhan? Di mana Tuhan? Mereka tidak mempercayai kewujudan Tuhan hanya kerana mereka tidak mampu melihatnya. Mereka berada dalam kebodohan.

Indahnya bagaimana fenomena alam yang biasa saja dapat menyenangkan hati manusia. Karya Tuhan penuh seni. Foto, lukisan malahan penceritaan dalam tulisan ini tidak dapat menandingi pengalaman melihat dengan mata sendiri dan merasai sendiri segarnya udara dingin di sini. Selesai mengambil gambar kami pon segera turun. Aku yang melankolik, memang tak betah berlama-lama  dalam suasana pesta seperti itu. Menurutku, menonton konsert alam, bukan seperti menonton konsert musikal. Jika konsert musikal, lebih ramai penonton lebih mengujakan. Tapi konsert alam sebaliknya lebih aman menjadikannya lebih indah. Aku agak kecewa kerana tidak dapat menyaksikan pemandangan Bromo yang sangat terkenal. Iaitu ketika kabus masih tebal melingkari ketiga-tiga gunung. Di dalam gambar-gambar yang banyak aku lihat dari internet, Bromo seolah-olah terapung-apung, kelihatan misteri namun mengagumkan. Walaupon begitu, tidak aku nafikan keanggunan gunung tiga sekawan ini. Gunung Bromo di apit oleh Gunung Semeru dan Gunung Batok. Gunung Semeru paling jauh, tinggi dan gagah. Bentuknya hampir sempurna seperti kon yang jatuh dari langit dan terpasak di bumi. Kelihatan gagah tak terkalahkan. Gunung Batok yang paling kecil dan palign hampir juga berbentuk kon tetapi berketak-ketak seperti payung kertas separuh terbuka. Dari jauh ia kelihatan hijau berlumut. Aku yakin yang hijau itu adalah pokok-pokok renek, masakan warna lumut boleh kelihatan sebegitu jauh. Gunung Bromo meletus kali terakhir pada tahun 2010, mungkin kerana itu ia kelihatan kelabu, kusam, berdebu, tandus tanpa tumbuhan. Badannya dipenuhi lurah dan bucu-bucu tajam tak sekata, seperti kertas renyuk. Puncaknya terpokah, itulah kawah Bromo yang terkenal, destinasi kami selepas ini.

Batok dalam bahasa jawa bermaksud tempurung.

Semeru.Bromo. Batok. Batok dalam bahasa jawa bermaksud tempurung.

Penjejak mentari Bromo

Penjejak mentari Bromo

Orang tempatan mencari rezeki

Orang tempatan mencari rezeki

Kak Ngah dan Yatt di pintu masuk Penajakan satu.

Kak Ngah dan Yatt di gerbang masuk Penajakan satu.

Penjual jagung

Penjual jagung

Macam-macam cenderehati ada. T-shirt, ket chain, fridge magnet

Macam-macam cenderehati ada. T-shirt, key chain, fridge magnet

Jip menunggu penumpang. Ingatkan nama pemandu, warna dan no plat jip anda. Jangan keliru!

Jip menunggu penumpang. Ingatkan nama pemandu, warna dan no plat jip anda. Jangan keliru!

Andai bulan bisa ngomong

Andai bulan bisa ngomong

Sila rate, like, komen, share. Jagan lupa Like Fb Page Pengembara berpoket nipis  ^_^

Advertisements

10 thoughts on “Menanti Sang Ratu mentari dan mencari Bromo yang misteri

  1. masyaAllah, hawa, i’m really want to go there.

  2. Subhanallah…
    rasa nak g sana juga…:)

  3. Salam, ada kontek supir disana

  4. Seperti membaca sebuah novel….hebat gaya penulisan tuan pemilik blog 🙂

  5. Ya…sama…Ved gi hari ahad, bersesak-sesak dengan orang, mana sambungan cerita ni Awa..?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s