Kembara Ranah Minang (5H4M) < RM200


Saya telah ke Padang-Bukittinggi pada 5 hingga 9 Februari 2014. Menginap di Bukittinggi 3 malam dam di Padang 1 malam. Bermotorsikal ke Lembah Harau dan Danau Maninjau. Berikut adalah Laporan perbelanjaan Kembara Ranah Minang 2014

photoshake_1392002652512

Kos Lapangan

1. Pengangkutan

Bas Bandara: 22k
Bas Padang – Bukittinggi : 18k
Sewa Motor : ( 60k x 2 hari ) / 2 orang = 60k
Petrol: 44k / 2 orang  = 22k ( lebih kurang 100 km )
Parking: 6k / 2 orang = 3k ( kos parking 1k hingga 3k di tempat-tempat wisata )
Bas Bukittinggi – Padang : 18k
Teksi Padang ke bandara : 130k / 2 orang = 65k
Angkot dan bas : 10k ( angkot 3k sekali naik, bas 4k)

Jumlah:____________________________IDR218k

2. Penginapan

Bukittinggi (double room) : ( 150k x 3 malam ) / 2 orang = 225k
Padang (dorm) : 95k x 1 malam = 95k

Jumlah:____________________________IDR320k

3. Makan dan kudapan

Jumlah:____________________________IDR125k

4. Lain-lain

Simkad : 25k ( SimPati 500mb )
Tiket masuk Fort De Kock & Zoo : 10k
Tiket masuk Lembah harau: 10k / 2 orang = 5k ( rasanya dia caj per motorsikal )
Tiket Taman Panorama dan Lubang Jepang : 5k
Tiket Museum Padang : 2k

Jumlah:____________________________IDR47k

Jumlah keseluruhan:__________________IDR710k

Kadar tukaran matawang Jan 2014 : RM1 ~ IDR3.57 ; IDR710 ~ RM199

=========================================================

Kos penerbangan

JHB-KUL (pergi balik) : RM 70
KUL-PDG (pergi balik) : RM 112
Cukai Lapangan Terbang Minangkabau : IDR100k

Menanti Sang Ratu mentari dan mencari Bromo yang misteri


Bumi masih gelap namun fajar sudah muncul di ufuk timur. Jelas pancarannya kerana aku kini berada di tanah tinggi. Aku memaksa kaki terus melangkah. Melawan graviti, membawa badanku yang berlebihan berat. Adoi… waktu ini menyumpah-nyumpah diri sendiri kerana rajin makan tapi malas bersenam. Tetapi bukan kaki ku saja yang tersiksa. Hidungku juga berprotes, enggan menyedut nafas. Lalu aku tercungap-cungap kelelahan. Jantung bekerja lebih laju dari biasa. Sungguh , ini semua di luar jangkaan. Suasana subuh di pergunungan sepatutnya sejuk, nyaman, menyegarkan dan aman tetapi suasana di sini kacau-bilau. Waktu ini, beratus-ratus orang sedang berpusu-pusu memanjat puncak Penajakan Satu untuk melihat panorama Bromo ketika matahari terbit. Berbaloikah seluruh perjalanan ini?

……………………………………………..

Aku cuma dapat tidur tiga jam sahaja. Setelah lebih empat jam perjalanan dari Surabaya  kami sampai di rumah tumpangan di Desa Cemoro Lawang menjelang tengah malam. Jam tiga pagi, pintu bilik diketuk orang. Tilam hangat seakan magnet yang membuatkan tubuhku berat untuk bangkit.  Bilik tanpa penghawa dingin elektrik tetapi sejuknya bukan main. Bila kami keluar ke halaman. Berpuluh-puluh jib sedang memuatkan penumpang.

“Bunyikan hon” arahku kepada Rudi, pemandu jip kami.

Dia membatu, pura-pura tidak mendengar padahal dia enggan mengikut arahanku. Kami berenam telah memenuhi jip tetapi tak dapat bergerak kerana laluan terhalang oleh jip lain. Nampaknya tiada pilihan kecuali bersabar. Akhirnya jip kami pon bergerak perlahan-lahan. Kami ketawa gembira dan teruja. Rudi sangat peramah dan tak berhenti bercakap. Tak lama kemudian, keadaan jalan menjadi sukar. Teroleng-oleng ke kiri dan ke kanan seperti orang mabuk.

“Tempat ini benar-benar tumpuan pelancong. Kenapa tak di bina saja jalan tar hingga ke puncak seperti di Tangkuban Perahu?” soalan tiba-tiba termuntah dari mulutku.

“Rasanya orang datang ke sini hendak mencari adventure. Sebab itu dibiarkan semulajadi” Zati menjawab pertanyaanku.

Tak semena-mena aku rasa tersindir. Itulah padahnya bertanya tanpa berfikir. Sudah setahun tak mengembara, aku jadi mengada-ngada. Sikit-sikit nak komplen. Zati benar, kami sebenarnya tidak berjalan di atas jalan tapi di atas dataran pasir bersimen lumpur yang berlekuk-lekuk kesan dari aliran semulajadi air. Hal ini hanya aku ketahui ketika kami pulang pada siang harinya. Lekuk yang paling besar lebarnya hampir semeter dan beberapa kaki dalam. Aku mengagak dari kesan gerakan jip, kerana hari masih gelap dan kami tak nampak apa-apa. Patutlah mesti berjip atau bermotorsikal di sini. Kalau kereta biasa tentu terbenam. Fikirku sendiri. Beberapa minit kemudian jalan mula membukit. Bunyi jip menderam-deram seperti memarahi bukit kerana terlalu curam. Mungkin juga memarahi kami kerana kuat makan. Semakin curam laluan semakin kuat bunyinya tetapi ia bergerak semakin perlahan.

“Tengok sana tu!” Yatt menunjuk ke bawah, jalan datar yang kami tempuh tadi.

Dalam gelap pekat awal pagi kelihatan berpuluh-puluh, mungkin juga mencapai ratus, objek bergerak dalam barisan berkelok-kelok seperti lipan gergasi di mana setiap kaki lipan memancarkan cahaya. Itulah lampu-lampu jip yang berarak menuju destinasi yang sama dengan kami. Melongo-longo kami kekaguman. Tak sanggka Bromo begitu popular.

“Setiap hari begini?” Tanyaku pada Rudi.

“Iya, kalau hari biasa sekitar lima puluh hingga eman puluh buah jip. Jika hari minggu atau libur boleh jadi mencecah dua ratus jib”.

Terlopong kami mendengar jawapan Rudi. Dua ratus darap enam orang setiap jip, seribu dua ratus orang. Hebat sangatkah Bromo? Jip-jip yang tiba lebih awal mendapatkan tempat parking terbaik, beratur di kiri kanan jalan berturap. Kami berenam diturunkan hanya kira-kira lima ratus meter dari puncak. Semakin lambat jip tiba, semakin jauhlah pengunjung perlu berjalan. Puluhan motorsikal bersimpang-siur menurun naik jalan berbukit itu mencari pelanggan untuk dibonceng. Suluhan cahaya dari lampu-lampu motorsikal sesekali menyilaukan mata. Jika sekadar silau mata tidak mengapa. Yang paling menyiksakan ialah bau asap motorsikal luar biasa busuknya. Asap yang tak kelihatan menguasai ruang udara yang telah sedia sesak dengan gerombolan manusia.

“Ojek! Ojek! Ojek! Ojek!” Para pemandu motorsikal mencari pelanggan.

“Ojek! Ojek! Dua puluh ribu!”

Para pemandu motorsikal bijak membaca riak muka. Mereka menyasarkan wajah-wajah yang jelas kelelahaan dan kelihatan terseksa melawan graviti disamping membawa berat badan berlebihan. Ya, orang-orang yang seperti aku. Walaupon dalam suram-suram cahaya mereka dapat mengesannya, seolah-olah mereka punya sensor ajaib. Satu demi satu motorsikal menuju ke arahku, berhenti betul-betul di depan aku. Aku terpaksa mengelak ke kiri atau ke kanan. Olah mereka membuat aku jengkel. Sudahlah penat, bau asap motor busuk, tak boleh bernafas, jalan terhalang lagi. Memang idea untuk membonceng datang berkali-kali difikiranku, tapi aku ada sedikit ego lagi yang berbaki membuat aku terus gagahkan kaki.

“Ojek! Ojek! Ojek! Ojek!” Para pemandu motorsikal tak mudah berputus asa.

Ah, Awa, tak perlu marah. Merekakan cuma berusaha mencari rezeki.  Belas kasihan  menasihati ego.

“Ojek! Ojek! Sepuluh ribu!” Semakin ke atas, harga semakin murah dah motorsikal pon semakin kurang.Lampu-lampu dari kedai dan warung mula kelihatan. Aku memujuk diri. Sedikitttt lagi Wa!

Akhirnya sampai juga kami di kawasan wisata. Jalan tak curam lagi. Perlahan-lahan aku mengatur nafas semula. Degup jantung pon mula memperlahan. Tapi suasana masih riuh dan huru-hara. Kini di serbu pula oleh penjual baju sejuk dan sarung tangan. Aku merendahkan pandangan dan berjalan laju-laju, cara paling mudah dan sopan mengelakkan mereka. Deretan warung sibuk dengan pengunjung-pengunjung yang bersarapan atau sekadar minum kopi. Penjaja jagung bakar duduk sebaris di sebelah kiri. Seleraku terbuka. Tapi oleh kerana terlalu ramai manusia yang berpusu-pusu aku tak dapat mendekati.

“Turun nanti nak beli jagung!” ujarku kepada Yatt yang berjalan di hadapanku. Tak pasti sama ada dia mendengar atau tidak.

Fajar di ufuk timur

Fajar di ufuk timur

Aku suka memerhatikan manusia jadi agak terganggu dengan suasana sekitar. Hilang sedikit tumpuan pada perjalanan. Namun, kaki terus bergerak mengikut arus manusia yang semakin ramai. Tanpa aku sedari aku kehilangan Yatt. Sedang aku terpinga-pinga, sejurus sebelum aku sampai di anak tangga pertama pelantar peninjau, aku dengar namaku dipanggil. Rupa-rupanya kesemua lima orang kawan-kawanku sudah menunggu.

“Solat! Solat!” Kak Rin menunjukan sebuah astaka kecil.

Aku dapat lihat  figura manusia rukuk dan sujud. Ramai yang sedang menunggu giliran. Tak ada sempadan lelaki dan perempuan. Ah, dalam keadaan begini, tak perlu banyak bicara. Aku mengesan sedepa tanah lapang yang agak strategik di sebeleh kanan berdekatan tebing. Ia terlindung dengan tembok batu. Sebenarnya kawasan itu kawasan larangan. Ada pagar dawai separas lutut tetapi sudah terpokah sedikit. Kawan-kawan ku sedang mengambil giliran di belakang astaka.

Aku mengajak Ayu bersolat bersamaku. Kami menyusup pagar yang terpokah. Lantas aku membentang kanvas dan kami tak bertangguh mengangkat takbir. Beg sandang tidak kulucutkan dari badan tertapi aku terbalikkan muka beg melekap ke badan. Keadaan ini sudah dijangka, kami telah siap-siap berwuduk sebelum memulakan perjalanan. Hari itu baru aku tahu, menjaga wuduk ketika berjalan mendaki bukit bukannya mudah.

Nongkrong dalam gelap

Nongkrong dalam gelap

Baru selesai solat subuh, menunggu Sang Ratu

Bertahan dalam sejuk. Baru selesai solat subuh, menunggu Sang Ratu

Selesai solat, kami bergerak mendekati tebing terus mengadap ke ufuk timur. Di belakang kami tembok batu setinggi dua meter dibina menebing pelantar peninjau. Di atasnya telah penuh dengan manusia. Seorang pemuda malahan bertenggek di atas tiang batu yang meniang palang-palang besi yang memagari pengunjung supaya tidak melepasi kawasan aman. Ya, kawasan tidak aman itu adalah di tempat kami berdiri sekarang,  sangat berdekatan tebing. Ramai juga yang turut menyusup masuk ke situ termasuklah sepasang pelancong Eropah. Si lelaki telah siap-siap mendirikan tripod kamera. Kami pon tak mahu kalah. Masing-masing mengeluarkan kamera kompak. Lebih sadis, aku hanya mampu berkamera talifon.

Bulan kesunyian

Bulan kesunyian

Bulan masih bulat. Jauh menyepi dalam kegelapan tak dipedulikan orang. Urat-urat jingga mula muncul di ufuk timur. Serakan warna biru pekat muncul di atas jaluran jingga yang semakin menebal. Warna biru pekat mencair bila terserak lebih luas, memakan langit hitam. Seperti inci yang dititis di permukaan air. Bayang-bayang awan nipis seperti carikan gula kapas mula kelihatan. Perlahan-lahan langit berubah warna. Dari hitam gelap kepada kelam kelabu akhirnya menjadi luas dan membiru. Biru lembut seperti kasih sayang ibu.  Sayangnya Gunung Bromo dan Semeru berada di sebelah tenggara. Kami tidak dapat ke kawasan tersebut kerana terlalu ramai manusia. Sebelum ini aku bayangkan matahari akan muncul di celah-celah Bromo dan Semeru, sangkaanku meleset sama sekali.

Tak tahu nak tulis apa. Kau rasakan sendiri :)

Tak tahu nak tulis apa. Kau rasakan sendiri 🙂

Biru langit semakin mencair sedangkan sinar jingga semakin memekat dan berkilat. Cahaya jingga bergerak lurus menyentuh awan putih, menembus di lubang-lubang awan. Suasana semakin meriah dengan sorak-sorai anak-anak muda sewaktu Sang Ratu mula menampakkan diri. Dengan perlahan-lahan Sang Ratu muncul. Silaunya mula memanah mata. Dan tatkala Sang Ratu Mentari menampakkan keseluruhan dirinya, anak-anak muda bersorak dan bertepuk tangan. Bumi pun cerah hingga ke tanah. Alangkah indahnya jika aku berada di tempat yang terasing dan menyaksikan keindahan ini dalam ketenangan dan jauh dari hiruk pikuk manusia.

Anggunnya Sang Ratu :)

Anggunnya Sang Ratu 🙂

Para primadona

Para primadona

 

Gazebo tempat solat

Gazebo tempat solat

 

Para pengunjung yang tadinya tertumpu kepada Sang Mentari mula bertebaran. Aku, Yatt dan Ayu naik ke atas pelantar peninjau. Tak sedar kami terpisah dengan Kak Rin, Zati dan Razat. Kami terus bergerak ke bahagian paling tenggara. Dari situlah dapat disaksikan pemandangan Gunung Batok, Gunung Bromo dan Gunung Semeru yang terkenal. Sayangnya suasana terlalu meriah kerana pengunjung terlalu ramai. Bermacam-macam ragam, rupa, saiz, umur, warna dan bahasa. Satu hal yang menyenangkan, baik orang Amerika, Eropah, Afrika atau Asia mempunyai bahasa kegembiraan yang sama. Ketawa dan senyuman berpindah dari wajah ke wajah, menular seperti wabak. Dari wabak itu turut menular bahagia, cinta dan kasih di antara rakan dan keluarga yang sedang membina kenangan manis bersama. Sedangkan orang lain yang memerhatikan mereka tak semena-mena turut merasa bahagia. Begitulah ajaibnya hal yang di beri nama “perasaan”. Tuhan menjadikan ia ghaib, tetapi dapat di rasai oleh hati manusia. Ia mampu membuat manusia berubah sikap malahan manusia boleh jatuh sakit atau pulih sihat. Sesungguhnya, manusia yang suka mempersoal dimana Tuhan? Di mana Tuhan? Mereka tidak mempercayai kewujudan Tuhan hanya kerana mereka tidak mampu melihatnya. Mereka berada dalam kebodohan.

Indahnya bagaimana fenomena alam yang biasa saja dapat menyenangkan hati manusia. Karya Tuhan penuh seni. Foto, lukisan malahan penceritaan dalam tulisan ini tidak dapat menandingi pengalaman melihat dengan mata sendiri dan merasai sendiri segarnya udara dingin di sini. Selesai mengambil gambar kami pon segera turun. Aku yang melankolik, memang tak betah berlama-lama  dalam suasana pesta seperti itu. Menurutku, menonton konsert alam, bukan seperti menonton konsert musikal. Jika konsert musikal, lebih ramai penonton lebih mengujakan. Tapi konsert alam sebaliknya lebih aman menjadikannya lebih indah. Aku agak kecewa kerana tidak dapat menyaksikan pemandangan Bromo yang sangat terkenal. Iaitu ketika kabus masih tebal melingkari ketiga-tiga gunung. Di dalam gambar-gambar yang banyak aku lihat dari internet, Bromo seolah-olah terapung-apung, kelihatan misteri namun mengagumkan. Walaupon begitu, tidak aku nafikan keanggunan gunung tiga sekawan ini. Gunung Bromo di apit oleh Gunung Semeru dan Gunung Batok. Gunung Semeru paling jauh, tinggi dan gagah. Bentuknya hampir sempurna seperti kon yang jatuh dari langit dan terpasak di bumi. Kelihatan gagah tak terkalahkan. Gunung Batok yang paling kecil dan palign hampir juga berbentuk kon tetapi berketak-ketak seperti payung kertas separuh terbuka. Dari jauh ia kelihatan hijau berlumut. Aku yakin yang hijau itu adalah pokok-pokok renek, masakan warna lumut boleh kelihatan sebegitu jauh. Gunung Bromo meletus kali terakhir pada tahun 2010, mungkin kerana itu ia kelihatan kelabu, kusam, berdebu, tandus tanpa tumbuhan. Badannya dipenuhi lurah dan bucu-bucu tajam tak sekata, seperti kertas renyuk. Puncaknya terpokah, itulah kawah Bromo yang terkenal, destinasi kami selepas ini.

Batok dalam bahasa jawa bermaksud tempurung.

Semeru.Bromo. Batok. Batok dalam bahasa jawa bermaksud tempurung.

Penjejak mentari Bromo

Penjejak mentari Bromo

Orang tempatan mencari rezeki

Orang tempatan mencari rezeki

Kak Ngah dan Yatt di pintu masuk Penajakan satu.

Kak Ngah dan Yatt di gerbang masuk Penajakan satu.

Penjual jagung

Penjual jagung

Macam-macam cenderehati ada. T-shirt, ket chain, fridge magnet

Macam-macam cenderehati ada. T-shirt, key chain, fridge magnet

Jip menunggu penumpang. Ingatkan nama pemandu, warna dan no plat jip anda. Jangan keliru!

Jip menunggu penumpang. Ingatkan nama pemandu, warna dan no plat jip anda. Jangan keliru!

Andai bulan bisa ngomong

Andai bulan bisa ngomong

Sila rate, like, komen, share. Jagan lupa Like Fb Page Pengembara berpoket nipis  ^_^

Monyet Galak di Uluwatu


“Awasi cermin mata dan tasnya. Kalau mahu mengambil gambar, masuk-in tangan pada tali kamera. Jangan pakai   topi. Soalnya monyet-monyel di sini galak”. Pesan Rui, kami angguk. Tersengih-sengih sesama sendiri. Tak begitu mengambil berat pesan Rui.

Lucu bila sifat galak digunakan untuk haiwan. “Kalau kita, galak tu maksudnya gatal merenyam hehehe”. Yatt ketawa, aku dan Abid pon ketawa sampai terhincut-hincut bahu. Rui mengiringi kami membeli tiket persembahan tarian kecak-kecak sebelum membawa kami mengitari kawasan pura lama itu. Persembahan akan bermula sebaik sahaja matahari terbenam. Setiap pengunjung diberikan tali kain berwarna kuning untuk diikat dipinggang. Aku pakai dengan perasaan was-was. Adakah ini dikira mengikut perlakuan keagamaan? Pengunjung yang berseluar pendek pula diberikan selembar kain. Mereka mengikat dua hujung di pinggang menjadi kain belah.

Meninjau tebing tinggi di Uluwatu sangat-sangat mengujakan. Nun jauh di bawah, pasir putih menadah pantai yang sempit. Ombak selalu menghempas keras pada tebing yang berlekak-lekuk, menghasilkan busa putih dan tebal di atas pasir. Begitu buih tak sempat hilang ombak yang lain pula tiba. Indahnya ciptaan Allah.

uluwatu2

Para pengunjung berlumba-lumba menunjukkan keberanian bergambar sedekat mungkin dengan tebing. Aku rasa tercabar. Aku juga hairan, entah ke mana perginya penyakit gayatku. Aku duduk hanya sejengkal dari tebing. Abid menyuarakan kekhuatiran. Aku hanya senyum. Dua hari lepas ketika kami di Tanah Lot aku rasa seram bukan main melihat bule-bule (orang putih) bergambar. Padahal, berbanding tebing Uluwatu, apalah sangat tebing di Tanah Lot tu, setinggi tebing parit sahaja.

“Aku dah tinggalkan gayat di Gunung Batur” ujarku berseloroh.

Pengunjung semakin ramai. Kami terlalu seronok, suka berlama-lama di satu-satu tempat. Kalau tidak kerana Rui, memang asyik saja kami mengambil gambar. Berkali-kali Rui ingatkan kami perlu bersegera supaya dapat melihat keseluruhan kawasan pura dan masuk ke pentas kecak-kecak lebih awal supaya dapat tempat duduk yang strategik.

“Supaya dapat melihat sunsetnya, sekali melihat tariannya” Kata Rui. Oh.. tarian mistik berlatar belakangkan matahari terbenam di celahan dua tanduk identiti khas Bali,…serasa bulu roma lenganku meremang.

Pap! Imaginasi, sila pergi dahulu.

“Tolong ambilkan gambar bertiga” aku hulur kamera pada Rui.

Aku, Yatt dan Abid bersandar pada tembok. Latar kami ialah laut dan tebing tinggi Uluwatu. Agak susah untuk bergambar kerana semakin ramai pengunjung lalu lalang. Sedang kami mengukirkan seikhlas senyuman, tiba-tiba Yatt menjerit. Aku merasai kesan daya dari sesuatu yang bergerak laju di belakang kami. Ohh! monyet rupanya. Benarlah, galak sungguh!

“Cermin mata kita!” wajah Yatt separuh pucat.

Monyet tadi telah meragut cermin mata yang sedang dipakainya. Ya! cermin mata itu sedang di pakainya! bukan, dia tidak memakainya di atas kepala tetapi di muka! Monyet itu meragut cermin mata dari mukanya! Dan Yatt memakai tudung, maksudnya kaki cermin mata terselit di celahan tudung. Sang monyet benar-benar berani, pantas dan errr… profesional?

Keadaaan huru hara. Serta-merta kami menjadi perhatian. Belum sempat aku mewaraskan fikiran, sepantas kilat datang lagi seekor monyet ke arah kami. Sekali lagi kami menjerit. Beg sandang kecilku tertarik dan aku cuma mampu menekup muka dengan telapak tangan. Namun, mujur cuma botol air dari poket sisi yang diragutnya, bukan beg. Sungguh , aku terkejut dan ketakutan. Jantung mengepam darah dua kali lebih laju. Nafas menjadi pendek.

uluwatu3uluwatu4

Yatt tersebik-sebik, seperti mahu menangis melihat sang monyet menayang-nayangkan cermin mata Bonia asli yang baru saja dibeli beberapa bulan lalu. Sang monyet membuka mulutnya besar-besar, menyeringai sehingga taringnya kelihatan seolah-olah tersengih. Dia langsung tidak takut malah mengejek-ngejek pula. Patah hati Yatt melihat sang monyet mengigit cermin matanya. Setiap kali sang monyet mengepak-ngepak kaki cermin mata yang malang itu, kami sama-sama menjerit “Jangan!” spontan menunjukkan isyarat tangan suapaya Sang monyet berhenti melakukannya. Hmm.. kau kira Sang monyet tidak faham? Sang monyet semakin seronok memprovokasi kami.

Keadaan semakin kecoh.  Seorang remaja Eropah mencampakkan sebiji kacang ke arah sang monyet. Jauh tersasar. Ah.. Rui, kemana saja kamu di waktu ini? Aku menoleh ke belakang dengan tujuan mencari Rui. Sekali lagi aku terperanjat, bukan kerana ada monyet dibelakangku. Tetapi begitu ramainya orang yang berkumpul menyaksikan drama kami. Masing-masing dengan kamera seperti wartawan berebut gossip sensasi. Mataku berkelip-kelip menahan flash. Tak semena-mena muncul Yuna Zarai. Dia bersandar di dinding pura, matanya kecil melawan silau mentari petang. Dengan santai memetik gitar dan menyayi….  I can’t believe we almost got famous for nothing baby….. oooooo

Pap! imaginasi sila pergi dahulu!!

 Aku tak tau harus bereaksi apa. Melihat aksi monyet – cemas, muka sebik yatt – kasihan dan para pengunjung yang berebut-rebut mendapatkan sudut gambar terbaik – lucu. Yuna Zarai telah hilang tapi suaranya masih kedengaran. Mengulang-ulang baris yang sama. Dari rasa tegang timbul rasa geli hati. Aku tak dapat menahan ketawa. Aku memaut bahu Yatt, cuba menenangkannya. Orang yang di cari-cari, Rui, muncul dengan dua orang menjaga pura.

uluwatu5uluwatu8

“Rekam ekpresinya!” Rui ketawa kecil memandang kami sambil memetik picu kameraku yang masih di tangannya sejak tadi. Tiada riak kasihan di wajahnya, tetapi kami sangat berterima kasih kerana dia cepat bertindak. Ah.. Rui, adakah engkau kecil hati kerana kami meremehkan nasihatmu lalu engkau meminta kepada Tuhan supaya kami diberikan pengajaran?

Akhirnya, Yatt mendapat semula cermin mata kesayangannya. Tetapi skru sudah senget dan beberapa kesan gigitan monyet dibahagian tengah. Ketika menyusur laluan ke pentas kecak-kecak. Rui menyuruh kami rakam gambar pura dari jauh.

“Kalau orang tanya, apa buktinya sudah ke Bali,nah.. lihat saja fotonya!”.

“Kaca matanya juga boleh jadi bukti hehehe” ujarku

uluwatu6uluwatu7

Nota__________________________________________________________________________________

Melihat tarian kecak-kecak buat aku banyak berfikir. Kecak-kecak sebenarnya cerita klasik Hindu. Kisah Rama, Sita dan Hanuman. Betapa jauhnya pengaruh agama Hindu berkembang pada masa dulu. Bayangkan jarak antara India dan Bali. Walaubagaimanapon agama Hindu di Bali sangat berbeza dengan Agama hindu di India. Kecak-kecak menyedarkan aku – tiada satu tarian kebudayaan pon yang tidak menerima pengaruh dari tempat lain. Budaya mempengaruh dan dipengaruh. Justeru ia dikongsi, tidak dimiliki secara total oleh sesuatu kaum.

Di satu sudut lagi, aku agak kecewa Bali tidak menerima tempias gelombang Islam yang melanda Pulau Jawa. Sekarang bayangkan jarak antara Pulau Jawa dan Bali.

Meriahnya Bahasa Indonesia


↑ Jika suka kisah ini, berikan aku bintang-bintang 😉

Kisah ini telah diterbitkan kali pertama di limatahun.blogspot.com pada 14 Julai 2009. Telah di edit semula.

———————————————————————————————————————–

Ketika di Bali, kami mendapat permainan baru. Di mulakan oleh Yatt a.k.a Cik Sengal. Hari pertama ketika dalam perjalanan ke Berdugul, Yatt melontarkan soalan. “Kak Awa, cuba teka apa maksud CAPRES?”.

“CAPRES?……. capres… entak ek, kalau cepres aku tau la he he” jawabku. Cepres bermaksud comot dalam  bahasa Jawa.

“CAPRES.. calon presiden!” Yatt senyum menang.

“Ha??.. macammana tu?” Sebelum Yatt sempat menerangkan, kami melintasi papan iklan gergasi dengan tema merah. Padanya tercetak gambar besar Megawati Sukarno Putri, berbaju merah terang. Di bawah Megawati tertulis ‘CAPRES’. Di samping Megawati ialah seorang lelaki dan ‘CAWAPRES’ tertulis dibawah gambarnya.”Ha…. calon presiden! hehehe..”Aku mendapat jawannya sendiri. “CAWAPRES tu apa pula ek?” Timbul pula soalan lain.

“Calon wakil presiden kot, macam timbalan gitu”. Kreatif sungguh Indonesi.

Sepanjang di Bali (dan sesudah pulang) beberapa singkatan yang menarik kami pelajari, antaranya;

Pilpres = Pemilihan Presiden
Puskesmas = Pusat Kesihatan Masyarakat
Bandara = Bandaraya Udara = Lapangan Terbang
ABG [ baca: Aa Bé Gé] = Anak Baru Gédé = Remaja (gédé bermaksud besar)
DikNas = Pendidikan Nasional
Jabar = Jawa Barat
Jatim = Jawa Timur
Babinkumnas = Badan Pembinaan Hukum Nasional
Monas = Monumen Nasional
Angkot = Angkutan kota (kenderaan awam seperti tuk tuk di Thailand)

Singkatan-singkatan paling menarik sekaligus lucu adalah yang kami temukan di McDonald. Kami ketawa kuk kik kuk kik semasa beratur, sampai mengalir air mata melihat papan menu. Orang lain memandang kami pelik. aku tak dapat mengawal geli hati ketika membuat pesanan. Sampai tersasul-sasul.

Kita disini tak pernah temukan Bahasa Melayu untuk ‘Value Meal’ tapi kayanya orang Indonesia mereka terjemahkan jadi Paket Hemat dan di pendekkan menjadi PaHe hehehehe. Ada pula hidangan bernasi maka dinamai Paket Nasi dan kependekannya ialah PaNas. Paling lucu ialah Paket Pengin iaitu Semacam ‘chicken foldover’ bersos salsa yang PEDAS yang digandingkan dengan minuman bergas dan aiskrim(float) yang DINGIN maka dinamai PeNgin. Haha.. pening dibuatnya.

Restoran Mc Donald di Pantai Kuta tak pernah lengang. Menu serupa tapi tak sama (dengan Mc Donald Malaysia)

Ketika membelek-belek alas dulang yang mempunyai maklumat nutrisi, kami temukan BURYAM. “BURYAM ni apa pulak?” seperti biasa Yatt yang bertanya. Dan seperti biasa, aku berlagak seperti professor bahasa. Hampir bertemu kening aku memikir.

“Ha!!! buryani ayam!” Meledak ketawa kami hehehehe.. ada ke briani ayam di McDonald?

Setelah pulang Yatt memberi soalan yang sama pada kawan pejabatnya. Dia dapat jawapan yang lebih logik. BURYAM ialah BURGER AYAM. hahahaha…

Aku pun, tak mau kalah, aku cuba kepintaran kawan pejabatku. Mangsanya ialah Chen. “Chen, tahu tak, orang Indonesia suka singkatkan istilah yang panjang-panjang. Contohnya BANDARA ialah BANDARAYA UDARA iaitu lapangan terbang. Cuba teka, apa maksud BURYAM? Klunya McDonald”

“BURYAM… BURYAM… BURUNG AYAM???”

Aku ketawa sampai keluar air mata

Tersurat dan tersirat dalam Laskar Pelangi


Artikel asal dari blog lama saya, diterbitkan kali pertama pada 3/8/2009

Pada kulit buku ini tercetak ‘INDONESIA’S MOST POWERFUL BOOK’. Jadi aku cuba cari dan kongsikan di sini KUASA yang terkandung dalam buku ini.

SINOPSIS RINGKAS

Beberapa puluh tahun lampau, di Pulau Belitung, Indonesia, 10 orang sahabat mendapat gelaran LASKAR PELANGI dari guru mereka – Ibu Muslimah. Laskar bermaksud tentera atau pejuang. Pelangi pula kerana kebiasaan mereka duduk bertenggek di dahan pohon filicium tua di hadapan kelas setiap kali selepas hujan – untuk menikmati warna-warna pelangi. Ikal, Lintang, Mahar, Kucai, Borek, Shahdan, Trapani, A Kiong, Sahara, Harun dan Flo. Berada dalam kelas yang sama dengan guru yang sama selama 9 tahun – kecuali Flo yang menyertai mereka lewat. Di Sekolah Muhammadiyah inilah bermula semua cerita persahabatan mereka. Buku ini memaparkan suka-duka mereka. Pengalaman-pengalaman masa kecil yang menumbuhkan mereka menjadi manusia. Ceritanya biasa, anak miskin berusaha keras untuk kelangsungan hidup demi mempertahankan hak mereka untuk mendapat pendidikan. Lalu, apa yang menjadi kekuatan novel ini?

PENULISAN DAN GAYA CERITA

Novel ini tidak ada jalan cerita. Bab-bab dalam Laskar Pelangi tidak ditulis mengikut kronologi, tidak ada plot, tidak ada konflik utama dan kemuncak konflik. Ia ditulis berdasarkan subjek, tentang sesuatu entiti atau peristiwa. Peristiwa-peristiwa itu tiak pula disusun mengikut jalur masa. Satu bab menceritakan hari pertama mereka mendaftar sekolah. Satu bab menceritakan watak-watak para Laskar Pelangi – kecuali Lintang dan Mahar yang lebih istimewa dalam bab masing-masing. Satu bab berkisah tentang bunda guru. Satu bab tentang sekolah. Malah satu bab tentang pohon falicium tua yang meneduhi kelas mereka. Satu bab tentang kegirangan musim hujan. Satu bab masing-masing tentang peristia karnival 17 Ogos dan Lumba Cerdas Cermat. Tak lupa bab-bab yang menceritakan cinta pertama Ikal, A Ling.

Andrea Hirata bijak menggunakan metafora. Contohnya dia memetaforakan gedung PN Timah sebagai Taman Tergantung Babilon iaitu – sangat ekslusif dan hanya orang-orang tertentu saja yang layak memasukinya. Dan timah di bumi Belitong dimetaforakan sebagai Tower of Babel – iaitu tangga menuju syurga kerana sepatutnya rezeki yang Allah limpahkan kepada bumi itu seharusnya dapat memberikan mereka kemakmuran. Lebih menarik metafora langit ketujuh sebagai tempat kebodohan bersemayam. Kisah bagaimana Lintang mendapat anugerah genius juga tak kurang hebat – Lintang dibayangkan dikunjungi oleh para genius zaman lampau, di apit oleh Copernicus dan Lucretius, lalu Tuhan menyemaikan biji zarah kecerdasan yang jatuh dari langit dan menghentam kening Lintang. Lintang melihat keindahan ilmu dalam buku seperti kunang-kunang dalam malam gelita.

Ketika menceritakan tentang pohon felicium tua dan segala hidupan yang bergantung denggannya. Andrea menggunakan nama-nama saintifik bagi makhluk-makhluk tersebut – burung, kumbang dan rerama. Susah hendak disebut tetapi berjaya membuat ceritanya segar. Bagaimana semuanya berhubung dalam rantai makanan yang teratur. Dan bagaimana 10 homo sapiens kecil (para Laskar Pelangi) selalu menjadi pengganggu.

Dalam Laskar Pelangi ada dua senarai yang selalu mencuit hati iaitu pelajaran-pelajaran moral dan 44 penyakit gila. Dua senarai ini berlanjutan hingga Mariamah Karpov. Inilah hal-hal kecil yang mensinambungkan keempat-empat buku.

4 Bab terakhir ialah kisah mereka 12 tahun kemudian. Ikal atau Andrea, akhirnya nanti belajar ke Perancis – ini diceritakan lanjut pada buku-buku seterusnya. ‘Aku’ dalam bab terakhir bukan lagi Ikal, tetapi Shahdan kerana waktu itu Ikal sudah pun terbang ke Perancis.

KEKUATAN DALAM LASKAR PELANGI

Andrea menulis novel ini, bukan dengan niat untuk diterbitkan. Inilah anggannya sejak kecil. Tercetus kerana satu peristiwa semasa SD3. Hari itu hujan lebat dan ibu Muslimah tidak sampai-sampai ke sekolah. 10 anak kecil itu ketakutan di dalam kelas yang bocor dan uzur. Sekolah itu, menurut Ikal, tak ubah seperti gedung kopra (kelapa kering) dan malamnya digunakan untuk meneduh binatang ternak. Ibu Muslimah – guru yang cuma mendapat gaji 15kilo beras itu, akhirnya tiba juga dengan bersusah payah meredah hujan dan berpayungkan daun pisang. Andrea melihat bu Mus sebagai – perempuan perkasa, diam-diam dia berazam untuk menulis tentang gurunya bila dia dewasa. Kenapa menulis? Kerana waktu itu, buku ialah sesuatu yang mewah bagi mereka. Lagipula memang cita-cita asalnya untuk jadi penulis. Takdir Allah, dia lulus sebagai sarjana ekonomi. Pun begitu, terlunas juga anggannya. Ketika Andrea mula menulis, ibu Muslimah sedang sakit. Lalu, Andrea menulis tanpa henti selama 3 minggu dan tanpa disangka olehnya dia telah menuliskan 600 halaman. Dan akhirnya dihadiahkan seada-adanya untuk gurunya tercinta, Ibu Muslimah dan rakan-rakan zaman kecilnya, para ahli Laskar Pelangi.

Menurut GDE Prama; seorang penulis Indonesia dalam rancangan Kick Andy, kekuatan utama buku ini adalah ‘Cinta seorang murid pada ibu gurunya’. Ya itu memang benar dan jelas sekali. Ibu Muslimah diangkat setinggi-setingginya. Dan ini berlanjutan kepada buku-buku seterusnya dalam tetralogi Laskar Pelangi. Kita dapat melihat bagaimana pesan-pesan dan ajaran ibu Muslimah menjadi pedoman Ikal sehingga dia dewasa. Adrea sentiasa menyanjung Ibu Muslimah, Pak Harfan (kepala sekolah) dan SD Muhammadiyah itu sendiri. Dinyatakan dalan novel ini; lebih kurang –

‘Ada satu keindahan di sekolah agama yang bobrok ini, tetapi aku enggan menukarnya dengan kemewahan mana-mana sekolah sekalipun’.

‘Di titik dan tempat ini, aku merasa bangga menjadi Melayu Belitung dan pernah belajar di SD Muhammadiyah’

Laskar Pelangi adalah FENOMENA dalam industri buku Indonesia selepas Ayat-ayat Cinta. Walaupun Andrea berkelulusan Sarjana Ekonomi, tak pernah belajar sastera dan bukan pembaca sastera, Laskar Pelangi tak pula jadi novel pop. Laskar Pelangi penuh dengan kritik sosial. Andrea memaparkan sosio-ekomoni Pulau Belitung yang kaya dengan timah. Namun, kekayaannya hanya tertumpu pada satu kawasan – GEDUNG; kompleks penempatan orang staf PN Timah. Andrea menceritakan dengan terperinci suasana ala aparteid antara golongan atasan PN Timah yang digelar orang staf dan masyarakat kebanyakan Belitung. PN (perusahaan negara) Timah yang mewarisi perusahaan perlombongan dari penjajah Belanda tidak membebaskan masyarakat Belitung dari pilih kasih dalam penjajahan malah mereka menjadi semacam penajajah baru. Gedung mempunyai semua kemudahan dari rumah besar bergaya victoria, sekolah lenagkap, hospital, pawagam hinggalah padang golf. Hanya orang staf PN Timah saja mempunyai kelayakan tersebut, di mana-mana akses untuk masuk ke kawasan gedung tertulis ‘DILARANG MASUK BAGI YANG TIDAK MEMILIKI HAK’. Malahan mereka mempunyai Polsus (Polis Khusus) Timah.

Manakala rakyat belitung yang kebanyakannya menjadi kuli bawahan PN Timah, menduduki rumah-rumah kampung, hidup miskin dan beranak ramai. Anak-anak yang mencapai umur sekolah malahan terpaksa bekerja untuk membantu menyara keluarga. Rakan-rakan Ikal sendiri, Mahar, Shahdan, Kucai dan Lintang diceritakan bekerja sejak SD – lepas pulang dari sekolah.

Ketika menceritakan kisah membeli kapur di Manggar, Andrea dengan bersahaja melukiskan Manggar dalam kepala pembaca. Pasar ikannya, deretan kedainya. Malah kebusukannya pun terbau lantaran keterperincian yang dia tampilkan. Sekaligus, aktiviti ekonomi, struktur, sifat-sifat dan nilai-nilai dalam masyarakat Melayu, Tiong Hwa dan Sawang dikupas.

FILEM LASKAR PELANGI

Secara umumnya filem Laskar Pelangi berjaya memaparkan isi hati cerita asal buku ini. Walaupun tidak semua ditampilkan atau ditampilkan tetapi tidak seperinci seperti dalam bukunya. Produksi filem jelas berusaha kuat untuk memindahkan aura novel pada filem. Dengarnya, Ibu Muslimah sendiri menangis dan enggan memasuki replika SD Muhammadiyah kerana terlalu sama dengan sekolah asalnya. Dan ketika dibawa Andrea menonton filem tersebut, bu Mus tersentuh hati menangis dari awal cerita. [Aku pon sama,masa Harun datang tu aku dah sedih dah hehe]. 12 orang anak-anak belitung yang membintangi filem ini sangat berbakat.

MENGAPA ‘INDONESIA’S MOST POWERFUL BOOK’

Selain menularkan motivasi kepada berjuta orang, beberapa kesan besar terhasil dari ledakan buku ini.

1. Nasib Lintang yang genius tetapi tewas pada kemiskinan lalu tidak dapat terus belajar menjentik hati pembaca. Lalu mencetuskan perbincangan dan perdebatan tentang ini. Ramai yang bersetuju masih ada ramai ‘Lintang’ di Indonesia. Khabarnya kerajaan Indonesia mengkaji semula sistem pendidikan mereka. Cut Mini yang mendokong watak ibu Muslimah dalam filem Laskar Pelangi, kini menjadi Duta Pendidikan Nasional dan sibuk pula berlakon iklan ‘Sekolah Gratis’

2. Ibu Muslimah serta-merta menjadi icon perguruan. Beliau telah dianugerahkan penghargaan Satyalencana Pendidikan dari Presiden Susilo Bambang Yudhoyono [sumber sini]. Dijemput dalam seminar-seminar dan perkumpulan tentang pendidikan.

3. Belitong menerima pertambahan pelancong. Kalau dulu aktiviti pelancong banyak tertumpu di Tanjung Pandan, pantainya dan pulau-pulau kecil sekitarnya. Kini, agensi pelancongan menyediakan pakej – Laskar Pelangi – mereka turut melawat kampung Andrea di Desa Gantong – kalau beruntung dapat bertemu ibu bapa Ikal, Ibu Muslimah dan anggota Laskar Pelangi. Satu yang mesti dilawat ialah ‘Sekolah SD Muhammadiyah’ yang digunakan untuk pengambaran filem. Malahan mereka juga melawat Manggar, tempat Ikal menemui cinta pertamanya – toko Sinar Harapan yang busuk, melihat-lihat pasar ikan dan pelabuhan Manggar.

AKHIRAN

Bu Mus, Pak Harfan dan SD Muhammadiyah sangat mengesankan hidup para Laskar Pelangi. Meski mereka kini telah berjaya menentang kemiskinan, tetapi tak menjadikan mereka manusia sombong. Kucai yang kini ahli politik berkata beliau tidak pernah menganggap dirinya berjaya, malah beliau juga percaya Andrea sendiri berfikiran begitu – kerana cita-cita mereka ialah melepaskan masyarakat Belitung keseluruhannya dari kemunduran fikiran. Andrea berkali-kali menyatakan – kalau bukan kerana Harun, murid down sindrom yang mencukupi 10 orang murid sebagai syarat minima dari pejabat pendidikan, maka tidak wujudlah Laskar Pelangi. Bagaimana Allah mengirimkan anak istimewa yang sebenarnya tidak dapat mencerna pelajaran sebagai rahmat besar bagi para Laskar Pelangi. Mungkin sebab itu, mereka tidak pernah merasa kejayaan mereka ahalah hak mutlak mereka sendiri. Itulah ajaran unggul bu Mus, iaitu rendah hati.