Menyentuh Norea Mui (bahagian 1)


Bagi pengekor FB Page Pengembara Berpoket nipis mungkin sudah maklum yang saya telah menyertai misi NGO Our Touch ke Kampung Phnom Norea Mui di Battambang, Cambodia. Program berjalan selama empat hari iaitu pada 7 hingga 11 Disember 2013.

OurTouch.Org

otshirt

Sebelum sampai di kampung tersebut, kami langsung tak tahu yang ia terletak di Battambang. Apa yang diberitahu kepada kami ia terletak di Siem Reap. Bagi pembaca yang tidak biasa dengan program sukarelawan seperti ini, haruslah anda tahu bahawa perbelanjaan kami tidak ditaja oleh sesiapa melainkan diri sukarelawan sendiri. Untuk penginapan, makan minum, pengangkutan sepanjang program dan takaful kami perlu membayar sejumlah yuran kepada Our Touch. Oleh kerana Our Touch ini diasaskan dan dianggotai oleh backpacker, maka kos yang sukarelawan bayar juga ala-ala backpacker. Tiket penerbangan pula diuruskan sendiri. Kami akan berkumpul di suatu tempat seperti yang telah dijanjikan.

Lokasi pertemuan semua sukarelawan ialah Lapangan Terbang Siem Reap, tetapi maklum sajalah nama pon pengembara berpoket nipis, mestilah memilih cara yang paling ekonomi. Saya terbang sendirian dari Singapura ke Phnom Penh. Belum apa-apa lagi saya sudah berdrama di lapangan Terbang Changi, tetapi saya tidak mahu ceritakannya sekarang. Apapun, Allah saja yang tahu betapa lega dan bersyukurnya saya ketika selamat duduk di dalam perut pesawat menuju ke Phnom Penh. Tiba di Phnom Penh saya bertemu dengan eman orang sukarelawan Our Touch iaitu Ila, Abby, Miza, Nuni, Ikin dan Nazirul. Mereka terbang dari Kuala Lumpur. Semuanya kenalan baru kecuali Abby. Itupon kami cuma berkenalan dan berbual-bual lewat FB. Ini adalah kali pertama berjumpa. Malam itu juga kami menaiki bas ke Siem Reap. Perjalanan bermula jam 1 malam dan dijangka mengambil masa lapan jam. Malangnya bas yang kami naiki tidak berkeadaan baik. Sukarelawan lain yang sudah dua jam menunggu di Lapangan Terbang Siem Reap akhirnya tak dapat menunggu lagi. Terpaksalah kami bertujuh rela ditinggalkan. Sampai saja di Siem Reap kami berpakat menyewa van kerana bimbang tiba terlalu lambat jika menaiki bas. Perjalanan sebelas jam dari Phnom Penh bersambung tiga jam lagi menuju Battambang.

otatsr

Kampung Phnom Norea Mui

sungainm

lorong norea mui

rumah kedai norea mui

20131208_140445

lorong norea mui2

Kampung Phnom Norea Mui mengunjur dipersisiran sungai terletak kira-kira lime belas minit dari pekan Battambang. Sungai ini mengalir dari tasik air tawar terbesar di Asia Tenggara, Tonle Sap. Airnya keruh , ditebingnya penuh sampah sarap. Tetapi sungai itulah yang menghidupkan Norea Mui. Tangga konkrit dibina menuruni tebing sungai di belakang masjid. Anak-anak mandi di situ dan ibu-ibu mencuci pakaian. Di seberang sungai, hampir bertentangan dengan masjid Norea Mui, juga terdapat sebuah masjid (kampung lain). Saya tak sangka komuniti muslim di sini agak besar. Bila masuk waktu solat, suara muazin sahut menyahut. Cuaca pada waktu itu tidak begitu panas tetapi kering dan berdebu.

Aktiviti ekomoni utama di kampung ini ialah industri ikan kering. Di mana-mana akan kelihatan jemuran ikan kering. Jenis ikan yang paling banyak ialah ikan haruan.

Di belakang Masjid Norea Mui terdapat sebuah dewan. Dewan ini baru siap dibina, sebahagiannya dari hasil dermawan yang menyumbang melalui Our Touch. Jutaan terima kasih kami ucapkan. Dewan tersebut kosong tanpa perabut, sebaliknya berlantaikan jubin. Inilah markas operasi kami.

Di hadapan masjid terdapat sebuah kawasan perkuburan lama. Di sisi tanah perkuburan itu pula berdiri sebuah bangunan konkrit setinggi dua tingkat. Rekabentuknya serupa dengan bangunan sekolah di Malaysia. Ia adalah sekolah pertama di kampung tersebut. Mereka memanggilnya madrasah. Ia baru saja berusia dua tahun. Tanpa sekolah tersebut, anak-anak Norea Mui tidak bersekolah. Bangunan dua tingkat yang belum bercat itu menempatkan eman kelas, tetapi kelasnya pula tidak mempunyai dinding. Hanya papan hitam beroda yang menjadi pemisah antara kelas. Di sekolah serba kekurangan itulah mereka belajar membaca dan menulis. Remaja pula mengikuti kelas agama dan tahfiz. Sekolah itu terbina hasil inisiatif anak kampung Norea Mui yang bekerja di Malaysia sebagai guru mengaji. Selain seorang ustaz yang bertindak sebagai mudir, mereka mempunyai seorang guru yang mengajar baca tulis dalam bahasa Khmer dan Bahasa Inggeris. Amat mengagumkan, guru yang bertubuh kecil ini, masih lagi menuntut di Universiti. Dia mengajar anak-anak Norea Mui dicelah-celah waktu kuliah.

madrasah norea mui

Kami bertujuh yang tiba lewat sudah terlepas aktiviti hari pertama. Ketika kami masih dalam perjalanan, sukarelawan lain sudah pon memulakan kerja mengasing dan mengisi beg-beg dengan barang-barang yang di bawa dari tanah air. Mereka juga sudah berkenalan dengan pemuka-pemuka kampung dan keluarga Mak Cik Asiah. Mak Cik Asiah adalah orang tengah yang menghubungkan pihak Our Touch dan Kampung Norea Mui.

Kanak-kanak di kampung Norea Mui sungguh teruja dengan kehadiran orang luar dari negeri antah-berantah ini. Ini adalah kali pertama mereka menerima kunjungan begini. Anak-anak kecil berumur pra-sekolah paling seronok. Setelah beberapa ketika memerhatikan kami dari jauh, mereka semakin berani mendekati . Terjenguk-jenguk dan tersengih-sengih di pintu dewan. Datang seorang tua lalu dihalaunya budak-budak itu kerana bimbang mereka mengganggu kami. Mereka lari bertempiaran, mengetawakan satu sama lain kemudian mereka datang lagi. Nuni dan Ikin yang duduk berhampiran pintu menggamit mereka masuk. Pada mulanya malu-malu bila di ajak bergambar tetapi dengan mudah menjalin mesra. Kami tidak faham bahasa mereka, begitu juga mereka tidak memahami kami. Kerumitan yang melucukan.  Aku perhatikan mereka seorang demi seorang. Pakaian mereka asal boleh saja, sesetengahnya berkaki ayam. Muka dan badan mereka comot, baju mereka lusuh berdebu – mungkin kerana hari pon sudah petang dan dunia mereka adalah bermain. Rambut mereka perang dan kering. Badan mereka berbau hamis. Tetapi muka comot mereka berseri dengan senyuman dan ketawa. Mata mereka bersinar-sinar. Mulut mereka asyik bercakap, tak peduli walaupon kami tidak memahami mereka. Oh sayang, pernahkah engkau bayangkan bagaimana dunia di luar sana?

bdknorea

Keluarga Mak Cik Asiah

Keluarga Mak Cik Asiah berasal dari Kampung Norea Mui. Selepas kejatuhan Pol Pot, mereka berhijrah ke Malaysia yang pada masa itu membuka pintu kepada pelarian Champa. Mendengar sendiri kisah keluarga Mak Cik Asiah memberi kesan yang sangat mendalam kepada diri saya. Selain bertindak sebagai orang tengah dan jurubahasa antara Our Touch dan penduduk Norea Mui, Mak Cik Asiah juga bertindak sebagai tuan rumah. Sepanjang kami berada di sana, rumah keluarga Mak Cik Asiah menjadi tempat kami menikmati makan siang dan malam. Menu setiap hari sangat ringkas – ikan bakar atau goreng bersama sambal belacan dan hidangan sayuran (ulam atau acar atau sayur goreng atau sup).

Tahun lepas baru Mak Cik Asiah berpeluang kembali ke kampung halamannya setelah tiga puluh lima tahun. Kali ini, adik-adik dan anak-anak mereka juga turut serta. Bagi generasi kedua keluarga Mak Cik Asiah, ini adalah julung kali mereka menjejak kaki ke tanah leluhur yang dulu pernah memerah kering darah dan air mata mereka, lalu ditinggalkan dengan menggadai nyawa demi perjuangan meneruskan hidup. Keluarga Mak Cik Asiah kini menetap di Kelantan dan Terengganu.

Realiti Norea Mui 

Antara aktiviti yang kami lakukan adalah berziarah ke rumah-rumah penduduk yang paling miskin. Kebanyakannya nenek tua yang tinggal sebatang kara, ada juga nenek yang menjaga cucu yatim piatu. Rancangan asal kami menyampaikan sedikit barang dapur seperti beras, minyak dan sebagainya.  Oleh kerana warga Malaysia yang prihatin ada menyumbang barangan seperti sandal kanak-kanak, tudung dan sebagainya, bertambahlah nilai isi beg yang kami sampaikan.  Saya rasa sungguh bertuah kerana dapat merasai pengalaman ini. Perasaan saya bercampur baur. Aktiviti ini kami jalankan pada hari kedua.

Pada hari pertama, kami hanya melihat-lihat sekitar kampung. Saya berbasikal sepanjang lorong yang di apit oleh barisan rumah yang didirikan sangat rapat antara satu sama lain. Rumah-rumah di sini tiada halaman. Di lorong ini ada juga rumah-rumah batu namun yang lebih banyak adalah rumah-rumah daif.  Rumah-rumah batu itu pon kategori biasa saja kalau ditempat kita, tetapi di Norea Mui, ia kelihatan sangat mewah.

Isteri ketua kampung bertindak sebagai penunjuk arah. Ketika itulah baru saya sedari yang kampung Norea Mui sangat padat. Di celah-celah rumah yang menjajar disepanjang lorong utama, ada lagi lorong-lorong kecil. Sekiranya kita menyusur lorong-lorong kecil ini, barulah kita nampak wajah sebenar Norea Mui. Wajah kedaifan dan wajah kecekalan. Kedudukan rumah tidak tersusun. Rumah tinggi, rumah rendah, selit menyelit antara satu sama lain. Rumah dengan lantai tanah berdinding atap sudah cukup daif. Tetapi ia tidak sedaif rumah tanpa dinding berlantai tinggi sayangnya lantainya rongak di sana-sini. Cuba kamu bayangkan berkata “inilah rumah saya” dan menunjuk kepada pangkin sebesar petak letak kereta. Kalau bukan kerana waktu itu kaki saya kejap berdiri di atas tanah, sukar saya menerima realiti ini. Tak pernah saya membayangkan kemiskinan seperti di Norea Mui. Adakah malam mereka tidak sejuk? Adakah hujan mereka tidak tempias?

Jika kita berjalan lagi menurun bukit sedikit hingga ke tebing sungai, akan kelihatan rumah-rumah di tepi sungai. Sebahagian atau keseluruhan rumah berada di atas air. Tiang rumah mereka tinggi. Kami diberitahu ada musim air sungai naik menggelamkan sebahagian besar tangga rumah. Tebing sungai di kawasan ini landai tidak seperti di belakang masjid yang bertebing tinggi dan curam. Ketika isteri ketua kampung menunjukkan rumah yang kami tujui, saya yang menatang bungkusan sepuluh kilo beras rasa khuatir jika saya perlu naik ke atas rumah. Bukan kerana anak tangganya yang kecil dan jauh antara satu sama lain, tetapi kerana rumah berdinding atap itu kelihatan  senget dan meyandar kepada rumah disebelahnya. Mujurlah ketika itu tuan rumah sedang menguruskan jemuran ikan di bawah.

Kami bersama-sama menyampaikan sumbangan. Dari satu rumah ke satu rumah. Dua puluh lima rumah dipilih oleh ketua kampung. Isteri ketua kampung membuka bicara dan Mak Cik Asiah menjadi juru alih bahasa. Berseri-seri wajah mereka menyambut kedatangan kami. Bila saja sumbangan disampaikan, mereka menerimanya dengan penuh kesyukuran berpilin dengan perasaan terharu. Kami menyalami tangan-tangan tua itu lalu memeluk kejap tubuh mereka. Nenek-nenek tua yang tinggal sendirian ini terharu lalu menangis. Entah terharu kerana sepuluh kilo beras, entah terharu kerana sudah lama tidak memeluk seorang anak, entah terharu kerana rasa dipedulikan. Saya terkedu tak tahu harus berkata apa. Apatah lagi saya canggung menangis di hadapan orang. Pada telinga nenek tua itu saya bisikkan – “Allah bersama-sama orang yang sabar”. Saya berharap mereka mengerti.  Seorang nenek buta malah menekap lembut kedua pipi saya dengan kedua tangannya yang kerepot lalu mencium wajah saya bertalu-talu seolah-olah saya ini anaknya yang sudah lama hilang dan sangat dirindui.  Dia benar-benar memukul emosi saya.  Allah, kurniakanlah mahligai untuk mereka ini di syurgaMu.

Saya biasa mengikut emak berziarah ke rumah saudara-mara yang telah tua ketika Ramadhan. Saya selalu membanyangkan rupa mereka semasa muda, hidup mereka semasa muda. Jika rumah mereka sudah tua, saya bayangkan rumah tersebut ketika ia baru dibina. Saya bayangkan suasana ketika anak-anak mereka masih kecil dan isteri atau suami mereka masih bersama-sama dalam rumah yang bahagia. Memang hati saya mudah tersentuh melihat orang tua. Tetapi saya tidak pernah merasa sesedih ketika saya melihat realiti di Norea Mui. Saya tidak dapat bayangkan bagaimana asalnya rumah pangkin tanpa dinding ketika ia baru dibina. Saya tertanya-tanya adakah rumah senget di tepi sungai itu pernah berdiri tegak? Berapa tahun sekali mereka mengganti dinding atap? Hidup mereka begitu susah dan melarat. Dunia mereka sempit. Nenek-nenek kerepot yang saya lihat didepan mata hari itu telah melalui pengalaman pahit yang panjang. Mereka adalah ‘Pol Pot suvivor’. Suatu masa dahulu mereka juga pernah muda seperti saya, pernah mempunyai cita-cita dan impian seperti saya. Jika saya menghabiskan tahun-tahun muda di universiti, masa muda mereka terbeban dengan tekanan menjadi buruh paksa. Hari-hari di mana beras begitu mahal dan nyawa begitu murah. Pol Pot telah beredar tiga puluh lima tahun lalu, sayangnya penderitaan yang ditinggalkan masih berlarutan. Di mana anak? Di mana suami? Di mana isteri? Di bunuh komunis dan hanyut di sungai tanpa kubur? Ah.. sungguh tak sanggup saya bayangkan. Membayangkan hari-hari bahagia mereka lalu melihat realiti mereka kini hanya menambahkan pilu di hati saya.

Nenek-nenek yang tua ini mengingatkan saya kepada orang-orang tua yang wujud dalam hidup saya. Emak, Nyai, Wak dan leluhur yang tidak sempat saya kenali. Mungkinkah moyang-moyang saya pernah hidup seperti nenek-nenek ini?  Saya kira, tentulah pernah. Moyang saya adalah ‘Dutch suvivor’. Beliau meranduk laut datang dari Pulau Jawa ke Tanah Melayu. Oh, terima kasih leluhurku kerana bertahan dengan hidup yang susah maka aku lahir dan melihat dunia ini dengan lebih indah.

20131208_143259

20131208_144205

20131208_143916

20131208_145711

Kredit gambar: Aliya Nasrudin & Syaridah Noh

Kepada semua anggota sukarelawan Our Touch yang berjiwa besar, terima kasih kerana memberi saya kenagan yang tidak ternilai. Anis, Qunang, Miza, Abby, Nuni, Ekin, Nazirul, Ila, Ina, Azmi, Oshin, Rina, Aliya, Alya, Diana, Sha, Mus, Sue , Zueha, Cikgu Hamzah, Kak Helena, Mak cik Siti dan Pak cik Hamzah.

Pautan

Menyantuh Norea Mui (Bahagian akhir)
www.ourtouch.org
www.facebook.com/ourtouch
www.facebook.com/ariapixels

SERINGGIT

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s