Mumbai, bagaimanalah harus aku luahkan?


SAM_0115 (Large)

Setelah berhari-hari di sini, aku mula belajar untuk melepaskan keresahan hati setiap kali melewati
gelandangan di kota Mumbai ini. Mana taknya, mereka di mana-mana. Di mana-mana saja. Kaki lima
kedai, bahu jalan, bawah flyover, bawah pokok, kaki lima stesyen keretapi malah di dalam pagar pokok
besar di tepi jalan. Paling meruntun hati ibu dan anak tidur berpelukan – kaku tak bergerak, lalat
menghurung. Adakah mereka hidup atau mati? Manusia lalu lalang seolah-olah anak-beranak itu ghaib.

Ada satu perasaan menyesak dada yang tak dapat aku luahkan. Jika aku di tanya, seronokkah Mumbai? Ya,aku gembira kerana masih sempat mengembara bersama Yatt – semacam ritual tahunan kami. Aku suka kerana dapat melihat sisi dunia yang baru bagi aku. Aku gembira dapat bertemu semula dengan Mariyam. Aku seronok kerana lima jam aku habiskan di tiga museum, aku mempelajari sejarah India, budayanya, agamanya dan wiranya. Tapi perasaan yang satu itu, yang tak terluahkan itu, tetap berada di situ. Kadang-kala membengkak, kadang-kala surut. Aku cuba untuk tidak ambil peduli, malah langsung tidak memandang. Selain berkeluh-kesah, apalah yang aku mampu?

Pagi ini, seperti pagi-pagi sebelumnya, kami menaiki kereta api. Tujuan kami mengintai para
dabbawala. Oleh kerana sudah melepasi waktu puncak, gerabak tidak penuh, masih ada kerusi kosong.
Pon, kami lebih selesa berdiri di antara dua pintu. Seperti biasa ada orang berjaja di dalam
gerabak. Biasanya wanita separuh usia. Kali ini seorang budak lelaki, awal remaja. Aku teka umurnya
mungkin 15 tahun. Dan yang paling menarik perhatian aku, dia menjual buku. Dia menampung tumpukan buku dengan kedua tangannya yang kecil dan dagunya sebagai penahan. Bersusah payah melawan hayunan kereta api. Namun, nampaknya dia sudah cekap. Bermacam jenis buku yang di bawa, entah baru atau terpakai, entah asli atau ciplakan. Dari buku karya Khaled Hossaini hinggalah buku karya penerima hadiah nobel yang menggegar dunia, Malala.

Alangkah ironinya, si penjual buku sendiri tidak bersekolah. Melihat dia menjaja bukunya, dari satu
barian ke satu barisan. Fikiran aku kacau, perasaan aku galau. Bagaimana kalau aku adalah dia dan
dia adalah aku? Entah kenapa, mataku tak mahu melepaskan pandangan dari remaja malang ini. Dan, bila dia mengangkat mukanya dia tahu seorang perempuan asing sedang memerhatikan dirinya. Habis sudah semua kerusi disinggahi. Ada yang melihat tetapi tidak membeli. Wajahku agak tegang ketika dia
datang menghampiri. Dia berdiri betul-betul di hadapan aku. Baju T yang asalnya putih jelas
lusuhnya, tetapi tak kumuh. Seluar separas lutut. Selipar jepun seada-adanya. Dagunya bekerja keras
menahan timbunan buku yang di tampung dengaan kedua tapak tangan.

Tentulah aku tak memahami apa yang dia katakan. Tapi dia terus bercakap, memujuk tentunya. Aku
terpegun beberapa saat. Aku lihat matanya yang bundar, wajahnya yang naif. Rambutnya kemas, pendek tersisir. Setiap kali dia menghabiskan ayat dan berhenti untuk bernafas, aku memberi respon dengan gelengan. Tapi dia tak mahu mengalah. Dia terus memujuk. Aku lihat lagi matanya, wajahnya – ada riak cerdik dalam masa yang sama ada seribu cerita – yang tentulah aku tak tahu. Adik, di manakah rumahmu? Di kaki lima mana? di flyover mana? di jambatan mana? Apakah kau punya keluarga? Adakah kau punca rezeki mereka? Bagaimana kalau aku adalah kau dan kau adalah aku? Mukaku mula berkerut menahan sesuatu. Dia terus memujuk dan aku terus menggeleng. Untuk beberapa minit ia berlangsung dan membuat aku serba tak keruan.

“Berhenti pandang muka dia” ujar Yatt tanpa memandangku. Entah kenapa aku rasa bersalah dan biadap bila melarikan pandangan dari wajahnya yang masih memujuk penuh harap. Akhirnya dia berlalu. Adakah dia hampa? Dan segala yang aku tahan sedari tadi tumpah tanpa berbasa-basi. Buru-buru aku menanggal cermin mata lalu mengelap mata dengan hujung lengan baju. Aku terus pandang keluar, tak berani menoleh kebelakang kerana bimbang bertemu-mata dengannya lagi. Selain sedikit doa, apalah yang aku mampu?