Monyet Galak di Uluwatu


“Awasi cermin mata dan tasnya. Kalau mahu mengambil gambar, masuk-in tangan pada tali kamera. Jangan pakai   topi. Soalnya monyet-monyel di sini galak”. Pesan Rui, kami angguk. Tersengih-sengih sesama sendiri. Tak begitu mengambil berat pesan Rui.

Lucu bila sifat galak digunakan untuk haiwan. “Kalau kita, galak tu maksudnya gatal merenyam hehehe”. Yatt ketawa, aku dan Abid pon ketawa sampai terhincut-hincut bahu. Rui mengiringi kami membeli tiket persembahan tarian kecak-kecak sebelum membawa kami mengitari kawasan pura lama itu. Persembahan akan bermula sebaik sahaja matahari terbenam. Setiap pengunjung diberikan tali kain berwarna kuning untuk diikat dipinggang. Aku pakai dengan perasaan was-was. Adakah ini dikira mengikut perlakuan keagamaan? Pengunjung yang berseluar pendek pula diberikan selembar kain. Mereka mengikat dua hujung di pinggang menjadi kain belah.

Meninjau tebing tinggi di Uluwatu sangat-sangat mengujakan. Nun jauh di bawah, pasir putih menadah pantai yang sempit. Ombak selalu menghempas keras pada tebing yang berlekak-lekuk, menghasilkan busa putih dan tebal di atas pasir. Begitu buih tak sempat hilang ombak yang lain pula tiba. Indahnya ciptaan Allah.

uluwatu2

Para pengunjung berlumba-lumba menunjukkan keberanian bergambar sedekat mungkin dengan tebing. Aku rasa tercabar. Aku juga hairan, entah ke mana perginya penyakit gayatku. Aku duduk hanya sejengkal dari tebing. Abid menyuarakan kekhuatiran. Aku hanya senyum. Dua hari lepas ketika kami di Tanah Lot aku rasa seram bukan main melihat bule-bule (orang putih) bergambar. Padahal, berbanding tebing Uluwatu, apalah sangat tebing di Tanah Lot tu, setinggi tebing parit sahaja.

“Aku dah tinggalkan gayat di Gunung Batur” ujarku berseloroh.

Pengunjung semakin ramai. Kami terlalu seronok, suka berlama-lama di satu-satu tempat. Kalau tidak kerana Rui, memang asyik saja kami mengambil gambar. Berkali-kali Rui ingatkan kami perlu bersegera supaya dapat melihat keseluruhan kawasan pura dan masuk ke pentas kecak-kecak lebih awal supaya dapat tempat duduk yang strategik.

“Supaya dapat melihat sunsetnya, sekali melihat tariannya” Kata Rui. Oh.. tarian mistik berlatar belakangkan matahari terbenam di celahan dua tanduk identiti khas Bali,…serasa bulu roma lenganku meremang.

Pap! Imaginasi, sila pergi dahulu.

“Tolong ambilkan gambar bertiga” aku hulur kamera pada Rui.

Aku, Yatt dan Abid bersandar pada tembok. Latar kami ialah laut dan tebing tinggi Uluwatu. Agak susah untuk bergambar kerana semakin ramai pengunjung lalu lalang. Sedang kami mengukirkan seikhlas senyuman, tiba-tiba Yatt menjerit. Aku merasai kesan daya dari sesuatu yang bergerak laju di belakang kami. Ohh! monyet rupanya. Benarlah, galak sungguh!

“Cermin mata kita!” wajah Yatt separuh pucat.

Monyet tadi telah meragut cermin mata yang sedang dipakainya. Ya! cermin mata itu sedang di pakainya! bukan, dia tidak memakainya di atas kepala tetapi di muka! Monyet itu meragut cermin mata dari mukanya! Dan Yatt memakai tudung, maksudnya kaki cermin mata terselit di celahan tudung. Sang monyet benar-benar berani, pantas dan errr… profesional?

Keadaaan huru hara. Serta-merta kami menjadi perhatian. Belum sempat aku mewaraskan fikiran, sepantas kilat datang lagi seekor monyet ke arah kami. Sekali lagi kami menjerit. Beg sandang kecilku tertarik dan aku cuma mampu menekup muka dengan telapak tangan. Namun, mujur cuma botol air dari poket sisi yang diragutnya, bukan beg. Sungguh , aku terkejut dan ketakutan. Jantung mengepam darah dua kali lebih laju. Nafas menjadi pendek.

uluwatu3uluwatu4

Yatt tersebik-sebik, seperti mahu menangis melihat sang monyet menayang-nayangkan cermin mata Bonia asli yang baru saja dibeli beberapa bulan lalu. Sang monyet membuka mulutnya besar-besar, menyeringai sehingga taringnya kelihatan seolah-olah tersengih. Dia langsung tidak takut malah mengejek-ngejek pula. Patah hati Yatt melihat sang monyet mengigit cermin matanya. Setiap kali sang monyet mengepak-ngepak kaki cermin mata yang malang itu, kami sama-sama menjerit “Jangan!” spontan menunjukkan isyarat tangan suapaya Sang monyet berhenti melakukannya. Hmm.. kau kira Sang monyet tidak faham? Sang monyet semakin seronok memprovokasi kami.

Keadaan semakin kecoh.  Seorang remaja Eropah mencampakkan sebiji kacang ke arah sang monyet. Jauh tersasar. Ah.. Rui, kemana saja kamu di waktu ini? Aku menoleh ke belakang dengan tujuan mencari Rui. Sekali lagi aku terperanjat, bukan kerana ada monyet dibelakangku. Tetapi begitu ramainya orang yang berkumpul menyaksikan drama kami. Masing-masing dengan kamera seperti wartawan berebut gossip sensasi. Mataku berkelip-kelip menahan flash. Tak semena-mena muncul Yuna Zarai. Dia bersandar di dinding pura, matanya kecil melawan silau mentari petang. Dengan santai memetik gitar dan menyayi….  I can’t believe we almost got famous for nothing baby….. oooooo

Pap! imaginasi sila pergi dahulu!!

 Aku tak tau harus bereaksi apa. Melihat aksi monyet – cemas, muka sebik yatt – kasihan dan para pengunjung yang berebut-rebut mendapatkan sudut gambar terbaik – lucu. Yuna Zarai telah hilang tapi suaranya masih kedengaran. Mengulang-ulang baris yang sama. Dari rasa tegang timbul rasa geli hati. Aku tak dapat menahan ketawa. Aku memaut bahu Yatt, cuba menenangkannya. Orang yang di cari-cari, Rui, muncul dengan dua orang menjaga pura.

uluwatu5uluwatu8

“Rekam ekpresinya!” Rui ketawa kecil memandang kami sambil memetik picu kameraku yang masih di tangannya sejak tadi. Tiada riak kasihan di wajahnya, tetapi kami sangat berterima kasih kerana dia cepat bertindak. Ah.. Rui, adakah engkau kecil hati kerana kami meremehkan nasihatmu lalu engkau meminta kepada Tuhan supaya kami diberikan pengajaran?

Akhirnya, Yatt mendapat semula cermin mata kesayangannya. Tetapi skru sudah senget dan beberapa kesan gigitan monyet dibahagian tengah. Ketika menyusur laluan ke pentas kecak-kecak. Rui menyuruh kami rakam gambar pura dari jauh.

“Kalau orang tanya, apa buktinya sudah ke Bali,nah.. lihat saja fotonya!”.

“Kaca matanya juga boleh jadi bukti hehehe” ujarku

uluwatu6uluwatu7

Nota__________________________________________________________________________________

Melihat tarian kecak-kecak buat aku banyak berfikir. Kecak-kecak sebenarnya cerita klasik Hindu. Kisah Rama, Sita dan Hanuman. Betapa jauhnya pengaruh agama Hindu berkembang pada masa dulu. Bayangkan jarak antara India dan Bali. Walaubagaimanapon agama Hindu di Bali sangat berbeza dengan Agama hindu di India. Kecak-kecak menyedarkan aku – tiada satu tarian kebudayaan pon yang tidak menerima pengaruh dari tempat lain. Budaya mempengaruh dan dipengaruh. Justeru ia dikongsi, tidak dimiliki secara total oleh sesuatu kaum.

Di satu sudut lagi, aku agak kecewa Bali tidak menerima tempias gelombang Islam yang melanda Pulau Jawa. Sekarang bayangkan jarak antara Pulau Jawa dan Bali.

7 thoughts on “Monyet Galak di Uluwatu

  1. Adoiii….tergelak2 aku bacalah!! memang lawak… Err… sori Yatt. 😉

  2. hadoyaiii… bonia lak tuh…. kih3…

Leave a comment