Kami, Jersi JDT dan Visa


Keajaiban-keajaiban kecil dalam hidup edisi kerja amal

img_4715

Ketika menyertai misi Jordan bersama Our Touch pada Febuari 2015, aku dan Yatt di amanahkan dengan 100 pasang jersi JDT untuk diserahkan kepada anak-anak Syria. 100 pasang jersi JDT beratnya hampir 30kg. Kami terbang dari Changi ke Mumbai dengan MAS. Elaun bagasi ialah 30kg seorang. Tetapi dari Mumbai ke Amman kami cuma mendapat elaun 20kg seorang dengan Kuwait Airline.

Dipendekkan cerita, dari Mumbai ke Amman, kami ada lebihan berat sebanyak 5kg. Kuwait Airline mengenakan caj kira-kira RM200 setiap lebihan 5kg atau sebahagian (waktu itu kadar tukaran ialah RM11 = KWD1)

Mengikut peraturan, berat bagasi jinjing yang di benarkan adalah 7kg sahaja. Sebagai pengembara poket nipis berpengalaman (ehem!…) kami menyusupkan 3kg lebih di beg galas yang akan ku gotong menaiki pesawat. jadi berat beg aku adalah 10kg. Yatt sendiri membawa beg jinjing dengan berat 7kg. Manakala, beg yang perlu di daftar masuk ada kelebihan 2kg. Yang ini kami nekad menggunakan ilmu kawai-aegyo-comellote untuk merayu kepada pegawai bertugas.

Mulanya, semua berjalan lancar. Kami buat muka naif – kononnya tak sedar yang beg kami berlebih 2kg. Alaaa… 1kg saja seorang banggg… (kedip-kedip mata). Pegawai bertugas tenang sahaja. Tiba-tiba dia bangun, melihat beg-beg jinging kami dan… mengarahkan kami menimbang beg yang berat 10kg tu. Walhal, aku dari awal sengaja berdiri melindungi beg itu, tapi rupanya taktikku gagal.

“This is hand luggage” ujarku cuba mengelak untuk menimbang beg tersebut. Dia angguk faham dan tetap menyuruh kami menimbangnya. Biasanya mereka lebih tegas dengan kuota bagasi jinjing. Aku dah naik seram dan gelabah. “Doa banyak-banyak!” bisik Yatt.

Pegawai bertugas tenang saja sambil menganguk-angguk bila Yatt bertanya “Is it OK?”. Kami sangkakan dia akan lepaskan beg itu untuk kami bawa, sebaliknya dia mengarahkan kami menolak beg ke rel daftar masuk. Aku cari riak marah atau geram di wajahnya – kerana cubaan kami untuk “menipu”. Tapi wajah dia setenang air dikali. Wajah kami pula bergelombang seperti air kali dibaling batu. Pegawai itu tidak berkata apa-apa. Dengan cekap dia cetak pas untuk beg-beg kami dan melekatkannya.

Aku sedikit rasa kesal dan takut. Kesal kerana sayangkan RM200, sekarang kami akan kena bayar 3 kali ganda kerana lebihan berat kami sekarang ialah 12kg. Oh.. aku terbayangkan RM600 berbentuk jubah arab melambai-lambai perpisahan. Tapi apa boleh buat kan? Pasrah… kami menanti dia menyelesaikan tugasnya tanpa berkata apa-apa. Aku rasa takut kerana kantoi, biasalah orang kalau dah bersalah memanglah takut. Sebab itu kami diam saja. Hendak tanya lebih-lebih bimbang dimarahi pula.

Selesai proses dokumentasi, dia menggamit kami. Waktu itu barulah dia senyum. Agaknya dia sedar muka pucat, khuatir, gelabah, takut dan kesal aku dan merasakan ianya lucu. Kejadian ini berlaku waktu dini hari, subuh belum menjelang. Memang jelas berat kelesuan di wajah kami.

“Madam, these are your boarding passes. Business class seat. 30kg luggage allowance for each of you. So you don’t have access baggage. That’s all I can help”

Jam berhenti dua saat. Dua saat aku dan Yatt diam terpinga. Serasa mahu saja aku minta dia ulang ayat tadi dalam bahasa Melayu. Biar aku benar-benar yakin yang ucapannya benar. Jam berdetik kembali dan kami kembali waras. Aku angkat muka memandang dia dengan mulut sedikit terlopong. Dia masih tersenyum manis. Waktu itu aku rasa dialah jekaka paling manis di antara semua jejaka di seluruh Mumbai. Heee….

Dia hampir ketawa melihat reaksi kami. Nampaknya dia suka menikmati suasana begitu. Meletakkan orang dalam suasana cemas, kemudian memberi kejutan yang sama-sekali tidak di sangka. Aku toleh kiri kanan lalu berbisik pada Yatt, “Ini prank ke? Ada nampak kamera tersembunyi?” Hahaha. Tapi bertuahnya kami, kejutan di dini hari itu memang betul-betul.. bukan cobaan!

Terima kasih … thank you … bohut bohut syukria

Sungguhlah kejutan yang menyenangkan! Tak cukup bibir kami senyum sambil berjalan meninggalkan kaunter. Nak ketawa kuat-kuat rasa tak manis pula. Jegil-jegil biji mata tengok pas pelepasan, betulkah nak naik kelas bisnes ni?? Ini semua berkat bawa baju untuk anak-anak Syria, Allah mudahkan urusan kami. Aku pon pertama kali merasa kerusi kelas bisnes ni. Dalam hati aku berkata, terima kasih anak-anak Syria! Cik Awa terharu! T_T

Kami sangka semuanya sudah selesai. Dengan senang hati kami bergerak ke balai pelepasan. Tiba-tiba pemuda manis tadi datang terburu-buru menahan kami.

“My officer want to meet you”

Plup! Seketul batu jatuh lagi di kali. Kami berpatah balik mengikut pemuda tadi.

Seorang lelaki berdiri menunggu kami di hujung barisan kaunter daftar masuk. Orangnya bertubuh sederhana, tidak gemuk tapi tidak juga kurus. Aku kira umurnya lewat empat puluhan. Berketinggian enam kaki. Mukanya bulat dan bermisai. Figura ayah ayah bangsa Asia. Keseluruhan rambutnya masih hitam. Beliau memakai baju seragam kemeja putih, bertali leher dan berseluar biru. Senyuman mekar menyambut kami. Pandangannya lembut seperti seorang ayah kepada anaknya. Melihat beliau, separuh gundahku hilang.

“Good morning!” ujarnya ramah. Kami membalas dengan ucapan yang sama. Dia meminta izin untuk melihat passport kami.

“You’re going to Amman right? But you don’t have Jordan visa”

Hmmm… rupanya isu visa ini belum berakhir. Terdahulu pegawai di kaunter juga asalnya berkeras yang kami mesti ada visa Jordan untuk pelepasan. Kami berjaya meyakinkan pegawai tersebut yang kami tidak mungkin ada masalah mendapatkan VOA.

“We’re supposed to get VOA at the airport” jawabku perlahan.

“Hmm… where will you go after Jordan?”

“Dubai”

“May I see your air ticket? Amman to Dubai”

Aku dan Yatt saling berpandangan. Aku menarik nafas panjang sebelum menjawab soalan beliau. Mujurlah beliau sangat sopan dan bercakap pon lemah lembut, sedikit-sebanyak membantu aku bertenang.

Panjang lebar aku terangkan pada beliau kenapa kami belum ada tiket keluar dari Jordan. Tapi kami ada tiket dari Dubai balik ke Singapura. Ini rupanya menambahkan lagi kekusutan. Kenapa balik ke Singapura? Kenapa tidak balik ke Malaysia? Dan seterusnya soalan lain, berapa hari kami merancang berada di Amman? Apa tujuan kami ke sana? Berapa hari kami di Mumbai? Ada urusan apa?

“See.. the problem is, you don’t have Jordan visa nor air ticket out of Jordan. If for some reason… yeah, who knows, it might happen, you get denied to enter Amman. In that case, we responsible to bring you back here but you can’t enter India because you only have single entry visa. That will put us in difficult situation”

Aku melepaskan hela nafas yang panjang. Sungguh tak sangka perkara ini boleh menjadi sebegini serius. Setelah perbincangan yang panjang, beliau akhirnya merumuskan..

“You two lovely ladies, you look like good people, I know you are. And you’re very lucky for holding Malaysia passport. Your country has a very good reputation. If I am in your shoes right now – I mean at foreign country, I will be in big trouble because India do not have such good reputation. But….”

Dia memandang kami seolah-olah kami ni anak-anak perempuannya yang menuggu izin untuk bermalam di rumah teman.

“I’m sorry, I still can’t let you board the plane if you don’t have the ticket”

Bam! batu besar jatuh ke dalam kali. Laluan air terkepung dan hampir saja air melimpah ke tebing. Jam berhenti lagi dua saat lamanya. Tapi dua saat kali ini lebih panjang. Dia meyakinkan kami yang dia tidak berniat menyusahkan kami tetapi beliau perlu mengikut polisi syarikat.

“Do you have enough cash or credit card? You can purchase the ticket from agents in this airport”

Dia kemudian mengarahkan seorang petugas perempuan mengiringi kami ke kaunter agen pelancongan untuk membeli tiket. Sebenarnya, sudah banyak kali berminggu-minggu sebelum berangkat ke Mumbai aku dan Yatt cuba membeli tiket Fly Dubai tetapi tidak berjaya. Melalui email, pegawai layanan pelanggan Fly Dubai mencadangkan kami terus membeli tiket di pejabat mereka di Amman.

Sampai saja di kaunter agen pelancongan, aku minta mereka lihat dulu harga tiket. Aduh! terkejut di buatnya. Memang sudah ku jangka harga mereka lebih mahal. Tetapi dua kali ganda dari harga di laman web Fly Dubai di luar kemampuan kami. Kira-kira USD730 untuk penerbangan sehala bagi dua orang. Jika beli sendiri, kami boleh dapat harga lebih murah dari itu untuk penerbangan premium.

Sementara itu Yatt berusaha membeli tiket terus dari laman web Fly Dubai. Lebih mengharukan wifi di situ tenggelam timbul. Beberapa kali percubaan gagal. Dia mendesah beberapa kali. Yatt selalunya tenang, aku pula mudah gelabah. Tapi bila situasi begini, Yatt akan memancarkan aura jingga di sekelilingnya. Itu isyarat supaya aku bertenang, diam, sabar dan beri dia ruang dengan berdiri jauh sedikit. Pendek kata – jangan menyibuk dan percayakan dia sepenuhnya.

Aku memberi isyarat pada pengiring kami, mengajaknya menjauhi kaunter beberapa langkah. Aku membelakangkan kaunter, lalu aku berbisik kepadanya.

“She is trying to get the ticket, can we wait for a while?” aku menunjuk kepada Yatt yang masih dalam keadaan tegang.

Dia mengangguk setelah melihat jam tangannya. Dia bertanya kenapa kami tak beli saja dari kaunter. Aku jujur saja mengatakan yang kami boleh jimat separuh harga jika beli sendiri. Dia juga terkejut!

Dua orang petugas di belakang kaunter memerhatikan kami dengan pandangan hairan. Yatt masih tak putus asa. Aku menekur lantai, berdoa dan istigfar. Ruangan itu sunyi tetapi auranya tegang. Baru saja okestra simfoni cengkerik bersedia memulakan konsert, Yatt membubarkan mereka.

“Eh!.. dapat!… dapat!!… dapat!!!” Yatt hampir menjerit. Aura jingga bertukar biru, waktu ini barulah boleh merapat.

“Dapat? betul?” Aku segera mendekati Yatt. Syukur setinggi-tingginya. Yatt menunjukkan email pengesahan pada pengiring kami. Setelah berpuas hati dia memberi tahu petugas kaunter yang kami tidak jadi membeli tiket.

. . . . .

Kami berjalan laju menuju pintu pelepasan. Sudah sampai waktu berlepas. “Ayah” berdiri di sisi pintu kapal mengucapkan selamat jalan kepada setiap penumpang. Bila tiba giliran kami dia ketawa kecil, lega katanya melihat kami menaiki pesawat. Aduhh… perjalanan baru bermula tetapi kami sudah kepenatan. Mujurlah kerusi kami istimewa hari itu. Kami terlelap sebentar sehingga peramugari datang menghidangkan sarapan.

……………………………………………………………………………………………..

Gambar di mana kami menyampaikan jersi JDT dan beg Our Touch kepada anak-anak pelarian. Sekolah kontena ini terletak di sebuah kem persendirian. Kem ini menempatkan pelarian-pelarian yang tidak dapat masuk ke kem UNHCR kerana masalah dokumentasi. Kem Zaatari kelihatan dari kawasan ini. Sekolah ini didirikan oleh NGO tempatan.

One thought on “Kami, Jersi JDT dan Visa

  1. Pingback: Bagaimana Travel Sambil Jalankan Misi Kerja Amal Beri Kepuasan Berbeza Kepada Gadis Ini

Leave a comment