Manjanggul 2 – Kembara bermaksud, nikmati perjalanan tanpa rancangan


Jika anda belum membaca bahagian satu, klik pautan ini : Manjanggul 1 – Kembara bermaksud, jangkakan hal yang tak terjangka

Jalan masih lengang, tanah gersang menjauh di belakang, pokok renek rendang sepanjang jalan. Angin dingin berhembus sesekali. Kami menikmati perjalanan ini sendiri-sendiri. Maksudnya kami tidak berjalan bergandingan. Nott berjalan paling hadapan, tangannya tidak melepaskan kamera kesayangannya. Aku hampir konsisten dua meter di belakangnya, aku memakai topeng muka dan menyimpan tangan di dalam poket jaket. Kesejukan memaksa kami berjalan laju. Kesejukan lebih menyiksakan dari perjalanan itu sendiri. Kami berjumpa beberapa papan tanda kecil menunjukkan arah ke gua-gua lava di sepanjang jalan. Aku kira ia tidak di buka kepada orang awam kerana jalan masuknya tak lebih dari denai kecil di tengah belukar. Sebuah teksi meluncur laju dari arah belakang. Kami terpinga-pinga. Kenderaan pertama yang kami temui selepas turun dari bas kira-kira setengah jam yang lalu.

Yatt yang berjalan paling belakang tiba-tiba melintasi Abid dan aku. Secara automatiknya, Abid dan aku mempercepatkan langkah. Kami seperti anak-anak kecil, memintas dan menyiku satu sama lain.
Masing-masing enggan menjadi orang terakhir. Tingkah kami membuatkan Nott menoleh dan tak semena-mena dia juga mempercepatkan langkah.

“Hey, Nott kenapa engkau lari? tunggulah kita orang ni!” laungku.

Tidak lama kemudian mula kelihatan semacam kawasan taman dan bangunan di sebelah kiri. Maze world! maksudnya, tinggal setengah kilometer saja perjalanan kami. Akan ku kutip segala sisa-sisa tenaga dan haba. Duhai kaki bertahanlah, duhai hati bersabarlah sedikit lagi. Aku mengurut-urut pipi dan hidung yang mula kebas membeku. Kami sepakat berhenti membeli air. Aku sudah muak minum berpuluh cawan kopi sejak tiba di negeri kimchi ini. Aku mengambil sebotol air kegemaranku – air jagung. Membayangkan rasa lemak manis air jagung aku jadi bersemangat.

Baru dua teguk air jagung mengalir di tenggorokan, aku tersedak. Yatt tersengih memandangku.

“Tak sedap? rasa apa?” Dia sudah dapat meneka mengapa aku bereaksi begitu. Sejak hari pertama entah berapa kali kami tertipu dengan label air botol yang menggoda. Terutama botol air berwajah artis lelaki jelita. Rasanya tak seindah wajahnya.

“Wekkk!!!! rasa air rendaman jagung bakar. Bau pon hangit” Aku menutup semula botol tadi tapi sayang pula kalau dibuang jadi aku masukkan dalam poket jaket. Perjalanan disambung semula.

manja6

Seratus meter terakhir. Kami seperti orang sesat yang akhirnya berjumpa jalan pulang. Kami berlari ke arah tembok batu bertulis Manjanggul Lava Cave. Suara kami menjerit-jerit kesukaan memecah kesunyian sekeliling. Akhirnya! Akhirnya! Bila kami sampai di tembok batu tanda tersebut, kami terpinga lagi. Yang kami nampak cuma kawasan lapang dan barisan pokok-pokok yang di tanam jarang-jarang. Kelihatannya seperti kawasan meletak kenderaan.

Beberapa saat, barulah kami perasan papan tanda bertulis:

“Manjanggul Lava Cave Ticket Booth 500m”

manja2

 

EPILOG

Aku memerah saki baki tenaga. Kaki seolah-olah sudah tak jejak di tanah. Baki sepuluh anak tangga begitu jauh dirasakan. Walaupon kaki lenguh tak terkata, tetapi aku puas kerana hari ini aku meneroka pengalaman baru,  memperoleh pengetahuan baru dan melihat pemandangan baru. Kalau Gunung Berapi Sibayak aku jenguk kawahnya dari atas, Manjanggul aku terokai gua tempat mengalirnya magma. Rupa-rupanya begitulah keadaan dalam perut gunung berapi. Kami seolah-olah berjalan dalam usus gergasi. Bumbungnya tinggi dan melengkung. Permukaannya menggerutu, lantainya bergelombang, bersimpang siur dan bercabang-cabang. Ada yang lebar dan ada yang sempit. Aku membayangkan magma panas dan deras menderu-deru ke muncung kawah. Meledak, meletus dan mematikan semua yang dilaluinya. Anehnya bila ia sejuk ia memangkinkan kehidupan semula tumbuhan. Alam seperti dilahirkan semula.

Sebelumnya, ketika kami menuju kaunter tiket, dipamerkan beberapa poster yang menunjukkan keseluruhan kawasan gua. Panjang gua hingga ke hujung (setakat yang dibuka kepada pengunjung) adalah satu kilometer. Pergi dan balik bermaksud dua kilometer. Kami hanya mampu mengetawakan diri sendiri. Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan!

Yatt, Nott dan Abid bersorak bila aku tiba di tangga terakhir seolah-olah meraikan jaguh olahraga yang cedera tetapi tetap berjalan menghabiskan perlumbaan. Aku berhenti mengambil nafas seketika. Tanganku meraba-raba poket jaket. Ah! mujur masih ada. Aku buka botol air jagung dan aku minum dengan rakus. Sekali minum habis separuh botol. Aku hulurkan pada Abid bakinya. Tanpa banyak soal dia meneguknya hingga habis.

“Sedapkan?” soalku menduga Abid.

“Ahh!!! nikmat sekali. Alhamdulillah!” Kami ketawa puas.

manja12

manja7manja10 manja11manja8

Advertisements

5 thoughts on “Manjanggul 2 – Kembara bermaksud, nikmati perjalanan tanpa rancangan

  1. Pingback: Manjanggul 1 – Kembara bermaksud, jangkakan hal yang tak terjangka | Pengembara Berpoket Nipis

  2. hahahahahha.. corn tea.. botol dia gambar hyunbin.. bajet macam sedap tapi…………..

  3. cam bc novel da rase….great

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s