Manjanggul 1 – Kembara bermaksud, jangkakan hal yang tak terjangka


Februari 2011

Berdasarkan petunjuk yang dinyatakan oleh pemilik Jeju Hiking Inn, kami pon menyusur jalan berbukit ke arah pekan Seogwipo untuk mencari perhentian bas ke Manjanggul. Kesan salji sudah tidak kelihatan, tetapi musim sejuk belum berakhir. Oleh kerana terlalu sejuk, aku mengalami kesukaran bernafas. Kami menyinggahi farmasi, membeli topeng muka. Tujuan kami hari itu adalan Gua Lava Manjanggul. Apa dia gua lava? Tentu pembaca sekalian biasa menyaksikan kawah gunung berapi bukan? Kalau bukan secara nyata, tentu pernah melihatnya di gambar atau video. Kawah gunung berapi adalah pertemuan sejumlah urat lava. Urat lava inilah yang kami mahu lihat. Bagaimana rupanya? Besarkah hingga ia dipanggil gua? Bagaimana ia terbentuk? Seperti banyak pulau di dunia, Pulau Jeju juga terbentuk dari letusan banyak gunung berapi. Selain Jeju, ada sebuah lagi pulau yang sangat terkenal di Asia juga terbentuk dari proses yang sama. Siapa tahu apa nama pulau tersebut? Ya, jawapannya adalah Bali. Setelah dua kali tersilap perhentian bas akhirnya kami berjumpa juga dengan perhentian bas ke Manjanggul. Berkembara di negara yang bahasanya asing mengajar kita supaya ringan mulut. Kalau tidak, manakan berjumpa sedangkan tulisannya pon kita tidak pandai baca.

Perhentian bas di sini ringkas saja. Tempat menunggu memanjang berbumbung tanpa dinding, hanya ada bangku. Bas cuma berhenti sebentar untuk menurun dan mengambil penumpang. Tiket bas di jual di satu-satunya kaunter iaitu sebuah pondok kecil yang bersambung bumbung dengan tempat menunggu. Tingkap gelongsor kecil di muka kaunter sentiasa tertutup. Penjual tiket akan membuka tingkap jika ada pelanggan mendekati. Maklumlah, suhu di luar sejuk bukan main. Beginilah lebih kurang cara membeli tiket bas.

Nott kami hantarkan ke kaunter. “Manjanggul?” suara Nott penuh keyakinan.

“Manjanggul, manjanggul” Penjual tiket mengangguk-anggukkan kepala.

“Manjanggul?” Nott belum berpuas hati, dia bertanya sekali lagi tetapi nadanya sedikit kendur. Sebelumnya, kami hampir menaiki bas yang salah kerana salah faham.

“Manjanggul!” penjual tiket menjunjukkan buku tiket bertulis “Manjanggul”

“Ok, four” Nott menunjukkan empat jari.

Tiket dan duit bertukar tangan. Perhatikan, cuma dua perkataan saja digunakan untuk membeli tiket. Penjual tiket tidak pandai berbahasa Inggeris apatah lagi Melayu. Kami pula tak tahu berbahasa Korea. Jadi, jika kamu tidak pandai berbahasa asing tak perlu risau. Walaubagaimanapon, jika kamu tahu serba sedikit ataupun banyak ia adalah kelebihan yang sangat bagus. Bila kami mendekati tempat menunggu, beberapa orang lelaki tempatan bangun memberi kami ruang. Ah, terharu sekali. Kami pun duduk dengan gembira. Setiap kali bas datang, kami menoleh kepada penjaga kaunter. Kami tidak berkata apa-apa sementalah tingkap kaunter tertutup. Sebaliknya kami menghantar isyarat telepati, “Adakah ini bas ke Manjanggul?” begitulah isyarat kami. Akan tetapi kami tidak pasti sama ada isyarat kami itu sampai kepada penjaga kaunter. Maka, kami bergiliran bangun dan memastikan destinasi bas tersebut.

manja4manja9

Sedang kami berbual-bual tiba-tiba penjaga kaunter menjerit ke arah kami, “Manjanggul! Manjanggul!”

Tangannya terhulur keluar dari tingkap kecil, melambai-lambai ke arah kami dan menunjuk-nunjuk bas yang baru akan berhenti. Kami segera bangun, mengangkat tangan ke arah beliau dan menyertai orang-orang beratur di pintu bas.

Bas ini besar dan selesa seperti bas ekspress di Malaysia. Saat kami melangkah menaiki tangga bas, kehangatan segera meraupi tubuh kami. Di setiap perhentian, rakaman suara wanita memberitahu nama perhentian tersebut dan ketika bas mula bergerak semula ia akan mengumumkan nama perhentian seterusnya. Pengumuman di lakukan dalam empat bahasa. Bahasa Korea, Jepun, Cina dan Inggeris.

Kami tidak menjangkakan perjalanan ini begitu lama. Yatt asyik memeriksa peta, aku pula asyik terlelap. Pemandangan berganti-ganti. Pekan, penempatan, ladang kering (kerana musim sejuk) dan laut. Yatt mengejutkan aku ketika kami melintasi Seogsan Illchibong.

“Kita akan singgah di sini nanti, bekas kawah gunung berapi yang hijau tu”.

Aku jadi teruja. Sememangnya itulah tempat yang sangat aku idamkan selain Gunung Halla. Oh ya, sebenarnya Manjanggul ini tidak termasuk dalam rancangan kami. Malahan, kami tidak pernah tahu kewujudan gua lava ini. Hari sebelumnya, ketika kami baru tiba di Jeju Hiking Inn, pemiliknya yang menyambut kedatangan kami bertanyakan rancangan kami. Kami memberitahu kepadanya rancangan untuk ke Gunung Halla. Beliau mengerutkan dahi, memandang kami curiga dari atas ke bawah. Mungkin dia sangsi kerana tiada seorang pon dari kami berpenampilan seperti ahli outdoor.

Berhati-hati tanpa melukakan perasaan tetamunya dia berkata, “Keadaan Gunung Halla tidak sesuai untuk trekking, kecuali kamu pendaki profesional. Salji sangat tebal sekarang”.

Beliau segera bangun mengambil beberapa keping peta Pulau Jeju. Membentangkan satu peta di atas meja dan memberi selebihnya untuk kami simpan. Beliau segera mencadangkan kepada kami Manjanggul Lava Cave, Seongsan Illchibong dan beberapa tempat lagi yang boleh kami lawati.

manja5

Suasana dalam bas tenang, kebanyakan penumpang tidur. Semakin lama, lebuh raya semakin sunyi. Tiada rumah, tiada kedai, tiada sekolah. Cuma ada kebun. Bekas kebun sebenarnya. Kering. Kusam. Perang. Batu-batu hitam bersusun menjadi tembok separas betis. Ia membentuk kotak-kotak seperti petak-petak sawah. Aku kagum bagaimana mereka menyusun batu-batu yang tak tentu bentuknya dan berbagai saiz pula. Warnanya hitam seperti batu-batu di Bali, tentulah ia batu gunung berapi. Selepas lebih kurang dua jam perjalanan, tiba-tiba bas berhenti di satu simpang tiga. Tiada perhentian bas di situ, perempaun bersuara lunak juga tidak membuat pengumuman.

“Manjanggul! Manjanggul!” pemandu bas menjerit-jerit. “Manjanggul! Manjanggul!” jeritnya lagi.

Dia memerhatikan kami dari cermin pandang belakang. Dalam keadaan terpinga-pinga, kami segera bangun dan berjalan ke depan. Si pemandu menggamit kami. Tangannya memberi isyarat ke kiri.

“akucakapkorea,nasiblahkalaukamutakfaham.manjanggullavacavediseberangjalanini.cepat!”

Bas berlalu meninggalkan empat orang gadis manis separuh bingung, separuh teruja. Jalan lengang, tanah gersang. Ish.. kalau bukan kerana papan tanda besar bertulis “Manjanggul Lava Cave – UNESCO Heritage Site”, aku tak yakin aku mahu berada di situ. Seperti tempat jin bertendang saja.

“Tak sanggka dekat dua jam dalam bas tadi, akhirnya sampai juga” lirihku sambil melintas jalan. 

Setelah selamat melintas jalan, kami bertambah bingung. Tiada satu pon bayang-bayang binaan, pintu gerbang atau papan tanda kelihatan. Kami terus menyusur jalan bertar.

“Itu! ada papan tanda” teriak Abid penuh keterujaan.

Kira-kira seratus meter dari situ, kelihatan simpang tiga dan kira-kira lima puluh meter dari simpang tersebut di arah kanan terdapat sebuah papan tanda. Nott dan Yatt berlari-lari anak ke arah tersebut. Acah-mengacah berakhir menjadi perlumbaan. Aku dan Abid berjalan bergandingan bahu, kami biarkan saja mereka. Kami datang dari arah sisi, jadi aku tidak nampak tulisan di papan tanda. Nott dan Yatt telah tiba di hadapan papan tanda, aku nampak mereka ketawa. Entah apa yang lucu tentang papan tanda.

“Awa! Abid! Cepatlah!! Lari!!” Teriak Nott.

“Bacakan saja lah!” Jeritku kemalasan.

“Semua orang kena baca sendiri!!” Jeritnya lagi. Akhirnya aku dan Abid patuh dengan desakan mereka, kami berlari anak. Aku menyelak topeng muka kerana ia membuatku kelelahan. Mereka ketawa melihat kami seperti dua beruang kembar siam berlari ketetelan.

“Manjanggul Lava Cave, 2KM”

Terpaku aku dan Abid memandang papan tanda tersebut. Serasa hilang semangat untuk menjejak urat gunung berapi. Nott dan Yatt semakin galak ketawa sampai terbongkok-bongkok, menikmati keseronokan membuli kami bergegas lari sejauh lima puluh meter dalam baju sejuk yang tebal hanya untuk membaca papan tanda yang mengecewakan itu.

“Errr… kita kena jalan kaki ke?”

Aku menoleh ke arah si penanya. Wajah bingung Abid bertukar menjadi lucu di mata kami. Aku menyertai Nott dan Yatt yang belum sudah-sudah ketawa. Abid tersengih-sengih menyedari kelucuan yang tidak dia sengajakan. Kami kembali ke simpang tiga tadi dan meneruskan perjalanan. Jalan masih lengang, tanah gersang menjauh di belakang, pokok renek rendang sepanjang jalan.

manja1

manja3

Ikuti bahagian 2 : Manjanggul 2 – Kembara bermaksud, nikmati perjalanan tanpa rancangan

Advertisements

5 thoughts on “Manjanggul 1 – Kembara bermaksud, jangkakan hal yang tak terjangka

  1. HuaaA…korang biaq betik menapak ke manjaggul cave, jln kt ctu leh tahan tegak bulu roma kalo silap percaturan

  2. amboihh kak.. ni entry sempena 3 tahun melawat jeju ke? ekekekeke..

  3. Pingback: Manjanggul 2 – Kembara bermaksud, nikmati perjalanan tanpa rancangan | Pengembara Berpoket Nipis

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s