Keajaiban-keajaiban kecil dalam hidup edisi Train to Bursa


Jpeg

Merve memelukku erat dan kekal begitu lebih seminit. Tak tahu kenapa aku hampir-hampir mengalirkan air mata. Sangat aku rasakan keikhlasan Merve dan keluarganya menerima aku, orang asing yang muncul tiba-tiba entah dari mana sebagai tetamu. Tak sampai 24 jam lalu, Merve menjemput aku di sini dan sekarang kami di sini lagi. Aku akan meninggalkan Ankara menuju Bursa.

Aku menulis status di Facebook, “Istanbul mengagumkan, memenatkan dan agak sunyi(aku). Konya tenteram dan ramah. Ankara pula singkat tetapi manis seperti baklava”. Kawan, pernah kau merasai baklava? pastri Turki yang pendek-pendek comel tetapi manisnya menyentap pertama kali kau menggigitnya. Sekarang, segenap hatiku dipenuhi kemanisan itu. Tepu.

Aku memanjat tangga keretapi dengan wajah bahagia. Hatiku berdetik, “Tuhan, adakah lagi hambamu yang lebih manis dari keluarga Merve di bumi Turki ini? Temukanlah aku dengan orang-orang seperti mereka”.

Beg sudah aku letakkan di rak pada hujung koc. Berpasangan denganku di tempat duduk, seorang perempuan sebaya emakku, kira-kira berumur awal 70an. Aku senyum dan memberi salam lalu duduk di sebelahnya. Untuk memudahkan aku bercerita, aku namakan dia mak cik Maryam.

Aku meletakkan bantal melengkung empuk kepunyaanku di atas meja lipat. Mak cik Maryam tertarik dengannya. Jelas dia tidak pernah melihat bantal sebegitu.

“Oh, ini bantal leher” jawabku.

Walaupon aku tak memahami bahasa Turki, dapat meneka maksud soalannya. Aku tahu dia tidak faham jawapanku. Aku dengan bersahaja terus meletakkan bantal itu di bahunya. Dia sangat teruja selepas merasakan keselesaan mengenakan bantal tersebut. Dia cuba bersandar, melentokkan kepalanya ke sisi dan beberapa posisi semahunya. Setelah berpuas hati, dia mahu memulangkan bantal itu semula tetapi aku menghalangnya. Bagaimana aku boleh membiarkan seorang ibu hanya melihat aku tidur selesa sedangkan dia lebih terhormat untuk dimuliakan? Jadi aku biarkan dia terus menggunakan bantal tersebut. Tidak jauh perjalanan bermula, Mak Cik Maryam sudah tertidur.

Ada rangkaian wifi di dalam koc. Selepas menghantar pesanan penuh cinta kepada Merve, melaporkan keberadaanku pada Gulistan dan juga Ayse, aku menghabiskan waktu melayari facebook dan whatsapp. Ayse adalah tuan rumahku di Bursa nanti. Waktu bergerak pantas. Kira-kira separuh perjalanan mak cik Maryam terjaga. Dia menepuk lenganku dan bertanyakan adakah aku tidak tidur kerana tiada bantal? Ah, jangan kau tanya bagaimana aku boleh faham ucapannya. Cubalah kau kembara selalu, nanti kau akan tahu rahsianya. Aku memberitahunya yang aku memang tidak berhajat untuk tidur.

Akhirnya setelah hampir dua jam setengah, kereta api menghampiri Eskisehir. Aku perlu turun di situ dan meneruskan perjalanan lebih kurang satu jam empat puluh minit lagi ke Bursa dengan bas. Mak cik Maryam juga sudah bangun dan memulangkan bantal kepadaku. Kereta api ini akan meneruskan pejalanan ke Istanbul. Jika Makcik Maryam masih tidur, aku sudah memutuskan untuk meninggalkan saja bantal itu dengannya.

Dia bertanya lagi dan aku cuma dapat menangkap satu perkataan iaitu “Bursa?”. Aku menjawab, “Ya, Bursa” sambil mengangguk. Tak semena-mena dia membuka cincin yang dipakainya dan menyuruh aku memakainya. Aku amat terkejut. Walaupon cincin itu bukanlah cincin emas permata, tapi membuka sesuatu yang dipakai – mungkin sudah beberapa lama dan mungkin juga ada kenangan sentimental lalu memberi terus kepada orang asing hanya kerana budi yang tak seberapa adalah perbuatan yang tak pernah sampai difikiranku. Aku cuba menolak tetapi dia bersungguh-sungguh memberinya. Dia berterima kasih kerana dapat tidur dengan nyenyak sekali, begitulah yang aku fahami.

Kata orang, rezeki jagan ditolak, musuh jangan dicari. Aku menyarung cincin pemberian Mak cik Maryam. Elok saja, memang cincin itu saiz jariku. Mak cik Maryam memuji-muji cantiknya aku memakai cincin pemberiannya. Dia kelihatan sangat gembira. Inilah cenderahati yang paling berharga yang aku peroleh dari kembara kali ini.

Aku peluk Mak cik Maryam, seperti mana Merve memelukku. Aku cium kedua belah pipinya kerana waktu itu aku juga rindukan emak yang jauh di tanah air. Sekali lagi air mata hampir minitis. Sebelum aku berdoa dan memohon Tuhan menemukan aku dengan orang yang manis, Dia telah lebih dulu mengatur duduk kami bersebelahan. Bukankah dia maha mengetahui? Allah hu Akbar!

Kawan, pernahkah kau merasakan kemanisan Baklava? Sekarang, kemanisan dalam hatiku melimpah ruah, lebih manis dari baklava!

cincin_wm_wm

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s