Pendekar pohon susu [ Kembara Phnom Penh, Kemboja ]


geng kampung pisang

Aku berdiri di samping pohon susu yang tinggi dan rimbun itu. Suasana di situ nyaman kerana teduhan pokok yang rimbun, dan angin yang bertiup dari arah sawah di belakang masjid sungguh menyegarkan. Kanak-kanak yang mengerumuni aku tadi telah bertempiaran lari setelah mendapat habuan coklat choki-choki. Tinggal mereka, adik-adik awal remaja itu, memenuhi bangku di sebelahku.

“Adik, kamu panjat, kakak ambil gambar. Mahu?” Aku menepuk-nepuk batang pohon susu, menunjuk ke atas, ke arah rimbunan yang meneduhi bangku tempat mereka duduk. Ku gayakan kameraku, seolah-olah sedang mengambil gambar orang di atas pohon. Sememangnya mereka tidak memahami kata-kataku. Namun, dari sengihan mereka, aku tahu mereka faham lakonanku tetapi mereka masih ragu-ragu kerana mak cik gempal asyik memarahi mereka kerana asyik memanjat dari tadi. Si baju belang menepuk bahu rakan di sebelahnya si baju oren, dia menghayunkan kepalanya, isyarat ajakan. Si baju oren menoleh ke arah si baju merah. Mata mereka bertemu. Tanpa berkata apa-apa mereka saling memahami, menunjukkan rapatnya jiwa mereka. Mereka memandang ke satu arah, kearah mak cik gempal.

“Kamu panjat, akak nambil gambar! Cepatlaaahh… ” aku memujuk. Aku tak peduli sama ada mereka faham atau tidak. Aku juga tidak peduli mak cik gempal yang asyik menengking mereka.

Si baju merah dengan penuh karisma seorang ketua bangun lalu diikuti oleh yang lain. Sepantas kilat mereka memanjat dan mencapai dahan yang terendah. Mak cik gempal ingin memarahi mereka lagi, tetapi bila dia melihat mereka seronok bergaya bila aku halakan kamera, dia hanya tersenyum. Aku tahu mak cik gempal bukanlah garang, dia cuma bimbang keselamatan budak-budak itu. Dari dahan terendah, mereka berlabuh di bumbung stor yang berada cuma setengah meter dari batang pohon. Keseluruhan bangunan stor kecil itu diteduhi dahan-dahan dan rimbun daun pohon susu yang besar batangnya seperti pokok durian kampung yang sudah berbuah sembilan belas kali. Kemudian tubuh-tubuh kurus itu memanjat lagi ke dahan-dahan yang lebih tinggi. Keinginanku membuak-buak mahu menyertai mereka, tetapi aku bimbang bumbung stor yang kelihatan uzur itu tidak dapat menampung jisimku. Beberapa budak lain mula datang dan ikut memanjat. Mak cik gempal terjerit-jerit lagi melihat olah mereka yang galak bergurau di dahan pokok. Mereka langsung tidak mengendahkannya. Aku seolah-olah melihat diriku dua puluh lima tahun yang lalu.

Ada beberapa masjid kelihatan sepanjang jalan dari bandar Phnom Penh ke Gunung Audong. Dalam perjalanan pulang, kami menyinggahi salah satu daripadanya. Dari jauh masjid ini sungguh terserlah kerana keseluruhan bangunan berwarna putih – seperti Taj Mahal saja lagaknya. Ia kelihatan mewah jika dibandingkan dengan rumah-rumah penduduk kampung di sekitarnya. Di halaman sisi kiri masjid – bertentangan dengan tempat aku berada sekarang, berdiri beberapa pohon kayu. Dan di bawah teduhan pokok-pokok itu terdapat sebuah warong. Dari atas tuk-tuk yang bergerak tiga puluh kilometer sejam, ketika perjalan pergi ke Gunung Audong, gerai makan tersebut kelihatan meriah dipenuhi pengunjung. Suasana redup dan kehijauan kawasan sekitarnya – pemandangan latarnya adalah sawah, menggamit hati kami untuk singgah. Lalu kami bersetuju untuk makan tengah hari di sana sekalian solat zuhur di masjid. Punah imaginasi kami, Gunung Audong tidak seperti yang kami bayangkan dan kami bergerak pulang ketika waktu duha masih panjang. Perut pun belum lapar kerana telah bersarapan nasi berlauk ayam kampung goreng madu yang sungguh sedap. Tetapi kerana hati sudah terpaut, kami tetap singgah juga di masjid putih ini.

Kakak berbaju kurung biru turun dari masjid dan mendekatiku. Oh ya, pohon susu berbatang besar yang tinggi dan rimbun ini tumbuh di perkarangan masjid – halaman sisi kanan. Kakak berbaju kurung biru yang sentiasa tersenyum, di tangannya berkibar sehelai beg plastik merah. Dia memasukkan beberapa biji buah susu yang dikumpul budak-budak tadi ke dalam beg plastik merah itu lalu menghulurkannya kepadaku. Aku menoleh kepada Farid, pemandu tuk-tuk kami, meminta dia menanyakan harganya. Kakak berbaju kurung biru memahami maksudku. Dia menghayunkan tangannya, tanda isyarat tidak perlu bayar. Aku tetap membayar, bayar dengan senyuman dan ucapan terima kasih – opkun, dalam bahasa Champa. Aku rasa mahu memeluknya tetapi masih ada rasa janggal antara kami. Kakak berbaju kurung biru senang aku menerima pemberiannya. Walaupon kami tidak memahami antara satu sama lain, dia sangat baik hati dan murah senyuman.

Ketika tuk-tuk sewaan kami membelok ke halaman masjid tadi, mereka – dia, makcik garang dan sekumpulan budak sedang menikmati buah susu di bawah pohon yang teduh itu. Padahal kami ini orang asing yang mereka tidak kenali, sebaik saja dia menjawab salamku, kakak berbaju kurung biru membuka sebiji buah susu yang masak ranum dan menghulurkannya kepadaku. Aku cam buah ini ada banyak dijual di pinggir-pinggir jalan dan juga di pasar Phnom Penh. Farid menerangkan kepada kami perihal buah ini. Ini kali pertama aku mengenal buah susu. Bentuknya hampir bulat sempurna. Rata-rata buah dari pohon itu sebesar genggaman tangan lelaki dewasa. Kulitnya licin dan berwarna ungu. Sekali pandang seperti terung bulat. Selain itu, sifatnya banyak persamaan dengan buah manggis. Cara membukanya ialah dengan memecahkannya kepada dua, seperti kita membuka manggis. Isinya berulas seperti manggis tetapi bijinya kesep atau tiada biji langsung. Tekstur dan rasanya pon seperti manggis tetapi lebih manis, langsung tidak kelat. Mungkin kerana buah yang aku makan sudah sangat ranum. Tebal kulitnya kira-kira satu sentimeter. Ia tak keras seperti kulit manggis. Dinding kulit sebelah dalam berurat seperti manggis tetapi lebih lembut dan berjus. Jusnya berwarna putih. Sebab itu ia mendapat nama buah susu. Menurut Farid ada dua jenis buah susu, buah susu ungu dan buah susu hijau. Buah susu hijau kekal hijau bila ranum. Walaupon warnanya tidak begitu menarik berbanding buah susu ungu, buah susu hijau lebih lemak dan manis. Lazimnya begitu, setiap kejadian ada kelebihan masing-masing.

Budak-budak kurus tadi melaung-laung dari atas pokok, rupanya mereka memanggil kakak berbaju kurung biru. Kakak berbaju biru berdiri menjauh sedikit dari pohon dan mendongak ke atas. Mereka bercakap-cakap entah apa.

Zzzaaapp!! kakak berbaju biru menyambut balingan buah susu empat puluh lima darjah dari atas pokok. Seorang budak berlari anak menghulurkan besen kecil kepada kakak berbaju kurung biru. Zzzaaapp!! Zzzaaapp!! Zzzaaapp!! Sebiji demi sebiji buah datang deras seperti bola lisut. Satu pon tidak terlepas. Kakak berbaju kurung biru ketawa kecil melihatku yang terkedu. Dia melambai aku mendekatinya. Dia menunjuk ke arah pucuk pohon susu dan mengisyaratkan aku menambil gambar. Nun di pucuk, di balik daun-daun yang rimbun itu aku lihat seorang berbaju biru santai berdiri di situ. Aku gayat melihatnya. Tinggi pohon susu itu melebihi paras bumbung masjid.

Setelah kakak berbaju kurung biru beredar, aku bergerak ke arah belakang stor. Rupa-rupanya tanah lapang di belakang masjid itu adalah kawasan perkuburan. Aku meneka ia kuburan lama kerana tidak kelihatan kubur baru. Nisan-nisan sudah hampir tenggelam keseluruhannya dan tanah kubur hampir rata. Budak-budak tadi berkumpul di kuburan menikmati buah susu sambil bergurau senda.

Aku bergerak ke hujung kawasan perkuburan dan berhenti di tebing. Seluruh kawasan perkuburan – termasuk benjolan kubur, tebing yang cuma setinggi beberapa kaki itu hingga tanah landai di bawahnya berumput pandak. Jaring badminton bertiang dahan pokok sebesar lengan budak terpacak di tanah landai. Gelanggang mereka tidak bergaris seolah-olah mengibaratkan hidup mereka yang tidak terkongkong oleh kebiasaan. Aku melabuhkan punggung di tebing, membelakangkan perkuburan. Kakiku terlunjur ke bawah. Matahari panas, tetapi angin nyaman dan segar. Denai kecil dari kawasan perkuburan menuruni tebing dan bersambung dengan jalan tambak yang memisahkan paya dan sawah. Paya berair jernih di pagari belukar nipis.  Sebuah sampan yang sedikit uzur tertambat di tebing. Tumbuhan air menguasai sebahagian besar permukaan paya. Aku mengagak, sawah di sebelah kiri itu juga asalnya paya yang di tebus guna.

Gelak ketawa budak-budak kurus tadi di bawa angin lalu singgah di telingaku. Mereka kelihatan gembira. Entah-entah mereka sedang melupakan kelaparan kerana tiada nasi di rumah. Mungkin juga menghiburkan hati kerana keluarga tidak mampu menghantar mereka kesekolah. Eh, mengapa pula aku fikir mereka miskin? Bukannya aku kenal keluarga mereka. Ah, kita memang selalu berfikir dengan persepsi. Dan tak semestinya persepsi kita secocok dengan kenyataan sebenar. Contohnya seorang kawanku menyangka Singapura hanya ada satu masjid. Ramai orang yang tidak pernah ke Bangkok mengira sukar untuk mendapatkan makanan halal di sana. Persepsi kepada negara sendiri adalah menyangka Malaysia benar-benar negara yang paling maju di Asia Tenggara. Tutup mata saja kepada kemajuan Singapura, mereka kecil tentulah mudah menjadi maju. Benarkah?

Ketika menilai kemiskinan dan kekayaan seseorang, mengapa kita hanya melihatnya dari sisi material? Jika pon budak-budak kurus tadi datang dari keluarga yang miskin, dari satu segi aku melihat mereka lebih kaya dari ramai anak-anak sebaya mereka di Malaysia. Terutamanya anak-anak bandar. Mereka ada pokok untuk di panjat, mereka ada padang untuk berlari dan mereka ada sampan untuk berdayung dan ikan-ikan yang sedia dipancing. Udara yang mereka hirup bersih dan segar. Semuanya mereka nikmati tanpa rasa risau dan takut diculik dan sebagainya. Dan yang paling penting semuanya percuma kerana semua itu hak mereka yang mereka kongsi bersama. Mungkin mereka tidak pernah kenal apa itu android, tablet, playstation, intendo dan xbox. Namun, permainan yang mereka mainkan setiap hari  adalah latihan kepada keupayaan survival sebenar. Kalaulah mereka diletakkan bersama anak-anak bandar di sebuah pulau sunyi, tentu mereka dapat bertahan lebih lama dari anak-anak bandar. Mereka bebas berlari, melompat memanjat – memanfaatkan keseluruhan anggota mereka yang muda dan bertenanga. Berbanding anak-anak bandar yang duduk seharian menggerakkan hanya beberapa jari. Pada diri mereka juga, aku melihat sesuatu yang jarang dinikmati oleh anak-anak sekarang. Setiakawan kawan sepermainan. Kawan zaman nakal – partner in crime.

Sedang aku melayan perasaan dan pemikiran, Ayu dan Oshin muncul.

“Lamanya solat?” tanyaku ringkas.

“Dah lama siap, cari kau di warong tadi, ingat kau ke sana” jawab Oshin. Aku memohon maaf kerana menghilangkan diri begitu saja. Oshin turun dan meninjau-ninjau denai menuju sawah. Kemudian aku dengar suaranya melaung kepada budak-budak tadi dan mengajak mereka bergambar bersama. Kami pon mengabadikan kenangan bersama. Bahang matahari semakin panas namun angin bertiup deras dan dingin mencetuskan ceria dihati kami. Bahasa Melayu dan Champa berbalas-balas mungkin bukan soalan dan jawapan yang sepadan tapi siapa peduli? Cukuplah hanya ketawa kami yang senada bunyinya.

This slideshow requires JavaScript.

Advertisements

One thought on “Pendekar pohon susu [ Kembara Phnom Penh, Kemboja ]

  1. Salam. Hee suatu catatan pengembaraan yang tidak ternilai.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s