Menyentuh Norea Mui (bahagian akhir)


Suci dalam debu

Pagi jumaat itu kami bergotong-royong membersihkan masjid. Saya, Kak Helena, Azmi, Ikin dan Miza bertugas membersihkan tandas, ruang wuduk dan ruang penyelenggaraan mayat yang terasing dari bangunan utama masjid. Ketika kami bekerja, suara anak-anak Norea Mui yang sedang belajar mengaji di madrasah bergema membelah ketenangan pagi di kampung. Penuh semangat berapi-api suara bakal-bakal ulul albab. Semoga Allah membantu mereka sepanjang perjalanan kembara hidup yang penuh liku ini.

Anak-anak yang masih kecil yang belum mengaji mula berkumpul di perkarangan masjid. Mereka bermain entah apa sambil memerhatikan kami bekerja. Syafiq, anak bongsu Mak Cik Asiah turut membantu kami. Syafiq boleh berbahasa Khmer,  dialah jurubahasa cilik kami.

Kelas mengaji selesai. Bertempiaran pelajar-pelajar di halaman masjid. Suasana semakin meriah. Mula-mula mereka hanya memerhatikan kami, tapi kemudian mereka pon ikut sama mahu membantu. Ah, sebenarnya mereka cuma teruja melihat buih sabun yang banyak. Semakin ramai yang datang, semakin huru-hara jadinya. Kecoh tak terkawal. Sudahlah mereka tidak faham bahasa kami. Bangku batu tempat wuduk telah saya berus dan bilas. Datang seorang budak, mencapai berus dan memberus bangku itu lagi. Selepas itu, datang lima orang berebut-rebut kerja yang sama. Kemudian datang lagi berbondong-bondong. Alahai, huru-hara jadinya. Akhirnya dengan bantuan Syafiq, saya halau mereka semua dari situ. Mujur Kami hampir selesai, hanya perlu mencuci lantai tengah saja.

Kak Helena naik geram dengan budak-budak comel yang comot itu. Kanak-kanak di sini mandi di sungai. Buka baju, terjun … selesai. Entah bersabun entah tidak, shampoo apatah lagi. Sebab itulah, bau mereka pon seperti bau ikan.

“Kita mandikan mereka” cadangnya.

Selesai saja operasi kami, saya bersama Syafiq pergi ke kedai runcit berdekatan membeli sabun dan shampoo. Pada mulanya semua kanak-kanak itu malu. Enggan dimandikan atau mungin tidak faham ajakan kami. Azmi menarik seorang budak yang paling nakal antara mereka. Setelah di pujuk dengan bantuan Syafiq, dia bersetuju. Berkerumunlah kanak-kanak lain melihat kawan mereka mandi, bersabun dan bershampoo. Bingit suasana bila kanak-kanak itu mentertawakan rakan mereka yang tersengih-sengih kesedapan. Kemudian, seorang demi seorang menyerah diri. Kebetulan ada tuala bersih tergantung di situ. Ikin membantu mereka mengelap badan, Miza pula menyikatkan rambut. Tersengih-sengih mereka bila saya suakan cermin. Mereka kelihatan sangat seronok, kami berlebih-lebih lagi.

1545924_10202023003990466_700898754_n 993822_10202023003630457_1141473389_n

1488223_682633568435309_416284380_n  1476484_682633668435299_1720180961_n

Sukaneka ayam dan itik.

Fokus utama Our Touch ialah kebajikan kanak-kanak. Jadi kami telah susun banyak aktiviti untuk kanak-kanak di sini. Hasil dari sumbangan rakyat Malaysia, kami membawa banyak hadiah untuk mereka. Antaranya tudung, kupiah, sandal, buku, pensil warna dan alat tulis.

Tak susah untuk mengumpulkan anak-anak kampung menyertai sukaneka. Di seberang jalan bertentangan dengan masjid, terdapat sebuah padang kecil. Berbondong-bondonglah kami dan mereka ke sana. Lucunya, antara kami tiada komunikasi bahasa. Ibarat ayam dan itik. Agak sukar mengendalikan mereka, memberi arahan dan sebagainya. Mujur ada jurubahasa cilik, siapa lagi kalau bukan Syafik.

Mereka seronok bermain. Seronok mendapat hadiah. Yang kalah kecewa. Tetapi apa boleh buat, walaupon banyak hadiah yang kami bawa, tetap tak dapat kami beri kepada semua. Mudah-mudahan mereka mengerti dan tak berkecil hati.

Ketika kanak-kanak itu bersorak sorai, di tepi padang, orang dewasa bergotong-royong menyembelih lembu untuk kenduri aqiqah esok. Sungguh meriah suasana Kampung Norea Mui. Saya berharap mereka selalu gembira begini.

Ketika kami pulang semula ke markas penduduk kampung sedang bersiap sedia memulakan rewang kenduri. Bangsal jamuan sudah didirikan, meja dan kerusi menuggu masa untuk disusun. Tikar dibentang di tepi sungai bersebelahan gazebo. Ibu-ibu duduk dalam bulatan, bersedia dengan landasan dan pisau masing-masing. Entah apa yang mereka bualkan, sesekali pecah ketawa. Semua orang kelihatan gembira. Kampung Norea Mui seolah-olah berpesta. Kanak-kanak berlarian ke sana ke mari. Para remaja datang malu-malu.

Seorang lelaki memandu motorsikal yang menarik gerabak berisi daging lembu yang telah dilapah. Anak-anak kecil mengejar dari belakang. Kerja-kerja memotong daging di serahkan kepada kumpulan ibu-ibu tadi. Beberapa orang lelaki pula sibuk membuat tungku masak. Periuk dan kawah diangkat keluar dari stor. Kemeriahan kampung benar-benar dirasai. Jelas terpamer keakraban dan kerjasama penduduk kampung.

Sepatutnya, kami sama-sama bergotong-royong menyediakan juadah kenduri aqiqah. Tetapi menurut Mak Cik Asiah, penduduk Norea Mui mahu kami jadi tetamu sahaja. Ia sebagai tanda penghargaan penduduk kampung diatas kesudian kami berkunjung ke kampung mereka.

Azan maghrib berkumandang. Seperti hari-hari sebelumnya, selepas solat maghrib kami berjalan beramai-ramai ke rumah keluarga Mak cik Asiah untuk menikmati makan malam. Selepas itu kami kembali ke hotel penginapan. Penduduk kampung masih sibuk menghabiskan kerja-kerja memasak. Kanak-kanak yang tak mengenal penat masih berlari kesana kemari.

1012735_10201937170605433_357284495_n1454644_10201937167685360_1265872818_n

Kenduri Aqiqah dan 500 kilo beras.

Pagi yang cerah, sukarelawan bertugas sebagai pramusaji. Menu ringkas dan menyelerakan. Nasi putih, gulai daging lembu, acar timun dan sambal belacan. Orang-orang tua mendapat tempat di bangsal jamuan. Ibu-ibu sesetengahnya masih berkumpul di gazebo di tepi sungai. Ada juga yang sudah masuk ke dalam dewan. Kanak-kanak mendapat tempat istimewa. Tikat di bentang di halaman dan mereka makan beramai-ramai di situ. Majlis dimulakan dengan doa selamat dan ucapan ketua kampung.

Selesai menguruskan hidangan, kami bergegas membungkus beras tambahan untuk penduduk kampung yang miskin. Lima ratus kilogram beras akan dibungkus untuk di bahagikan kepada lima puluh keluarga. Sebenarnya, ia tidak termasuk dalam perancangan awal. Kami pon tidak menyangka yang begitu ramai warga msikin di Norea Mui. Kali ini kami tidak berziarah ke rumah mereka tetapi sumbangan disampaikan selepas kenduri. Majlis selesai menjelang waktu zuhur.

484796_10202023057711809_435366933_n1545746_10202023066192021_550930457_n1470080_10202023056311774_1067922430_n1506511_10202023071712159_260704118_n553486_10202023069152095_383079611_n

Pelukis yang manis dan The kite runner

Petang terakhir di Norea Mui, kami berkunjung ke madrasah. Semua kanak-kanak semuda lima tahun hingga dua belas tahun menyertai aktiviti melukis dan mewarna. Sekali lagi bahasa menjadi masaalah tetapi kami tidak menjadikannya penghalang. Kertas lukisan dan pensil warna hanya cukup untuk seratus orang pelajar. Mujur mereka tidak keberatan berkongsi, mungkin sudah biasa begitu. Mr Sonil iaitu guru mereka turut serta dalam aktiviti kali ini. Mereka bebas melukis apa saja yang mereka suka. Seorang budak melukis pemandangan kampung. Rumah yang cantik, pokok bunga di sepanjang sungai dan pohon-pohon. Di bahagian atas dia menulis “My Village”. Saya terharu melihatnya.

Seorang lagi budak lelaki dalam lingkungan lima tahun menarik perhatian saya kerana dia asyik mengacau rakan disebelahnya. Rupa-rupanya dia menggesa rakannya melukiskan sesuatu untuknya tetapi rakannya enggan kerana sibuk dengan lukisan sendiri. Saya memerhatikannya beberapa minit. Dia menconteng-conteng kertas lukisan putih dengan krayon hitam, tetapi tangan comel dia tak bergerak. Jelas dia tak tahu nak lukis apa. Saya mengambil krayon dari tangannya, contengan hitam yang tak jelas itu saya besarkan, menjadi mata. Saya fikir, saya mahu lukis watak budak lelaki yang comel dan lucu, iaitu dia.

Matanya terkebil-kebil memerhatikan saya. Bila saya siap melukis muka, dia menyuruh saya lukiskan baju. Saya membuat garis bahu kiri dan kanan. Tiba-tiba dia mempegang kejap tangan saya. Dia mengambil semula crayonnya. Dia berkata sesuatu sayangnya saya tak faham apa yang dia maksudkan. Kemudian dia menyambung garisan bahu tadi dan buat garisan lurus di bawah, menjadikan bajunya kelihatan seperti gaun. Saya mahu memberitahunya –  kamu lelaki, lukislah seluar! Tapi bagaimana boleh saya beritahu dia? Saya tinggalkan dia dan berjalan mengelilingi kelas. Bila saya sampai semula di tempat si comel ni, dia telah melukis imej kanak-kanak di dalam ‘baju gaun’ tadi. Saya tergamam. Adakah dia melukis imej fetus di dalam kandungan? Mungkin ibunya sedang mengandung dan dia tidak sabar untuk menunggu kelahiran adiknya. Ah, anak yang manis! Rasanya mahu saja saya peluk cium dia waktu itu juga.

Setelah selesai melukis, empat lukisan terbaik mendapat hadiah istimewa manakala tiga puluh lukisan lagi mendapat hadiah saguhati. Kami bergambar beramai-ramai sebelum bersurai.

Aktiviti terakhir di Norea Mui adalah membuat layang-layang. Setiap sukarelawan dipasangkan dengan seorang kanak-kanak. Setelah selesai mengerjakan layang-layang, kami di bawa ke sawah yang agak jauh dari kampung. Kami menaiki tuk-tuk sekitar sepuluh minit. Sawah kering kerana padi baru dituai. Angin kuat sangat sesuai untuk menaikkan layang-layang. Mr Sonil turut serta ke sawah. Dia sangat gembira dan sangat menghargai kedatangan kami kerana kami menggembirakan anak-anak muridnya. Saya kagum dengan semangatnya. Tubuhnya yang kecil – seperti anak sekolah menengan rendah, tidak melambangkan semangatnya yang jitu. Kami bermain, berkejar-kejaran sehingga senja datang menjenguk.

Beratnya hendak mengucapkan salam perpisahan. Keesokaan paginya kami bertolak dengan bot panjang menuju Siem Reap melalui Tonle Sap. Selamat tinggal Norea Mui, semoga kita berjumpa lagi

1511258_10202023075712259_500008586_n1522102_688517437846922_149034938_n995298_10202023090752635_1175492084_n1484183_682979131734086_1984671173_n

Kredit gambar: Aliya Nasrudin & Syaridah Noh

Kepada semua anggota sukarelawan Our Touch yang berjiwa besar, terima kasih kerana memberi saya kenagan yang tidak ternilai. Anis, Qunang, Miza, Abby, Nuni, Ekin, Nazirul, Ila, Ina, Azmi, Oshin, Rina, Aliya, Alya, Diana, Sha, Mus, Sue , Zueha, Cikgu Hamzah, Kak Helena, Mak cik Siti dan Pak cik Hamzah.

Pautan

Menyentuh Norea Mui (Bahagian 1)
www.ourtouch.org
www.facebook.com/ourtouch
www.facebook.com/ariapixels

SERINGGIT

Advertisements

4 thoughts on “Menyentuh Norea Mui (bahagian akhir)

  1. alamak..mata masuk habuk la, persis layan kisah laskar pelangi. such a meaningful traveling, hope can join u for the next…

  2. bila baca mcm aku ada kat sanalah..bila nak keluar buku wa?

    • aku dalam dilemma… hehe. doakan ye ti, insyaallah. Semalam pergi konvensyen penulisan, jumpa Nosah Haron, Ustaz Pahrol. Jadi bersemangat sekarang ni, rasa nak menulis 24jam 🙂

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s