Make gapo di Bangkok?


Selepas melalui pengalaman air mata (sebab gelak terlampau) di Restoran Mak yah. Sila baca sini. Kami secara tak sedar mendapat satu teori bahawa muslim di Bangkok (sekurang-kurangnya masyarakat di sekitar Soi7) berasal dari selatan Thai, dan boleh bertutur bahasa Melayu mirip dialek Kelantan. Jadi kami rasa agak senang hati.

Malam berikutnya, kami sekali lagi mahu ke Petchaburi Soi7 untuk makan malam. Oleh kerana jalan sesak, kami naik tuk tuk. Tuk tuk lebih mudah mencilok. memang benar, dalam kesesakan traffik pon, mereka boleh buat pusingan-U di mana-mana saja (jalan raya bangkok tiada pembahagi jalan). Namun, yang lebih mengagumkan, kenderaan lain dengan senang hati memberi laluan. Risiko menaiki tuk tuk ni, kalau tak berhati-hati dapat pemandu yang kuat menipu. Itulah yang terjadi pada kami. Manalah kita tahu seseorang tu penipu sampailah kita kena tipu, betul tak?

Tuk-tuk penipu 😛

Untuk mengarahkan pemandu, kami guna cara macam semalam, isyarat “Soi7, muslim, eat” (Di ceritakan dalam kisah mak yah pada link di atas). Pemandu tu awalnya mengaku tahu tempat yang kami nak pergi, tapi di bawanya kami berpusing-pusing kemudian berhenti di hadapan sebuah restoran Cina. Terpampang iklan Carlsberg dan tanglung bergentanyangan di depan kedai. Kami berkeras tak mahu turun. Kemudian dia teruskan perjalanan dengan syarat tambang harus ditambah 40bath menjadi jumlah semuanya 100bath.

Akhirnya dia berhenti di depan Soi7, berdekatan Restoran Mak Yah. Dia menagih tambahan 40bath. Sebaliknya, aku bagi ceramah dulu. Bahasa Inggeris pemandu berusia remaja ini agak baik. Dia berkeras juga hendakan tambangnya. Aku katakan padanya, yang aku tahu dia menipu dan aku tahu kami akhirnya masih berada di Jalan Petchaburi yang sebenarnya dia cuma perlu jalan terus kedepan tapi dia yang bawa kami pusing-pusing. Yatt mula naik seram dengan keberanian aku. Akhirnya aku tambah 20bath saja. Bila fikir-fikir semula, dua ringgit pon aku nak bising haha. Tapi bukan hal duit sangat, tapi sebab kena tipu. Saja nak bagi pengajaran. Kononnya.

Kami menyusur Soi7. Kami temukan masjid. Gelap. Waktu jemaah Isyak dah lama berlalu. Terdapat sebuah kedai makan bersebelahan masjid. Seorang perempuan muda yang sedang memasak (kedai-kedai disana dapurnya di hadapan kedai dan tempat makan di dalam kedai) menyapa kami dengan salam. Tapi kami tak singgah. Kononnya nak tengok hingga hujung jalan kerana macam ada banyak lagi kedai di depan. Kami berjalan dengan senang hati.

Akhirnya kami masuk satu kedai makan yang “nampak sedap”. Meriah dengan muda mudi duduk makan dan berborak-borak. Semua perempuan didalam kedai itu bertudung kecuali seorang pekerja tukang ambil pesanan. Kami duduk berdekatan dengan kaunter bayaran. Tiada orang menjaga kaunter bayaran. Bayaran di buat di meja makan. Oleh kerana kedai agak sibuk, pelayan pon tidak menang tangan, aku bangun dan capai menu di atas kaunter.

Nah! aku meletakkan menu di atas meja. Atas bawah kiri kanan semua tulisan Thai. Kami ketawa saja. Teringat kisah semalam. “Pesan dengan mulut sajalah. Nasi, tomyam dan telur dadar. Cukup!” kami membuat kesimpulan. Yakin 100 persen.

Nott melambai pembantu kedai untuk buat pesanan. Budak perempuan yang tidak bertudung mendekati kami. Tetapi dia langsung tidak menyapa sebaliknya hanya meletakkan satu buku nota kecil dan pensel di meja kami dan berlalu. Kami pandang sesama sendiri. Panik 50 persen. Nott panggil semula pelayan tadi. Kemudian berlakulah perbualan biasa bila berlaku situasi ini.

“Sorry, we are not local, we don’t speak Thai, do you speak English?'”

Malangnya pelayan tadi tu berkrungkrapkrungkrap dengan kami.

Sudahhhhhhhhh……. Panik 78 persen. Kami pandang sesama sendiri. Kami pandang sekeliling. Suasana kedai bising, semua orang sedang rancak berbual berselang-seli dengan ketawa. Tiada orang melihat kami. Tiada orang mempedulikan kami. Oh.. perut sudah lapar, kami tidak makan tengah hari dan sekarang hari sudah malam.

Aku bangun, sedikit menggigil. Bukan kerana lapar, tapi berdebar-debar.

“Anybody here can speak English?” Seluruh kedai terdiam mendengar suaraku yang nyaring. Kerana terlalu berdebar, aku terlepas frekuensi tinggi. Semua orang menumpu ke arah kami. Panik 92 persen. Masa seolah-olah terhenti. Dup dap dup dap dup dap …. kalau aku melihat mukaku dicermin pada waktu itu, tentu aku merasa sungguh kasihan dengan diriku sendiri.

Seorang lelaki muda yang sudah mahu pulang mengangkat tangan bertanya adakah kami perlukan pertolongan, tentulah dalam bahasa Inggeris. Aku nyatakan, kami perlu pertolongan untuk pesan makanan. Walaupun bahasa Inggerisnya tak begitu baik dan dia macam tergesa-gesa hendak balik, baik sungguh hatinya sudi menolong. Semua orang kembali berborak-borak dalam bahasa yang kami tak fahami. Tetapi entah kenapa aku seolah-olah mendengar mereka bercerita tentang kami.

“Kenapa budak perempuan tu menjerit macam orang gila? Apa yang dia cakap?”

“Dia marah pelayan ke?”

“Mereka ni orang mana?”

“Nampaknya macam orang tempatan”

“Tudung bawal berbelit serupa kita!”

“Aku ada baju yang sama , beli di Plaza Platinum!”

……………………………………………………………………………………………………………….

Perempuan yang makan bersama-sama lelaki tadi, seolah-olah tidak setuju dengan niat pasangannya hendak membantu kami. Mereka bercakap-cakap, dan perempuan itu menggesa supaya mereka segera pergi, seperti sudah sangat kelewatan. Lelaki tadi serba salah. Err… sebenarnya aku agak saja, walaupun aku tak faham apa yang mereka cakapkan. Lagipon, kedudukan mereka agak jauh dari kami. Kami bimbang jika lelaki itu membatalkan niatnya. Kami boleh saja keluar dan pergi ke kedai lain. Masaalahnya, sanggupkah aku buat pengumuman seperti tadi di setiap kedai? Ai….. malu malu malu.

Sedang lelaki tadi menuju ke arah kami, terdengar satu suara dari meja bersebelahan kami.

“Nak make gapo?” [ Dialek Kelantan; terjemahan: nak makan apa? ]

Benarkah yang kami dengar? Seorang remaja lelaki memandang kami penuh simpati. Hahhhhhhhhhhh………. serentak kami melepas lega. Aku segera duduk, tersandar kelegaan 50%. Lelaki yang ingin menolong tadi terus minta diri memandangkan ada orang lain yang boleh menolong. Sepanjang remaja lelaki itu bercakap-cakap dengan kami, kawan di sebelahnya melopong mulut. Entah-entah, dia sediri tak pernah mendengar rakannya berbahasa Melayu. Bila saja budak lelaki itu selesai menolong kami membuat pesanan dan kembali kepada kawannya, kawannya membuat simbul jempol (macam iklan Bank Rakyat – saya mesti pilih tu!). Hahahaha gelak besar aku. Lega 89 persen!

Yang pakai windbreaker ni la org Narathiwat. Si baju biru tu ialah budak Bank Rakyat – saya mesti pilih hahaha.

Nott yang paling hampir dengan mereka menemuramah budak lelaki tadi. Dia pelajar universiti di Bangkok dan berasal dari Narathiwat. Aku rasa terkilan sedikit kerana tidak membawa kad nama. Manalah tau bila-bila dia datang Johor dan ada apa-apa masalah, bolehlah aku balas budi dia yang besar tu. Besar tau! menyelamatkan orang dari kelaparan. hehe 🙂

Dan teori yang aku nyatakan pada awal tadi adalah salah :P. Sepanjang malam kami mentertawakan diri sendiri. Apa pon terjadi yang penting perut berisi. Gendang gendut tali kecapi, kenyang perut senanglah  hati. He he he… Lega 100 persen!

Bil makan kami malam itu.

Bil makan kami malam itu. Gambar ikhsan Cik Sengal @ http://akuyangsengal.blogspot.com

Advertisements

Keajaiban-keajaiban kecil dalam hidup III – Edisi Lebuhraya


image

Malam itu tidak berbeza dengan malam-malam sebelumnya. Lebuhraya utara selatan menuju utara juga tidak sibuk. Aku memandu sendirian. Aku bertolak agak lambat kerana mengelakkan kesesakan jalan raya dan lebuh raya petang Jumaat. Selepas balik dari kerja, aku pulang dulu kerumah, membersihkan diri dan berehat hingga waktu isyak. Bukan jauh kampung tercinta. Jika memandu bertenang-tenang pon, boleh tiba dalam masa sembilan puluh minit, dengan kereta burukku itu.

Sedang aku memandu, tak semena-mena kurasakan kereta tidak seimbang. Tayar belakang berbunyi berdebab-berdebub. Mujur aku tak laju, aku memperlahankan pemanduan dan menghimpit ke bahu jalan. Aku teringat bateri talifon bimbit yang hampir kosong dan kredit yang tinggal beberapa ringgit. Aduhai, mengapa aku begitu lalai tidak mengecas bateri talifon? Aduhai, kenapa aku tidak menyediakan kad tambah nilai kecemasan dalam kereta atau dompet seperti yang aku pernah amalkan dulu? Aduhai, kenapa malang tiba ketika kita tidak bersedia? Aduhai, bagaimana kalau aku tersadai di tengah gelap begini? Tidur dalam kereta? Berjalan dalam gelap? Apa yang perlu aku lakukan? Aku tidak menyimpan nombor PLUS. Talifonku jenis tak canggih, tiada akses internet. Siapa perlu aku hubungi? Emak? Abang? Kawan? Aku belum pon sampai persimpangan Simpang Renggam, baru separuh perjalanan. Ya Allah, ya Allah, ya Allah apa nasibku malam ini?

Bila keretaku betul-betul merapat ke tebing jalan, aku nampak talifon kecemasan cuma beberapa meter di hadapan, jadi aku lajakkan kereta ku hingga betul-betul berada di depannya. Syukur. Aku ambil masa beberapa minit sebelum keluar dari kereta. Lori-lori besar yang melintasiku agak menggerunkan. Segera aku menalifon Pusat Kawalan PLUS. Ini kali pertama aku menggunakan talifon kecemasan. Selama ini aku tertanya-tanya bagaimana kotak kecil ini berfungsi. Rupa-rupanya ia cuma ada satu picu dan lubang penerima dan pengeluar suara. Bila picu ditarik ke bawah talian terus bersambung kepada pusat kawalan. Aku melaporkan kerosakan keretaku.

“Saya rasa tayar pancit” sebenarnya aku sendiri belum melihat dengan teliti. Sejujurnya aku agak panik, tapi aku cuba bertenang dan berdoa. Selepas itu aku hantar SMS kepada abangku di kampung, memaklumkan masalah yang aku hadapi. Namun aku beritahu kepadanya tak usah khuatir, aku sedang menunggu petugas lebuhraya datang memberi bantuan. Aku akan hubungi dia semula bila mereka sampai. Abangku menalifonku serta-merta. Aku menjawab dengan cepat, mengulang padanya jangan risau dan aku juga beritahu bateri aku hampir kehabisan. Dan aku pon berseorangan di dalam gelap di tepi lebuhraya. Aku duduk di bahagian penumpang, tak begitu merasakan gegaran kesan dari kenderaan berat yang bergerak laju. Pintu kereta aku kunci dan kerusi aku rendahkan supaya tidak kelihtan yang aku seorang perempuan yang sedang berseorangan. Waktu itulah bermacam-macam kisah dari akhbar dan internet muncul dalam kepala. Beberapa kisah berkaitan kereta rosak dan berhenti di bahu jalan lebuhraya. Ada kisah dilanggar, lebih teruk kisah dirompak. Ya Allah, kumohon lindungi aku dari kejatahan gelap malam dan kejahatan manusia. Resahnya menunggu tapi tak ada yang dapat kulakukan selain tawakkal.

Hampir sepuluh minit menunggu, petugas lebuhraya pon sampai. Dua orang muda. Rupa-rupanya tayarku bukan pancit, tetapi pecah! Aku tak ingat sama ada aku ada mendengar bunyi letupan atau tidak. Tanpa tunda-tunda mereka memulakan kerja menukar tayar. Sambil bekerja mereka sempat beramah mesra bertanya asal-usul, arah tujuan dan sebagainya. Keramahan mereka membuatkan aku rasa selesa dan selamat. Kemudian, sementara yang seorang menyudahkan kerja dan memeriksa tayar-tayar lain, seorang lagi pergi ke talifon kecemasan yang aku gunakan tadi.

“Kak, tadi akak talifon pejabat guna talifon apa?” tanyanya tiba-tiba.

“Talifon itulah” jawabku acuh tak acuh.

“Tapi… talifon ni rosak”

“Ha?”

“Talifon ni memang rosak, langsung tak ada bunyi. Tengok, lampu pon tak menyala”

“…………………………………..”. Tiba-tiba aku rasa mahu mengangis. Aku rasa disayangi dan aku rasa dilindungi. La haula wala quwaata illa billa.

Keajaiban-keajaiban kecil dalam hidup II ~ Edisi Korea


Ya Allah, kami ni berada di negeri yang asing. Kami tak kenal sesiapa dan kami tak fahami bahasa mereka. Ya Allah, mudahkanlah perjalanan kami. Jangan biarkan kami sesat. Datangkanlah bantuan dan penolong ya Allah. Engkau sajalah sebaik-baik penolong.

Itulah doaku sebaik saja keluar dari Lapangan Terbang Incheon, Seoul. Dari lapangan terbang, kami ke Museum Nasional kemudian bergerak ke rumah penginapan yang kami telah tempah sejak di tanah air lagi. Letaknya dia Jong-No sam. Untuk ke sana dari museum, kami perlu menukar tren di Seoul Station, dari aliran empat ke aliran 1. Jaringan tren di Seoul dipanggil subway. Waktu itu aku terlalu penat, mengantuk, lapar dan sejuk. Kami tiba di Seoul malam sebelumnya, bermalam di lapangan terbang dalam kesejukan dan ketidakselesaan. Kali terakhir kami menikmati makanan yang sempurna ialah pada lebih dua puluh empat jam yang lepas, sarapan nasi lemak ketika di LCCT. Malam tadi dan pagi ini kami cuma makan biskut dan minum kopi.

Sekarang sudah tengah hari. Untuk beberapa hari ini, suhu di Seoul dijangka tidak melebihi satu darjah selsius. Aku berada dalam keadaan yang sangat asing dan diluar zon keselesaanku. Aku masih cuba menyesuaikan diri dengan cuaca sejuk. Bebanan sepuluh kilo yang terpikul di belakangku merenggut saki baki tenaga yang aku ada dan menambahkan rasa tidak selesa. Tangga-tangga stesyen subway pula sangat menduga. Tak kusangka negara maju seperti Korea tidak mempunyai eskalator di stesyen subway mereka. Tak sabar hendak mencampakkan bebanan sepuluh kilo ini sebaik tiba di bilik penginapan. Sakit bahuku dan sejuk rasanya tak tertahan lagi. Ya Allah, jangan biarkan kami sesat. Tolonglah kami. Aku mengulang-ulang dalam hati sepanjang berada dalam tren dari museum.

seoul-subway-map

Tegang jugalah urat tengkuk bila study peta ni

Kami tiba di Seoul Station. Stesyen subway tertua di Korea. Kami perlu bertukar tren di sini. Sebaik keluar dari perut tren, kami berhenti sebentar memerhatikan keadaan sekeliling. Rata-rata penumpang menuju ke arah kiri. Aku nampak tanda “lif” di arah kanan.

“Kita ambil lif” putusku. Walaupon beban di bahuku berat, tapi aku lebih mengasihani Yatt. Begnya beroda. Mendaki tangga sangat sukar dan menyeksakan baginya. Kami menaiki lif bersama-sama tiga orang halmuhni (nenek). Budaya Korea sangat menghormati orang tua. Dalam pemerhatian aku yang singkat, aku dapati mereka rela berdiri dan tetap membiarkan kerusi yang di khaskan untuk orang-orang tua kosong.

Nenek-nenek tadi tersenyum-senyum memandang kami kemudian bercakap sesama sendiri. Aku kira lif ini juga di khaskan untuk orang tua dan kurang upaya. Oh, tiba-tiba aku rasa malu. Bila saja pintu lif terbuka di tingkat atas, kami biarkan mereka keluar dahulu. Seorang harabuhji (datuk) sedang menunggu untuk menaiki lif turun ke bawah. Mereka bersapaan, tetapi bunyinya seperti bercakap tentang sesuatu yang serius. Mereka memandang-mandang dan menunjuk-nunjuk ke arah kami. Kami tidak bersangka apa-apa, mungkin rupa kami yang asing mencuri perhatian mereka. Perlahan-lahan kami meloloskan diri dan berlalu untuk mencari jalan keluar dari stesyen.

“Kak Awa!” Yatt memanggilku.

“Atuk tu pangillah” ujarnya.

Kami berpatah balik. Harabuhji bertanya tujuan kami.

“Jong-no sam” Yatt menjawab mewakili kami. Mujur Yatt faham apa yang ditanyanya. Tak sia-sia dia menonton drama Korea setiap hari.

Harabuhji bersungguh-sungguh bercakap dengan kami dalam bahasa Korea. Tangannya menunjuk-nunjuk kawasan tren di bawah. Kami terpinga-pinga.

“Kita ni… sesat ke?” bisikku pada Nott.

“Entahla… manalah aku faham apa atuk ni cakap” jawabnya.

“OK?” harabuhji mengakhiri “penerangannya”.  Dia memandang kami bergiliran.

“OOOOO..K” jawabku ragu-ragu. Sebenarnya dalam begitu banyak bunyi keluar dari mulutnya, cuma OK yang aku fahami.

Nampaknya dia tidak berpuas hati dengan respon kami. Dia membuat isyarat tunggu lalu menekan butang lif. Bila lif terbuka dia menahan pintu dan menyuruh kami masuk. Kami menurut seperti anak kecil yang patuh.

“English?” tanyanya sepatah pada ku.

“Yes” aku mengangguk. Kami sama-sama tersengih. Lucu memikirkan situasi janggal ayam-itik yang membingungkan itu. Walaupun komunikasi verbal gagal, tetapi komunikasi bahasa badan menunjukkan yang harabuhji berniat baik. Senyumnya manis dan peramah.

Sebaik lif tiba ditingkat bawah, dia menggamit kami supaya mengikutnya. Walaupun bingung, kami patuh. Kemana sajalah dia mahu membawa kami. Dia berjalan laju dan cergas, tak padan dengan ketuaannya. Yatt meneka umur harabuhji, mungkin sekitar akhir 70an atau awal 80an. Orangnya kecil dan rendah. Mukanya bulat dan rambutnya sudah memutih. Dia memakai topi besbal, berjaket coklat dan menggendong beg kecil dibelakangnya. Kami yang menggendong beg sepuluh kilo agak kepenatan. Sesekali kami terpaksa berlari-lari anak kerana mengikut rentaknya. Agak mencabar berjalan laju ditengah kesesakan aliran manusia yang sibuk kesana-kemari, lebih-lebih lagi ketika naik turun tangga. Kemudian kami berjumpa kedai-kedai kecil di kiri dan kanan. Pebagai jualan dari makanan ringan, kuih-muih hingga pakaian musim sejuk seperti stokin, sarung tangan, mafla dan sebagainya. Meriahnya, macam pasar minggu. Kami cuma menjeling-jeling tak sempat memerhatikan keadaan sekeliling, bimbang harabuhji hilang dari pandangan.

Setelah naik turun tangga beberapa kali, kami masuk ke satu stesyen lain. Rupanya, untuk menukar tren tidak perlu keluar masuk dari satu stesyen ke stesyen lainnya sebagaimana lazimnya sistem di Kuala Lumpur. Kami langsung tak keluar dari perut bumi. Walaubagaimanapun, jarak antara stesyen agak jauh. Sebaik kami tiba, secara kebetulan, tren pon tiba.

“Jong-no sam! Jong-no sam!” harabuhji menunjuk kepada tren yang baru berhenti dan mengisyaratkan supaya kami segera naik. Orang ramai berpusu-pusu memenuhi perut tren. Kami masih separuh kaget dan separuh tidak percaya. Bukan tak percaya pada harabuji, tetapi tak percaya yang harabuji rupanya membawa kami hingga ke pintu tren.

“Go Jong-no sam!” ujarnya lagi menggesa kami supaya bersegera. Entah kenapa untuk beberapa saat, kami tetap berdiri macam orang bodoh.

Bila Yatt mengucapkan “Kamsahamida”, aku dan Nott pon meniru Yatt. Itu saja yang kami mampu ucapkan. Kalau dia halmuhni, aku ingin memeluknya.

“No change, Jong No sam stop!” Sempat lagi dia berpesan ketika kami melangkah masuk ke dalam tren. Pintu tren tertutup sebaik saja kami memasuki gerabak. Bila kami menoleh semula, harabuhji sudah hilang dari pandangan. 

Beberapa minit pertama di dalam tren, aku diam tak berkata-kata. Hatiku tersentuh dengan kebaikan harabuhji. Aku masih separuh percaya ada orang yang begitu baik hati dan sanggup memberi pertolongan yang begitu hebat. Bayangkan kalau kami meneruskan perjalanan tadi. Tentu kami mendapat susah dan boleh jadi kami kesesatan hingga petang. Kemudian, sesuatu menyentak benakku.

“Yatt, macam mana atuk tu tahu kita sesat?”

“Entah, tu la .. pelik! Kita sendiri pon tak tahu yang kita sesat”

………………………………………..

[ Antara doa yang paling mustajab adalah doa orang yang sedang bermusafir ]
Harabuhji adalah penolong yang Allah kirimkan. Hari-hari seterusnya di Korea, hampir setiap kali kami sesat, Allah  hantar penolong kepada kami. Aku rasa disayangi dan aku rasa dilindungi. Yabbi yassir wa la tuassir.

IF

Sumber gambar: internet. Tujuan kami, jong-no sam

 

Jangan lupa ikuti kisah lain dalam siri Keajaiban-keajaiban kecil dalam hidup Jumaat depan! 15 Febuari 2013

 

Keajaiban-keajaiban kecil dalam hidup


Seperti kelazimannya, Oli lah yang paling awal keluar rumah. Biasanya sekitar jam tujuh pagi Oli mula bergerak ke tempat kerja. Pagi itu, aku tak sedar yang Oli masih berada di rumah walaupun sudah lebih setengah jam berlalu selepas tujuh pagi. Hinggalah Alin mengetuk pintu bilik aku.

“Mangga pagar tak boleh buka!” beritahu Alin.

Aku dengan rambut kering turun ke halaman. Muka Oli penuh berminyak. Untuk mengelakkan kes tertinggal kunci, aku beli mangga dengan nombor kombinasi. Jadi sekurang-kurangnya, jika kami tertinggal kunci rumah, kami masih boleh masukkan kereta. Tapi bila mangga tak berfungsi, jadi malapetaka yang lebih buruk pula. Sebelum ini Alin pernah jadi mangsa, tapi dia sangat bernasib baik. Beberapa kali percubaan, mangga terbuka. Aku lebih malang, aku terpaksa panjar pintu pagar. Mujurlah hari sudah malam. Melaung pakcik jiran sebelah bimbang aku jatuh. Dan di pagi yang hening itu, Oli. Aku dan Alin bergilir-gilir mencuba kerana Oli sudah kepenatan. Akhirnya kami hampir berputus asa. Haruskah kita panggil orang datang potong mangga ni? Orang apa harus kita panggil? tukang kunci? orang kedai hardware?

“Solawat dik! Solawat!!” aku dengar suara.

Tak dapat aku lihat wajah yang berteriak tadi. Tapi jelasnya dia betul-betul berada di depanku. Di balik pagar rumah bertentang, terlindung dek pagar dan sidaian kain baju yang banyak. Ah.. selawat… kenapa kami tak ingat itu? rasa malu melintas dalam hati. Dalam kepala cuma kiraan, berapa nombor kombinasi yang perlu dicuba. Bodohnya kami! Suara itu ialah suara pembantu rumah Indonesia jiran kami. Dan kami selawat berulang2, sambil terus mencuba kombinasi nombor. Hatiku melirih.. Ya Allah.. apalah agaknya doa Nabi Daud ketika dia melentur besi? Tap! kunci terbuka. Ajaib Ya Allah, aku baru bertanya, belum berdoa sudah kau makbulkan! Ya Allah sesugguhnya engkau Tuhan yang maha mengetahui.

Kawan-kawan.. bila kali terakhir kau rasai keajaiban yang selalu kita panggil nasib baik? Bagaimana nasib boleh datang pada kita?

Aku, Alin lebih-lebih lagi Oli keletihan. Kami masuk semula ke rumah. Jarum pendek jam sudah melepasi sembilan. Semua sepakat ambil cuti kecemasan hari itu. Tenaga dan mood telah jatuh bersama keringat ketika cubaan membuka mangga nan bertuah.

———————————————————————–

Kisah di atas dari blog lama, dan ini komen dari MamaJannah 🙂

Thanks awa ,
Allah mengetuk hati kita dengan rasa susah, supaya kembali kepadaNya dengan pengharapan 100% dan itulah tandanya Allah sayang kepada kita. Selangkah kita rapat kepadaNya seribu langkah Allah rapat kepada kita. Teringat satu ayat dalam surah al isra’ ayat 67 yang bermaksud

“Dan apabila kamu ditimpa bahaya di lautan, nescaya hilang semua yang (biasa) kamu seru, kecuali Dia. Tetapi ketika Dia menyelamatkan kamu ke daratan, kamu berpaling (dariNya). Dan manusia memang selalu engkar (tidak bersyukur)”

New Zealand 10.5: Sisipan [Video]


Penat dah cerita panjang, tengok saja la video. Jangan dengar sangat apa yang dikarutkan budak dua orang tu. Orang belakang senyap, mungkin dah tidur. Rasa nak tolong lap tak cermin van tu? 😛

Perhatikan signborad masuk dan keluar pekan. Sempoi kan?


A: Mt Cook
B: Twizel
C: Otematata
D: Kurow
E: Duntroon
F: Moeraki Boulders
G: Oamaru

Tiga tasik: Benmore, Aviemore dan Waitaki

New Zealand 10: Perjalanan yang panjang I


Janganlah engkau berjalan di muka bumi dengan sombong, sesungguhnya engkau tidak dapat menembusi bumi dan tak akan engkau dapat menyamai ketinggian gunung1

Aoraki sudah kami tinggalkan. Di sepanjang jalan Mount Cook, acapkali kami bertembung dengan kenderaan-kenderaan lain. Setiap kali bertembung dengan campervan terutamanya campervan Jucy, masing-masing seronok melambaikan tangan. Ada juga yang memberi isyarat lampu. Seperti saudara saja, padahal saling tidak mengenal. Begitulah, manusia sebenarnya cuma perlu satu persamaan kecil untuk saling berhubung. Tetapi dalam kebanyakan situasi manusia lebih suka mencari perbezaan

Dari bahagian tengah South Island, pergunungan Mckenzie, kami meneruskan perjalanan ke bahagian pantai timur. Keluar dari Centebury Memasuki Otago (Centerbury dan Otago ibarat negeri seperti Johor,Pahang dan sebagainya). Aku kira kami menyeberangi banjaran Southern Alps  yang menulang belakang South Island.

Kami telah singgah dipekan Twizel untuk mengisi minyak. Harga minyak di Twizel adalah NZD2.23 seliter, berbanding dengan NZD2.19 ketika kami mengisi kali pertama. Aku sedia maklum akan hal ini. Harga petrol di pekan-pekan kecil mungkin lebih mahal. Tangki diisi, NZD 60 bertukar tangan. Petrol banyak dapat dijimatkan kerana kami tak memerlukan penghawa dingin dan bertahan dari menggunakan penghawa panas. Pekan Twizel sedikit berbeza dengan pekan-pekan lain yang kami jumpa sepanjang perjalanan ini. Ia berpusat kepada pada pusat perniagaan yang menempatkan pelbagai kedai jualan dan perkhidmatan, stesyen minyak, cafe, restoren, taman permainan kanak-kanak dan kawasan rekreasi. Berkonsepkan pusat membeli-belah terbuka. Bangunan kedai setingkat mengeliling kawasan rehat – pokok-pokok rendah dikelilingi bangku kayu. Kami sengaja menyesatkan diri ke dalam kawasan perumahan. Aku sangat suka dengan suasananya. Lebih-lebih lagi dengan pokok-pokok maple berdaun merah dijumpai hampir di setiap simpang.

Dari jalan Twizel-Omarama, sebelum sampai ke Pekan Omarama ada satu jalan pintas ke Jalan Omarama-Otematata. Nama jalan pintas itu ialah Jalan Prohibition. Hmm… ‘Jalan Larangan’? Sebab itu pada mulanya aku sangkakan, kami perlu terus ke Omarama sebelum masuk ke jalan Omarama-Otematata. Keluar dari Jalan Mount Cook, awal-awal lagi aku beritahu Yatt yang kami ada dua pilihan sama ada hendak mengisi minyak di Twizel atau Omarama (seperti yang ditunjukkan di GPS). Tetapi tiba-tiba saja kami berjumpa dengan simpang jalan larangan yang tak terlarang itu dan papan tanda beranak panah bertulis “Oamaru”.

“Nasib baik kita dah isi minyak tadi” kata Yatt.

Arah ke Omarama dan seterusnya akan menuju ke bandar Queenstown. Khabarnya merupakan pusat pelancongan paling tersohor di New Zealand. Dari forum-forum di internet, aku dapati kebanyakan pelancong dari Christchurch akan singgah di Tasik Tekapo dan terus ke Queesntown. Kemudian ke bahagian pantai barat pula melihat glacier. Bahagian pantai timur tidak sepopular pantai barat, terutamanya pekan tujuan kami hari ini, Oamaru. Ada satu komen yang aku baca mengatakan – tak ada apa-apa yang menarik di pantai timur, kecuali anda teringin benar hendak melihat penguin. Ya, pekan Oamaru memang terkenal dengan penguin. Oleh kerana kami tak pernah melihat penguin, teringin jugalah kami hendak melihat burung yang tak boleh terbang itu.  Kebetulan rakan sepejabatku juga bercuti ke New Zealand awal seminggu dari penerbanganku. Dia memulakan perjalanan dari Christchurch ke pantai barat. Dia juga mempersoalkan kenapa aku mahu ke pantai timur kerana menurutnya tiada apa-apa yang menarik di sana. Dia bersungguh-sungguh meyakinkan aku yang laluan yang dia rancang adalah paling menarik dan paling popular. Aku agak tersinggung. Macamlah aku ini membuat perancangan tanpa membaca. Macamlah dia pernah pergi ke New Zealand sebelum ini. Lagipun kami memang akan ke sebelah pantai barat juga. Kalau boleh kami memang ingin singgah keseberapa banyak tempat yang sempat. Aku telah banyak belajar dari pengalaman-pengalaman lepas. Tak usah terlalu terpengaruh dengan komen popular, kita harus tahu apa yang kita suka dan apa yang kita cari. Begitulah fikiranku.

Matahari masih bersinar dan udara nyaman. Waupun tak banyak kereta yang kami temui, sempat kami kejar mengejar dengan sebuah kereta kerana ia sangat mirip dengan model Kancil di Malaysia. Teringat pula kenangan aku dan Yatt merentasi Banjaran Crocker dari Kota Kinabalu ke Keningau dengan kereta kancil. Itu cerita tujuh tahun dahulu, ketika kami baru belajar mengembara. Yatt yang memandu dan aku di sebelahnya. Hari ini kami masih mengembara bersama-sama, Yatt memandu dan aku di sebelahnya, melintasi banjaran juga tetapi di negeri antah-berantah. Suasananya berbeza. Perasaan hampir sama. Bila berada di tanah tinggi, langit luas bak lautan, bumi tak habis mata memandang. Jalan yang kami lalui turun naik melintasi tanah tinggi dan lembah, tanah tinggi dan lembah, tanah tinggi dan lembah. Diikuti dengan gunung dan tasik, gunung dan tasik, gunung dan tasik. Tasik bersambung pula dengan jaluran sungai.

Maka apakah mereka tidak memerhatikan kepada unta,  bagaimana ia diciptakan?
Kepada langit , bagaimana ia ditinggikan?
Kepada gunung ganang, bagaimana ia ditegakkan?
Kepada bumi, bagaimana ia dihamparkan?2

Tasik dan gunung sentiasa berada di pemandangan kiri jalan. Seronoklah aku menikmatinya. Pemanduan di New Zealand serupa dengan Malaysia, stering pemandu di sebelah kanan. Tiga buah tasik ditemui sepanjang perjalanan, Tasik Benmore, Tasik Aviemore dan Tasik Waitaki. Airnya biru, tetapi bukan biru kerana debu batu (stone dust) seperti Tasik Pukaki, airnya biru menunjukkan dasarnya yang dalam. Seperti kata orang putih, deep blue water. Sangat memeranjatkan bila aku mengetahui, ketiga-tiga tasik ini adalah tasik buatan. Sekitar 1960, tasik-tasik dibina sebagai sebahagian projek hidroelektrik. Walaubagaimanapun, kesemua tasik kelihatan sangat semulajadi. Perjalanan kali ini lebih bernyawa. Lebih banyak pokok. Berwarna-warni pula. Rumput pun masih banyak yang hijau. Di satu tempat yang aku tak pasti di mana, ada dua aliran air mengalir selari. Satu sungai selebar beberapa meter dan satu lagi parit selebar setengah meter. Di antara keduanya tanaman hijau yang tak kukenali jenisnya. Parit tohor dan air jernihnya mengalir laju. Rumput-rampai yang tumbuh dibibir parit, sebahagaian daunnya menjulur ke dalam air, turut menari-nari mengikut deruan air. Sungai pula kelihatan dalam tetapi airnya lebih tenang. Berdekatan kawasan itu juga, aku sempat melihat orang memancing di sungai dengan menggelamkan separuh badannya. Ia dikenali sebagai teknik flying fish. Memancing di New Zealand memerlukan lesen. Sekiranya ikan yang ditangkap tidak cukup besar, ia perlu dilepaskan semula. Seterusnya kami saksikan tanaman anggur yang sudah kering. Juga ladang sayur yang tak dapat dipastikan sayurnya. Seperti bayam tetapi berdaun lebar. Kami juga melalui kawasan Rock Art. Di mana tebing-tebing batu di pinggir jalan penuh dengan dengan lukisan-lukisan Maori kuno. Aku tak pasti sama ada kawasan Rock Art tersebut di buka kepada orang awam.

Kami bergerak seratus kilometer sejam. Aku dan Yatt berbual-bual tentang banyak hal yang menyenangkan sambil aku mengambil gambar dan video secara rawak. Tak sangka aku dapat merakamkan pemandangan yang sangat cantik. Aku kira, perjalanan petang itu merupakan perjalanan yang paling seronok dan  pemandangan musim luruh paling indah aku nikmati sepanjang kembara kali ini.

Kami melalui banyak pekan kecil antaranya Otematata, Kurow, Duntroom. Atas permintaan Yatt, aku merekodkan video setiap kali kali bertemu pekan oleh itu aku lebih fokus dengan keadaan sekeliling. Kegiatan ekomoni dan sosial pekan-pekan ini tertumpu di pinggir jalan. Kalau engkau pernah melalui jalan Batu Pahat – Pontian, kau akan faham maksudku. Pekan-pekan ini mirip pekan Senggarang, Rengit, Benut, Ayer Baloi dan seterusnya yang dapat ditemui sepanjang jalan.  Yang mirip cuma coraknya, tapi suasananya tidaklah sama. Kedai runcit, kafe, stesyen minyak, garaj, gereja, sekolah didirikan di pinggir jalan utama. Semua kedai berpintu kecil. Sama ada sepenuhnya kaca atau sebahagiannya kaca. Pintu pula sentiasa tertutup. Berbeza dengan kedai-kedai di Malaysia yang pintunya sentiasa terbuka luas. Malah, keseluruhan dinding hadapan adalah pintu. Di pekan-pekan yang kami lalui, tiada penjaja makanan atau minuman di tepi jalan. Tiada juga kanak-kanak mahupun orang dewasa berkeliaran. Di setiap sempadan masuk pekan, akan ada papan tanda hijau dengan nama pekan dalam huruf putih dan peringatan had laju dalam bulatan merah. Pada bahagian belakang papan tanda yang sama juga ada peringatan had laju. Ringkas, minimal dan sungguh berhemat. Hmmm… aku tertanya-tanya, adakah konsep berhemat ini diaplikasikan dalam semua urusan wang negara?

Papan tanda Kurow

Lebih kurang jam tiga setengah petang, kami memasuki pekan Dutroon. Aku merakam video sambil  menyebutkan hal-hal yang aku lihat di kiri dan kanan jalan. Bangunan paling tinggi yang kelihatan ialah menara gereja, terletak di sebelah kanan. Aku nampak sebuah bangunan kecil di kiri jalan. Sebuah kereta berhenti di hadapannya. Bangunan itu dibina dengan batu blok dan tidak bercat sebalinya dindingnya dipenuhi lukisan. Aku nampak lambang figura lelaki dan perempuan. Segera aku mengenalnya sebagai tanda “TANDAS”.

“Tandas! Tandas!” Jeritku sambil menunjukkan arah tandas kepada Yatt.

Yatt agak terkejut, tetapi berjaya berhenti serta-merta. Kereta yang asalnya berada di hadapan tandas itu, bergerak dan terus meluncur laju sebaik saja kami berhenti. Kami belum lagi menunaikan solat zuhur dan sekarang telah masuk waktu asar. Tandas yang disediakan oleh komuniti setempat itu ringkas dan bersih. Satu bilik tandas dan satu sinki. Tersedia tisu tandas dan bakul sampah. Tiada tisu dilantai dan tak berbau hancing. Tahniah kepada penjaga dan pengguna. Ini satu lagi contoh tandas negara berkebajikan. Negara berkebajikan mengikut definasi aku sendiri di mana kerajaan dan rakyat sama-sama membuat kebajikan, sama-sama menjadikan negara tempat yang baik untuk didiami. Sikap ini sebenarnya telah wujud lama dulu, tetapi semakin lama semakin pudar. Aku tak pasti di mana silapnya. Contohnya, ketika zaman aku masih kanak-kanak, orang kampung selalu buat gotong royong. Mungkin sekali atau dua kali setahun bergotong royong bersihkan parit dan bahu jalan. Air parit bersih dan alirannya lancar. Aku ingat budak-budak selalu main rumput jarum yang tumbuh dalam parit. Ikan pon banyak. Zaman sekarang berubah. Nak korek parit pon tunggu kerajaan. Padahal, saban hari mereka melintasi parit tersebut. Malah parit tersebut menghilir di hadapan rumah mereka. Parit berlumut hijau tebal dan lekit. Kalau tempurung jatuh pon tidak tenggelam. Rumput panjang sampai ke tebing. Ikan ada, tapi bila ikan makan umpan kail, kita pon tak selera nak makan ikan tu sebab terbayang-bayang air hijau parit. Kemuncak masalah, banjir. Akhirnya kerajaan juga yang salah sebab tidak prihatin kepada parit. Kerajaan pon buat tender. Para kapitalis dan pegawai korup sentiasa pandai mengambil peluang ambil peluang. Projek = duit ( untung +  rasuah). Rakyat rugi, negara rugi. Oh, Malaysia yang kucintai.

Yatt membetulkan kedudukan van supaya selari dengan arah kiblat. Jadi, dua orang boleh solat serentak, seorang di dalam van dan seorang lagi menggunakan tikar di luar. Ketika aku selesai mengambil wuduk, Nott baru selesai solat.

“Awa, kau tengok di seberang jalan sana. Orang-orang tu dari tadi perhatikan kita”

Aku menoleh ke arah yang dimaksudkan Nott. Diseberang jalan, beberapa buah rumah banglo saling berjiran. Tanah di bahagian tersebut agak tinggi, jadi kedudukan rumah lebih tinggi dari jalan raya. Di kaki jalan berhadapan rumah-rumah tersebut, pohon-pohon kayu rendang dan merimbun redup. Sekaligus melindungi pandangan terus ke rumah mereka. Sebaliknya, mereka dengan mudah dapat melihat kedudukan kami dari rumah mereka. Di bawah pohon-pohon itulah, beberapa orang berbual-bual sambil memerhatikan kami.

“Dah lama ke dia orang berdiri di situ?” Tanyaku semula

“Masa aku nak mula sembahyang tadila” Nott menghulurkan telekung kepadaku. “Ha.. tengok tu seorang lagi datang”.

“Cuba kau lambai” saranku. Nott mengangkat tangan ke arah mereka. Kami sama-sama tersengih. Mereka membalas, mengankat tangan dengan sengihan juga. “Ha.. okey lah tu, rasanya dia orang tak apa-apa. Agaknya pelik tengok kau pakai telekung. Dah la angin kuat ni, berkibar-kibar macam bendera” Ujarku. Sememangnya telekung yang aku pakai sedang berkibar ditiup angin.

Aku pon menghadap kiblat dan bersolat.

Allah yang maha besar, dan segala kebesarannya …

Disaksikan gunung dari kejauhan dan hamparan padang hijau.

Sebanyak-banyaknya puji bagi Allah

Matahari petang bersinar lembut, tak menyilaukan mataku.

Maha suci Allah sepanjang hari dan petang

Angin sejuk datang mengelus wajahku.

Aku hadapkan wajahku kepada Tuhan yang mencipta langit dan bumi, dalam keadaan suci dan berserah diri 3

.

.

Sejahtera ke atas semua makhluk dan rahmat Allah bagimu 4

Ya Allah, kau berilah taufiq dan hidayahMu kepada aku, rakan-rakanku dan orang-orang yang sedang memerhatikan kami dari seberang jalan sana. Ya Allah, Engkau telah kurniakan kepada mereka negeri yang amat indah ini. Setiap hari mereka melihat tanda-tanda kebesaranMu. Ya Allah, atas jasa mereka kami dapat bersuci dan menunaikan tanggungjawab kami kepadaMu. Aku memohon dengan sifatMu yang maha kaya, pandulah mereka Ya Allah, supaya mereka dapat mengenali Engkau, Sang Maha Pencipta. Ya Allah, berkatilah perjalananku dan rakan-rakanku. Ajarkan kami ilmuMu dalam perjalanan ini sebagaimana engkau ajarkan Musa dalam perlajanannya. Lindungilah kami. Ampuni dosa kami. Jadikan kami ahli syurga dan jauhkanlah kami dari api neraka.

Ketika kami bergerak meninggalkan tempat tersebut, kumpulan pak cik dan mak cik tadi telah pon bersurai. Mudah-mudahan, selepas ini mereka siasat tentang orang apa yang memakai baju putih seperti bendera. Kenapa mereka bangun dan tunduk kemudian letakkan dahi di atas tanah. Siapa tahu dari perasaan ingin tahu dapat membawa mereka kepada mengenal Allah. Jika ia benar-benar berlaku, mudah-mudahan kami layak mendapat sedikit saham di yaumul mahsyar kelak.

Jika ada kesempatan, aku mahu berterima-kasih dengan penduduk Duntroon yang menyediakan kemudahan tandas awam di pekan mereka. Tandas awam terletak di pinggir jalan. Maka ia mudah dilihat dan disingahi oleh para pengembara yang melewati pekan mereka. Maklumlah di New Zealand, tiada kawasan rehat dan rawat sementalah tiada jalan bertol. Walaupon tiada tol, keadaan jalan rayanya sangat baik. Lagipula semua pekan, walaupun kecil sekurang-kurangnya mempunyai kedai runcit, kafe, stesyen minyak dan bengkel kereta yang mereka panggil garaj.

Nott mengambil alih stereng, Yatt mengambil tempatku dan aku berpindah ke tempat duduk belakang. Kami menjangkakan akan sempat sampai ke Maeoraki Builders sebelum matahari terbenam. Seterusnya bermalam di Teluk Campbell yang terletak diantara Moeraki Boulders dan Bandar Oamaru. Boulders adalah struktur batu bulat yang wujud di Pantai Moeoraki. Batu-batu ini terbentuk oleh aktiviti geologi beribu-ribu tahun dahulu. Kalau masa mengizinkan, kami mahu mendaki ke rumah api. Dan kalau bernasib baik dapat melihat penguin mata kuning.

Oleh kerana kami menuju ke Moeraki Boulders tanpa melalui Oamaru, kami mengambil jalan kampung. Berbanding jalan utama yang lurus, jalan kampung kurang lebar, bersimpang siur, turun naik bukit, melalui ladang-ladang sayur dan ladang-ladang ternakan kambing, lembu dan sesekali kuda. Keadaan jalan walaubagaimanapon baik. Tidak ada yang berlubang. Beberapa kali juga tersilap belok. Suatu ketika, jarak yang dipaparkan GPS semakin jauh bukannya semakin kurang. Oleh kerana pemandangan kiri kanan hampir sama, kami terkeliru beberapa kali. Akhirnya kerisauan ditamatkan oleh kelegaan. Jam lima petang kami selamat tiba di destinasi. Kami membelok dan menyusuri jalan berturap dan berhenti di halaman sebuah pusat pelancong. Namun, keadaan sekeliling senyap-sunyi. Perlahan-lahan kelegaan yang baru kami rasai terhapus. Pekerja-pekerja restoren yang sedang berkemas hanya melihat kami dari jauh. Kami kebingungan seketika.

“Aku rasa bukan tempat ni la. Ini macam restoren je. Tu pon macam dah nak tutup. Sepatutnya ada papan tanda DOC” ujarku.

Kami bergerak semula ke jalan utama. Rupa-rupanya kami silap mengambil lorong. Memang ada papan tanda yang menunjukkan kawasan letak kereta yang diselenggara DOC. Sekali lagi kami menyusur jalan menuju ke arah pantai. Kali ini jalannya tak berturap. Kawasan letak kereta DOC cumalah kawasan berpasir. Denai dalam semak-samun hampir setinggi manusia menuju ke tepi tebing tak bertangga. Berhati-hati kami bergiliran menuruni tebing. Walaupon sudah sangat mendekati waktu senja masih ada pengunjung di pantai ketika itu. Mungkin mereka sengaja datang pada waktu itu untuk menyaksikan matahari terbenam. Jauh di arah kanan, kelihatan rumah-rumah berserakan di tanah berbukit. Lampu-lampu mula menerangi rumah-rumah tersebut. Cantik dipandang dari tempat kami berdiri.

Yatt dan Nott sudah berada jauh di hadapan menghampiri batu-batu ajaib Moeraki Boulders. Aku pula melayan Abid yang melankolik setiap kali berjumpa pantai. Abid adalah pemuja pantai. Dia dan pantai ada hubungan magis. Walau seberat mana masalah yang sedang dihadapinya, saat dia berhadapan dengan pantai, segala bebanan jiwanya menjadi seringan kapas. Seperti kanak-kanak bila mendapat kebenaran menahan penjual ais krim, dia berlari-lari anak dengan gembira menuju gigi air tetapi bila saja ombak melanggar kakinya, dia terlompat ke depan.

“Sejuk!!!” Jeritnya. Selipar yang dipakainya terlucut dan dilarikan ombak yang bergerak malas. Aku hanya ketawa dari jauh. Kami bergilir-gilir bergambar di gigi air. Sekumpulan pengunjung orang putih melintasi kami.

“Bid, kau tengok tu. Orang yang lahir dalam salji pon tak berani nak pakai selipar macam kita, apa lagi rendam kaki dalam air”

“Bukan sebab dia orang tak jakun?” Abid ketawa nipis. Aku senyum kalah.

Kami berjalan lagi. Pantai ini tidaklah lebih istimewa dari pantai-pantai di Malaysia. Biasa saja. Lebih kurang macam pantai Teluk Kemang Port Dickson. Maksud aku, pasirnya kasar dan airnya tidaklah hijau. Cuma airnya sejuk seperti ais. Hal yang tak biasa ialah, aku tak jumpa walau satu sampah kecuali sampah semulajadi. Maksud aku, sampah dari lautan. Aku tak tahu apa sebenarnya, mungkin tumbuhan dari dasar laut. Banyak bersepah di pantai. Sekali lihat rupanya seperti tiup-tiup getah yang berselirat. Kelihatan lembik dan menggelikan. Aku mengajak Abid mempercepatkan langkah kerana hari semakin suram. Bulan sebenarnya telah terbit.

Sampai di kawasan batu-batu bulat, seorang lelaki sedang mendirikan tripod kameranya menghadap matahari terbenam. Kami pula menyibuk nak bergambar di batu-batu itu. Memang ajaib, batu-batu di sini benar-benar bulat. Bukan satu tapi banyak. Ada yang masih utuh, ada yang sudah merekah. Salah satu batu terpokah di bahagian atas dan kita boleh masuk ke dalamnya. Di kalangan pengungjung ia dikenali sebagai telur dinasour.

Puas bergambar, kami pon berjalan lagi. Aku tidak berpuas hati kerana rumah api langsung tidak kelihatan dari situ. Agak kecewa juga kerana tak sempat kami hendak mencarinya. Pantai Moeraki mengunjur berkilometer panjangnya.Tetapi jarak antara gigi air (waktu itu air mula pasang) ke daratan iaitu tebing setinggi sepuluh kaki hanya selebar kira-kira dua puluh kaki. Aku mengajak kawan-kawanku ke atas tebing. Aku pon tak tahu kenapa aku mahu sangat ke sana semata-mata kerana aku nampak papan tanda DOC terlekat di tangga kayu tak jauh dari kawasan batu-batu bulat tadi. Yatt keberatan tapi aku terus mendesak. Seperti biasa, aku menang. Akhirnya kami semua kami memanjat tangga kayu tadi. Tebing ditumbuhi pokok renek berbunga kuning. Rupa-rupanya ada lorong pejalan kaki dan platfom peninjau. Maklumat tentang sejarah dan geografi Moeraki Boulders dipersembahkan di situ. Selain itu ada juga maklumat tentang spesis burung dan pokok yang berhabitat di kawasan itu.

Lorong itu dinaungi oleh rimbunan pokok di kiri dan kanan. Kalau kita melaluinya pada waktu tengah hari, tentulah ia sangat menyenangkan. Dengan tiupan angin laut, mungkin akan menambah suasana romantis. Tetapi melaluinya pada waktu maghrib, bukanlah idea yang bijak. Ketika kami masih menyusurinya, matahari telah tenggelam dan suasana serta-meta menjadi gelap dan menyeramkan. Aku mengutuk diriku sendiri kerana kedegilan aku telah membawa kawan-kawanku ke situ. Masing-masing diam dan berjalan laju. Ah, kawan-kawan, maafkan aku.

Sangat-sangat melegakan bila lorong berakhir di pusat pelancong yang kami tersilap masuk ketika mula-mula sampai tadi. Tertulis di iklan rentang bahawa kasawan itu adalah kawasan komersil. Untuk turun kepantai menggunakan akses mereka perlu membayar yuran. Tetapi semua kedai dan restoren telah tutup. Kami rasa, tidak mengapalah kalau kami menggunakan laluan mereka. Lagipon kami tiada pilihan, untuk keluar ke tempat meletak kereta melalui jalan luar, kami perlu berjalan satu kilometer. Sedang kami teragak-agak, sebuah bas pelancong berhenti di halaman hadapan. Beberapa orang lelaki berbangsa Cina keluar terburu-buru. Mereka kemudiannya berbaris di tepi halaman dan membuang air kecil! Uh… manusia akan membawa diri dan tabiat mereka kemana-mana saja. Seluruh isi bas juga keluar kemudian berebut-rebutan menuruni tangga ke pantai. Rombongan mak cik kiah rupanya. Suasana sangat kecoh, mereka terjerit-jerit bila bercakap. Kami hanya melihat gelagat mereka. Semua ahli rombogan terdiri dari golongan separuh umur. Perempuan lebih ramai dari lelaki. Berbangsa Cina tetapi tak tahulah dari negara mana asal mereka. Kami adalah halimunan walaupon mereka lalu lalang di hadapan kami. Selepas kekecohan selesai, kami perlahan-lahan turun ke pantai dan berjalan semula ke van.

Van bergerak ke arah Oamaru. Hari sudah gelap.

“Ikut saja jalan pantai” Pesanku pada Nott. GPS Abid belum dapat mengenalpasti destinasi kami.

Nott terus memandu sampailah di satu kawasan, aku tersilap membuat pilihan (jalan yang perlu diambil). Aduh, kami bergerak menjauhi pantai. Sungguh aku rasa tak sedap hati. Itulah akan terjadi jika kita memilih tanpa mengetahui apa sebenarnya pilihan kita. Ini baru saja contoh memilih jalan. Dalam hidup kita ada banyak lagi pilihan penting yang mesti di lakukan. Memilih pasangan hidup, memilih kerjaya, memilih pemimpin dan paling penting memilih agama. Ya, benar. Kita perlu memilih agama yang kita mahu anuti. Aku suka benar dengan pesanan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil lewat blognya; walaupon kita lahir sebagai muslim, pastikan kita muslim kerana kita memilih untuk jadi muslim. Pesanan ini telah menamparku dan memaksa aku membuat kajian dan pilihan dari pilihan-pilihan yang ada.

Dalam kesesatan, tetap ada hikmah yang Allah mahu berikan. Jalan tadi membawa kami ke kawasan yang berpenduduk.

“Ha.. depan tu ada kedai, tak nak singgah dulu beli apa-apa?” Tanya Yatt.

“Singgah je la, bekalan kita cuma ….. err… cuma mee segera” Aku memberi kata putus.

“Awa, kalau kau kata tak nak singgah pon, aku tetap nak singgah. Aku tak nak makan mee segera lagi malam ni” Aku hanya ketawa kecil mendengar kata-kata Nott. Aku pon rasanya sudah tidak dapat menelan mee segera lagi. Sementalah, aku memang tidak menggemarinya.

Kedai atau lebih tepat pasaraya kecil itu terletak di tepi jalan tetapi mukanya menghadap ke kanan. Halamannya luas dan berturap tetapi tak berlampu. Kedai-kedai di sana, walaupun kecil dan terletak di kampung, tetap kelihatan moden kerana biasanya separuh dindingnya adalah kaca dan pintunya juga jenis pintu kaca berbingkai. Berbeza dengan kedai-kedai dan pasaraya di Malaysia yang pintunya terbuka luas. Ini kerana negara mereka mempunyai empat musim. Dengan ruang tertutup lebih mudah mengawal suhu di dalam premis. Dalam suhu sejuk seperti sekarang (sekarang pon belum masuk musim sejuk), berada di luar adalah satu penyeksaan kepada tubuh.

“Mana tempat parking ni? Aku berhenti depan pintu kedai boleh tak? Ada sesiapa ke nak tunggu dalam van?” tanya Nott.

Ah, Nott kau memang orang Malaysia sejati. Aku menawarkan diri tinggal di dalam van. Aku tak berkasut, leceh betul nak menyarung kasut. Hendak berstokin dan berselipar, selipar pula berpasir. Tak pasal-pasal stokin kotor pula. Abid juga enggan turun. Dia masih berusaha mencari lokasi kami bermalam, Teluk Campbell. Sementara menunggu mereka, aku berkemas apa yang patut. Namun, walau apa cara pon barang disusun, kondo kami tetap sempit. Tetap ada barang merata-rata. Aduhai!

“Beli apa?” tanyaku sebaik saja mereka masuk ke dalam van.

“Roti, susu, keju dan kentang. Jem tak beli mahal sangat” Jawab Yatt.

“Itulah, aku pon terperanjat. Jem semua lima dolar ke atas. Keju keping ni baru tiga dolar lebih. Kentang segera pon tiga dolar lebih sekilo” Ulas Nott pula.

“Beras tak ada ke?” Tanyaku sedikit kecewa.

“Tak ada. Jadi orang putih la kita malam ni, roti dengan kentang. Tak apa, janji bukan mee segera” Yatt seolah-olah memujuk.

Ah, nasi betapa aku merinduimu. Bayangkanlah betapa laparnya kami waktu itu. Cuma mee segera  kari kembang semangkuk, sashimi salmon dan beberapa keping cheesy short bread yang masuk ke perut sedari pagi. Waktu sejuk-sejuk begitu, alangkah sedapnya kalau dapat makan nasi dan sup tulang panas berasap dengan sambal kicap pedas berapi. Perghhhh..!!

“Awa, aku tak jumpala Campbell Bay” Abid mematikan angan-anganku.

“Akak dapat maklumat tempat ni dari mana?” Yatt pula bertanya.

“Dari website rankers tu la. Ada dua tiga komen kata pernah duduk situ. Tempat tu bukan tempat komersil, macam projek komuniti. Free site. Agaknya sebab tu tak ada kat GPS tapi kalau cari dalam Google map ada” Aku sangat menyesal tidak membawa cetakan peta dari Google map. Inilah padahnya kalau terlalu percaya kepada gajet berteknologi canggih. Aku sangkakan, dengan GPS sudah memadai. Atau pon, sepatutnya, aku beritahu Abid supaya menandakan di GPS destinasi-destinasi kami semasa di Malaysia lagi.

“Tapi nama Campbell Bay tu pon tak jumpa” Abid masih tak berputus asa dengan GPSnya.

“Apa kata pergi Oamaru? Boleh tanya dekat i-Site” Aku teringat salah satu komen yang menceritakan mereka mendapat tahu tentang Campbell Bay dari i-Site di Oamaru.

Kami pon terus bergerak ke Oamaru. Jalan berbelok-belok, gelap tanpa lampu. Van kami memotong seorang lelaki yang sedang berbasikal. Walaupon hari sudah gelap, masih ada lagi orang berbasikal. Lelaki itu memakai baju sukan, mengayuh dengan kelajuan sederhana sambil memegang tali anjing dan anjingnya berlari di belakang basikalnya. Nott melahirkan rasa kasihannya kepada anjing itu. Aku melihatnya sebagai satu cara yang kreatif untuk membawa anjing berjalan-jalan. Kami juga melalui rumah ladang yang menyediakan kabin untuk disewa. Farm stay juga aktiviti yang menarik yang boleh di lakukan di New Zealand. Konsepnya seperti Home stay di Malaysia. Pengunjung boleh merasai kehidupan peladang. Mungkin juga berpeluang melakukan kerja di ladang. Mengejar kambing atau memerah susu lembu. Aku dan Abid ada juga berangan hendak tinggal semalam di rumah ladang. Tetapi tak banyak rumah ladang yang menyediakan tapak untuk campervan. Sewa kabin pula sangat mahal. Sekitar lima puluh hingga seratus dolar untuk seorang.

Sebaik saja kami mendekati kawasan Oamaru, kami cuba berpusing-pusing mencari kalau-kalau ada papan tanda bertulis Campbell Bay. Dalam kesesatan itu, aku dapat maklumat baru. Ada beberapa pantai yang di tertakluk di bawah kuasa DOC di mana pengunjung boleh melihat penguin pulang dari laut setiap hari. Kalau ditanda dengan DOC, maksudnya ia adalah percuma. Di pekan Oamaru, ada sebuah pusat konservasi penguin. Pengunjung boleh melihat penguin di situ. Bayaran yang dikenakan ialah NZD12 atau NZD18 untuk lawatan siang dan NZD25 untuk lawatan malam sekaligus melihat penguin naik ke darat. Penguin biru hanya naik ke pantai ketika matahari terbenam. Kami tidak merancang pergi ke pusat tersebut kerana ia sangat mahal bagi kami. Sebaliknya aku telah merancang untuk melihat penguin di Portabello lusa.  Lagi pula, aku lebih suka jika dapat melihat penguin di kawasan semulajadi.

Setelah puas berpusing-pusing dan sesat, kami terus masuk ke pekan dan mencari pejabat i-Site. Pejabat i-Site terletak di lot penjuru, sayangnya ia telah gelap. Keseluruhan pekan telah tidur sedangkan malam baru berlabuh. Baru melepasi jam tujuh. Mungkin dalam cuaca sejuk begitu, penduduk lebih suka berkurung di rumah. Beberapa orang muda, aku rasakan mereka adalah pelancong, berjalan berkumpulan menuju pekan. Mungkin mencari tempat hiburan dan minum-minum. Melihat keadaan sekeliling aku rasa aku perlu berputus asa. Menelan ego dan membatalkan rancanganku sendiri. Aku tak mahu sekali lagi memangsakan kawan-kawanku kerana kedegilanku, atau kerana hendak berjimat beberapa puluh ringgit. Baru aku hendak membuka mulut, Yatt mencadangkan supaya kami mencari orang untuk ditanya. Nott pon menghidupkan semula enjin van dan bergerak mencari stesyen minyak. Satu-satunya premis yang kami yakin masih beroperasi di waktu itu.

Aku dan Yatt beriringan menuju ke dalam kedai di stesyen minyak tersebut. Seorang lelaki tua berdiri di belakang kaunter. Fizikalnya tinggi dan kesemua rambutnya telah putih. Dia memakai topi besball. Bila kami tanyakan tentang Teluk Campbell, dia mengerutkan dahi. Menurutnya, dia telah tinggal di Oamaru selama tiga puluh lima tahun tetapi ini pertama kali dia mendengar nama Teluk Cambell. Dia mencadangkan supaya kami bermalam saja di Oamaru Holiday Park.

Hampir jam lapan malam. Tiada pilihan lain, kami pun bergerak ke Oamaru Holiday Park. Kalau kami terlambat, bimbang tidak dibenarkan masuk. Kami tak yakin boleh bertemu Cambell bay dalam keadaan gelap di tempat yang sangat asing pula. Kami umpama orang buta. Nott memberhentikan van betul-betul di hadapan pintu pejabat Oamaru Holiday Park. Aku turun dan mendapati tiada sesiapa di dalam pejabat tersebut. Sudah tutup kah? Risaunya aku. Bagaimana akhirnya nasib kami malam ini? Sedang aku meninjau-ninjau, seorang perempuan muda berbadan gempal menegur dari belakang. Aku terkejut sekaligus lega. Sempat aku lirik pada skirtnya yang hanya separas lutut. Aii… aku ini berbungkus pon masih kesejukan. Hebat sungguh kulit orang Oamaru. Dia segera membuka pintu pejabat yang sebenarnya tidak berkunci dan mengajakku masuk.

Walaupon beza sewa tapak berelektrik dan tidak berelektrik cuma tiga dolar (NZD 19pp untuk powered site dan NZD16pp untuk non-powered site), kami sepakat menyewa tapak tidak berlektrik. Kerana malam itu adalah ‘malam sejuk’ bagi kami. Banyak campevan dan caravan yang bermalam di situ, tapak perkemahan hampir penuh.  Kebanyakannya menyewa tapak berelektrik. Namun, semua orang berkurung di dalam kenderaan masing-masing. Di hujung barisan kami, penyewa tapak berkhemah. Tak dapat aku bayangkan betapa sejuknya tidur di dalam khemah. Bersebelahan kami pula kacukan MPV dan khemah. Lucu tetapi benar. Di badannya tertulis “SPACESHIP”. Ia sebenarnya Toyota model Estima yang di ubah suai menjadi campervan berkapasiti dua orang. Ciri yang menjadikannya seperti kapal angkasa ialah sarung dari material khemah yang dipasang di bahagian belakangnya dengan pintu bonet belakang terbuka. Ini akan menambahkan sedikit ruang dan memberi rasa dan ilusi “lapang” ketika tidur. Sesetengah orang tidak boleh tidur di tempat yang sempit.

Tapak tidak berelektrik adalah barisan paling belakang dari bangunan fasiliti yang menempatkan dapur dan bilik air. Petak kami berada di bawah pokok kayu tinggi dan belakang kami belukar. Kedudukan kami jauh dari lampu.  Walaupon kenderaan-kenderaan lain masih bercahaya, tetapi tiada suara kedengaran. Sudahlah gelap, sunyi dan sejuk pula. Seperti biasa, kami bentang tikar dan solat di luar van. Arah kiblat menghadap belukar. Sepanjang lima rekaat yang wajib dilunaskan, aku rasa seram sejuk dan berdebar-debar. Sungguh berbeza dengan situasi solatku siang tadi.  Walaupon bersolat di tepi van, pintu van sentiasa tertutup kerana angin sangat sejuk. Jadi perasannya seolah-olah bersendirian di luar. Lebih malang bagi aku, ketika aku solat, semua kawan-kawanku tiada di van. Ada yang ke tandas, ada yang ke dapur. Aku takut hendak memandang belukar yang gelap pekat. Bila angin bertiup, dahan-dahan kayu dan daunan bergeser dan berdesir. Bunyi ranting jatuh menimpa bumbung van pon bisa membuatkan aku terperanjat dan kedengaran sangat menakutkan.

Selepas membersihkan diri dan bersolat, kami menghabiskan malam di dapur. Panas, luas, selesa dan ada telivisyen. Selain itu ada banyak buku-buku panduan pelancong yang boleh diambil percuma. Kami bukannya hiraukan sangat siaran TV. Kami berbual-bual saja tentang macam-macam hal. Maklumlah, setahun sekali bertemu begini. Aku berbisik pada Abid, meminta maaf kerana tak dapat menunaikan janjiku untuk kami bermalam di tepi pantai. Abid sebenarnya tidak kisah, dia lebih dari faham, dalam kembara perlu sentiasa menjangkakan hal yang tak terjangka. Walau sebaik mana pon rancangan kita. Yatt membeli kupon internet. Lima dolar sejam, lapan dolar untuk dua jam. Aku menumpang kasih Yatt. Aku hantar pesanan lewat Fabebook pada abang dan kakakku, berkirim salam pada bonda dan beritahu yang aku sihat sejahtera di negeri orang. Tanah air telah bergegar hari itu. Peti mesej Facebook ku juga disinggahi pesanan. Seorang kenalan memberi sedikit peringatan tentang gerakan Bersih. Aku tak baca pesanannya, terlalu panjang dan aku boleh agak apa isinya. Nanti saja, bila pulang baru aku balas, begitu fikirku.

Akhirnya hari yang sangat panjang kami harungi dengan selamat. Hari ini aku rasakan lebih panjang dari semalam. Dari Tasik Tekapo, Tasik Pukaki, Gunung Cook, Twizel, Merentasi banjaran Southern Alps, Otematata, Tasik Benmore, Tasik Aviemore, Tasik Waitaki, Kurow, Duntroon, Moeraki Builders dan berakhir di Oamaru. Kira-kira tiga ratus tujuh puluh tiga kilometer (373KM). Malam semakin sejuk. Stokin ku pakai dua lapis. Aku dan Yatt tidur mengerekot. Belakang kami saling bertemu.

This slideshow requires JavaScript.

New Zealand 9: Gunung Cook berkata, aku gagah tapi aku bukan khalifah :)


↑ Jika anda suka kisah ini, berikan saya bintang-bintang

Masuk hari ketiga kami di New Zealand, kami sudah biasa dengan pemandangan gunung. Di sesetengah tempat, ke mana saja kau menoleh – tiga ratus enam puluh darjah, pemandangan berakhir dengan gunung. Adakalanya dekat, adakalanya jauh. Jalan Tekapo-Twizel membelah dataran yang luas. Baik tanah, rumput, pokok renek, belukar semuanya berwarna perang atau kehitam-hitaman. Seluruh dataran kelihatan kering dan tandus. Sesekali muncul bukit kecil. Bentuknya seperti tempurung. Gondol tanpa pokok. Ada banyak bukit tetapi bukit-bukit berdiri sendiri-sendiri, berjauhan antara satu sama lain dan saiznya pelbagai. Namun seperti bumi tempat ia bertapak, kesemuanya perang. Ada satu atau dua kolam air yang aku nampak. Kecil dan kelihatannya tohor. Entahlah, tak dapat aku pastikan sebenarnya kerana hanya melihat dari jauh dan kami bergerak dengan kelajuan hampir seratus kilometer sejam.

Campervan kami terus bergerak. Sepanjang tiga hari berkenderaan di bumi kiwi, jarang benar berpapasan dengan kenderaan lain. Jauh sekali kesesakan jalan raya. Memandu menjadi sangat menyenangkan, lebih-lebih lagi dengan udara segar dan pemandangan indah. Tetapi awas, pemandangan sekeliling juga boleh melalaikan. Malang tidak berbau. Beberapa kejadian dilaporkan berpunca dari pemandu yang tidak biasa dengan keadaan jalan yang kadang-kala curam dan berbukit-bukau. Lebih-lebih lagi ketika waktu musim sejuk, jalan licin kerana salji. Apatah lagi dengan keadaan jalan yang sangat baik, lengang pula, mudah saja kaki menekan pedal minyak.

Kami mendekati kawasan yang di beri nama Simon’s Pass. Suasana bertukar. Muncul pokok-pokok musim luruh yang belum luruh keseluruhannya dan muncul pokok-pokok pain yang masih hijau. Aku kira kami sudah semakin mendekati kawasan tanah tinggi. Cuaca hari itu sangat indah. Langit biru dan matahari ceria. Nun jauh dihadapan, ketak-ketak banjaran gunung semakin jelas kelihatan. Selapis awanan nipis terapung-apung rendah sedikit dari dipuncaknya. Bila kami semakin dekat, aku rasakan satu perasaan yang tak biasa bila melihat awanan itu. Seolah-olah ia setara dengan kedudukan kami. Seolah-olah kami dapat melihat awan dari arah sisi. Melihatnya terapung-apung dari sisi yang kami tak pernah alami sebelum ini. Hebatnya ilusi optik. Menakjubkan!

Bila jalan raya menurun bukit, di kaki banjaran gunung tersebut, dari celahan pucuk pokok- pokok pain. Kelihatan jalur biru muda yang berkilauan. Semakin kami mendekat, jalur biru kian membesar dan melebar, bersinar-sinar dek panahan matahari tengahhari. Oh, Tasik Pukaki! Lebih biru dari langit. Kalaulah bukan kerana banjaran gunung yang memisahkan langit dan tasik, tentulah kami rasa seperti berada di atas langit.

Menyusuri Tasik Pukaki benar-benar menceriakan kami. Kami lupa segala kekecewaan di Tasik Tekapo pagi tadi. Walaupun matahari agak terik, namun hawa persekitaran tetap dingin. Tebing Tasik Pukaki ditambak dengan batu-batu besar. Air tasik bertentang wajah dengan sang matahari berkilau menghasilkan silau.  Keterujaan kami tak terbendung lagi. Kami seolah-olah mahu melompat keluar dari van, berlari dan terbang melayang-layang di tengah tasik, kemudian duduk berehat di atas awan. Menyaksikan keindahan ini dari tempat yang paling nyaman… iye ke?

Pucuk dicita ulam mendatang. Orang mengantuk disorongkan bantal. Kawasan rehat Tasik Pukaki rupanya di depan mata. Kawasan rehat ini terletak di bahagian terselatan  Tasik Pukaki. Tempat letak keretanya luas. Selain itu, ada kemudahan tandas dan i-Site. Tandas negara berkebajikan. Begitulah aku menggelarnya. Ada tabung derma bertulis “Kutipan dilakukan setiap hari”. iSite pula bukan seperti yang kami sangka. Bukan pejabat atau kaunter seperti iSite di lapangan terbang tempoh hari. Ia cuma ruangan kecil dengan papan maklumat tentang Tasik Pukaki, Gunung Cook dan kawasan sekitarnya. Selain kami, ada beberapa buah kereta dan sebuah bas pelancong berhenti di situ. Kami tidak berhenti lama kerana perjalanan masih jauh. Oh ya, ketika menuruni bukit tadi, kami berjumpa dengan simpang jalan yang bersambung dengan Canal Road. Ada papan tanda “Mount Cook Alpine Salmon 16KM”. Barulah kami tahu ada jalan yang lebih dekat untuk ke Gunung Cook.

Bergerak keluar dari kawasan rehat, jalan raya menjauhi tasik. Aku tahu nanti kami akan bertemu lagi dengan Tasik Pukaki. Kami terus bergerak sehingga tiba di simpang Jalan Mount Cook. Sekali lalu aku membaca papan-papan tanda yang terpacak di simpang jalan. “Mount Cook Village 55KM”, “Alpine Highland Forest” dan “Road to Mountain Cook – OPEN”.

Suasana sangat hijau sekarang, banyak pokok pain di kiri dan kanan jalan. Pokok-pokok pain kelihatan agak muda, tidak begitu tinggi. Tumbuhnya agak rapat dan tersusun. Tumbuh atau ditaman? Perjalanan lima puluh lima kilometer sehala bermakna seratus sepuluh kilometer pergi dan balik. Huh, lebih kurang seperti jarak antara Johor Bahru ke kampungku di Senggarang. Aku berharap Gunung Cook berbaloi untuk dinikmati.

Tasik Pukaki bercak-cak dengan kami. Sekejap nampak, sekejap hilang. Jalan menuju ke Mount Cook Village yang terletak dalam Taman Negara Gunung Cook di bina di kaki  gunung menyusur Tasik Pukaki hingga ke hulunya. Puncak Gunung Cook sudah kelihatan dari situ. Mount Cook yang juga disebut Aoraki dalam bahasa Maori bermaksud penusuk awan. Nama Cook diberi sempena nama seorang pengembara British, James Cook. Aku lebih suka nama Aoraki, lebih bermakna.

“Teka-teki!” aku menoleh ke belakang, memohon perhatian dari Nott dan Abid. “Banyak-banyak tempat di New Zeland ni, di mana yang kita tak akan bangun lewat kalau kita bermalam di tempat tu”

“Mount Cook!” Yatt pula yang menjawab. Tak mahu ketinggalan walaupon sedang memandu.

“Hmmm…. boleh Cik Yatt tolong terangkan?”

“Teka je sebab kita nak ke sana ni, mestilah teka-teki pasal Mount Cook. Ha ha”

“Sengal! Ha ha”

“Habis apa jawapannya?”

“Mount Cook…” Jawabku perlahan. Mereka bertiga mentertawakanku. Yatt lebih-lebih lagi.

“Sebabnya?” Tanya Abid bila ketawa reda. Aku tersengih-sengih. Setiap kali aku buka mulut, aku akan ketawa. Mereka menggesa, tak sabar melihat tingkahku.

“Sebab……..  Mount Cook saja yang pandai berkokok. Kuk kuk kuuukk! Ha ha ha”

“Dua kali lima sengal! Ha ha” Yatt memulangkan paku buah keras.

“Shawn!” Jeritan Nott mematikan ketawa kami. Sekumpulan kambing biri-biri meragut rumput di celahan batu di lereng gunung yang curam. Shawn adalah watak utama dalam kartun Shawn the sheep.

“Ah kagumnya aku… Shawn pandai panjat gunung?”

“Tak bertuan ke kambing-kambing ni?”

“Tempat ni, manusia pon tak ada. Tiba-tiba ada kambing”

“Kambing jadi-jadian kot!” ketawa pecah lagi.

Perjalanan diteruskan. Memasuki kawasan Taman Negara Aoraki Mount Cook, kami disambut tanah datar yang terkepung dengan gunung-ganang batuan. Terasa dekat benar dengan puncak gunung. Bermacam-macam bentuk gunung. Ada yang melebar bawahnya tetapi pipih dipuncaknya, ada yang berbentuk piramid, ada yang membulat, ada yang berlapis-lapis, ada yang tidak dapat diterangkan bentuknya. Banyak yang tumbuhan tumbuh dibadannya, dari jauh kelihatan seperti batu berlumut. Tak kurang yang yang batuan semata. Pada alur-alur yang terukir di permukaan gunung jelas kesan aliran semacam debu dan mungkin juga pasir berwarna kelabu. Awan berkepul-kepul mengisi ruang antara puncak-puncak gunung. Oleh kerana aku merakam video, sekaligus aku memerhatikan dengan tekun lekak-lekuk gunung-ganang yang kami lalui. Semakin lama aku renung semakin gerun aku rasa. Aku perhatikan permukaannya. Sesetengahnya hitam gelap, memberi impresi yang ia sangat padat dan kuat. Bahagian yang rata berkilau seperti besi. “Gunung-gunung ni……….. gagah-gagahlah” gumam ku sendiri. Bila aku melihat sekeliling, semua gunung memberi impresi yang sama. Kuat tak terkalahkan. Tak pernah aku melihat gunung dengan pandangan seperti ini. Aku rasa sungguh kerdil. Sungguh-sungguh kerdil berbanding gunung-ganang ini. Kalaulah puncak salah salu gunung ini merekah dan jatuh meninpa kami, alamat mautlah yang menunggu. Boleh jadi hancur tubuh kami di hempapnya. Gerum membayangkannya. Sang gunung, engkau sungguh besar dan gagah. Tiada daya makhluk lain yang mampu mengalihmu. Seolah-olah aku dapat mendengar suara sang gunung berkata, aku gagah tapi aku bukan khalifah. Lalu aku bertanya, benarkah engkau tak mampu memegang amanah sebagai khalifah? Benarkah engkau akan hancur berkecai sekiranya Quran di turunkan kepadamu sangking takutnya engkau kepada Allah? Benarkah sang gunung? Sebegitu sekali engkau takutkan Sang Pencipta alam? Tak semena-mena jantungku bergedup laju. Entah kenapa aku berdebar-debar. Terngiang-ngiang suara kebapaan Ustaz Zahazan Mohammad bercerita tentang kisah gunung dalam kuliah tafsirnya. Memang pelik bila kita fikirkan, hal yang kita dengar sekali lalu, kadang-kala boleh menerjah diri kita dalam keadaan tertentu.

“Akak, tengok tu ” Yatt mematikan lamunanku. Aku menoleh ke arahnya dan nampak papan tanda “Mount Cook Village”.

Kami memasuki kawasan Mount Cook Village. Aku sangkakan ia kampung orang asli. Jauh meleset sangkaanku. Rupanya ia adalah kawasan resort dan percutian, juga sebagai basecamp bagi pengembara yang ingin menerokai Taman Negara Aoraki Gunung Cook di mana puncak tertinggi di New Zealand berada. Terlalu banyak rumah penginapan di situ. Sebelah menyebelah, bersesak-sesak di kawasan yang sangat terhad. Dari jenis bajet untuk backpakers, tumah tamu, motel dan resort bertaraf antarabangsa. Jalan sempit dan kalau salah masuk, berpeluh dibuatnya. Lebih-lebih lagi bila memandu campervan. Waktu ini banyak skil Malaysian Style yang berguna antaranya jalan saja janji lepas dan belok saja di sini nanti keluar di sana. Bila bertembung dengan kenderaan lain, barulah menggelabah. Percayalah, sesungguhnya kami tak punya pilihan, bukan sengaja nak tunjuk hebat. Kami bergerak mencari tandas awam. Rancangan kami hendak bersolat di situ. Namun tandas gagal kami jumpai. Akhirnya kami berhenti dan meletakkan van dipinggir jalan. Petak meletak kenderaan juga berbeza saiz. Ada petak khas untuk campervan. Tak boleh masuk ikut suka hati.

Kami segera turun, puncak tertinggi di New Zealand yang Cuma dua belas kilometer dari situ tapi tertutup oleh awan. Puncak Aoraki, macam pengantin perempuan dikelilingi perawan-perawan. Puncak tunggal yang disaluti salji. Putih bersinar-sinar dipanah mentari. Kami berjalan di sekitar mengikut lorong pejalan kaki. Aku berjalan bersama Nott. Abid dan Yatt tertinggal di belakang.

“Awa, aku nak pergi sebelah sana lah. Nak ambil gambar puncak tu” ujar Nott. Dia terus bergerak ke arah yang dimaksudkan.

“Eh.. eh.. kau nak lalu mana tu? Ada jalan ke” laungku bila melihat Nott menuju ke arah semak samun.

“Ala.. boleh je. Jauh nak pusing balik”

Aku berdiri di situ berseorangan, terpegun melihat puncak-puncak gunung di depanku. Dadaku kembali berdebar. Seketika kemudian Abid dan Yatt menyapaku.

“Nott mana?” tanya Yatt

“Sana!” aku menunjuk ke arah laluan Nott tadi. Yatt dan Abid berkerut dahi. “Dia redah semak ni” ujarku menjawab tanda tanya di wajah mereka.

Yatt menggelengkan kepala. Kami terus berjalan. Aku baru menyedari bateri kamera ku sudah lemah. Aku meminta kunci van dari Yatt dan berlari kembali ke van. Jantungku belum aman. Sesak rasa di dada. Seperti ada sesuatu yang sukar untuk kuluahkan. Entah kenapa perasaan aku sangat meruntun-runtun dan sangat mengganggu. Kakiku rasa lemah dan tak berdaya untuk berjalan. Keghairahan terpadam. Akhirnya, aku hanya duduk di sisi van menunggu kawan-kawanku kembali. Aku merenung gunung-ganang yang mengeliling.

Begitu takutkah engkau pada Tuhanmu? Engkau pecah berderai kerana engkau takut? Batu-batu yang pejal dan berkilat seperti besi itu pecah berderai? Dan manusia? Manusia ialah khalifah. Manusia menerima amanah setelah di tolak oleh langit, bumi dan gunung-ganang. Manusia kini melakukan sekehendak mereka di bumi ini. Tahukah engkau sang gunung, bagaimana manusia bersikap sekarang? Ramai manusia tak mengenal Tuhannya sendiri apa lagi takut.  Aku sendiri… sehari-hari aku engkar perintah Tuhan kita, setiap hari aku berbuat silap, setiap hari aku lalai. Aku mohom ampun dan mengulang kesilapan yang sama. Aku adalah manusia, keturunan Adam yang menerima tanggungjawab khalifah. Aku adalah manusia, umat Muhammad yang di berikan al-Quran.

“Engkau tahu benar tujuan hidup” Terngiang-ngiang kata-kata Abid pagi tadi. Ah.. aku.. aku malu denganmu sang gunung. Engkau yang kelihatan mati itu, punya rasa takut.

This slideshow requires JavaScript.

Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanah kepada langit, bumi dan gunung-gunung, maka semuanya enggan untuk memikul amanah itu dan mereka khawatir akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanah itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat bodoh, sehingga Allah mengazab orang-orang munafik laki-laki dan perempuan dan orang-orang musyrikin laki-laki dan perempuan; dan sehingga Allah menerima tobat orang-orang mukmin laki-laki dan perempuan. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang (Quran: al-Ahzab [33]: 72-73).

Sekiranya Kami turunkan Al-Qur’an ini ke atas sebuah gunung, nescaya engkau lihat gunung itu tunduk serta pecah belah kerana takut kepada Allah Dan contoh perbandingan ini Kami kemukakan kepada umat manusia, supaya mereka memikirkannya. (Quran: Hasyir [59]: 21). 

____________________________________________________________
↓ Jika anda rasa kisah ini menarik dan bermanfaat, kongsikan. Jika suka Like