Al-kisah si penjual kelapa muda [versi scam city]


20140118_125511

Kami kepenatan. Penat melarikan diri dari penarik beca yang tak jemu mengekori. Untuk melarikan diri, kami melintas jalan dan pergi ke arah bertentangan. Akibatnya, kami terpaksa melalui jalan yang jauh. Kami berhenti di simpang empat berlampu isyarat. Kenderaan sibuk datang dari keempat-empat arah. Ayu membuka peta bandaraya Saigon yang kami dapatkan dari kaunter tumah tumpangan.

“Museum? Go to left!” Seorang lelaki penjual kelapa muda kelapa tiba-tiba menyergah kami dari arah belakang.

Di Saigon, penjual kelapa muda, mengandar jualan mereka dan berjalan ke serata ceruk bandar. Aku agak terperanjat kerana dia muncul tanpa diduga. Lampu melintas memang sedia hijau waktu itu, dia buru-buru melintas jalan. Buluh panjang yang merintang di bahunya melentur-lentur dan membuai beban dia kedua hujungnya turun dan naik. Menyedari kami masih tercegat di tepi tiang lampu isyarat, dia menghentikan langkah. Kandarnya sedikit terhuyung.

“Faster! Come now!” Dia melambai-lambaikan tangannya kepada kami. Kami tersentak dan segera berlari anak kerana lampu hijau sudah berkelip-kelip. Ada naluri untuk tidak mengikuti lelaki tadi tetapi tidak cukup kuat untuk memberhentikan kaki.

“See that junction? I go straight, you turn left” arahnya. Dia kelihatan terburu-buru, mungkin mengejar masa ke satu destinasi.

“Ok, thank you” ujarku memberikan senyum sewajarnya. Wajah Ohsin melintas di mindaku sesaat.

“This is heavy!” ujarnya tersengih-sengih. Dia beberapa langkah di hadapan kami, asyik menoleh memastikan kami masih berada di situ. Peliknya, dia tidak menawarkan kepada kami kelapa jualannya. Mungkin dia cuma mahu beramah mesra.

Aku berbisik kepada Ayu. “Jalan cepat, kita lintas dia”, arahku. Bukan arahanku sebenarnya, tetapi arahan bayangan Oshin yang muncul dalam mindaku. Ada satu nota, yang diletakkan Oshin dalam lipatan otakku, tetapi aku masih tak dapat mengingat keseluruhannya. Nota itu seolah-olah ada kaitannya dengan situasi ini. Sewaktu kami memotong si penjual kelapa, dia mencuit lenganku.

“You want take picture?” tanyanya bersungguh-sungguh.

Aku tak suka berlaku tidak sopan lebih-lebih lagi dia bercakap dengan ramah. Lalu aku pon bersetuju. Dia menganggukkan kepala lalu berhenti. Aku menjauhi dia beberapa langkah dan bersedia untuk mengambil gambarnya. Boleh jadi ini akan menjadi gambar yang menarik. Maklumlah, bukan semua orang suka di gambar pelancong. Sebelumnya aku di marahi makcik penjual buah kerana mengambil gambarnya berjaja. Aku setuju kita mesti menghormati privasi mereka.

Belum sempat aku mengambil gambarnya, dia tiba-tiba bergerak ke arah Ayu yang tercegat memerhatikan kami. Tanpa basa-basi dia meletakkan kandarnya di bahu Ayu. Aku dan Ayu terperanjat dengan kespontanannya.

“No, not yet!” aku sedikit kesal kerana belum sempat mengambil gambar si penjual kelapa.

“Ok, ok. I don’t want. Take her picture”

Selesai aku mengambil gambar ayu, si penjual kelapa segera mendekatinya lalu membantunya menurunkan kandar yang panjang dan berat itu. Bayangan Oshin muncul lagi, kali ini wajahnya sedikit tegang.

“Can I see?” Dia meminta melihat gambar tadi dengan sopan. Niat kami untuk segera beredar terbatal. Aku tak suka menjadi bidap, lalu aku tunjukkan padanya gambar-gambar yang aku ambil. Dia kelihatan dalam salah satu gambar tersebut. Dia tersenyum puas hati.

“Good! Now you!”

Entah bagaimana dia melakukannya. Kandar yang berat itu tiba-tiba mengimbang di bahuku. Spontan aku menahannya. Kalau bertabur kelapa-kelapa ini, jadi cerita lain pula. Dalam kebingunan itu, sempat lagi aku membayangkan gambar ini diupload ke FB dengan catatan; “Pengembara berpoket nipis cari makan di Saigon”. Aku ketawa dalam hati. Patah ketawaku oleh bayangan wajah Oshin yang muncul lagi. Wajahnya semakin serius.

Selepas mempotret aku, Ayu membantu aku menurunkan kandar dari bahu. Ya, memang beratnya jauh dari jangkaanku. Si penjual kelapa muda yang menepi tadi tersengih-sengih mendekati kami untuk mengambil semula hak miliknya. Seolah-olah dia bangga dapat menjadi duta kecil negaranya. Wira tanpa nama.

Kami mengucapkan terima kasih kepadanya. Tanpa disangka-sangka, sepantas kilat dia menghulurkan sebiji kelapa muda kepada Ayu. Ah, pergerakan si penjual kelapa memang pantas, beberapa kali dia telah mengejutkan kami dengan tindakannya. Kelapa yang dihulurnya sangat hampir dengan badan Ayu, malah mencecah hujung tudung Ayu. Dan secara spontan juga, Ayu menyambutnya. Pertama kerana terkejut. Kedua kerana kehampiran yang tidak menyelesakan. Ketiga kerana si penjual seperti akan melepaskan kelapa dalam pegangannya.

“Two people just take one, Ok..” ujarnya lagi lalu menghulurkan dua batang straw kepada Ayu. Ayu masih terpinga-pinga.

“Cheap.. cheap.. one dong only” pujuk si penjual kelapa.

One dong. One dong. One dong. One dong!!!! ONE DONG!!!!!

Neuron-neorun otakku bergemerlapan, saraf-sarafnya berhubung. Lalu, nota yang diselit Oshin dicelah lipatan otakku berjaya kubuka. Perkataan “one dong” itulah kuncinya.

“Kak Ngah! Letak balik” aku bersuara tegas. Segera aku pasung lengan Ayu dan menariknya pergi.

“Please take one” Si penjual mula menunjukkan muka kasihan. Dia berharap kami membayar budinya membenarkan kami bergambar dengan kandarnya dengan  membeli hanya sebiji buah kelapa muda. Hanya sebiji, apalah sangat kan?

“No but thank you. We already have this.” Aku menangkat sedikit botol air teh yang kupegang.

Aku kerling ke arah si penjual kelapa kerana aku tak berani memandang mukanya. Muka yang ramah tadi bertukar kelat dan jengkel. Hilang aura kebanggaan menjadi duta kecil. Ah.. hebat! Memang hebat lakonannya. Aku menarik tangan Ayu dan berjalan laju tanpa menoleh lagi.

………………………………………………………………………..

“Ingat ni, berhati-hati dengan penjual kelapa muda. Ramai pelancong ditipu mereka. Mulanya mereka di tawarkan harga satu dong. Tapi selepas minum, penjual minta satu ratus ribu dong! Janji ada “satu” di situ. Kadang-kadang tu sampai bergaduh. Tetapi oleh sebab dah minum terpaksalah bayar juga akhirnya.  RM15 untuk sebiji kelapa muda”.

………………………………………………………………………..

Nota Oshin kupilat kemas dan kusimpan semula elok-elok di dalam lipatan otak. Alhamdulillah kami selamat hari ini.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s