Mui Ne, 2 Hari 1 malam. (Bahagian 1)


1486844_761523703879628_5261008269806178477_n

Bertolak ke Mui Ne

Aku sudah tidak mempercayai jadual perjalanan bas di Vietnam atau Cambodia. Kalau mereka kata perjalanan enam jam, silap-silap gaya boleh jadi sepuluh jam. Aku bertolak dari Saigon dengan bas pada jam tujuh setengah pagi. Bas datang dan bergerak tepat waktu. Menurut jadual, perjalanan adalah empat jam. Tetapi akhirnya kami sampai di Mui Ne lebih kurang jam satu setengah tengah hari.

Jalan raya di Vietnam jauh lebih baik dari Cambodia. Aku menguping perbualan orang di hadapanku, laluan bas kali ini melalui lebuh raya baru – ya, mungkin, aku tak dapat memastikannya. Bas tak begitu berhayun jadi aku boleh membaca sikit-sikit untuk menghilangkan kebosanan. Kami agak bertuah kerana bas tersebut tidak penuh. Aku dan Ayu duduk berpisah kerana masing-masing mahukan kerusi berdekatan tingkap, mudah mengambil gambar – dan berangan melayan perasaan. Kerusi di hadapanku ditempati pasangan dari US. Suatu saat ketika mataku hampir terpejam kerana mengantuk, aku terkejut dengan suara si isteri yang sangat teruja bila ternampak buah nangka bergayutan di pokok. Sama jakunnya bila orang Malaysia melihat pokok epal di negeri antah berantah. Selepas itu, mataku enggan terpejam lagi. Jadi aku merekodkan siri imej ke dalam stor ingatan.

Sepanjang perjalanan itu, aku nampak sebuah masjid besar. Aku tak sempat melihat namanya atau mengambil gambar. Aku juga tidak tahu lokasi masjid tersebut – tidak sempat membaca papan tanda. Namun, itu cukup membuat aku teruja. Aku juga memerhatikan rumah-rumah di pinggir jalan. Hampir tiada rumah kayu tradisional, kalau ada pon sudah buruk seperti tidak didiami. Rumah – rumah Vietnam, kurus seperti orang-orang Vietnam. Aku perasan ciri ini sejak di Saigon lagi. Lot-lot kedai mereka juga kecil bukaannya. Lebar kebanyakan rumah yang aku lihat rasanya tak sampai dua puluh kaki – satu pintu gelongsor utama dan satu tingkap dua bukaan di muka rumah, namun rumah-rumah tersebut memanjang lurus kebelakang – tidak ada anak-anak rumah seperti lazim rumah kampung Melayu. Banyak rumah berbumbung rata. Ini mungkin pengaruh senibina penjahah Perancis. Sederhana dan ringkas. Penat memerhatikan rumah, mataku kuyu semula. Pasangan di hadapanku rancak berbual-bual dengan penumpang yang duduk berseberangan dengan mereka – di hadapan Ayu – seorang perempuan Eropah berumur dua puluhan. Perempuan itu berada di Malaysia sebelum ke Vietnam – lebih spesifik lagi dia telah menjelajah Sabah beberapa minggu. Banyaklah yang dia cerita dan kongsikan membuatkan pasangan di hadapanku begitu teruja untuk ke Sabah. Kalau aku tak tahu malu tentu aku sudah mencelah – Helllooooooo orang Malaysia di belakang ni! Tapi aku bimbang perempuan Eropah tadi lebih mengenali Sabah dari aku. Dari aku malu dan memalukan negara sendiri, lebih baik diam. Akhirnya aku terlelap. Aku terjaga ketika bas memasuki sebuah bandar dan akhirnya memasuki kawasan Mui Ne.

Mui Ne terletak di pantai timur Vietnam. Vietnam mempunyai perairan yang sangat panjang kerana geografinya yang memanjang di bahagian pantai timur tanah besar Asia Tenggara. Vietnam menganjur dari lembah Mekong di selatan hingga ke sempadan China di utara. Mui Ne ( Ne disebut seperti me-NE-bas )  adalah salah satu daerah pelancongan yang terkenal di Vietnam. Untuk ke Mui Ne dari Saigon sangat mudah. Terdapat banyak syarikat pelancongan yang menyediakan perkhidmatan bas ekspress ke sana. Tiket boleh di dapati dengan mudah di sekitar Jalan De Tham, kira-kira sepuluh minit berjalan kaki dari Pasar Ben Than. Di sini juga adalah kawasan backpacker di Saigon.

Sebaik saja bas memasuki kawasan Mui Ne, jalan raya menyusur selari dengan pantai. Dari celahan resort-resot mewah yang berderetan di sepanjang pantai, kelihatan  pantai landai yang berpasir kekuning-kuningan. Mata kami terpanah oleh silauan matahari di air Laut China Selatan. Bas berhenti beberapa kali untuk menurunkan penumpang. Jika kamu sudah menempah hotel, sila maklumkan kepada pemandu bas. Jika tidak, tunggulah hingga ke perhentian terakhir.

Akhirnya bas berhenti di hadapan pejabat syarikat. Beginilah sistem pengangkutan di Vietnam dan Cambodia. Bas bertolak dan berhenti di pejabat syarikat, bukan di terminal bas ekspress seperti di Malaysia. Berbanding dengan resort-resort mewah yang kami lihat tadi, di sini (tempat kami berhenti) adalah kawasan penginapan sederhana dan murah. Ya, tetapi masih mahal bagi seorang pengembara berpoket nipis. Pantai di sini sempit. Daratannya pula tinggi. Tebing curam didindingi batu  bagi mengelakkan hakisan. Inilah sebabnya mengapa hanya resort-resort sederhana yang terdapat di sini – pantai boleh di lihat tetapi tidak boleh di jejak. Oh ya, lupa hendak aku ceritakan, sepanjang perjalanan tadi, bas berhenti rehat sekali di sebuah RnR persendirian. Aku dan Ayu tetap di dalam bas. Kami hanya makan biskut yang kami bawa.

Rumah Tumpangan

Sebaik saja kami turun dari bas, seorang lelaki empat puluhan mendekati kami. Dengan bahasa Inggeris yang sekadarnya, dia menawarkan bilik dengan harga sepuluh dolar US. Kami bersetuju untuk melihat dulu biliknya. Sebelumnya, aku memang tidak menempah bilik. Setelah banyak pengalaman mengembara, membuat aku sedikit yakin untuk pergi dengan tangan kosong. Melalui carian di internet, aku tidak temui iklan bilik murah di Mui Ne. Aku hanya melihat harga untuk persediaan tunai. Memang tidak ku sangka ada juga bilik sepuluh dolar. Dari Trip Advisor, Agoda, Hostelbooking dan sebagainya, harga bilik paling murah yang di senaraikan ialah sekitar lima puluh dolar. Sebab itu aku cuma merancang dua hari satu malam saja di Mui Ne. Sekadar memenuhi rasa ingin tahu. Lagi pula dari bahan-bahan yang aku baca, Mui Ne adalah tempat yang sarat pelancong. Sebelum datang aku telah membuat kesimpulan yang Mui Ne bukan tempat yang aku gemari. Tak sangka aku sedikit menyesali hal ini ketika bertolak meninggalkan Mui Ne.

Lelaki tadi membawa kami menyusur celahan antara dua kedai. Rumah tumpangan beliau terletak di belakang deretan kedai tersebut. Dua baris tiga pintu bilik sewaan menghadap satu sama lain. Koridornya berbumbung plastik polimer dan berlantai mozek. Lantai bilik juga berkemasan mozek. Tiada tikar atau permaidani. Keluasan bilik lebih kurang 20×20 kaki, terdapat sebuah katil kelamin dan sebuah katil bujang jadi bilik ini boleh dihuni tiga orang. Bilik air bersih dan ada pemanas air. Ada pangkin dapur dan sinki tapi tiada dapur gas atau alatan memasak. Begitulah keadaan bilik kami, bersih, sederhana, kemas, selesa, wifi percuma dan paling menarik hanya sepuluh dolar US semalam. Wow! Berbaloi-baloi. Kami segera bersetuju. Perkara pertama yang kami lakukan sebelum memulakan aktiviti merayau adalah mencuci pakaian kotor bekalan dari Phnom Penh. Cuaca di Mui Ne sangat panas tetapi berangin kuat, lazim bagi kawasan tepi pantai. Kami bergiliran mencuci pakaian, solat dan makan bekalan roti yang di bawa dari Saigon.

Antara deretan bilik kami dan deretan bilik di hadapan kami, terlintang pagar dawai. Jiran hadapan kami menjemur pakaian mereka di situ. Kami pon meniru. Kebetulan tuan rumah berada di halaman. Dia datang memberitahu yang ampaian dan penyangkut baju di halaman disediakan untuk penghuni. Aku segera memindahkan jemuran. Jiran hadapan kami sekeluarga orang Rusia. Dari nenek hinggalah ke cucu yang baru pandai berjalan. Mereka menyewa ketiga-tiga bilik sederet. Hanya anak perempuan mereka menyapa kami, yang lain tidak pandai berbahasa Inggeris.

Pelabuhan Mui Ne yang memukau

Terdahulu kami telah bertanyakan kepada tuan rumah tentang motorsikal sewa. Ketika aku sedang menjemur pakaian, seorang pak cik berumur lingkungan 50-an datang dengan sebuah motorsikal. Sebetulnya, jika kami mengambil motorsikal hari ini dan memulangkannya esok, itu di kira dua hari sewaan. Oleh kerana waktu itu sudah melepasi jam dua petang dan kami akan pulang esok tengah hari, aku cuba tawar menawar supaya kami mendapat harga sewaan sehari. Puas juga memujuk sebelum dia bersetuju dengan tambahan sedikit bayaran. Sebenarnya ada banyak kedai-kedai menawarkan perkhidmatan sewaan motor di sepanjang jalan.

Destinasi utama kami adalah gumuk pasir merah yang tidak jauh dari tempat kami menginap, sekitar dua belas kilometer. Gumuk pasir inilah yang menyebabkan aku ingin ke Mui Ne. Dengan berbekalkan peta ringkas Mui Ne yang tuan rumah berikan, kami memulakan perjalanan. Agak kekok menunggang motor di Vietnam kerana sistem pemandu sebelah kiri. Setiap kali tiba di simpang, Ayu harus menunjukkan arah supaya aku tidak tersasar. Tabiat pemanduan mereka juga agak menyeramkan. Walaupon tidak memandu laju, mereka tidak biasa berhenti di simpang sedangkan lampu isyarat merah menyala. Terjadi sekali kepada kami, situasi yang membingungkan sekaligus memalukan. Bayangkan kamu menunggang motorsikal dan terhenti di tengah-tengah simpang tiga kerana kenderaan lain datang dan berpapasan dari semua arah – bingung. Ia memalukan kerana hampir semua kenderaan membunyikan hon supaya kamu bergerak. Pon begitu, Mui Ne hanyalah pekan kecil jadi trafiknya tidak gila seperti Saigon.

Mendekati pekan Mui Ne, jalan raya betul-betul menyusur tebing pantai. Tiada lagi resort dan rumah tumpangan yang menghalang pemandangan ke laut. Namun tebing sangat tinggi dan curam. Sayup-sayup kami nampak bot-bot nelayan seolah-olah melambai kami supaya segera mendekati. Semakin dekat, semakin cantik pemandangan. Hinggalah pelabuhan nelayan Mui Ne betul-betul berada di depan mata kami. Beratus-ratus bot terapung-apung menghadap daratan. Imej ini mengingatkan aku kepada lakaran pelabuhan Melaka pada zaman kegemilangannya. Sangat mengujakan. Bot-bot nelayan berlabuh agak jauh dari persisiran pantai. Mendekati gigi air, berserakan sampan-sampan kecil dan sampan-sampan bulat teroleng-oleng oleh gelombang kecil. Sampan bulat bentuknya seperti mangkuk. Warna hijau terang dan biru terang mendoninasi bot-bot modern dan tradisi. Air laut ketika itu berkilauan dan kelihatan seperti logam mercury kerana biasan matahari petang. Warna-warni pelabuhan Mui Ne berharmoni dalam kontras, kelihatan begitu menarik sekaligus mendamaikan. Perkampungan Nelayan Mui Ne adalah sebuah tanjung, secara semulajadi menjadi pelindung kepada pelabuhan Mui Ne dari angin kencang dan ombak besar.

Motor yang kami tunggangi bergerak sangat perlahan, tiga puluh kilometer sejam. Sememangnya motorsikal ini tidak boleh bergerak lebih laju lagi. Kami terus bergerak menuju pekan. Tangki minyak perlu diisi terlebih dahulu. Pekan Mui Ne lebih kecil dari pekan Senggarang tempat aku membesar. Jalan raya dua lorong di apit oleh kedai-kedai papan setingkat. Tiada bahu jalan, koridor kedai betul-betul mencecah jalan raya. Hujung pekan berakhir dengan bulatan trafik.

Kami membuat pusingan di bulatan trafik, berpatah balik dan berhenti di pelabuhan nelayan. Berdiri beberapa ketika di atas koridor di kaki jalan, melepaskan pandangan ke arah laut. Bahagian tebing menuju pantai dibina tangga. Nun di bawah sana, beberapa orang nelayan sedang bekerja. Ibu-ibu penjual ikan menyapa kami, aku hanya senyum dan menggelang. Padahal perut dan hati merayu-rayu. Kalaulah, kalaulah ada dapur tentu aku sudah membeli ikan. Lagi pula hari ini kami belum menjamah nasi, dan entah berapa hari lagi baru dapat menjamah nasi. Beberapa orang kanak-kanak tempatan berkeliaran menjual cenderahati kepada pengunjung yang singgah. Mereka menatang talam kecil. Kaychain dan frigde magnet bersusun di dalamnya. Tetapi kami tidak menarik perhatian mereka kerana mereka sedang mengerumuni seorang pelancong lelaki Eropah yang juga baru tiba. Dia tidak membeli apa-apa dari penjaja kanak-kanak itu sebaliknya bergurau senda dengan mereka. Kanak-kanak itu tidak kelihatan tersinggung dan tidak mendesak sebaliknya ketawa kegembiraan. Kagum seketika melihat bagaimana dia meladeni penjaja kanak-kanak itu. Aku tertanya-tanya sendiri, adakah lelaki Eropah itu pandai berbahasa tempatan? Apa yang dia katakan kepada kanak-kanak itu? Mungkin juga dia sudah beberapa hari di sini dan datang duduk mengenali kanak-kanak itu setiap hari. Jika aku berada di situasinya, aku akan berasa tidak selesa. Aku sangat khuatir dikerumuni seperti itu dan aku bimbang tak sampai hati untuk menolak. Belajar dari pengalaman di tempat lain dalam situasi yang serupa. Jika kau beli dari seorang, yang lain akan datang mengerumun. Dan mereka tidak akan pergi selagi tidak mendapat hasil.


Pelancong Malaysia yang sombong

“Eh, ada orang Malaysia lah!” Ayu mematahkan pemerhatian ku kepada lelaki Eropah dan anak-anak penjaja.

Seorang lelaki muda Melayu berpapasan dengan kami, dia sekadar tersenyum nipis, tidak menyapa. Mui Ne memang masih asing bagi pelancong Malaysia yang rata-ratanya lebih suka berkampung di Pasar Benth Than. Jadi, berjumpa orang senegara di sini agak mengujakan. Melihat dua orang perempuan melayu berjalan ke arah kami, kami bersedia dengan senyuman yang paling manis – mata kami tak lepas mengikuti langkah mereka. Aku yakin mereka juga telah nampak kami atau sekurang-kurangnya tudung yang menutupi aurat kami. Malangnya mereka hanya melewati kami tanpa senyuman apa lagi sapaan, malah mereka menoleh ke arah lain, pura-pura tidak nampak dua orang kakak yang tercegat seperti patung di situ. Aku telan semula ucapan salam yang telah berada dihujung lidah. Aku rasa malu dan tersiggung. Kami hanya melirik mereka menaiki sebuah jip yang sedang menunggu.

“Amboiiiiiiiii!!!!!” Aku berbisik kepada Ayu sambil menarik lengannya. “Pedulikan lah mereka Kak Ngah!” bisikku lagi bila Ayu tak mahu melepaskan pandangannya. Ayu mengikut langkahku, kami bergerak ke arah tangga. Dia menoleh sekali lagi ke arah jip dan melihat mereka pergi dari situ.

“Sombongnya! Mentang-mentang dia naik jip, maklumlah kita ni mampu tunggang motor saja” Ayu meluahkan rasa tidak puas hati.

“Mereka enggang, kita pipit. Mereka datang dengan business class MAS, kita datang dengan tiket promo free seat Air Asia, tak setaraf kita dengan dia” Aku masih rasa tersinggung.

Ayu ketawa mendengar perumpamaanku. Kami turun ke pantai melihat orang menarik jaring. Seorang lelaki berada di atas sampan dan seorang lagi berada di pantai. Lelaki yang berada di pantai mengenakan topi keledar sedangkan lelaki yang berkenderaan (sampan) tidak memakai apa-apa pakaian keselamatan. Lucu bukan? Lelaki di atas sampan mengangkat-angkat tali jaring yang merentang entah dari mana pangkalnya. Manakala lelaki bertopi keledar yang berada di pantai bersedia menarik jaring ke darat. Hujung tali jaring terikat di darat. Bahagian tali yang merintang pantai dibenamkan ke pasir. Terdahulu mereka menggali tali yang terbenam di dalam pasir sebelum lelaki yang tidak bertopi keledar melompat ke dalam sampan. Barulah aku perasan deretan pancang kayu terpasak kukuh di kaki tebing yang setiapnya terikat tali yang tegang merintang ke laut. Aku tak nampak kayu pancang di laut, jauh benar nampaknya. Di setiap tali tertambat sampan kecil atau sampan bulat. Aku meneka itu sengaja mereka lakukan sebagai tanda hak milik jaring. Ah, barulah aku faham apa yang dilakukan oleh lelaki bersampan itu. Dia melepaskan tali jaring yang terikat di pancang laut. Beberapa orang lelaki tempatan yang kebetulan melewati, mereka berhenti melihat hasil tangkapan. Kami pon turut menyibuk. Geram rasa hati melihat ikan-ikan  melentik-lentik tersangkut di jaring. Oh! Alangkah sedapnya nasi panas, ikan goreng, kicap dan patahan cili burung. Liur yang tiba-tiba merembes ku telan. Bersabarlah wahai pengembara!

Ayu mengajak ke gumuk pasir merah sementalah hari pon semakin petang. Kami meninggalkan pelabuhan dengan harapan dapat singgah semula ke pelabuhan menjelang senja nanti.

Gumuk Pasir Merah

Akhirnya kami tiba di gumuk pasir merah. Tidak sukar mencari tempat ini kerana ia betul-betul berada di pinggir jalan utama, hanya beberapa kilometer dari pekan Mui Ne. Terdapat sederet kedai menjual makanan di seberang jalan. Motorsikal dan topi keledar kami tinggalkan di situ dengan sedikit bayaran. Ini sudah menjadi sebahagian perniagaan mereka. Beberapa orang kanak-kanak berlari mendekati kami dan menawarkan sewaan kepingan plastik untuk aktiviti luncur pasir. Kami menolak dan segera berlari menyeberangi jalan.

Angin bertiup agak kencang petang itu. Aku dan Ayu mula memanjat gumuk pasir yang paling tinggi. Dari kejauhan kami lihat ramai pelancong berada di puncaknya. Suara jeritan dan ketawa bersahut-sahutan, aku kira mereka sedang meluncur pasir. Sungguh cantik pemandangan gumuk pasir merah ini. Pasirnya berwarna merah berbeza dengan pasir di pantai, teksturnya juga sangat halus. Pelik juga bagaimana gumuk pasir tiba-tiba boleh wujud di sini. Kalau hanya mengambil imej gumuk pasir yang tidaklah seluas saujana mata memandang – potong imej jalan raya dan pokok-pokok rhu yang tumbuh di pinggiran, benar-benar pemandangannya seperti di tengah gurun pasir. Permukaan gumuk bercorak gelombang kesan tiupan angin. Ahli sains mengkaji jenis-jenis corak gelombang pada permukaan gumuk pasir. Corak-corak ini memberi maklumat tentang keadaan angin dan kelembapan. Itulah, manalah sama orang yang berilmu dan tidak. Kalau di mata aku, aku suka lihatnya sebab ia cantik. Dari bawah sampai ke nun jauh ke atas, jalur-jalur gelombang terlukis dengan frekuansi yang sama. Seolah-olah di lorek oleh gergasi berjari seribu. Tetapi… tiada gergasi, yang ada cuma makhluk Tuhan bernama angin. Sesungguhnya Al-Jamil itu maha indah dan sukakan keindahan.

Baru kira-kira sepuluh meter gumuk pasir dipanjat, kami sudah kelelahan. Setiap kali angin bertiup kami berpaling mengelak dari pasir-pasir halus yang menerpa muka tanpa kasihan. Tetapi walau bagaimana cara kami cuba menyorokkan wajah, pasir terlalu halus dapat juga mendarat di wajah kami. Aku mengalah dan berhenti. Ayu telah meninggalkan aku beberapa meter. Pasir-pasir halus yang melekat di cermin mata aku bersihkan. Aku menarik hujung tudung lalu menutup muka hingga hanya kelihatan mata. Kemudian aku cuba berlari mengejar Ayu yang juga berhenti bila melihat aku berhenti. Kami mengetawakan sesama sendiri kerana herot-merotnya tudung masing-masing tidak terkawal. Sang angin masih lagi mengacah-acah dan bergurau senda benar-benar membuat kami huru-hara. Kami duduk membelakangkan arah angin. Memerhatikan gelagat orang-orang yang datang dan pergi, sambil berbual entah apa. Aku memang suka begini, duduk tanpa berbuat apa-apa. Mengagumi sepicing kehebatan Ilahi, melepaskan fikiran dari tautan rutin dan kerja yang tak pernah selesai dan membuka fikiran kepada hal-hal lain seputar kehidupan. Penat duduk, kami melangkah lagi memanjat gumuk pasir. Kaki terbenam setiap kali melangkah dan angin semakin galak mengacah.

Ramai pelancong berdiri di sepanjang puncak. Bahagian belakang gumuk pasir ini lebih curam dari bahagian yang kami naiki tadi. Beberapa pelancong Eropah bergiliran meluncur. Sorak-sorai bergema setiap kali seorang menyahut cabaran. Kanak-kanak tempatan berusahaa menancing penonton supaya meluncur dan menggunakan papan luncur sewaan mereka.

“Kak Ngah tak teringin?” tanyaku.

“Nampak seronok. Tapiii…. nak panjat ke atas ni semula bila sudah di bawah tu la  yang tak sanggup” ujarnya dalam ketawa.

Sangking teruja melihat orang meluncur, aku melepaskan hujung tudung dari pegangan. Angin datang tiba-tiba dan tudungku lepas dari dagu. Kelam-kabut aku menangkapnya dengan menekup kedua telinga. Aku segera berlari ke rimbunan pohon rhu berdekatan. Aduhaiii… mujur sempat kutangkap tudung kepala nan bertuah. Berkira-kira aku berada di tempat yang tersorok, barulah aku mengenakan semula tudung.

Kak Ngah ketawa melihat aku muncul dari celah batang pokok-pokok rhu dengan muka merah padam. Aku hanya tersengih-sengih. Setelah puas berman pasir dan angin kami bergerak kembali semula ke pekan dengan satu misi. Mencari cili!

Sila klik sini untuk lihat gambar di album FB

Advertisements

7 thoughts on “Mui Ne, 2 Hari 1 malam. (Bahagian 1)

  1. Pelancong Malaysia mmg kekwat. Kalau kat ben than tu yg peramah geng makcik2. Kalau geng gadis2 ni mmg kalau boleh nak buat2 buta. Tapi ada geng org Malaysia yg duduk di Pham Ngu Lo friendly. Teringat kejadian di Hong Kong , kami terserempak dengan geng gadis2 stylo di Disneyland. Saya senyum sampai ketelinga excited jumpa org Malaysia. Tapi masing2 buat muka takde perasaan. Gampang betul bebudak ni. Pusing disneyland pakai boot 4 inch tinggi. Ambik kau at the end of the day jalan dah mcm org tempang. Padan muka.

  2. Selalu jugak terbabas masuk jalan orang bila bawa motor di Vietnam ni. Terbiasa pemanduan di sebelah kanan. Haha.

  3. Hairan kan. Beberapa kali terserempak pelancong Malaysia di Jepun dan Turki. Masing-masing buat-buat tak nampak kita, kita pula yang gigih dan umpama terhegeh nampak orang “kita”. Sedih dengan pelancong perasan begini.

  4. salam ziarah & follow..

    seronoknyer muda2 dah banyak tempat pergi bercuti…

    semoga ada peluang nak bercuti tempat2 orang lain kali.. 🙂

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s