Konvensyen Fiqh Ummah 2012



Sabtu dan Ahad yang lepas, aku berpeluang mengikuti Konvensyen Ummah 2012 yang diadakan buat kali ke dua di Malaysia. Kali pertama di Kuala Lumpur dan kali ini di Johor Bahru. Konvensyen di KL dulu pon aku beli tiket juga, tapi tak dapat pergi. Alhamdulillah kami ni Allah memilihku (walhal yang tak dapat pergi dulu pon atas pilihan sendiri – prioriti yang ditentukan oleh diri sendiri). Ramai yang nak pergi tapi ada banyak keuzuran lain yang tak dapat dielakkan. Begitulah, kita merancang, Tuhan juga merancang. Kena doa selalu perancangan kita selari dengan perancangan Tuhan. Program seperti ini di anjurkan di Johor Bahru… masih sangat langka. Peluang yang terlalu sukar aku lepaskan.

Ada kawan bertanya, apa dia konvensyen ni? Ramai yang tak dapat bayangkan. Lebih lagi kena bayar yuran yang agak mahal juga. RM160.  Yelah, tak biasa kita dengan program agama yang berbayar ni.

K-Fiqh Ummah membicarakan konsep wasatiyyah dalam 9 aspek:

  1. Wasatiyyah dalam berdakwah
  2. Wasatiyyah dalam akidah
  3. Wasatiyyah dalam memahami teks al-Quran dan Hadis
  4. Wasatiyyah dalam ekonomi dan kewangan
  5. Wasatiyyah dalam penyucian jiwa
  6. Wasatiyyah dalam ibadah
  7. Wasatiyyah dalam memahami dan menghargai thurrah (kitab klasik / kitab kuning)
  8. Wasatiyyah dalam berpolitik
  9. Wasatiyaah dalam gaya hidup
Setiap slot / topik menampilkan dua hingga tiga orang panel pembentang. Kesemua kertas kerja dibukukan dengan baik oleh Telaga Biru Sdn. Bhd. Barisan panel sangat berkaliber. Gabungan mantop merentas generasi. Dari senior-senior seperti Dr Zulkifli Al-Bakri dan Dr Basit Abd Rahman hinggalah Imam Muda Asyraf. Secara keseluruhan, penyampaian mereka menarik, mudah di fahami dan praktikal dengan keadaan semasa di Malaysia khususnya.

Ketika sesi soal jawab, melihat para asatizah duduk sebaris di pentas, aku rasa sedikit terharu. Biasanya kalau kita dengar Ustaz Zahazan atau Ustaz Zaharuddin atau Ustaz Syed Norhisham hadir di satu-satu majlis, berduyun orang datang menyertai. Kalau mereka keluar TV, kita tak mau terlepas. Kali ini bukan seorang, bukan dua orang tapi 15 orang asatizah. Kau pilih saja yang mana berkenan di hati. Aku gelarkan sesi ini Tanyalah Ustaz MEGA. Kesemua mereka, kalau aku boleh sebutkan adalah selebriti dunia dakwah. Muka-muka yang tak asing kita lihat di TV. Suara yang kita kenal dari corong radio. Asatizah yang kita ikuti FB, Blog dan Twitter mereka. Tak kurang yang telah menghasilkan naskah-naskah ilmu.

Selepas sesi soal jawab, ada pula sesi konsultasi. Di mana peserta bleh berjumpa ustaz pilihan mereka secara bersemuka dan bertanyakan kemuskilan. Sangat-sangat bermakna sesi ini pada orang biasa seperti aku. Aku tak bersedia secara mental, cuma dapat menanyakan satu soalan. Bila balik, banyak pula soalan dan kemuskilan timbul. Aduh!

Untuk pengisian dua hari penuh (hari pertama berlarut hingga malam) dan dua buah buku yang mudah-mudahan dapat dimanfaatkan, bila di nilai dengan RM160 memang berbaloi-baloi.

Perasaan selepas mengikuti konvensyen ni…. sangat susah nak diterangkan. Aku rasa terhibur, padahal bukan pergi konsert hiburan. Tajuknya pon banyak yang berat. Aku kira kerana ia memenuhi kemahuan fikiran dan jiwaku. Dari situ datangnya seronok. Kata Auni yang baru setengah tahun menjadi orang JB, ini adalah hujung minggu paling best di JB setakat ni 😉
Okey… sila tinjau-tinjau 🙂

This slideshow requires JavaScript.

Selebihnya, sila tonton video ini

Link: https://www.facebook.com/kfiqh   /   http://k-fiqh.com/

=================================================================

Aku masih ingat bab wasatiyyah ini ada di ajar dalam silibus subjek Agama ketika aku tingkatan lima. Aku ingat kerana bab ini menimbulkan banyak persoalan dalam kepala aku. Namun, lama kelamaan soalan-soalan itu terbiar begitu saja. Kadang-kala isu-isu semasa mengingatkan lagi aku padanya. Ada banyak penyalahgunaan konsep ini dapat kita lihat di peringkat national mahupon antarabangsa. Terlalu banyak takrifan. Berbelas tahun, baru kali ini aku dapat penjelasan yang tuntas. Jelasnya kerana selama ini aku tak bersungguh untuk belajar, menganggapnya enteng.